Saturday, July 31, 2010

Islam Menganjingkan Wanita ?

Betulkah Islam mendiskriminasikan perempuan? Soalan seorang pelajar berbangsa cina membahang cuping telinga saya.

Terik matahari tengahari tadi memancar tepat diubun kepala, usai rutin harian mengajar dan bersolat zohor berjemaah, saya membilang anak tangga ke bilik saya di tingkat 3 untuk mengambil peralatan pulang ke pangkuan keluarga.

Di pertengahan pendakian saya disapa mesra seorang pelajar Cina yang saya kenali, beliau memang suka mengajukan soalan maut pada saya, walaupun beliau bukan pelajar yang berada dibawah pengawasan kelas saya. Saya suka bertemu dan menguliti tingkah pemikiran dan jalur soalan yang dikemukakan, entah mengapa saya seolah teruja mendepani setiap soalannya dengan dada terbuka yang penuh debaran.

Betulkah ustaz ? Islam menzalimi wanita. Saya membaca di artikel, Islam menghalang wanita belajar dan di Saudi Arabia contohnya, para wanita dihalang memiliki lessen memandu. Saya tersenyum mengunyah soalan nakal kebudakan yang pastinya dihadam mentah dari komentar dan tulisan memburukkan islam yang ditulis orientalis. Hala tuju soalannya mengakar dari tembakan curi yang sengaja direka untuk membusukkan imej agama mulia ini.

Saya cuba berhujah spontan, islam adalah agama yang memuliakan wanita, bahkan mengangkatnya ke mercu kemuliaan setelah sekian lama diperhambakan dan diabdikan dalam pendiskriminasian seksual dan pengilangan anak sahaja.

Tapi ustaz, dalam artikel itu menulis, al quran sebagai kitab suci islam sendiri menyuruh lelaki untuk tidak menghormati wanita, bahkan diminta kepada suami untuk sentiasa menangani isteri dengan pukulan dan penghinaan… Ujarnya lagi dengan satu provokasi terpimpin.



Saya menyukai pelajar ini, biarlah saya namakannya dengan AH SAW, dia bukan seorang tin kosong dan berdebat mencari hebat, beliau bertanya dalam nada ingin tahu dan mahu. Persoalannya senantiasa disandarkan pada maklumat dan pembacaan, soalannya berputar antara sisi putih dan hitamnya Islam. Dan kagum saya bertambah bila beliau pernah tegas menyatakan pada saya, Saya bercita2 menjadi seorang FATHER dan agamawan yang suka mencari kebenaran dan mendidik masyarakat.

Untuk itu, ustaz terpaksa perhalusinya lagi, ayat al quran yang manakah yang menyebutnya. Soal saya menguji.. Maaf ustaz,memang ada tertulis dalam artikel tersebut tapi saya tak ingat, mungkin nanti saya rujuki ustaz dengan maklumatnya, fasih dia berbahasa melayu sementelahan juga beliau terpilih antara wakil sekolah sebagai peserta debat bahasa melayu hingga ke peringkat separuh akhir.

Dan pada pengamatan ustaz, ada ayat al quran yang menyebutnya begitu, tapi pukulannya bukanlah penderaan atau kecederaan. Dan tujuan islam meletakkan suruhan memukul pula terdapat sebab dan alasannya.

Ayat tersebut berkenaan langkah islam mengatasi masalah dalam rumahtangga, ianya melibatkan isteri yang derhaka dan curang dalam islam. Islam menggariskan 3 langkah mengatasinya dengan memberi nasihat, mengasingkan tempat tidur dan yang terakhir memukulnya dengan cara mendidik bukan mencederakan, maka suami perlu mengelakkan tempat2 sensitif yang mudah menimbulkan kecederaan pada isteri. Bahagian muka, perut, kemaluan dan sebagainya adalah kawasan fizikal yang dilarang pukulannya. Kalau tak berjaya macamana ustaz…?

Kalau gagal, mereka akan dipanggil orang tengah dari keluarga terdekat untuk membantu memulihkan hubungan rumahtangga mereka, mungkin nasihat dan pandangan dari orang yang lebih tua dan berpengalaman boleh membantu, dan jika sekiranya gagal, islam membenarkan perkahwinan itu dibubarkan dan suami atau isteri berhak mencari pasangan mereka yang lebih cocok dan bahagia dikemudian hari.

Tapi dalam kristian, tak ada tindakan sebegitu ustaz… Ah Saw menyampuk. Jadi apa tindakan kristian jika ada isteri yang curang sebegitu yang boleh merosakkan keluarga, ujar saya memerangkapnya. Kami akan bawakannya kepada kauseling, menasihatinya dan menasihatinya.

Kalau proses nasihat tidak berjaya, apa yang akan dilakukan…? Tanya saya lagi. Kalau tak Berjaya, nasihat lagi… dan jika gagal juga,biarkan sahaja dan bubarkan perkahwinan.

Tapi bukankah mengikut ajaran kristian, perceraian mesti dielakkan sama sekali, perkahwinan bagi mereka hanya sekali dan kekal, jika hubungan tidak berjaya mereka perlu teruskan jua tanpa perceraian, jika bercerai sekalipun mereka tak layak untuk hubungan kahwin kali kedua… bukankah begitu. Mudah saya melihat Ah saw menggangguk kerana anutan Katholiknya yang saya tahu memang mengajarkannya sebegitu.

Dan masa yang terhad sebegitu, saya manfaatkan sepenuhnya dengan membuktikan kewajaran Islam sebagai sebuah agama ilahi, amalan dan penguatkuasaan undang2 yang bersalahan dengan ajaran agama tidak boleh dinilai memburukkan Islam. Ianya juga mungkin dinilai bersesuain dengan pandangan masyarakat setempat.



Kerana itu jika Saudi tidak membenarkan,(itupun jika benar asas soalannya dan amalan disana yang saya tidak ketahui kesahihannya), ia mungkin berdasarkan adat dan budaya setempat yang kebiasaaan pemandunya adalah lelaki. Tapi tidak dinegara kita Malaysia, bukan disini juga ramai yang menganut islam, para wanita tidak pernah merungut untuk mendapatkan lessen memandu mereka.

Dan hujung pertemuan itu, saya sinari galak mata Ah Saw menelan ufuk pemikiran baru kedalam info toleransi beragamanya.

Namun… esoknya dia datang lagi, seperti biasa soalannya tak terduga sebagaimana pertemuannya juga tiada temujanji yang termeterai. Ustaz, saya terbaca ada hadis rasulullah pula yang menyamakan wanita seperti anjing… benarkah begitu ??

Friday, July 30, 2010

Ikon Imam Muda



KUALA LUMPUR: Rezeki menyebelahi Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, apabila dinobatkan juara Imam Muda pada pertandingan akhir di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, malam tadi.
Graduan Usuluddin dan Fikah Universiti Malaya (UM) itu menewaskan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, untuk merebut gelaran pertama Imam Muda.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Asyraf menerima insentif berbentuk tawaran sebagai Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Muhammad Asyraf juga menerima biasiswa pakej Berlian pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU), sebuah kereta Proton model Exora, pakej menunaikan ibadat haji, pakej umrah, pakej percutian ke Bandung selama empat hari dan tiga malam serta pakej perabot jati bernilai RM10,000.

Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya ialah pakej spa Maghribi untuk seorang, wang tunai RM20,000, sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, sebuah iPhone 3G, trofi Imam Muda serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI.

Muhammad Asyraf ketika berucap sebaik menerima hadiah kemenangan mengucapkan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, rakan-rakan dan penyokong yang mendoakan kejayaannya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Astro, guru-guru, JAWI dan tenaga pengajar yang tidak kedekut ilmu, mursyid (mentor), mudir (pengetua), penonton dan wartawan yang menyebar luas (program Imam Muda).

“Hanya Allah SWT membalas jasa dan semoga kita bertemu pada program Imam Muda tahun depan,” katanya yang pernah berkongsi misinya mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kerjaya imam hanya tertumpu di masjid dan majlis tertentu saja, sedangkan ia lebih meluas.

Naib juara, Hizbur Rahman pula membawa pulang biasiswa pakej Emas pengajian ke MEDIU, wang tunai RM15,000, trofi Imam Muda, iPhone, komputer riba, sijil penyertaan, kad pentauliahan diiktiraf JAWI dan beberapa hadiah menarik lain.

Turut diumumkan sebagai kejutan ialah hadiah tawaran biasiswa pakej Perak melanjutkan pengajian ke MEDIU kepada lapan peserta Imam Muda lain. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung, sebuah Iphone, trofi dan sijil penyertaan.

Lapan peserta yang dimaksudkan itu ialah Sharafuddin Suaut, Ahmad Syakir Zamri, Amiril Md Banin, Nik Muhammad Adib Md Amin, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, Nuri Ali Arbain, Ahmad Hazran Ahmad Kamal dan Mohd Taufek Mohd.

Bagi cabaran akhir, Muhammad Asyraf dan Hizbur Rahman dikehendaki menyampaikan tazkirah, mengaji Al-Quran secara bertaranum, menyanyikan lagu zikir dan menjawab soalan berkisar hukum agama Islam secara spontan.

Segala aspek pemarkahan dan penilaian diadili Tuan Pengetua yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz. Beliau dibantu dua Mentor, Shahrizan Daud dan Syed Norhisyam Al Idrus, manakala Dzulkarnain Hamzah pula sebagai hos.

Imam Muda yang disiarkan Astro Oasis selama 10 minggu mencipta fenomena tersendiri biarpun kali pertama diterbitkan. Program realiti ini juga mencatat sejarah kerana mendapat liputan media antarabangsa.



INFO

Finalis Imam Muda

Nama Penuh: Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26
Asal: Pulau Pinang
Tarikh Lahir: 12 Februari 1984
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Imam
Nama Isteri: Nurhusna Yusof, 23
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah, Universiti Malaya
Menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Syariah di UM


Nama Penuh: Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27
Asal: Baling, Kedah
Tarikh Lahir: 1 April 1983
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Guru Tahfiz
Pendidikan: Sarjana Muda Syariah (Tahun Akhir), Universiti Al-Azhar, Mesir
Nama Isteri: Liliyana Hasanah Yudi, 23

Salman Mencari Hidayah (2)

Dibawah lembayung cahaya

Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya.

