Friday, September 16, 2011

Pejuang dan Petualang ?


Tertarik saya dengan saranan sahabat Ustaz Aizam Masuud terhadap isu semasa ini, moga ianya memberikan kita sedikit etika dan manhaj berdiskusi terhadap isu2 seumpama ini .... Renung2kanlah :


Bila merenung perbalahan politik yang sedang berlaku, entah kenapa tiba-tiba penulis teringatkan rancangan “Law Kaana Bainanaa” (Kalaulah Nabi SAW bersama kita) terbitan Ustaz Ahmad al-Syuqairi.

Amat sedih, perbalahan politik yang berlaku, bukan lagi berkait soal dasar dan manifesto perjuangan, tetapi ia soal akhlak Islam yang digadaikan. Begitu mengharukan, orang-orang yang telah meninggal dunia turut dilibatkan oleh politikus yg rakus, hingga mereka menjadi mangsa dikeji, diperleceh, ditohmah, diungkit tanpa apa-apa keperluan darurat. Allahu Akbar! Dimanakah hilangnya akhlak Rasulullah SAW yang mulia itu? Jika diandaikan Rasulullah SAW bersama, bagaimanakah reaksi Baginda SAW terhadap perbuatan sebegini?

Tanpa mahu menyokong mana-mana parti, tanpa mengira daripada parti mana pun orang yang dicaci itu, jika dia telah meninggal dunia dan masyarakat bersaksi bahawa pada zahirnya dia seorang muslim ketika matinya, maka janganlah maruahnya dirobek-robek selepas kematiannya. Malah perkara ini ditegah dan dilarang sama sekali oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda :
لا تسبوا الأموات فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“Janganlah kamu mencaci orang yang telah meninggal dunia, sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”. (Riwayat al-Bukhari)

Lihatlah bagaimana tarbiyah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda SAW mendengar orang yang hidup mencaci-maki orang yang telah meninggal dunia.

Al-Hafiz Imam Jalaluddin al-Sayuti dalam kitab al-Luma’ fi Asbab Wurud al-Hadith menukilkan daripada Ibn Sa’ad, Imam Ahmad dan al-Hakim yang mensahihkannya daripada Ibn Abbas, satu riwayat mengenai seorang lelaki yang telah mencaci bapa al-Abbas (mengenai kisah lampau). Dalam satu lafaz menyebut : (Lelaki tersebut) berkata kepadanya (al-Abbas), aku telah melihat Abdul Muttalib bin Hashim dan al-Ghaithalah, bomoh perempuan Bani Sahm, semoga Allah menghimpunkan kedua-duanya di dalam neraka. (Akibat sakit hati dengan perkataan itu) al-Abbas telah menamparnya. (Kabilah orang itu tidak berpuas hati lalu) mereka berkata, "Demi Allah, kami akan menamparnya seperti ia menampar saudara kami!" Hal ini diketahui oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW mengumpulkan kaum muslimin dan naik ke atas mimbar kemudian bersabda, "Siapa orang yang paling mulia di sisi Allah? Mereka menjawab: Engkau, ya Rasulullah! Lalu Baginda bersabda: "(Tahukah kalian) bahawa al-Abbas itu dariku dan aku darinya. Janganlah kalian mengumpat orang-orang yang sudah mati, lalu dengannya akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup.

Jika diteliti, kedua-dua riwayat di atas menunjukkan larangan Rasulullah SAW daripada mencaci orang yang telah meninggal dunia walaupun dia adalah seorang kafir. Baginda SAW menegah kerana perbuatan itu boleh membangkitkan kemarahan kaum keluarganya yang masih hidup. Bayangkan jika yang dicaci itu adalah seorang muslim yang sudah pasti berpeluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Lantaran itu Rasulullah SAW dalam hadith yang lain menyebut:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci maki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya adalah perbuatan kufur”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut :

الأصل براءة الذمة

“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan, tanggungan dll)”.

