Friday, July 19, 2013

Ramadhan Kareem 2013

Hey kawan,

Salam Ramadhan untuk kalian disana, semoga kalian terus dilimpahi dengan kesegaran cahaya iman dan keseronokan beribadat. Sememangnya Allah memuliakan ramadhan, beruntunglah bagi sesiapa yang memuliakannya dan rugilah mereka yang mensia-siakannya.




Dengan rutin meladeni tazkirah dipenjuru terawih saban malam, aku melihat pelbagai rencam manusia dan karakternya di saf solat mereka. Mereka yang berwajah bersih, berbaju polos dan berketayap penuh warna sememangnya senang diusik dengan sentuhan tazkirah yang juga pelbagai tema, tempo dan gaya. Mereka seakan tenang diulit tazkirah yang menginsafkan jiwa namun membangunkan hati untuk terus berharap pada keajaiban kuasa ilahi dibulan yang mulia ini.

Harapannya ialah rangkaian kasih rahmat, pedoman maghfirah dan juga nikmat memilih syurga dari neraka allah suatu hari nanti. Impian yang hebat ini akan melahirkan karekter yang diasuh disiplin sabar, tenang dan seronok untuk melangsung ibadah taat ini kesetiap lorong perjalanan insan nanti walaupun ianya jauh berada diluar ramadhan.

Moga allah memilih kita untuk menjadi insan yang terpilih dan istimewa itu.



Kupohon agar Ramadhan mampu melahirkan jiwa ini menjadi insan yang HINA, TAMAK dan MEMENTINGKAN DIRI.

Insan HINA dan kerdil disisi Allah Rabbul jalil, mengakui semua kelemahan diri dan memuji akur kepada kekuatan dan kemulian zat ilahi semata-mata. Hidup ini hanya ujian melayakkan diri menjadi HAMBA yang soleh kepada allah tanpa prejudis sangka, mahupun kealpaan malas dan bertangguh juga kebobrokan riyak dan mencari glamour. Bukankah hanya allah yang layak dan berhak dipuji.

Menjadi insan TAMAK dengan amal dan yakin dengan janji ilahi yang tekal dan pasti. Tamak dengan begitu tergiur pada habuan nikmat dan keseronokan taat ini melebihi keselesaan rehat dan bersantai menghirup kopi pekat meladeni gosip dan sembang kosong semata2.

Juga buat menjadi insan yang MEMENTINGKAN DIRI dengan menggagahi kudrat fizikal untuk berlumba dengan yang lain mencari pahala buat menyelamatkan diri sendiri dari azab murka ilahi. Janji yang dicanang tuhan diharap dapat membekas dihati untuk melunasi detik ramadhan dengan begitu bersemangat walaupun persekitaran dan rakan sebaya seperti besi berani negatif yang menolak kita untuk menjadi pasif dan malas, Moga sifat pentingkan diri untuk masuk syurga ini mampu menepis dan menyatakan jelas kalimah TIDAK kepada segala maksiat dan taulan yang alpa sebegini.

moga ramadhan melebarkan kemuliaannya juga buat kita.

Tapi, tengahari tadi aku mengacah beberapa orang pelajar pintar dikelas yang dianggap elit itu dengan soalan aku kehilangan wajah2 reamaja disurau senja ramadhan kali ini. Aku melunasi tanggungjawabku mengimami solat dipermukiman alma bukit mertajam ini dua kali minggu ini, namun hampanya perjalananku meredah lebuhraya untuk melihat wajah genit dan tenang para pelajarku menyusun saf disurau berdekatan rumah mereka tidak kesampaian. Aku kehilangan mereka, hanya wajah2 penuh garisan pengalaman dan kedutan usia menjadi tatapanku kala itu.

Lalu aku bertanya: Dimanakah kalian pelajarku ?? Dimanakah kalian solat berjemaah terawih ? Berapa rakaatkah yang kalian tunaikan untuk sama mendapat kemulian Ramadahn ini.

Kawan, tahukah apa jawapan yang aku perolehi dari anak2 didikku berstatus elit ini. Tiga daripadanya mengaku hanya berada dirumah dan tidak mengunjungi surau untuk berterawih, malahan kesempatan yang ada dirumah juga gagal diterjemahkan untuk menjadi dua raakt terawih sekalipun.

Ada yang beralasan, ayah bekerja dan tidak dapat membawanya bersama ke surau. Agaknya ia mungkin alasan ampuh untuk pelajar yang berusia 6 tahun, namun jika diungkapkan remaja berusia 16 tahun ianya menjadi satu nada sumbang yang amat mengecewakan hatiku.

Dan ada yang berkata, ayah selalu berjemaah disurau tapi tidak membawa saya bersama. Hanya alasan yang menghiris hatiku melihat generasi kecilku kini terabai dengan golongan tua yang tiada ilmu meng"agama"kan keluarga.

Hanya satu jawapan yang mungkin menyejukkan sedikit perasaanku kawan...  antara 4 orang dialah yang terbaik, saya sempat kerjakan terawih 4 rakaat sahaja lepas tu saya bersama kawan meliepak dan meronda mengukur jalan kampung yang saban tahun dilaluinya jawabnya jujur.

4 rakaat kawan !! jawab pelajar elitku ini.

Jawapan jujur anak muda alaf Y yang lebih mesra dengan teknologi dan kepantasan ini.

Jawapan terbaik dari rakan sebayanya.

Juga jawapan terbaik sebenarnya bagi mereka yang masih bertelingkah tentang jumlah terawih antara 8 dan 20. Kita punya tanggungkawab cukup besar untuk membawa mereka ke mihrab agama dan menjadi hamba allah dari bersengketa tanpa noktah di isu yang kalis muafakat ini.

Ramadhan kareem .... Ramadhan itu mulia.

Moga allah memuliakan kita yang sentiasa menghidupkan siang dan malamnya dengan ketakwaan.