Belum pernah kulihat orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.

Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, “Wahai Bapak! Kepada siapa Bapak mempercayakanku seandainya Bapak meninggal. Dan dengan siapa aku ha rus berguru sepeninggal Bapak?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!”



Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah me ninggal itu.
Kata pendeta Mosul, “Tinggailah bersama saya.”

Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya, “Sebagaimana Bapak ketahui, mungkin ajal Bapak sudah dekat. Kepada siapa Bapak dapat mempercayakan ku seandainya Bapak sudah tak ada?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!”

Amanah Keimanan

Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, “Tinggallah bersama kami!”

Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar kepadanya sampai dia wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, “Bapak sudah tahu perihalku Maka kepada siapa Bapak dapat mempercayakanku seandainya Bapak meninggal?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria. Hubungilah dia!”
Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.
Katanya, “Tinggallah bersama kami!

Dengan petunjuknya, aku tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, “Anda sudah tahu urusanku. Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayakan seandainya Anda meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?”

Katanya, “Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim. Kemudian dia akan pindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat cap kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!”

Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu serombongan saudagar Arab dan kabilah “kalb” lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, “Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku.”
Jawab mereka, “Baiklah! Kami bawa engkau ke sana.”



Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual mereka kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai budak belian. Pada suatu hari anak paman majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya kepada majikanku. Aku pindah dengan majikanku yang baru ini ke Yatsrib. Di sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.

Mencari Nabi

Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi beliau masih berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran serta da’wah yang beliau 1ancarkan kerana aku selalu sibuk dengan tugasku sebagai budak. Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah pindah ke Yatsrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak pamannya mengatakan, “Biar mampus Bani Qaiah! Demi Allah! Sekarang mereka berkumpul di Quba’ menyambut kedatangan laki-laki dari Makkah yang menda’wahkan dirinya Nabi.”
Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku bisa menimpa ma
1) Wadil Qura, sebuah lembah antara Madinah dan Syam.
2) Bani Qailah, iaitu kabilah Aus dan Khazraj
jikanku. Aku segera turun dari puncak ponon, lalu bertanya kepada tamu itu, “Apa kabar ANda? Cobalah kabarkan kembali kepadaku!”
Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, “Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!”

Besok kuambil buah kurma seberapa yang dapat kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah.

Kataku “Aku tahu Anda orang saleh. Anda datang bersama-sama sahabat Anda sebagai perantau Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekah bagi Anda. Aku lihat Andalah yang lebih berhak menerimanya daripada yang lain-lain.” Lalu aku sodorkan kurma itu kehadapannya.

Beliau berkata kepada para sahabatnya, “silakan kalian makan,…!” Tetapi beliau tidak menyentuh sedikit juga makanan itu apalagi untuk memakannya.
Aku berkata dalam hati, “Inilah satu di antara ciri cirinya!”

Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang dapat kukumpulkan. Ketika Rasulullah pindah dari Quba’ ke Madinah, kubawa kurma itu kepada beliau.
Kataku, “Aku lihat Anda tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk Anda.”
Rasulullah memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan beliau mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengan dia. Kataku dalam hati, “ini ciri kedua!”

Kemudian kudatangi beliau di Baqi’, ketika beliau mengantarkan jenazah sahabat beliau untuk dimakamkan di sana. Aku melihat beliau memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada beliau, aku berjalan mengitari sambil menengok ke punggung beliau, untuk melihat cap kenabian yang dikatakan guruku. Agaknya beliau tahu maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti punggungnya, sehingga aku melihat dengan jelas cap kenabiannya.

Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku langsung menggumulnya, lalu kuciumi dia sambil menangis.
Tanya Rasulullah, “Bagaimana kabar Anda?”

Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat beliau. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.

Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.

Salman Mencari Hidayah (1)



Kisah yang menggetarkan hati, cerita yang memberi motivasi.

Santunilah adab para sahabat Nabi mencari kebenaran dan hidayah ilahi.

Sesuatu yang bukannya mudah tapi keazamannya dan pilihan Allah menjadikan segalanya dipermudahkan.

Tatapilah kisah ini melalui bicara dirinya sendiri :( Saya petik dari blog yang saya lupai jejaknya)

Kisah Hidayah

Marilah kita semak tatkala Salman menceritakan pengalamannya selama mengembara mencari agama yang hak itu. Dengan ingatannya yang kuat, ceritanya lebih lengkap, terperinci dan lebih terpercaya.

Pemuda Persia Mencari Iman

Kata Salman, “Saya pemuda Persia, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapak saya Kepala Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Saya adalah makhluk yang paling disayangi ayah sejak saya lahir. Kesayangan beliau semakin bertambah besar sejalan dengan pertumbuhan diri saya, sehingga kerana teramat sa yangnya, saya dipingitnya di rumah seperti anak gadis.

Saya membaktikan diri dalam agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsa saya). Saya diangkat menjadi penjaga api yang kami sembah, dengan tugas menjaga api itu supaya menyala siang malam dan agar jangan padam walau pun agak sejenak.

Ayahku memiliki perkebunan yang luas, dengan penghasilan yang besar pula. Kerana itu beliau mukim di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari bapak pulang ke desa untuk suatu urusan penting. Beliau berkata kepadaku, “Hai anakku! Bapak sekarang sangat sibuk. Kerana itu pergilah engkau mengurus perkebunan kita hari ini menggantikan Bapak’’

Aku pergi ke perkebunan kami. Dalam perjalanan ke sana aku melewati sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sermbahyang. Suara itu sangat me narik perhatianku.

Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapak di rumah, tidak boleh bergaul dengan siapa saja. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku masuk ke gereja itu untuk mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Setelah kuperhatikan, aku kagum dengan cara sembahyang mereka dan ingin masuk agamanya.

Kataku, “Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami. “Aku tidak beranjak dari gereja itu sampai petang. Sehingga aku tidak jadi pergi ke perkebunan.
Aku bertanya kepada mereka, “Dari mana asal agama ini?”
“Dari Syam (Syria),” jawab mereka.

Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapak menanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.

Jawabku, “Wahai, Bapak! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku senantiasa berada di gereja mereka sampai petang.”
Bapak memperingatkanku akan perubatanku itu. Katanya, “Hai, anakku! Agama Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!”
Jawabku, “Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita.”

Dari bakaran api kepada silauan cahaya

Bapak kuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anut. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.
Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada mereka, bila ada kafilah yang hendak pergi ke Syam supaya memberi tahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka memberitahu kepadaku. Maka kuputus rantai yang membelenggu kakiku sehingga aku bebas. Lalu aku pergi bersama-sama kafilah itu ke Syam.

Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, “Siapa kepala agama Nasrani di sini?”
“Uskup yang menjaga “jawab mereka.

Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, “Aku tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan Anda sambil belajar agama dan sembahyang bersama-sama Anda.”
‘Masuklah!” kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.

Belum begitu lama aku membaktikan diri kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan jama’ahnya bersedekah dan mendorong ummatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul tangan Uskup, disimpannya saja dalam perbendaharaannya tidak dibagi-bagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya telah menumpuk sebanyak tujuh peti emas. Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang memperkaya diri sendiri itu. Tidak lama kemudian iapun meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak mengu burkannya.

Aku berkata kepada mereka, ‘Pendeta kalian ini orang jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada fakir miskin.”

Tanya mereka, “Bagaimana kamu tahu demikian?” Jawabku, “Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya.”
Kata mereka, “Ya, tunjukkanlah kepada kami!”

Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, “Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!”

Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan batu.

Wednesday, July 28, 2010

Menjana Imam Muda Berketrampilan

2 finalis Imam Muda dapat tawaran Universiti Madinah
2010/07/27

SHAH ALAM: Dua finalis rancangan realiti Astro Oasis, Imam Muda bertuah apabila Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menawarkan tajaan pendidikan sepenuhnya kepada mereka untuk menyambung pelajaran di situ.

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, dan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, bukan saja ditawarkan biasiswa pendidikan, malah mereka boleh memilih bidang pengajian yang diminati pada peringkat sarjana.Ia diumumkan Ketua Pengarah Yayasan Antarabangsa Al-Madinah, Bahrudin A Rahman di sini, semalam sempena kunjungan kedua-dua Imam Muda berkenaan ke kampus MEDIU, di sini.



Muhammad Asyraf ketika ditemui berkata, beliau berbesar hati selepas ditawarkan pengajian percuma di MEDIU dan berharap dapat memanfatkan sepenuhnya ilmu yang diperolehi.

“Saya gembira kerana sampai ke peringkat ini. Pengalaman sepanjang program akan dimanfaatkan sepenuhnya pada masa depan dan pertandingan ini adalah satu batu loncatan untuk merapatkan diri dengan masyarakat,” katanya.

Hizbur Rahman pula berkata, rancangan realiti berunsurkan keagamaan itu memberikan pengalaman baru yang tidak pernah terlintas di fikirannya.“Saya buat perkara yang tidak pernah dilakukan selama ini dan banyak perkara baru dipelajari.“Pada peringkat awal pertandingan, saya selalu nasihatkan diri sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.


Alhamdulillah, kalungan tahniah dan sepanduk penghargaan saya rentangkan kepada 2 Finalis sulung program Imam Muda ini, sewajarnya mereka dihormati dan diberi sokongan dalam membina personality ikon yang sewajarnya ditiru.

Sempat saya menghadiri satu ceramah yang dinamakan sembang2 agama bersama finalis imam muda Sdr Muhammad Asyraf pada sabtu lalu di masjid Sg Gelugor, pulau pinang, rupanya beliau merupakan anak tempatan berasal dari kariah tersebut. Lalu bagai sirih pulang ke gagang, kehadirannya ditunggu oleh ratusan audiens yang ingin mendengar dan melihat secara dekat personality agamawan yang muda ini beraksi.

