Saturday, March 31, 2012

Aisyah Nazurah - Tahniah Buatmu Adikku


Petikan berita dari Utusan Malaysia (Edisi Timur) 23 Mac lalu.

KOTA BHARU 22 Mac - Maahad Muhammadi Perempuan meneruskan tradisi kecemerlangan dengan muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila 17 pelajarnya mencatat keputusan cemerlang semua A termasuk tiga orang mendapat 12A dalam peperiksaan itu.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, seramai 4,740 calon atau 97.19 peratus yang menduduki peperiksaan itu layak mendapat sijil.

Beliau berkata, peratus tersebut meningkat 0.8 peratus berbanding tahun 2010 dengan tiga calon mendapat 12A, sementara 49 calon mendapat 11A, 43 orang (10A), 64 orang (9A), 96 orang (8A) dan 189 calon 7A.

"Walaupun ia dilihat hanya sedikit peningkatan, tetapi ia sangat penting sebagai momentum yang lebih baik pada 2012 nanti, insya-Allah," katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut di Maahad Muhammadi Perempuan, di sini hari ini.

Sementara itu, kata Mohd. Amar, bilangan calon sekolah maahad kerajaan yang layak mendapat sijil ialah 3,488 orang, sementara sekolah bantuan kerajaan pula seramai 1,252 orang.

Katanya, bilangan sekolah maahad yang mencapai kelulusan 90 peratus ke atas adalah sebanyak 27 buah berbanding hanya 20 pada tahun 2010.

Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan melalui YIK untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga aspek sahsiah bagi melahirkan insan sempurna dan menjadi penentu pembangunan ummah pada masa hadapan.

Sementara itu, Aisyah Nazurah Ubaidah, 18, yang terpilih sebagai pelajar terbaik dengan mencapai keputusan cemerlang 10A+ dan 2A berkata, dia kerap melakukan latih tubi terutama menjelang hari-hari terakhir peperiksaan.

Dalam masa sama, gadis pemalu ini turut mengakui menjadikan kejayaan beberapa bekas pelajar cemerlang sekolahnya termasuk Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal (pelajar cemerlang SPM 2008) sebagai sumber aspirasi.

"Selain itu, saya juga selalu melakukan solat hajat dan berdoa," katanya yang merupakan anak kesepuluh daripada 11 orang adik-beradik.

Anak kepada bekas juruaudit ini bercita-cita mahu menjadi seorang pakar bedah.

Tuesday, March 27, 2012

SMK Alma dan MTQ Peringkat Zon


Hey kawan,

Aku tak berdaya mencoret sesuatu yang berharga buat tatapan kalian, walaupun mindaku kadang2 mendesak untuk berkongsi sesuatu yang bersifat ilmiah tapi semangat dalamanku terasa lesu dihambat rutin. Cuma kini, aku terbius berkongsi khabarku kawan... ya khabar tentang aku sebenarnya sedang sibuk dengan aktiviti disekolahku.

Mencelah sehari cuti antara pasukan bertanding dalam bolasepak hari ini, sayangnya aku tidak boleh mencongak ceria dan santai.

Jumaat lepas adalah masa paling kritikal untuk kami guru pendidikan Islam di SMK Alma untuk menyiapkan kontinjen MTQ kami yang akan berlangsung Isnin 26 Mac. Sehari rehat yang ku congak untuk berehat dan bersantai sekejap rupanya terpaksa kubatalkan untuk terus merencanakan latihan intensif bagi waklil sekolah acara MTQ nanti.

Dengan rencana untuk menjadi pencabar terhebat di zon Bukit Mertajam ini kami mengumpulkan para pelajar yang terbaik dikalangan anak2 kampung yang biasa-biasa sahaja. Alah, sekolah kampong seperti kami manalah ada budak2 pintar berintelektual tinggi dengan self confidenty yang meyakinkan.

Teringat semasa aku mencari jalan mudah bertanya ketua panitia bahasa melayu untuk mengimport para pemidato dan pembahas sekolah yang terhebat untuk menyiapkan skuad syarahan MTQ kami. Tercengang aku bila mendapat jawapan yang umpama sebuah lelucon untukku, Sekolah kita ni Ustaz, sekolah budak2 kampung yang kuat bermain sahaja, nak cari mereka yang kuat berlari dan ponteng sekolah boleh la... kalau ustaz nak, ustaz kenalah cuba bina dan bentuk mereka supaya dapat mempelajari dan membuktikan sesuatu...., Jawapan yang sememangnya menutup jalan singkat aku untuk mempermudahkan strategi menyiapkan seorang calon syarahan yang baik.

Namun dalam litar jarak jauh yang terpaksa diambil, aku terpaksa mengambil yang terpaksa.