Bagi penulis, memang tidak dinafikan, kemungkinan orang yang dicaci itu ada melakukan kesalahan dan kesilapan ketika hidupnya, tetapi dalam banyak keadaan, kesalahan dan kesilapan itu tidak dapat dipastikan, adakah ia disengajakan atau tidak? Apakah niatnya yang sebenar? Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah SWT. Hal ini sama dengan apa yang diungkapkan oleh Baginda SAW:

‏"‏يغزو جيش الكعبة فإذا كانوا ببيداء من الأرض يخسف بأولهم وآخرهم‏"‏‏.‏قالت‏:‏ قلت‏:‏ يارسول الله، كيف يخسف بأولهم وآخرهم وفيهم أسواقهم ومن ليس منهم‏!‏‏؟‏ قال‏:‏ ‏"‏يخسف بأولهم وآخرهم، ثم يبعثون على نياتهم‏"‏‏‏‏.‏

"Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi - menghancurkan - Ka'bah, kemudian setelah mereka berada di suatu padang dari tanah lapang lalu dibenamkan (dalam tanah) dengan yang pertama sampai yang terakhir dari mereka semuanya. (Aisyah bertanya): Saya berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, sedang di antara mereka itu ada para pedagang serta ada pula orang yang tidak termasuk golongan mereka tadi (yakni tidak berniat ikut menggempur Ka'bah?) Rasulullah SAW menjawab: Ya, semuanya dibenamkan dari yang pertama sampai yang terakhir, kemudian nantinya mereka itu akan dibangkitkan mengikut niat masing-masing. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, hadith ini menunjukkan niat memberi kesan utama terhadap segala amalan yang akan ditimbang di hari akhirat kelak.

Bermakna, dalam membahaskan isu tokoh-tokoh kemerdekaan yg kontroversi “antara pejuang dan pengkhianat”, penulis lebih cenderung untuk mengembalikan urusan mereka yang terlibat kepada Allah SWT. Tiada yang mengetahui niat sebenar mereka itu kecuali Allah SWT. Silap jika kita mengatakan sejarah boleh membuktikan segala-galanya, bahkan tidak! Ini kerana sejarah itu catatan manusiawi yang tidak pernah luput dari salah dan silap. Tetapi petunjuk wahyu dan hikmah rasul itulah yang sepatutnya menjadi rujukan setiap muslim.

Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni semua pejuang kemerdekaan beragama Islam tanpa mengira siapa dan apa partinya. Diulangi sekali lagi sabda Rasulullah SAW:

...فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

“…sesungguhnya mereka telah menerima balasan atas apa yang mereka kerjakan (ketika di dunia)”.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 118:

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Jika Engkau mengazab mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, jika Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”.

Al-Fatihah buat semua mereka.

Wallahu a’lam.

Polemik Sejarah

Berpuasa dari internet mematikan sedikit sebanyak informasi saya terhadap isu semasa yang sentiasa silih berganti saban hari, mungkin telahan untuk PRU semakin hampir amat tepat untuk kondisi seumpama ini.

Dan antara yang semakin mengujakan pentas politik dewasa ini apabila polemik Mat Sabu terhadap sejarah bangsa telah membangkitkan selera ramai untuk mengupas atau sekurangnya meninjau kembali topik dan silibes teks SEJARAH yang sekian lama dianggap SUBJEK TEPU dan MEMBOSANKAN.

Terjahan politikus ini umpama tepat pada masanya tatkala kita masih dibalut lembayung mega kemerdekaan yang mengekstrak warna kesyukuran untuk kita kala ini, ianya pantas juga disambar massa untuk dijadikan TEMA perbincangan hangat bagi sambutan kemerdekaan tahun ini. Terima kasih juga buatnya kerana mampu memberi sedikit kesegaran buat umat meneliti dan sekurangnya mengikuti sejarah ini dari sumber dan persepsi yang lebih meluas bukan sekadar TEKS dan SILIBES.

Agenda SIAPAKAH PEJUANG ATAU PETUALANG menjadi antara topik bualan hangat dan bibir rakyat alaf ini, semuanya umpama sejarawan dan penganalisa amatur terhadap sejarah bangsa yang serba satu ini. Warna dan kemilau kemerdekaan dirujuk sekali lagi .....
Siapakah sebenarnya WIRA dan HERO negara ??

Pernahkah kita bertanya kepada mereka yang berjuang.... Adakah mereka sengaja menempah sengsara berjuang untuk dijulang sebagai WIRA dan HERO, atau keringat mereka sentiasa bercucuran atas kesedaran total untuk mendapatken kebaikan dari kemerdekaan tulen buat negara yang terjajah kala itu.

Golongan persis Tok Janggut, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Tn Guru Hj Abd Rahman Limbung, Mat Salleh dan sebagainya akhirnya kita nobatkan sebagai PEJUANG KEMERDEKAAN setelah sekian lama mereka termomok dengan gelaran PETUALANG dan penderhaka RAJA.