Dan beliau yang akhirnya diumumkan keesokannya sebagai finalis menghabiskan masa hampir sejam untuk berceloteh dan bertukar pandangan, beliau lebih banyak memberi komentar berkaitan rancangan reality imam muda ini dan juga wawasannya memberi imej baik pada agama.

Walaupun bersandar didahan rapuh pada peringkat awal. Maklumlah program keagamaan pastinya akan dilabel lapuk dan boring oleh kebanyakan orang, ianya berlaku sebaliknya apabila ratingnya semakin mencanak dan mendapat liputan dari media luar Negara yang teruja dengan kreativiti dan pemikiran luar kotak dalam mempromosi islam ini kemata masyarakat.

Mungkin masih ada money value dalam rancangan reality seumpama ini, namun manfaat memperagakan keindahan islam dan agen2nya yang baik tidak boleh dibiarkan sepi. Maka kesungguhan mereka yang berkhidmat dibalik tabir dan merencanakan agenda murni ini patut dipuji sewajarnya.

Saya berandaian agar program ini mungkinditeruskan ke siri2 yang seterusnya, ianya amat positif untuk mengetengahkan ikon2 agama yang baik untuk menjadi rujukan dan teladan kepada masyarakat.

Dan resmi agamawan yang soleh dan baik, kita bukan inginkan pertandingan, tetapi kita menginginkan dari rancangan seperti ini dapat melahirkan lebih ramai golongan muda yang akan menjadi pelapis agama kepada generasi umat pada hari ini. Dan kita akan sentiasa mendoakan agar akan ada para imam2 muda yang lebih baik dari kita pada masa2 yang akan datang.

Kita diberi nama imam muda, tapi tujuan kita bukannya hendak mencantas kedudukan imam tua, tapi kita hendak pastikan gandingan imam tua dan muda ini mampu memberikan pulangan hasil terbaik kepada masyarakat, umpama durian tua yang berdiri disebelahnya pohon durian muda, hasil buahnya dinikmati bersama dan keenakannya akan dipuji kepada kedua2 pokok tersebut ujar IMAM MUDA ASYRAF menamatkan bicara agamanya di malam itu sambil lensa2 kamera dari jurugambar astro berkemilauan dimasjid serba aktif ini pada malam itu.

Moga allah mempermudahkan.

Inspirasi warisan guruku.

Inspirasi warisan guruku.

Sessungguhnya sang singa tidak akan melahirkan anak kecuali singa juga.



Guru yang baik ialah guru yang memotivasikan, memberi teladan, membuka ufuk perubahan, menjana wawasan dan berjaya memanipulasikan fitrah keinsanan kearah kebaikan.

Terasa hati masih ingin berbicara tentang sang murabbi ini.

Beberapa perkara positif yang terletak elok pada personality dan ragam pendekatan ilmu dan tarbiahnya yang saya kutip sepanjang mendampinginya ialah :

1. Sentiasa bersifat tenang dan mesra masyarakat. Beliau seorang insan yang senang di dekati walau title DR yang disandang penuh izzahnya, ia tidak ernah menghalangnya dari terus bergulat dengan kelas pengajian, solat berjemaah dan apatah lagi koloni pelajarnya.

2. Mengingati nama setiap pelajar dan kenalannya. Sesuatu perkara yang tidak diragui, beliau mempunyai ingatan luarbiasa terhadap pengenalan diri setiap pelajarnya, walau saban tahun bilangan penuntut melayu bertambah. Beliau tidak pernah kekok dan tersasul dari mengingati setiap nama pelik pelajarnya yang berimejkan melayu. Apatah lagi kewujudan nama2 pelik pelajarnya yang berbilang bangsa dan Negara ini langsung tidak menggugat keupayaan ingatan taarufnya yang begitu kuat, dan kala itu kumpulan kami terdiri dari jalur pelajar yang pelbagai termasuk dari Albania, Rusia, Ghana, Algeria, Cina, Oman dan lain2 lagi termasuk pelajar melayu yang dominant pada awal penubuhan universiti ini.

3. Kekuatan semangat ilmu dan pengorbanan mendidik. Tiada siapa yang akan berani menyangkal, ketulusan dan komitmen ilmunya menjadikan beliau adalah pensyarah yang terbanyak memberikan kuliah dan kelas bimbingan TANPA IMBUHAN. Sebutlah apa sahaja cabang keilmuan dan dataran mana yang mempunyai insane yang ingin belajar,nescaya beliau akan bersimpuh memenuhi undangan menyampaikan tarbiyah dan didikan.

4. Kemuliaan Tawadduk dan Ukhuwwah. Saya menyaksikan seorang insane yang begitu tenang kehidupannya, kedudukannya tidak pernah melupakan tujuan asal keilmuaanya untuk mengajar dan mendidik, beliau tidak pernah kelihatan sibuk memenuhi syarat2 untuk naik pangkat, mencari imbuhan tambahan dan mengampu pentadbiran. Beliau seorang yang cukup sederhana. Tidak hairanlah selama 5 tahun permusafiran kami, beliau sanggup menjelajah dari rumah kerumah pelajar melayu untuk membentangkan ilmu dan ufuk kefahaman islam yang maha indah.

5. Hidup dalam ketaatan. Memberi adalah identitinya, selain ilmu saya sentiasa melihatnya melayani sahabat2 sepensyarahnya dengan begitu baik sekali, dan akhirnya saya mengetahui, rutin mingguan beliau akan memanggil dan menjemput seorang pensyarah untuk makan dan mengunjungi rumahnya secara tetap. Tanpa apa rahsia yang tersembunyi, beliau adalah rakan yang begitu terbuka dan memahami.

6. Bibir yang penuh dengan senyuman dan jenaka ilmu. Tak kering ilmunya untuk dihamburkan kepada kami, walau dalam riak santai berbicara dan bejumpa, beliau sentiasa memberi nasihat, secara langsung dan tidak, nasihat yang bersadur ilmu yang pekat.

Dan ketika mengetahui kumpulan badge kami (Faujul Hussein) akan meninggalkan bumi Jordan tatkala tamat pengajian 5 tahun disana, beliau juga membuka langkah yang sama.

Yang tinggal hanya nostalgia yang kekal memberi inspirasi.

Monday, July 26, 2010

Rahmatilah Guruku Dr. Abd Qadir As Saadi.

Saya menerima email.

Kandungannya ialah gambar.

Sejuk mata memandang, terasa tangkai hati dipagut rindu, pijar seketika kolam rasa disimbah ingatan nostalgia silih berganti. Impaknya menimbulkan riak kasih yang tak keruan. Ombaknya resah memukul daratan kenangan.

Berbinar retina mata tanpa kelip, terasa teringin sekali memasuki ruangan 4 penjuru gambar yang terakam, kepingin sekali. Kalau lah ianya mungkin walau cuma seketika.

Tersenyum beliau didalam gambar, seperti selalunya dalam tenang dan jenakanya. Ramahnya sentiasa menyapa mesra setiap pelajar melayu disana.

Namun kali ini, gambarnya bersama pelajar melayu di Universiti Shariqah di Dubai, UAE setelah berpindah dari universiti kami yang penuh nostalgia Al-Al Bayt University. Salam dikirim melalui tinta teknologi , walau cuma gambar tidak bersuara, ianya menatijahkan pelbagai rasa.



Inilah gambar guru saya yang paling besar pengaruhnya dalam mendidik dan membentuk pemikiran saya masa kini.

Melaluinya kami anak2 musafir ilmu ini terasa terbela. Dengan tutur nasihat dan pengajaran, ianya lekas membekas dan menyusup meninggalkan kesan disanbubari.



Beliaulah Al Fadhil Dr. Abd Qadir As Saadi. Murabbi dan mursyid kami semasa di Jordan dahulu. Permukiman kami di balik sahara mafraq terasa terisi dan bermakna dengan kehadiran beliau.

Apatah lagi beliau sanggup berkongsi masa luar jadual pensyarahnya untuk mengajar kami tentang ilmu keagamaan samaada yang bersangkutan dengan bidang bahasa arab kepakaran dan specialistnya, mahupun bidang feqah syafei walaupun beliau merupakan seorang ulamak besar bermazhab hanafi.

Ditangannya lah kami sempat belajar dan menadah beberapa kitab utama agama sebelum kami pulang menjadi penyambung lidah ilmu ini ditengah masyarakat.

Antara kitab yang sempat diuliti bersamanya ialah Kitab Iqna’ Syarah Matan Abi Syujak, Kitab ar Rahabiah dalam cabang Faraid, Syarah Qatrun Nada dan kitab … yang diajarnya mingguan secara bergilir dari rumah kerumah pelajar Malaysia disekitar hayyu dhubbat sana.



Ternyata jiwanya besar, wawasan ilmunya jelas terserlah tanpa rasa ragu lagi.

Beliau amat disenangi rakan dan pelajar. Langsung tak terukir gelisahnya walaupun kondisi keluarganya di Iraq sana amat meruncing dan dihujung pengeboman dan kematian.

Moga Allah merahmatimu guru ku.

Ya Allah rahmatilah guruku Dr.Abd Qadir As Saadi, keluarganya dan sahabat2nya. Ya allah permudahkanlah segala urusannya, ganjarilah keluasaan ilmumu untuknya, berikanlah dia kekuatan untuk terus menabur ilmu dan khidmat demi agamamu. Amiin ya allah.

Inspirasi Tuan Guru

Berikut ialah petikan berita yang saya terima :

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi kondisi kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan banyak orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politisi, cendikiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai katagori muslim radikal.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan bersama lembaga Prince Alwaleed Bin Talal Center for Christian-Muslim Understanding ini disebutkan, tujuan diterbitkannya buku ini untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal luas di dunia internasional, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.