Mungkin dalam keterpaksaan ini ada keajaiban.

Kami menghantar peserta dalam semua kategori. 6 acaranya bermula tilawah lelaki dan perempuan, hafazan lelaki dan perempuan dan syarahan spontan lelaki dan perempuan.

Dan entah petanda apa yang berlaku dipagi pertandingan, ketika sesi pengundian, aku meminta setiap pelajarku memilih sendiri angka giliran masing2. Dan yang paling memeranjatkan kami, hamper kesemuanya mendapat cabutan angka bertuah SATU. Angka yang sememangnya paling tidak digemari oleh peserta mana2 pertandingan pun.

Kesemua pelajarku terperangkap dengan situasi ini, terbayang wajah kaget dan cemas diwajah mereka. Peserta hafazan lelaki dan perempuan mendapat angka giliran pertama, peserta syarahan lelaki dan perempuan juga mendapat angka satu, hanya peserta tilawah yang mampu memilih angka DUA dan TUJUH. Entah apalah signal yang akan terpatri dihujung oertandingan nanti.

Pantas aku mengumpul mereka, membawa mereka menerawang angkasa optimis dan berserah kepada Allah yang maha kuasa, setelah usaha dan doa kita curahkan untuk tujuan mulia ini, sekarang ... tiada guna kita menyerah kepada kejamnya nasib. Tapi aku mengajak mereka meneroka sisi positif angka SATU, kalian jangan bimbang dengan angka ini .. ia mungkin petunjuk untuk kita menang bergaya kali ini, dan ingat jika kita orang yang pertama memulakan acara, kita pasti takkan terasa tercabar dan merasa kerdil dan terganggu dengan persembahan pelajar yang sebelumnya, tapi... dalam masa yang sama, kitalah yang akan meletak tanda aras tertinggi dengan standard yang paling berkualiti untuk memberi keresahan kepada para peserta lain untuk mencabar prestij persembahan kita. Alhamdulillah, gelisah mereka mula kendur dan sinar ceria menyelubungi wajah kami.

Setealah berpecah ke venue pertandingan masing2, aku pula lah yang menjadi mangsa nasib angka SATU ini sebenarnya, terpaksalah aku pula yang menyonsong angin mengintai dan singgah antara venue yang ada untuk memantau dan melihat persembahan wakil2 sekolahku. Mereka bermula hamper serentak .... dan aku memilih untuk cuba memanfaatkan masa sebaik mungkin membahagi pendengaran ke setiap tempat pertandingan yang ada.

Akhirnya.... aku terduduk keletihan.

Usai pertandingan kami berkampung di surau SM Teknik Seberang Perai untuk mendengar keputusan.

Peserta yang berjaya ditempat pertama hingga ketiga akan terpilih ke pertandingan MTQ peringkat daerah pada 5 april nanti, jelas jawatankuasa penganjur membuka makluman untuk semua hadirin.

Dan tahukah kalian apa keputusan pertandingan MTQ kali ini. ?

Alhamdulillah, SMK Alma mendapat Johan dalam acara Tilawah Lelaki, Hafazan Perempuan , Syarahan Spontan Lelaki dan Tempat Kedua untuk Syarahan Perempuan dan Ketiga bagi Hafazan Lelaki. Hanya satu acara yang kami tidak mampu mencetak kemenangan iaitu dalam acara Tilawah Perempuan sahaja.

Dan sememangnya itulah nikmat Allah yang perlu disyukuri.

Namun aku mencongak lagi rutin jadualku yang makin berserabut dan bertambah beban.

Bolasepak dan SMK Alma


Hey Kawan ...

Sihatkah kalian hari ini ? Jika begitu, syukur dan Alhamdulillah.

Pujilah Allah dengan bahasa lisan dan juga bahasa batinmu kerana hanya Allah sahaja yang berhak dipuji dan disyukuri. Allah yang merencana takdir, biarpun takdirmu hari ini sihat dan diselubungi afiat, itu yang terbaik buatmu dan sememangnya Allah menghendaki kebaikan buatmu, Dan jika Qalam telah menulis sakit dan kemalangan buatmu, Alhamdulillah ... Pujilah allah dan bersabarlah, terselit dicelah musibah pelbagai manfaat dan kebaikan takdir ilahi buat mu sahabat. Tiada yang tertulis buat kita para insan kecuali kebaikan bukan ..... mungkin terlalu pantas dan segera nikmatnya, maka kita perolehinya didunia dan mungkin ia ditangguhkan seketika... kita pasti jumpainya diakhirat sana.

Bukankah begitu kawan ?? Yakinkah Kalian ..... Ya, dan aku meyakininya kawan !!!

Dan begitu juga denganku kawan , mungkin kalian ada yang tertanya apakah kesudahan nasib pasukan kerdil bolasepak yang pernah aku ceritakan padamu.