Terlintaskah dibenak para tokoh yang akhirnya kita julang bersama ini untuk mengecapi nikmat kemasyhuran sebagai wira dengan menggadaikan nyawa mereka yang paling berharga?

Bagi saya, golongan PEJUANG TULEN harus berani berdepan sengsara dan penjara bukan sekadar bijak berbicara dan penuh strategi diplomasi sahaja.

Apapun hakikatnya sejarah takkan pernah berubah, namun persepsi masyarakat juga takkan mudah untuk disatukan fikrahnya, ianya subjek yang begitu subjektif dan memerlukan kajian dan sumber yang betul dan tepat berdasarkan masanya.

Biarlah kajian sejarah ini dimurnikan semula sebagaimana kekadang kita juga menuntut pemurnian sejarah islam yang segar dengan semangat keislaman yang terus berjuang, melawan dan berkhidmat ini juga terus dibugarkan.

Kebenaran pasti terserlah biarpun sekian lama disembunyikan kepalsuan dan Fitnah.....

Cukuplah nama para pejuang agama yang akhirnya dibersihkan seperti diatas menjadi saksi kebenaran ini.

Mari kita teruskan meniti episod konflik ini, bagi saya ianya amat lazat untuk kita berikan perhatian kerana ianya amat rapat dengan sejarah kita tersendiri berbanding isu2 moral yang meloyakan semata2.

Sekurang2nya ianya amat berfaedah membuka mata dan hati kita untuk mempunyai semangat patriotik yang tulen dan bukannya sekadar mengibarkan jalur gemilang usang .....

Thursday, September 15, 2011

Salam Aidil Fitri


Jujurnya, hampir sebulan lamanya saya tak menjengah ke teratak blog saya sendiri.

Rasanya, inilah malamnya saya dapat menyunting sedikit aksara salam untuk teman diluar sana. Tanpa madah dan ungkapan berjela, saya hanya ingin merakam untaian SalaM AidilFitri ini untuk semua walau sekilas saya menoleh kalendernya yang tertera tanggal 15 Syawal. Rupanya salam ini amat terlewat untuk saya publish dan mesrakan diblog ini.

Tapi, keinginan hati ini untuk menyapa sahabat semua setelah lama menyepi memotivasikan diri saya untuk terus melakar salam ini.

Salam yang bersulam ribuan ampun dan maaf atas segala kekhilafan yang pernah terjadi selama ini. Saya akui kelemahan diri dan ketidaksempurnaan peribadi ini, ianya mencengkam keinsafan dalam diri, moga ada RAmaH tuhan yang mengampuni dan mengerti.

Ampun kanlah salah dan khilaf ku teman.... ianya terlalu pahit untuk ku simpan.
Andai ada dihati kalian dendam dan amarah lama yang belum dijernihkan.... Maafkanlah saya.
Saya terlalu mendambakannya .... Hanya kasih dan doa saya buat kalian yang pemaaf.

Saya juga berharap, dihati ini tiada tersimpan sezarah memori kesumat membenci sesiapa.
Atau jika ada khazanah geram dan benci saya selama ini pada kalian teman, usahlah bimbang ... saya telah lama bumikannya kedalam tanah kemaafan moga ianya mekar menjadi benih pahala.

Akhirnya....

Moga Allah menyerikan SyaWal kita dengan keberkatan amalan Ramadhan....

Dan bagi saya, Syawal ini menitipkan DUA perkara untuk kita semai dan jagai sebaiknya sebagia hadiah tarbiyyah yang panjang ..

1) Istiqamah - melalui kaedah pelaziman yang diterap tuhan buat kita meladeni perkara luarbiasa dalam rutin kehidupan dan kita sanggup patuhinya, moga ianya juga mampu memurnikan peribadi dan jatidiri kita menjadi insan BuKan sebiasa dahulu.

2) Takwa - antara hadiah yang diajnjikan tuhan bagi mereka yang berjaya dalam mengintai maghfirah tuhan dimadrasah ramadhan.... elemennya mencetuskan rasa INGAT kita kepada yang maha kuasa, PERCAYA dan BERAMAL dengan Quran yang diutuskan buat peringatan, REDHA dengan kehidupan yang sederhana tanpa tertipu dengan DUNIA yang Fana dan sentiasa BERSEDIA untuk berangkat menuju Rabbul Izzati pada setiap saat kiranya kita dipanggil menghadap...

Salam Syawal dari saya ....

Al Faqir ila afwi Rabbihi....