Berikut adalah Daftar 50 Tokoh dari Daftar 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia :

1. His Majesty King Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud, King of Saudi Arabia, Custodian of the Two Holy Mosques
2. His Eminence Grand Ayatollah Hajj Sayyid Ali Khamenei, Supreme Leader of the Islamic Republic of Iran
3. His Majesty King Mohammed VI, King of Morocco
4. His Majesty King Abdullah II bin Al Hussein, King of the Hashemite Kingdom of Jordan
5. His Excellency Recep Tayyip Erdogan, Prime Minister of the Republic of Turkey
6. His Majesty Sultan Qaboos bin Sa’id al Sa’id, Sultan of Oman
7. His Eminence Grand Ayatollah Sayyid Ali Hussein Sistani, Marja of the Hawza, Najaf
8. His Eminence Sheikh Al Azhar Dr Muhammad Sayyid Tantawi, Grand Sheikh of the Al Azhar University, Grand Imam of Al Azhar Mosque
9. Sheikh Dr Yusuf Qaradawi, Head of the International Union of Muslim Scholars
10. His Eminence Sheikh Dr Ali Goma’a, Grand Mufti of the Arab Republic of Egypt
11. His Eminence Sheikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Aal al Sheikh, Grand Mufti of the Kingdom of Saudi Arabia
12. Mohammad Mahdi Akef, Supreme Guide of the Muslim Brotherhood



Tersentuh syukur bilamana saya terlihat antara yang berada dalam senarai 50 orang pertama yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan ummah dewasa ini ialah seorang yang saya kagumi perwatakannya, yang saya santuni fikrah dan tutur bicaranya, yang saya hormati kesabaran dan usaha kerasnya, yang saya cuba teladani kezuhudan dan akhlaknya serta saya salami keikhlasan dan setia ibadatnya.

Dialah sumber inspirasi kepada ramai pencinta islam di Malaysia.

Apatah lagi, bagi kami anak gelandangan musafir yang berasal dari tanah serendah sekebun bunga dan serambi mekah ini, beliau merupakan (abu ruhi) atau bapa spiritual kami.

Ketulusannya mendidik dengan doa dan nasihat memberkati susur jalan kami.

Rasanya tiada yang jujur dari negeri kelantan ini kecuali akan mengakui kehebatan batang tubuh lelaki bertubuh kecil ini, azam dan personalitinya yang begitu besar mengatasi fizikal kecil dan kurus yang diwakafkan untuk menjadi hamba kepada tuhannya.

Dalam denai jalan yang berliku, sengaja dipilihnya untuk bedamping dengan kesusahan demi mengajak rakyat dan umat di kelantan bersama menyembah tuhan dan menjadi insane yang soleh. Bukan pada slogan tapi pada penghayatan diri yang sebenarnya.





Tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat : nama mujahid yang terus berseri dihati kami rakyat kelantan.

Dikaulah tuan guru kami dalam sunyi dan terang. Mengajar kami melihat dunia dengan pandangan abid yang beriman.

Dan melalui intipati ceramah dan kuliahnya lah, anak2 muda islam seperti saya terdidik dan terasuh untuk memahami islam dengan lebih baik. Bukan hanya dengan kata2, tapi sekujur tubuh dengan kudratnya terus dipertontonkan kepada ummah sebagai praktik amalan islam dan quran dalam kehidupan.

Inikah persis kata2 sahabat : kehidupannya umpama quran bergerak yang menunjuk jalan dan menanamkan sikap mulia.

Saturday, July 24, 2010

Didikan Berhikmah



Kehadiran Julai menyaksikan komitmen tugas makin berganda.

Tika inilah para guru dikejar untuk menghabiskan silibes pengajian yang masih berbaki. Bayangan peperiksaan percubaan dan ujian2 juga mula membentuk lembaga gergasi yang bersedia membaham mangsanya. Mungkin itulah bayangan para pelajar, namun bagi para guru ia bermakna timbunan tanggunjawab bermula lagi untuk menyediakan set soalan ujian yang standard dan bersedia pula menandanya nanti.

Pergerakan para pentaksir juga sudah mula dapat dihidu sekarang ini. Tugasan pemantauan dilakukan secara tersusun ke sekolah berdekatan yang diletakkan dibawah tanggungjawab masing2. Amanah tugasan PAFA dan hafazan juga perlu dibereskan segera. Sekurang2nya sebelum para pentaksir tiba atau sebelum guru data menagih amanah nanti.

Seminar dan bengkel teknik menjawab juga mula tumbuh seperti cendawan lepas hujan, para pelajar tidak lekang disogok saban minggu untuk melunasi kehadiran ke program ini. Saban minggu pasti ada tingakatan pelajar yang akan tercatuk di dewan sekolah menanti hamburan makanan ilmu peperiksaan yang di agihkan percuma buat mereka. Yang tinggal, hanyalah siapa yang ingin mematuk maklumatnya dan menghadamnya dalam azam persediaan yang mengenyangkan jiwa.

Mulai hari ini kita akan memulakan tugasan PAFA. Dan ustaz juga mahu menghafaz beberapa potong ayat al Quran SPM, setiap pelajar akan baca depan ustaz nanti.

Ayat hafazan tingkatan 4 dan 5 ada 6 petikan sahaja, ustaz harap ianya boleh dihafal dengan baik… ujar saya menggalakkan.

Banyaklah ustaz, tak de diskaun ke ??? celah seorang pelajar menagih simpati.

Baiklah ustaz akan pilih ayat utama yang perlu kamu hafaz, tiada diskaun kedua selepas ini, lalu saya memilih beberapa ayat wajib dan pilihan utama untuk kemungkinan ditanya dikertas peperiksaan sebebnar nanti.

Alah ustaz, susahlah…. Banyaklah….. terlalu panjanglah, kami tak boleh hafazlah ustaz, ngomelan pelajar mendengung ditelinga saya.

Adrenalin saya mula bertenaga, memijar semangatnya mengembara keseluruh urta tubuh, minda cekap memintas maklumat mencari respons segera pada kondisi negative sebegini.

Kelas… harap beri tumpuan, kamu tidak boleh mengatakan susah, ianya akan membebankan minda kamu, manusia adalah apa yang dia fikirkan.

Pernah tak kamu dengar kisah seorang tua bersama anaknya. Mereka berjalan sambil memerhatikan keindahan alam ilahi. mereka memuji tuhan dan mencari kebaikan dalam setiap hokum alam yang tercipta.

Mereka menongkah arus dan merentas denai. Banyak pengajaran yang dapat mereka ambil. Hinggalah mereka sampai ke sebuah kawasan pergunungan yang bergua.

Dengan hati2 mereka melangkah untuk tidak tersadung batu yang berselerakan.

Mungkin kurangnya pengalaman dan gopohnya perjalanan, si anak terpijak batu dan terjatuh kesakitan. Spontan bibirnya mengaduh dan memarahi batu dijalanan.

Bibirnya diketap sambil tangannya mengurut kaki yang terluka. Aduh sakitnya … kata si anak. Tiba2 satu suara disampingnya menyampuk perli…ADUH SAKITNYAAAAAA.

Bungkam si anak seketika, sakit kakinya menjadikan otaknya kurang waras seketika, keaduhannya diperlekihkan. Lalu dia mula bangun menyapa cabaran. Siapa tu… jangan mengata orang laa. Lalu sang suara sengaja menyimbah amarahnya ..SIAPA TUUUU, JANGAN MENGATA ORANG LAAAA….

Siapa kau , Kalau berani keluar laa.. cabar si anak yang mula kepanasan. Suara ejekan bergema lagi.. SIAPA KAUUU, KALAU BERANI KELUAR LAAAAA…

Si anak mula kerimasan, mencari senjata buat melepaskan gumpalan amarah yang terpendam.

Sabar, anakku. Si ayah mula berperanan, menepuk bahu anaknya yang tidak keruan.. Cuba kamu sebut perkataan ini, aku tak takut….. . jeritan anaknya selepas itu dibalas pujian. AKU TAK TAKUT ……. Terkedu si anak seketika.

Aku berani dan pandai……..si anak mula bereksperimen dan ianya disanggah positif AKU BERANI DAN PANDAI……. Dan akhirnya si anak berkata : Aku boleh dan akan menjadi budak yang bijak… lalu sang suara tanpa mengejek lagi terus mengajuk suaranya AKU BOLEH …..DAN AKAN MENJADI BUDAK YANG BIJAK……..

Berbunga seri diwajah comel si anak, siapakah itu ayah ?

Itulah suara yang dinamakan gema, ia akan mengajuk semua kata2 kita.
Ia umpama minda dan juga manusia diluar sana, sekiranya kita menggangap diri kita lemah, minda kita bahakan masyarakat akan memandang kelemahan kita. Tapi jika kita bangga dan berdiri yakin menepis cabaran dan halangan, minda kita dan komuniti juga akan bergerak positif memuji dan mengiakan pendirian kita…

Kita adalah apa yang kita fikirkan…

Fikirkanlah kamu boleh menghafaz, ianya sedikit, senang dan mudah….bahkan ianya berpahala untuk dijadikan bonus amalan kita nanti.

Reaksi pelajar spontan mengiakan dalam tunduk dan angguk.

Harapannya mereka mula memecahkan kepompong kemalasan dan mula berusaha.

Saya mengimpikan markah penuh dalam semua tugasan hafazan pelajar, sesuatu yang bukan mustahil kan….

Friday, July 23, 2010

Saingan Komitmen Pelajar

Meluncur deras kalimah alhamdulillah dari bibir saya tatkala melihat kehadiran AJK persatuan Islam di sekolah saya untuk bersama solat berjemaah. Ternyata komitmen mereka masih utuh walau ada juga yang terpaksa diketuk dan diperingatkan.

Buku Fadhilat Amal yang dihadiah dan berstatus WAKAF oleh seorang sahabat guru yang teruja dengan komitmen persatuan pelajar islam disini, kami baca dan telaahnya sebaik mungkin. Walau dalam jumlah yang mungkin masih minority, komitmen pelajar untuk menimba ilmu-ilmu agama juga terserlah. Nasihat agama yang dibacakan tentang solat misalnya, diulang-ulang sesame rakan untuk menjadi renungan dan obor sedar keinsafan.