Alhamdulillah, setelah pertembungan sengit dengan SMK Machang Bubuk yang berkesudahan kemenangan 3-1 berpihak buat kami untuk bergaya melangkah ke suku akhir sebagai juara kumpulan. Kami juga turun petang tadi dan mengesahkan untuk berjaya mara ke separuh akhir dengan menjinakkan SMK Berapit sekali lagi dengan kemenangan muktamad penalty 3-1.

Melihat kalender pertandingan, aku merenung tanggal khamis dan jumaat ini sebagai hari peraduan untuk separuh akhir dan final.

Entah apalah nasib pasukan cilik asuhanku ini ...... namun yang aku pasti, rutin jadual minggu ini pastinya padat buatku.

Thursday, March 22, 2012

Rutin Masaku


Hey Kawan, Moga kalian sihat disana !

Aku disini masih di jera timbunan tugas yang menghimpit. Ku dayung langkahku laju menyonsong arus kerja yang mula beralun gelombang kesibukan. Alunan arus dalam alur sungai kerjaya ini kekadang bergerak tenang tanpa riak gelombang tapi kekadang terjahan ombaknya amat keras melambung aku ke perdu diri kepenatan.

Alhamdulillah, pagi tadi aku selesai mengadili penghakiman SYARAHAN SPONTAN bagi peringkat zon satu di bukit mertajam, acara MTQ kali ini berlangsung lancar dengan mempertaruhkan pertandingan yang berfokuskan kemampuan menghayati kalam allah yang mulia ini. Hanya acara hafazan, tilawah dan syarahan sahaja yang dipertandingkan kali ini. Itupun syarahannya sudah tidak lagi perlu bergomol dengan teks yang panjang. Hanya dengan 5 minit syarahan dan 2 minit untuk mengitari memori dengan kandungan kupasan tajuk spontan, tugasan penjurianku deras menuju penamatnya.

Pemerhatianku kawan, anak2 didik kita ini sebenarnya mampu untuk menguasai maudhuk syarahan ini dengan baik. Dengan sedikit tunjuk ajar dan juga latihan mengenai format mengutarakan pandangan melalui syarhan yang bersifat spontan ini, syarahan mereka sudah ku kira bernas dan baik prestasinya. Dalam tak terduga, ada dalam kalangan peserta tadi yang mengupas tajuk spontan dengan baik disokong dengan dalil dan fakta lagi. Terdetik dihati kecilku ..... pendedahan dan peluang sebegini tidak pernah wujud dizaman remaja ku dahulu. Moga generasi baru ini akan lebih mantap dan berinspirasi kreatif dalam uslub dakwah mereka.

Usai penghakiman, aku dijemput ke bilik penyelaras agama di PPD tengah, bertemu dengan Ustaz Sobri dan kemudiannya dengan ketua unit akademik En Azzudin banyak mengajarkan aku tentang struktur dan kerja pengurusan akademik yang penuh dengan prosuder dan semangat ingin berkongsi kejayaan sesama anggota ppd yang sama. Dipenghujungnya, aku disunting untuk turut serta berkongsi ilmu dan memartabatkan bahasa arab yang semakin hari keputusannya semakin merudum di daerah tengah ini.

Aku tersenyum kelat .... Dalam hatiku, tentera pesimis cepat meluncurkan idea buruk kepadaku, kepenatan dan kekangan masa untukku belajar pasti menghambat kudrat tulang empat keratku ini, apatah lagi minda tua ku ini. Namun tentera optimisku mula berbicara, menangkis satu persatu alasan buruk yang menelurkan kelunturan semangatku. Mereka mengangkat panji semangat UKHUWWAH dan TEGA MEMBANTU patut aku budayakan dalam kehidupan ini.
Dalam pengorbanan penat membantu rakan - Allah pasti akan melepaskan kepenatanku berdepan huru hara mahsyar nanti.

Setelah sejam berbahasa dan berbahas panjang lebar. Aku akur dan bersetuju untuk turut berkongi idea dan bukannya menongkat diri ke persada populariti. Aku hanya insan kerdil yang tidak mempunyai apa2, kelebihanku adalah anugerah Allah yang hanya dipinjamkan buat aku membantu sesama insan, tanpa izinNYA aku bukanlah sesiapa !! Terngiang ditelingaku sang raja SULAIMAN bertitah insaf tatkala meladeni nikmat tuhan yang teramat banyak untuk dirinya yang merajai dunia : Semua ini adalah anugerah tuhanku, hadirnya untuk mengujiku samada aku mampu menjadi insan bersyukur atau tertewas kufur.

