Hey kawan,
Aroma Ramadhan semakin galak menyumbat deria hidu
kita di lelohong hidung dengan atmosfera baunya yang tersendiri. Ternyata ia
umpama hidangan hampir siap yang segera membangkitkan rasa keterujaan yang
bukan sedikit, Bukan sahaja deria rasa kita yang terpana kekaguman, bahkan
deria lihat kita juga mencongak rasional kelazatan dan keistimewaan hidangan
ini yang semakin siap untuk dihidang dan dinikmati. Jika semalam kita sudah
menyambut nisfu syaabannya, ini bermakna hidangan ramadhan sedang semakin masak
di ketuhar masanya.
Aaaah, jika aku ada umur yang panjang kawan.
Kuharap agar dapat bertamu sekali lagi didada Ramadhan kali ini. Ramadhan yang
diberkati dan dan didambakan oleh setiap insan yang bergelar mukmin.Aku rindu
untuk bersimpuh menyimpul doa, aku giur untuk memintal munajat penuh
pengharapan, dan yang terutamanya aku amat ingin memancing makbul untuk terus
membuat perubahan kearah sisi tulus dalam beribadah. Aku mahu ianya menjadi
reality bukan sahaja pada malam qadarnya tapi ianya mampu memjelmakan hidupku,
siangku, malamku untuk menjadi kemuliaan qadar hidupku nanti. Hidup sebagai
hamba yang diakui tuhannya.
Aduh, aku rasa aku sudah mendiami daerah baru ini
sejak setahun yang lalu. Menyulam bicara didik untuk anak bumi tercinta dan menyantun
warga rumah berkah sesekali di hujung usia senja. Aku seperti betah dan serasi
dengan kehidupannku sekarang, tenang dari menunjal pedal mengharung aspal ke
destinasi rutin setiap hari, lega dari disimbah ludahan hon dan percikan alam
disubuh dingin, aku sebenarnya telah berpindah tempat kerjaku ke daerah baru.
Daerah yang menghijau dengan sawah semangatnya, dan terus mekar menguning azam
dan menuai kejayaaannya. Aku sekarang berkhidmat di SMK Permatang Tok Jaya. . .
Maafkan aku, kerana lupa menitip berita untuk
kalian… bahkan yang sebenarnya aku sedang mengedit data buat mengisi cip memori
travelogku. Mungkin buat tatapan ku sendiri jika usiaku sudah hanya membilang
hari. Buatku tersenyum, buatku tenang . . dan buatku terus bersyukur kerana
pernah berpeluang hidup dengan skrip ilahi ini. . . Aku redha. .
Tanpa suntingan, aku pamerkan untuk kalian . . . .
villa didikku yang baru :
SMK PERMATANG
TOK JAYA
SEJARAH SEKOLAH
Sebelum Perang Dunia Pertama, seorang pendekar Jawa bernama Kerma Wijaya
telah tiba di sini dan mendapati tempat ini sangaT sesuai untuk didiami. Beliau
telah meneroka hutan di sini dan diganti dengan sawah padi serta dusun.
Kerma Wijaya telah berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan
beberapa anak. Penduduk kampung mengenali beliau sebagai Tok Jaya dan tempat
ini dinamakan sempena nama tersebut. Sekolah ini pula adalah sempena nama
kampung ini.
Penubuhan Sekolah Menengah Permatang Tok jaya telah
diusahakan oleh YB Datuk Seri Mohd Shariff bin Hj. Omar, Ahli Parlimen Tasek
Gelugor memandangkan ketiadaan sebuah sekolah menengah bagi
pelajar-pelajar di kawasan Permatang Tok Jaya. Sebelum ini semua pelajar
menengah terpaksa ke sekolah menengah di Telok Air Tawar atau Kepala Batas yang
jaraknya dalah jauh. Sekolah yang dibina di atas kawasan seluas 13 ekar ini
telah mula dibina pada tahun 1992.
Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya
telah dibuka untuk pengambilan pelajar pada tahun 1995. Pengambilan
pelajar adalah dari sekolah rendah berdekatan seperti SK Permatang Tok
Jaya, SK Permatang Binjai dan SK Sungai Puyu. Pada tahun penubuhannya sekolah
ini mempunyai 6 kelas iaitu 4 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan2. Pada
masa tersebut bangunan sekolah terdiri daripada 3 blok tiga tingkat bangunan
akademik, 1 blok tiga tingkat makmal sains, dan 1 blok 2 tingkat bengkel
Kemahiran Hidup. Terdapat juga sebuah bengkel Sains Pertanian. Penyelaras
sekolah pada ketika itu ialah En. Mat Kamil bin Sudin berserta 10 orang
guru.pada 2hb Oktober 1995 sekolah ini telah diserahkan secara rasmi oleh
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ketika itu, Tn. Hj Ibrahim Said. Pengetua
pertama sekolah ini ialah Tn. Hj Mohd Azli bin Mohamad. Beliau telah berkhidmat
di sekolah ini sehingga 5 Jun 1998.
Pada tahun 2000Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran
telah dibuka di sekolah ini. Terdapat hanya 1 kelas pada peringkat awal
pengenalan program ini dengan 3 pelajar. Pada tahun berkenaan juga pembninaan 2
blok akademik yang baru serta pembinaan 2 blok bangunan asrama, rumah warden
dan dewan makan telah dimulakan. Bangunan-bangunan tersebut telah siap pada
penghujung 2002. Bangunan asrama mempunyai kapasiti 400 orang pelajar dan
pengambilan pertama ialah pada tahun 2002.
Pada tahun 2003 sekolah ini telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk memulakan Program Model Khas. Konsep Model Khas ini ialah
menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung. Pendidikan
rendah berkenaan ialah di peringkat Tahap II iaitu Tahun 4, 5 dan 6. Semua
pelajar tahap II ini tinggal di asrama bersama pelajar menengah yang lain.
Sehingga awal
2007 terdapat sebanyak 38 kelas di sekolah ini. 28 darinya adalah kelas
menengah biasa dari Tingkatan 1 hingga 5, 6 kelas pada Tahap II Rendah iaitu
dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dan 4 kelas Pendidikan Khas. Antara program penting
di sekolah ini ialah Kelas Aliran Agama. Jumlah pelajar pula telah mencecah
1100 orang pelajar.