Sayang … Cikgu Fairuz yang pada awalnya berstatus Guru Sandaran tidak terlatih, juga yang telah menghadiahkan buku itu kepada kami akhirnya berpindah menyambung Kursus KPLI yang lebih menjamin kerjayanya.

Diambang Ramadhan ini kami cuba gamatkan aktiviti, biarpun tahap kesibukan aktiviti persekolahan yang tingkah meningkah programnya berselang, kami celah dan selitkan perancangannya sebaik mungkin. Dalam celahan aktiviti sekolah dengan hari merentas desa, malam ko-kurikulum, hari unit beruniform dan lainnya, kami sempat merealisasikan satu KEM BESTARI (versi PMR) dan juga program ZIARAH DAKWAH bersama Bakti.

Lestarinya ia menjadi trademark satu program yang berjaya dan boleh dicontohi.

Namun …. tanpa sedar, saya rupanya telah membangkitkan amarah. Tanpa niat ada hati dalam persatuan yang terkilan, sekam jealous membara memarakkan api tersentuh perasaan.

Lalu… kemuncaknya ia dilahirkan dalam satu pertemuan, kami ajk Bakti pun mahukan program sekerap BALKIS, kami sanggup bersekang komitmen demi kelangsungan program terbaik bagi kami.

Dan ustaz ni, asyik tersasul sibuk BALKIS aje…… persatuan pelajar islam kat sini ialah BAKTI lah. Komen panas mereka mengusik cuping seketika. Saya hanya mampu tersenyum…

Insya allah, kita cuba laksanakan program sebaik mungkin. Bukan kuantiti aktiviti yang kita cari tapi kualitinya ya …. Ujar saya memujuk mereka. Harapannya, moga mereka memahami.

Tiba-tiba sayup mata saya menangkap tinta entry ini (diambil dari blog pimpinan pelajar saya, Hazmizal). Mungkin mereka mahu mula memahami !!

BAKTI VS BALKIS

Bakti merupakan Badan Kepimpinan dan Tarbiah Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier. Ianya ditubuhkan pada awal tahun ini. Semua pelajar islam di sekolah ini merupakan anggota Bakti...

Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan oleh Bakti pada tahun ini..
Antaranya Sambutan Maal Hijrah, Kem Ibadat sempena Maulidur Rasul, Pertandingan Poster [ Rasulullah S.A.W. Utusan Terakhir ] dan Sebagainya..



Semoga Bakti terus maju di kemuncaknya.....

Balkis merupakan badan yang telah ditubuhkan oleh ustaz Hafizullah di sekolah tempat dia mengajar di Sabah. Balkis sering menjadi ungkapan apabila ustaz berada bersama kami.. Ustaz cuba membawa Bakti seiring dan semaju Balkis..

Balkis menjadi kenangan yang terindah kepada Ustaz Hafizullah.



Apa-apa pun, Bakti masih baru dan kami mampu untuk bersaing secara sihat dengan Balkis..

Biarlah masa menjadi penentunya...

Thursday, July 22, 2010

Belenggu Kesepian

Lama saya mendekam dalam belenggu kebisuan, selama itu jugalah saya hanya mampu menjadi pemerhati kepada bicara teman seperjuangan di skrin blog. Rupanya sepi itu indah.

Dalam kesepian yang masih terasa di tangkai hati, terasa tangan turut kebas untuk mengetuk keyboard laptop ini. Idea seperti enggan untuk hadir dan beramah mesra seperti biasa. Mungkin pemergian ini agak mengejutkan, namun dalam rela hati dipaksa pasrah menurut kehendak takdir.

Benarlah tangisan itu penawar. Ia mengubati dan membaluti luka.

Kerana itu jugalah saya panjatkan pohonan doa, agar diri ini tidak membebankan orang lain. Dipanggil bersemuka tuhan dalam kudrat yang masih bersisa, tidak hanya mampu bersimpuh menyulitkan kehidupan insan yang lain,walaupun ia zuriat pinjaman tuhan sendiri.

Moga allah memanggil kita dalam damai dan tenang, diuji sedikit dengan sakit secubit masa, biar rakan dan kerabat terhidu berita, biar tangisan mampu kering di seka lengan, dan biar hati mampu pasrah menyapa takdir.

Ayuh kita pohon doa nabi : Ya allah jauhilah kami dari kemalangan dan bencana, jauhkan kami dari mati yang mengejutkan.

Moga allah memelihara kita.

Dalam bingkai hati yang masih berkaca, retina mata sentiasa cemas membaca khabar, masa berlalu tanpa menunggu, kehidupan perlu diteruskan. Blog harus terus diberi nafas entry.

Tapi jiwa kacau saya pula berserabut.

Entry apa seharusnya hadir selepas berita sedih musibah yang melanda.

Entahlah…..



Kepada sesiapa yang ingin membantu keluarga arwah Ust Nahar Mantamin, hulurkan doa anda untuknya, dan yang mahu membahu memberi bantuan kewangan anda, salurkanlah kepada akaun bersama :

Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Nashraf Ideen bin Nahar dan Norsidah binti Daris di nombor akaun : 100 160 202 535 15

Wednesday, July 14, 2010

Memoir Syahdu Mengiringi Pemergian Ust Nahar



Beberapa kata2 pilihan dari sahabat yang ingin saya kongsikan disini :

Abu Nuha : Tinta Pertama

Allahyarham adalah lulusan Universiti Jordan Amman dengan mengambil Kuliah Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usul sekitar tahun 1995 – 2001. Terdahulu beliau juga pernah belajar di Syria dan kembali ketika Perang Teluk.

Di JHEAINS, beliau pernah bertugas di Bahagian Dakwah, sebelum dipindahkan ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar antara tahun hingga Mei 2006 Oktober 2008. Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Wilayah & Masjid.

Beliau seorang yang sangat aktif dalam dunia dakwah khususnya di Sabah. Pelbagai usaha telah dijalankan beliau sepanjang hayatnya. Tidak keterlaluan saya menyebut bahawa umat Islam di Sabah kehilangan sebutir permata yang bernilai.

Tinta Kedua

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.

Tinta Ketiga

Tiada ucapan lain kecuali berharap semoga isteri – Kak Shida dan anak-anak beliau – Nasyraf, Najihah dan Naufal bersabar diatas ujian ini. Begitu juga para pendakwah dan pencintanya di Sabah, kita kehilangan seorang pendakwah muda yang gigih, yang namanya mulai harum di bumi Sabah. Mungkin saya tersilap, tetapi saya belum melihat seorang pendakwah muda yang komited dengan program dakwah dan dalam masa yang sama, berkecimpung dalam PAS di bumi Sabah sepertinya.

Ya, dengan izin Allah ada hikmah atas dugaan ini. Seperti ahli keluarga, sahabat dan kenalan beliau, saya turut mengalirkan air mata atas pemergiannya. Insya Allah beliau akan mendapat nikmat di sisi-Nya

Abu Awatif : Coretan Satu

Saya mengenali beliau semasa belajar di Jordan…Beliau orang rujukan kami semasa di sana…Kami berusrah dan menjalankan aktiviti dakwah di sana dan beliau merupakan salah seorang pemimpin kami di sana…Bagi orang-orang bujang beliau menjadi orang tengah bagi sahabat-sahabat yang ingin mencari pasangan…Empat tahun kami bersama di sana, pada masa itu anaknya Nasraf masih kecil…sekarang sudah 17 tahun…Begitu cepat masa berlalu…

Kemudian beliau dilantik sebagai Imam Masjid Negeri dan banyak program yang diadakan dan beliau melakar lanskap baru di masjid negeri…Aktiviti ziarah hospital, derma darah, program Qiamullail sepuluh malam terakhir, hari kemerdekaan dan ramai sahabat-sahabat yang dijemput untuk berkhutbah…sempat juga kami menjemput Ustaz Azhar, Ustaz Khairuddin dan Ustaz Zaharuddin pada zaman pentadbiran beliau…Syukbah Dakwah juga dapat melaksanakan pelbagai aktiviti…

Coretan Dua

Dari Surau Riayadussolihin penulis ke airport MAS untuk mengambil sahabat rapat Ustaz Nahar , Ustaz Shahrul Nizam yang sanggup datang dari Pahang…

Menurut ustaz Shahrul al-Marhum memberikan sumbangan yang sangat besar dalam hidupnya…Beliaulah yang meniup semangat perjuangan jihad dalam jiwanya melalui pengalaman peribadi Ustaz Nahar yang menyaksikan peristiwa Memali yang berlaku pada tahun 1986 dan peristiwa ini memang menjadi titik tolak dalam hidupnya untuk berjuang…Semasa pengkebumian syuhada’ Memali beliaulah yang memegang lampu untuk menyuluh mereka yang terkorban…Beliau juga menjadi pembimbing haji pada tahun 2000 dan Ustaz Shahrul bersama pelajar Amman menunaikan haji di bawah pimpinan beliau…Ketiganya Ustaz Nahar merupakan orang tua yang tidak pernah jemu dan penat membantu anak muda yang ingin berkahwin termasuklah ustaz Shahrul yang bertemu jodohnya dengan pertolongan Ustaz Nahar…

Sampai di rumah beliau, seperti di siang hari pengunjung tetap ramai…ahli-ahli usrah beliau, bekas Datuk Mufti Datuk Ismail Abbas dan anaknya Hj.Salman antara yang hadir…Semua yang menatap wajah Ustaz Nahar mengatakan WAJAHNYA KELIHATAN SENYUM, diharap pernyataan ini menjadi petanda baik bagi Ustaz Nahar…

Coretan Tiga

Begitu cepat jenazah al-Marhum di bawa ke tanah perkuburan…semoga perjalanan yang cepat ini menuju kepada rahmat Allah, semoga Allah menjadikan kuburnya satu taman dari taman-taman syurga…..diperkuburan ramai sekali para ulama, ustaz, pendakwah dan pencinta Islam yang datang dan semuanya menangis atas pemergian al-Marhum ustaz yang pemergiannya tidak disangka-sangka tetapi kami terima semua ini dengan hati yang reda…Allah lebih menyayanginya…suasa semakin sebak semasa imam memulakan tahlil…air mata keluar tanda sedih atas saat perpisahan ini…semasa menjirus air ke atas kuburan semakin kuat tangisan dari sahabat-sahabat sehebat air yang dijirus….