Jam 2.30 aku bergegas pula kepadang SM Sains Tun Syed Shahabudin di tengah bandar Bukit Mertajam yang berjarak hampir 45 km dari rumahku. Hadirku sebagai guru penasihat kelab bolasepak yang sudak membuat sepak mula pertandingan peringkat daerah sejak awal minggu ini yang menuntutku menghabiskan masa membentuk dan mencorak pasukan bolasepak ALMA ini yang sebenarnya sudah lama tersembunyi taringnya.

Walaupun proses harianku ini menjerihkan fizikal, tapi nikmatnya kekal sempurna apabila aku pulang ceria setelah pasukan Alma ku berjaya menewaskan SMK Berapit dengan keputusan 2-0 dan sehari sebelumnya menundukkan SMJK C Jit Sin dengan keputusan 4-0. Dan esoknya , kami di adukan pula dengan SMK Machang Bubuk yang sebelum ini menang bergaya dengan jaringan besar 3-0 dan 6-0.

Esok ya !! Buku akan bertemu ruas untuk menentukan juara kumpulan.

Dan aku pulang dalam senja yang mula kelabu dengan kepuasan.

Aaah, Nasib baik malam ini tiada kuliah maghrib ku .....

Wednesday, March 21, 2012

Masa Berlalu


Hey Kawan,

Sudah berapa lamakah kalian di sini ? Merenung blog yang tiada berdenyut dan bernadi.
Tiada hembusan nafas mahupun khabar terkini. Tiada salam dan berita, mungkin juga tandus angan dan mimpi ..... yang ada hanya Kosong !!

Tapi, kenapakah kalian masih tega di sini ? Blog yang tidak berpenghuni .... Tiada warna biasan idea seindah kristal mahupun harmonika bunyi pemanis blog bak halwa di telinga. Semuanya ... Sepi !!

Aaah, mungkin aku tahu ?? Bukankah kalian kawan yang setia .... rakan pendengar yang empati, sahabat pemerhati yang prihatin bahkan komuniti peramah yang sentiasa mengekstrakkan ceria kepada blog ini.

Namun.... Maafkan aku kawan ! Kalian kan sudah tahu bahawa aku sedang meniti denai kembara ilmu buat kali yang kedua. Menagih kudrat fizikal seperti kuda tua ini dengan prestasi memori yang bukan lagi berkuasa kuda ini untuk menghadam pelajaran bukannya sesuatu yang amat mudah dan santai. Ianya menuntut jerih usaha dan keringat azam yang perlu di cucurkan bukan sedikit, namun ianya aku pasti bukan percuma juga ... pasti ada ganjarannya kan. Bukankah para penuntut ilmu itu berada dijalan Allah dan diredhainya ??

Moga aku dan kalian juga begitu ...

Sungguh, inilah kali pertama aku berjaya mengetuk keyboard ini untuk mencoret sesuatu diblog usangku ini. Tanpa kuduga, ribut bebanan pengajianku yang silih berganti antara tugasan assigment, mid exam , menulis maqal (karangan spontan), pembentangan dan akhirnya ujian ala temuduga lisan ini akan berakhir dua minggu lagi sebelum aku pastinya diasak dengan exam finale pertengahan april nanti. Dan pusingan tornado antara kerjaya, pengajian, dakwah lapangan dan keluarga mengharu birukan sedikit komitmenku untuk blog ini .... Benar, hampir dua minggu aku langsung tidak pernah singgah ke teratak travelogku sendiri.

Aku benar2 dibius sibuk, namun masa seakan penawarku untuk terus melangkah. Benarlah kata pujangga ... Time is Healing : Masa yang berlalu adalah penawar yang paling mujarab. Ia mampu menyelimutkan parut luka semalam, mampu juga merenjis harapan kepada insan yang merindu dan ianya bagiku, UBAT penyelesai segala kekusutan mindaku untuk memilih keutamaan.

Kekadang aku terkesima dengan bebanan kerja dan runtunan tugasan yang banyak, Aku hanya sempat menoleh seketika untuk mengambil nafas rehat yang sementara, akhirnya mindaku berat ditekan jadual padat dengan kewajipan yang perlu dilaksana.



Dan MASA memang membantuku ....

Ku sudahi satu persatu tugasan dan kewajipan, dengan penyesuaian disana sini ditambah pengorbanan kecil dan besar yang sememangnya terpaksa dilakukan ... akhirnya, aku sudah semakin menghampiri penghujung sesmester pertama Masterku kawan...

Syukur alhamdulillah ...

Mungkin kerana itu jugalah ada hadis nabi yang pernah menitipkan pesan : Jangan engkau cercai masa, seungguhnya ALLAH ialah tuhan yang merencanakan masa.

Oleh itu, hargailah masa ... dan .... sememangnya hanya orang yang sibuk sahaja yang tahu akan kualiti dan harga masa !!