Pemergian Ustaz Nahar memang layak untuk ditangisi kerana kita kehilangan SEORANG ALIM, SEORANG PENDAKWAH, SEORANG AHLI POLITIK DAN SEORANG AHLI PERNIAGAAN seperti yang diungkapkan oleh seorang sahabat…

SEMOGA ALLAH MERAHMATI ROH USTAZ NAHAR…YA ALLAH AMPUNKAN SAUDARA KAMI, RAHMATILAH SAUDARA KAMI…

Kepada yang masih hidup teruskan perjuangan sebelum saat kita tiba pula bagaikan kata Saidina Umar:

“ Setiap hari dikatakan bahawa orang ini meninggal, orang itu meninggal dan satu hari orang akan kata Umar meninggal…”

AL-FATIHAH

Redha Allah Bersamamu Ust Nahar



Entah kalimat apa yang mampu saya coretkan disini bagi mengiringi pemergian seorang sahabat, guru dan pemimpin yang amat saya kasihi dan kagumi keperibadiannya.

Sebak dan pilu menghiris tangkai hati apatah lagi pemergiaannya tak mampu saya kongsikan dengan sesiapa di permusafiran ini. Apatah lagi berita perkhabaran pemergiaannya ke alam barzakh datang seumpama telegram tragis yang amat mengejutkan.

Saya menerima kunjungan sms yang pertamanya daripada saudara Haji Rahimin Surau Austral, dalam biusan patukan kejutan itu saya terus mendail nombor Ustaz Norazamuddin untuk mengesahkan beritanya , setelah segalanya pasti. Saya terkedu dalam kelam dan bungkam. Apalah hikmah tuhan disebalik pemergian ini ? Dan kemudiaanya menyusul pula beberapa sms lain yang meributkan beritanya.

Sedar dari lamunan, saya kongsikan beritanya bersama anak-anak didik di St. Xavier ini, sempat saya pamitkan pesanan al Fatihah bersama pelajar dan rafak doa untuk seorang saudara seislam yang lebih dahulu meninggalkan kita. Terasa kolam rasa tergenang air panas yang memijarkan emosi.

Beberapa hari saya tidak mampu untuk menulis, lirikan mata ini hanya mampu saya tatapkan pada skrin blog para sahabat yang memperincikan detik terakhir bersama Allahyarham. Blog Abu Awatif, Abu Nuha, al Belurani dan Blogger Sabah saya layari mencari kondisi beritanya. Ternyata para sahabat masih mampu mencoret rasa dan merakam situasi, walaupun saya tahu dan yakin berat tanggungan pilu dan bebanan pukulan musibah itu masih terasa, namun kemanisan dan keikhlasan berukhuwwah itu memudahkan segalanya.

Dalam longlai lesu tangan dan minda yang kehabisan auranya, hati seakan gian bercerita dan menghambur kata. Maka terubatlah jua rindu seorang rakan di kejauhan ini. Terima kasih.

Sunday, July 11, 2010

Noktah Piala Dunia

Pagi nanti, penamat segala debaran akan termuktamad jawapannya.

Manakah diantara dua pasukan yang akan melakar dan memahat nama Negara mereka sebaris dengan senarai nama pemenang piala dunia yang lain ? Ternyata keduanya belum pernah mengucup dan menjulang piala berprestij tersebut sebelum ini.

Piala yang menjadi keramat pujaan ramai akan ternoktah perjalanannya diawal pagi nanti.

Saya tidak ingin menjadi peramal, biarlah hanya PAUL si sotong kurita itu sahaja yang mendaki popularitinya sebagai peramal nasib terbaik dekad ini untuk menjalankan tugasnya. Hanya orang bodoh sahaja yang akan mempercayainya dan yang lebih bodoh dari itu ialah mereka yang mengambil inisiatif membooking perjudian diatas ramalannya. Dan yang lagi bodoh mereka yang terguling kerugian dan kebangkrapan atas kesilapan ramalannya.



Namun gerak hati saya lebih memilih SEPANYOL, adakah kerana mereka pasukan hebat yang bermain secara berpasukan lebih dari sekadar individuliastik dan pernah menjuarai piala eropah, atau kerana jentera dan kekuatan setiap posisi pasukannya bermula dari penjaga gawang, pertahanan, midfield dan serangannya amat seimbang dan serasi bersama, juga semangat juang tanpa jemu mereka yang begitu professional dan memiliki total football yang dicari dewasa kini….?

Semuanya mungkin ya, tapi nostalgia minda saya lebih INGIN mengatakan …. SEPANYOL pernah menjadi sebuah Negara Islam dizaman pemerintahan Abd rahman Ad Dakhil,lanjutan kerajaan Umawi yang masih bertahan tika itu dari pertembungan bersama kerajaan abbasiyah.

Dan elemen sejarah dan nostalgia itu saya pertaruhkan untuk memilih ANDALUSIA membawa watak protagonist islam menjuarai pentas dunia dalam kilauan lensa kemenangan.

Bersama Isabella menebar Dakwah

Fenomena Evergreen

Fenomena Isabella pernah satu ketika menjadi konflik jiwa muda mudi, percintaan dua darjat dan berlainan benua yang diangkat temanya oleh vokalis kumpulan SEARCH, Amy Search saat itu begitu luarbiasa dan pantas mendapat sambutan dan siulan hangat para remaja.

Ianya bukan sahaja mampu meruntun jiwa pendengarnya bahkan keunikan suara Amy itu akhirnya berjaya menembusi benteng pasaran Indonesia yang dikawal ketat sebelum ini hanya dengan band tempatan.

Lantas lagunya menjadi malar hijau dan diingati hingga ke hari ini.



Namun bagi saya Fenomena Isabella lebih unik dan mendahului masa lebih dari sekadar lagu.

Ianya mengabadikan pemikiran kudus keimanan tauhid kepada yang maha esa dalam masyarakat yang telah menjual dan mengubah kalam suci tuhan mereka.

Namanya yang disantun mulia bersama perawakan gadis suci dan menawan pernah mendapat julukan VIRGIN MARY satu ketika dulu, apatah lagi keazamannya menjunjung iman dan ilmu dalam pagar biara dan gedung khazanah bible menjadikannya begitu istimewa dan gemerlap sinarnya membias indah dari kalungan mutiara gadis-gadis biasa sebayanya.

Novel Islami

Itulah nama yang saya pernah kenal sebelum ini tentang Isabella, dan apabila sekali lagi saya memiliki naskah novel perbandingan antara agama ini, saya khusyuk menelaahnya.

Ianya ditulis dengan cerminan realiti dalam biasan konflik antara agama dan perbezaannya yang cuba dinukil untuk kita oleh penulisnya diawal kemenangan islam di Cordova, Sepanyol satu ketika dulu….. atau ianya mungkin lakaran imiginasi indah dan hidup oleh penulisnya yang hanya dikenali sebagai Maulana Muhammad Saeed Dehlvi.



Menggarapnya dalam bentuk novel sejarah dan penceritaannya yang bukan hanya sekadar dialog dan perdebatan, memberi maklumat luas untuk kita tanpa sedar dan terpimpin tentang kehebatan alQuran serta licik dan dangkalnya hujahan al kitab BIBLE dalam membimbing dan mengajari umat kristianya tentang agama dan ketuhanan.

Ditulis diperingkat awal dalam bahasa ibundanya urdu , ianya pantas disambar penerbitan Islam yang lain diseluruh dunia untuk diterjemah dan disebarkan.

Ciptaan Hidayah

Begitulah uniknya nama Isabella dan fenomena ciptaannya, mengisahkan seorang perawan anak Ketua paderi di cordova yang memilih iman berdasarkan neraca ilmu dan logic perdebatan. Ianya dihidu ciuman hiyah dan memimpinnya ke gerbang islam walau perlu bertembung dengan ancaman seksaan INKUISISI dan penghinaan sepanjang hayat.

Pertembungan iman ini menerbitkan kemuliaan peribadi yang kekal mengharum hingga ke hari ini. Saksikanlah keluhuran kata2 yang terbit dari hati yang telah disapa hidayah ini.(ms 192)
“ aku kini telah membebaskan diriku daripada semua fikiran yang bukan2, Allah telah menganugerahkan kepadaku nikmat Islam dan dia juga akan membimbing aku menjalani hari depanku dengan serta tidak akan mensia-siakan niat yang baik ini. Aku menemui ketenangan yang luarbiasa dari ayat al quran yang mengatakan : barangsiapa yang takut akan allah, maka allah akan menunujukkan kepadanya jalan keselamatan dan akan memberikan kepadanya rezeki dari tempat yang sama sekali tidak disangka-sangkanya”

Percikan iman terus membarakan tekad dan azam, bukan hanya sekadar perdebatan kosong bahkan penceritaan kisah terus berlangsung suspen dari awal ke klimaks penghujungnya, kecemerlangan penulis yang pastinya menguasai INJIL dan AL QURAN ini amat terserlah dalam olahan ayatnya yang merangkai menjadi dialog dan hujahan perdebatan.

Bermula dengan runtuhnya keegoan dan kelemahan hujah para paderi sanjungannya dan kemudiannya ayahnya menangkis soalan teologi yang diajukan serta tunduknya hujah para biarawan hanya dengan jawapan Tuhan lebih tahu dan mula beremosi dengan tuduhan jangan bersekongkol dengan syaitan menjadikan jiwa gadis yang terpelihara ini untuk nekad memilih islam.

Hujahan Santai

Akhirnya ia diseksa dan ditemukan kejalan gelap penyeksaan dan penghinaan. Tiada jalan kedua buatnya kecuali kembali ke ajaran pagan penyembahan anak tuhan yang direkakan.

Dalam retak menanti belah inilah, kita dihidangkan dengan pelbagai ibrah dan pengajarannya. Antaranya yang saya saya kira sesuai dikongsi disini ialah tatkala beliau dihadapkan kemuka INKUISISI, satu organisasi penyeksaan dan penderaan mental dan fizikal untuk memulihkan akidah dan mengembalikan mereka yang murtad…. Beliau tetap tabah walau diseksa dan dihina. Setiap lontaran penghinaan dibalasnya dengan kesabaran dan setiap kata nista dicelahnya dengan hujahan iman dan logika ilmu.

Pernah beliau diseksa dan dimalukan, lalu dengan hamburan kata nista mereka curahkan kepada Isabella semahunya, Syaitan, isi neraka, otak iblis tak berguna, tatkala kau berdepan dengan kematian barulah kau akan lupa tentang ayat al quran dan Allah serta yang lain2. Kiranya kau benar nescaya Quranmu, Tuhanmu dan muhammadmu mampu menyelamatkan kamu sekarang ini….

Dan Isabella tersenyum kecil, dipulangkan paku buah keras penghinaan itu dengan penuh bersahaja ; masalah seperti inilah yang telah berlaku dahulu, tatkala Jesus crist sudah dipancang salib para yahudi, mereka mentertawakan dan menghinanya, kalau benar kamu anak tuhan dan berada dijalan benar, turunlah dari tiang itu, selamatkanlah dirimu sendiri. Dan ternyata akhirnya mati pada pandangan orang kristian… adakah dia berada dipihak yang salah. Nampaknya sekarang ini tuan2 semua pula yang ingin mengikut jejak langkah yahudi yang membunuh tuhan jesus tuan2…. (rujuk ms210 dengan sedikit pengubahsuaian)

Ianya disulam dengan pengkisahan diri, monolog dalaman, sesi debat dan wawancara, kisah penyelamatan kawan yang disatukan imannya, komedi sindiran terhadap kabus pegangan yang tersingkap persis khurafat hinggalah kepada kemenangan Islam yang diimaninya dan ditebarkannya kepada semua para penduduk Cordova untuk menerimanya.

Happy Ending

Dan namanya mewangi dalam lipatan sejarah, menjadi seorang srikandi dan cendikiawan islam yang ulung memainkan peranannya melebarkan siaran dakwah dipanggung sejarah sepanyol satu ketika dulu.

Moga allah memberkatinya kalau benarlah ia suatu kisah benar namun yang pasti moga allah memberkati penulisnya yang mampu menggarap cemerlang novel perbandingan agama yang jauh dari rasa jemu dan cuak menelaahnya.

Dan jangan pula sahabat2 diluar sana terperanjat nanti, mungkin satu hari nanti ketika saya sedang berucap dan mengajar disurau, saudara terlihat kisah Isabella ini saya bentang dan ceritakan kukuh di telapak kanan saya, manakala ditelapak kiri saya kemas dan kejap jabatan tangan Amy search menyentuh bahu saya.

Segalanya mungkin bukan, jangan jealous !!

Kategori : Novel agama
Tajuk : Isabella
Penulis : Maulana Muhammad Saeed Dehlvi
Penerbit : Kharisma Network
Ketebalan : 336 mukasurat

Saturday, July 10, 2010

Jalinan Rindu Persahabatan

Waktu telah memusafirkan kita dalam perjalanan mendewasakan diri.

Pengalaman dan ujian silih berganti mewarnai denai kehidupan kita.

Dulunya kita bersama menongkah lorong ilmu mencari pencerahan diri. Tapi kini kita sendirian menyinari denai untuk generasi baru pula melangkah.

Kisah dan plot kehidupan penuh misteri kita tempuhi bersama.Entah apakah ending episod cerita kita ... atau bilakah rasanya watak kita akan di CUT aksinya dan ditamatkan. Semuanya pasti misteri dan berbeza.

Dan antara kita sudah ada yang pergi dan tidak kembali. Menjadi syuhada'ilmu dan agama.

Dan kini tinggal kita meneruskan perjuangan kehidupan .... meninggalkan manisnya ukhuwwah zaman pengajian dahulu.

Hanya nostalgia kenangan sahaja yang masih tergengam di ingatan.

Para Sahabatku.... Moga keredhaan tuhan memayungi perjalananmu.







Menjejak Sahabat



Sememangnya takdir telah mempertemukan kami di permukiman ilmu dan tarbiah di Maktab Perguruan Islam , Bangi pada Januari tahun 2000 yang lalu. Perwatakannya yang bersederhana tapi menonjol, berwajah tegas tapi mesra berfizikal biasa tapi cergas dan cerdas.

Beliau merupakan antara sahabat lama yang saya amat rindui suara dan tegurannya. Beliau adalah murabbi dan muaddib. Tuturnya lembut namun beralun ketegasan. Wajahnya sentiasa menguntum senyum walau pelbagai masalah menghambatnya.

Dan saat yang paling saya tunggu ialah tika bibirnya mula mengatur bicara, berhujjah dan menyusun kalimah, terasa kata2nya begitu sempurna, yakin dan bernas. Apatah lagi saduran ayatnya tidak pernah sepi dari fakta dan ilmu, terasa seakan beliau KITAB HIDUP yang boleh dicontohi dan didampingi.

Sepagi berkuliah di kelas bahasa arab 06 yang sama, bicara sentiasa ditunggu untuk pemutus arena hujjah, malahan lelucon bernasnya berpaksi ilmu, dia dikagumi rakan dan saingan. Tengaharinya beliau mendahului rakan di Masjid dan diminbar ilmu, sesi tazkirahnya ditunggu dan hujahannya dinilai hebat dari rakan sepengajian, dan tika petang pula berlabuh, beliau cergas mengejar dan menggelecek bola dipadang maktab. Begitu juga tika sesi gerko berlangsung penuh kelesuan, beliau masih tetap tegar mempamer kemahiran kinetic sukan dan usaha tanpa henti dalam mempelajari sesuatu yang baru.

Boleh dikatakan, beliaulah IKON ISLAMIK mahasiswa timur tengah sesi 2000 dimaktab kala itu. Posisinya menjadikan beliau tempat rujukan rakan dan adik pelajar KDP yang ada.

Takdirnya juga kami terpisah bila saya dipostingkan ke Sabah.

Dan beritanya hilang dari pendengaran walaupun hati kekadang teringat dan teringin bersua kembali.

Dan di alam maya ini, saya berhasil menemuinya. Menemui fizikal blog mayanya. Meladeni tinta ilmu dan ekspresi emosinya. Memanfaatkan waktu mencari ibrahnya.

Beliau masih seperti dulu rupanya, menjadi harapan dan pembimbing komuniti yang terbaik. Moga Allah memberkatimu sahabatku dan meramaikan ummat Muhammad sepertimu.

Terima kasih sahabatku, Ustaz Mat Esa Deraman. (tokkupasirgudang.blogspot)

Tuesday, July 6, 2010

Berlabuhnya Kalam Ilahi



Pelayaran Mashaf

Setelah tiga purnama berlalu,akhirnya kapal travelog pembacaan Quran kali kedua saya berlabuh jua di destinasinya.

Namun ianya agak terlewat dari masa yang dijangkakan, mungkin factor cuaca mood, ombak besar kesibukan, kabus kemalasan dan kesilapan pembacaan kompas disiplin merencatkan sedikit perjalanan saya di samudera kalam tuhan ini.

Ianya terbabas 6 hari dari tarikh sebenarnya.

Biarpun begitu, alhamdulillah … perlabuhannya menceriakan seluruh penumpang dan kelasi kapal jiwa ini. Runtunan rindu dan keinginan berjumpa keluarga menggamit semangat gigih nakhoda dan awak-awaknya untuk terus melanjutkan pelayaran, persis tarikan hati untuk terus melanjutkan pembacaan saban waktu bagi melunaskan janji dan azam yang telah terpatri.

Ibrah Musafir

Pelayaran dan permusafiran harus teguh berdiri dan seiring berlari. Jangan hanya kerana badai dan kabus mengganggu hadangan penglihatan, kita terencat berhenti dan kemudiannya sesat hilang haluan di samudera waktu. Belayarlah walau seketika, berjalanlah walau perlahan, sematkan disiplin dalam rutin seharian, menunggu dan bertangguh hanya akan membantutkan permusafiran.

Kekadang teringat saya dalam kabus tebal yang melanda permusafiran saya dan kawan2 dii pertengahan kota kundasang sabah, mungkin kesilapan jadual perjalanan kami yang kekadang sengaja tidak mengikut masa puncak dan selesa, sememangnya kerja dakwah dan hidayah menuntut waktu dan tenaga tambahan.

Maka tidak hairanlah kalau perjalanan dari Kinabatangan ke Kota Kinabalu kami mulakan seawal jam 12 malam seusai mesyuarat dan program, langsung bertembung di kaki pergunungan Kinabalu itu timbunan selimut kabus yang menebal mengizinkan jarak penglihatan hanya untuk 5 hingga 10 meter sahaja. Jentera kereta ini terus kami luncurkan walau agak perlahan gerakannya namun pastinya bila ia tiba di celahan jalan terselindung kawanan pepohon hijau kabus mula menepi dan membuka ruang jalan untuk kami. Bayangkan mereka yang berhenti dan menyapu tepi jalan hanya akan terkandas dan membantutkan perjalanan. Sang kabus akan terus menimbun dan menyelimuti alam dalam dakapan tidur yang begitu mengasyikkan.



Kendiri Amali

Dan kata kunci utama bagi permusafiran ini ialah disiplin dan target, letakkanlah sasaran. Biarpun ianya menyasar namun tidak terbazir jauh. Kalau menyimpang sekalipun kita bersyukur untuk mengubah strategi dan mengkonkrit azam dan bangkit mencuba semula. Semuanya kerana ada kayu ukur sasaran yang telah dipancang terlebih dahulu.

Al Quran adalah kalam Allah, kemuliaannya diberikan oleh Allah, ahli quran adalah ahli Allah, justeru janganlah menyombong diri, kita pasti jahil dan sirna harapan untuk membacanya jika hanya bergantung pada kemahuan dan kudrat diri, pastinya kesibukan dan pelbagai rencam halangan lain yang akan mengganggu, hanya mereka yang mendapat rahmat allah dan kurnianya diizinkan untuk tilawah dan membacanya.


Ya allah, rahmatilah kami dengan kemuliaan al Quran, jadikanlah ia panduan, cahaya petunjuk dan bimbingan kami dalam kehidupan ini, Ya allah, perelokkan ingatan kami dengan al quran jika kami terlupa dan ajarkanlah kami jika kami jahil dan tidak tahu. Dan kurniakanlah kepada kami nikmat pembacaannya siang dan malam kami.dan jadikanlah ia saksi dan hujjah kami dihadapanMU nanti ya allah
.

Perkongsian Penulisan

Berkongsi adalah keseronokan, memberi akan mencapai kemanisan, mengajar pula menambah ufuk keistimewaan dan bonus kematangan.

Menulis pula mempastikan kisah sejarah tidak akan terpadam, ianya mungkin sampah picisan tidak berharga namun bila tiba masanya zaman akan tunduk akur pada rujukan keistimewaannya.

Inilah yang dinamakan sejarah, dicetuskan daripada pelbagai genre dan ragam cerita dan berita, ia diungkap bebas dalam bahasa dan rutin seharian. Tapi kini CERITA DIA atau HE STORY menjadi sejarah dan HISTORY.

Siapa sangka kegatalan tangan sang kerabat raja mengukir nama di batu nisan sultan malikul salih di acheh dan memahat batu bersurat di terengganu kini menjadi rujukan utama sejarah tentang kedatangan Islam di nusantara.

Namun, biarlah penulisan itu bermanfaat. Jangan cemarinya dengan sampah perkataan mencarut apatah lagi dengan sampah idealogi songsang yang menyesakkan dunia dengan kejijikannya. Akhirnya ia kekal menyampah dan dibakul sampahkan.



Bersama Hilal Asyraf, penulis muda dari bumi berkat Jordan berkongsi panduan menulis dan pengurusan blog. ( Saya petik dari blog Ustaz Zakaria Sungib)

Antara panduan dan tip lain yang beliau kongsi:

1. Ramai penulis tidak berjaya kerana mereka ada bakat dan ada ilmu, tetapi tidak ada disiplin menulis. "Paling penting disiplin masa. Adakah kita masukkan menulis dalam jadual harian? Jadual saya, lepas Subuh mesti menulis untuk kemaskini blog. Untuk novel, saya tetapkan jadual untuk sebulan. Prioriti adalah menulis satu bab sehari. Waktu belajar, kita belajar. Waktu menulis, kita menulis," ujarnya.

2. Penulis mesti berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, sebagaimana yang diajaknya di dalam penulisan. "Kita perlu menjaga diri kita daripada dosa. Dosa menyebabkan bintik hitam di hati."

3. Penulis yang baik adalah penulis yang ada rujukan. Rujukan menjadikan cerita yang dikarangnya lebih hidup dan memberi kesan kepada pembaca, juga menjadikan seorang penulis dihormati. "Usaha untuk membuat rujukan mesti sungguh-sungguh. Rujukan juga mesti sahih," terang Sdr Hilal.

4. Apabila menulis cerpen atau novel, mesej biar sampai dan cerita biar habis. Sekiranya menulis novel trilogi yang ceritanya tidak habis kerana ada sambungan, pastikan setiap satu novel itu dapat berdiri sendiri dari segi penyampaian mesejnya. "Setiap satu, selesai mesejnya walaupun cerita tidak habis." Beliau sendiri memastikan setiap bab novelnya mempunyai mesej.

5. Untuk menghasilkan novel tarbiah, penulis mesti menghasilkan penyelesaian yang positif dan tidak membiarkan penyelesaian atau mesej cerita itu tergantung atau tiada penjelasan. "Jangan biarkan pembaca tertanya-tanya apa mesej dalam cerita itu walaupun mereka mungkin tertanya-tanya kesudahan jalan ceritanya. Jangan biarkan pembaca terkial-kial mencari mesej, walaupun boleh biarkan mereka terkial-kial dengan jalan cerita."

6. Cerpen atau novel perlu mengangkat masalah yang dihadapi masyarakat sebagai permasalahan utama. Masalah yang diangkat itu pula mesti disesuaikan dengan sasaran pembaca supaya ia terasa dekat dan pembaca mendapat manfaat daripada penyelesaian masalah yang dipaparkan melalui cerita.

7. Teknik penghuraian masalah dalam novel mesti jelas. Untuk itu, ia perlu diulang-ulang sepanjang perjalanan cerita. Sdr Hilal memberi contoh, dalam novel VT, beliau mengulang-ulang huraian tentang sukan sebagai ibadah, manakala dalam novel Sinergi, beliau mengulang-ulang penekanan pada soal keimanan.

8. Untuk menjadikan watak dalam novel itu 'hidup', penulis perlu memberi ciri-ciri khas pada satu-satu watak. Misalnya, cara berjalan dan cara bercakap watak itu. Penulis juga mesti memastikan setiap watak rekaannya ada kisah silam (back story). Kisah silam ini menjadikan satu-satu watak itu menarik. "Tetapi kisah silam satu-satu watak ini tidak didedahkan terus (sekali gus) tetapi sedikit demi sedikit."

9. Untuk memastikan penulis dapat mengawal watak yang ramai dalam novel, dokumentasikan setiap watak. "Buat kertas watak dengan mencatat pengenalan setiap watak, termasuk kisah silam watak itu. Kertas watak ini seolah-olah Surat Beranak satu-satu watak."

10. Blog sangat penting bagi seorang penulis. Melalui blog, penulis dapat mempromosi bukunya. "Untuk menarik ramai datang ke blog kita, blog kita mesti mesra pelawat."

11. Antara cara untuk menjadikan blog 'mesra pelawat', gunakan latar putih untuk ruang teks, letak pengenalan diri yang sempurna dan lengkap di sidebar, manfaatkan shoutbox untuk berinteraksi dengan pelawat, letakkan foto yang menarik dan buat paparan untuk beberapa paragraf awal saja di ruang entri supaya pembaca dapat klik ke 'baca seterusnya' untuk membaca entri penuh.

Monday, July 5, 2010

Berdakwah melalui Penulisan

Anda gemar menulis ? Untuk tujuan apa anda menulis ?
Sanggupkah anda menjadi penulis tanpa tauliah dan penghargaan ? Ikhlaskah anda dalam penulisan…?

Adakah penulisan anda menjadikan anda lebih baik dari sebelumnya ? Atau anda hanya umpama pembaling batu dibalik tembok lalu menyembunyikan tangan sendiri.

Anda ingin memberi tazkirah, tapi zahirnya anda ingin menutup kelemahan sendiri dan mendabik dada dengan kebaikan yang anda pertuturkan tapi tidak dilaksanakan.



Yakinkah anda dengan apa yang ditulis? Berpaksi manakah anda, kebenaran kah, atau hanya bergayut pada keindahan prosa kata yang dipilih. Adakah setiap bilahan kata sudah diuji dineraca hujjah atau berselindung dibalik pragmatik rasa dan fatamorgana fantasi.

Membacakah anda untuk menjadi seorang penulis …. ?

Kalau ya, dan masih berdenyut kotak fikir mencari jawapan pada persoalan yang diputarkan. Jejakilah pembacaan seterusnya berdasarkan bimbingan penulisan yang dipermudahkan oleh saudara Pahroul Mohd Juoi (Blognya gentarasa)

Antara panduan dan tip yang beliau kongsi:

1. Menulis untuk tujuan dakwah mestilah dengan gaya dan bahasa yang mudah. Gaya penyampaian mesti realistik supaya pembaca nampak dengan jelas apa yang disarankan dan mudah untuk mengamalkannya.

2. Penulis Islam mesti berjiwa da'i, berwatak murabbi dan pemimpin tak rasmi.

3. Setiap orang ada bidang yang dia mahiri. Dalam menulis, pilih subjek yang dekat dengan kita.

4. Hiasilah kebenaran dengan kata-kata yang indah, bukan menghiasi kata-kata yang indah dengan kebenaran. Utamakan kebenaran dalam menulis, bukan keindahan.



5. Tulislah dengan pendekatan yang mudah walaupun membawa mesej yang berat. Gunakan istilah yang senang difahami, bahasa yang dekat dengan sasaran dan contoh-contoh yang berlaku dalam lingkungan sasaran. "Tugas kita sebagai penulis adalah untuk menjelaskan satu-satu perkara yang susah," katanya.

6. Kita tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak semasa menulis. Oleh itu, teruskan menulis, mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita.

7. Penulis Islam mesti yakin dengan kebenaran, barulah dia dapat meyakinkan pembaca melalui tulisannya. Dengan kata lain, penulis Islam menulis dirinya - keyakinannya, tujuan hidupnya, pegangannya, sistem nilainya, sikap dan perjuangan hidupnya. "Be the message."

8. Penulis sebenar menulis kerana membaca. Sementara penulis palsu membaca kerana mahu menulis. Kaedah yang salah adalah apabila hendak menulis, baru membaca. Penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Apa yang ditulisnya hari ini mungkin hasil daripada bacaannya lima tahun lalu. Membaca satu keperluan, bukan satu hobi.

9. Baca secara selektif dan menjiwai apa yang dibaca, bukan secara 'fast reading'. Baca secara aktif - buat nota, tandakan bahagian yang penting.

10. Penulis mesti sentiasa bermujahadah dan tekun bermuhasabah. Tidak semestinya dia menulis apa yang sudah mampu dia amalkan, tetapi sekurang-kurangnya dia menulis apa yang dia sendiri sedang bermujahadah untuk amalkan.