Wednesday, August 25, 2010

Bagaimana Solat Kita di Ramadhan ?

Solat tiang agama.
Ia amalan pertama yang akan ditanya dipadang mahsyar nanti.
Sempurnakah solat kita ?

Bertambahkah amalan kita dibulan mulia ini?
Pahalanya diganda2kan.
Keseronokannya dipermudahkan tuhan.
tatkala syaitan terbelenggu.
kita bebas menghirup kemanisan dan kelazatan ibadah ini.
bagaimanakah solat kita sekarang...
sebeginikah solat isyak kita ??



Tekunlah berusaha untuk terus komited dengan solat.
terutamanya solat subuh seperti ini.



bagaimanakah solat kita ?
lebih baik dari sebelumnya ....
atau ...
semakin teruk...
mungkin sebegini...



Insafilah diri dibulan mulia ini.

Berbuka Ramadhan



Kasih Ramadhan

Melayar saya di samudera maya.
Meluncur membelah biru lautan tanpa sempadan
Mengagak jarak dan angin untuk sampai selamat ke destinasi
dan dimuaranya, terpempan saya dengan kilauan cahaya
koleksi arca dan grafik ramadhan yang menuntun deria
menghimbau rasa... bahagia
kasihnya ramadhan...



dari blog ust naim, saya mencedok isinya.
meneguk sedikit rasa
menghilangkan haus dahaga
agar bisa tersentuh rasa dan emosi
untuk terus bersyukur
bertamu dibulan ramadhan







Tuesday, August 24, 2010

Keajaiban Rahmat Ramadhan

Deringan gelisah

3 minggu yang lalu, telefon saya berdering tak keruan, ianya seperti tahu ada petanda tak baik akan berlaku.

“Salam… boleh abang afiz ambik TEH dekat hospital ni ?“ terdengar lemah suara adik ipar saya diujung talian. Suara lesunya terus mengundang tanda-tanya. Entah musibah apa yang menyapa agaknya.

“Motor TEH hilang. Kena curi. Dah merata tempat TEH cari tapi tak jumpa, ingatkan tersalah parking, tapi memang hilang….”

Terbayang diminda saya susuk motorsikal 135 LC yang baru dibelinya tidak sampai 3 bulan lalu, motorsikal ranggi kegemaran muda mudi sekarang ini. Dengan kelajuan maksimanya mencecah 180km/j dan fizikalnya yang memangnya the boom, harganya juga tidak terkalahkan bila ianya mencecah RM6 ribu keatas.



Mungkin kerana itulah dua adik ipar kembar saya ini meminati citarasa dan sensasi motor yang sama.

Hikmat Kebaikan

Abang TEH, itulah panggilan kami sekeluarga,panggilan pangkat mengikut kebiasaan kedudukannya dalam adat dan budaya utara, seorang graduan universiti kebangsaan dalam bidang dakwah dan kini bekerja secara kontrak sebagai pegawai di PERKIM Pulau Pinang.

Entah malang apa yang menyampuknya hari itu, tugasnya menguruskan mayat seorang anak muallaf di hospital hingga membawanya ke masjid untuk disolatkan dan ke perkuburan bukit mertajam untuk disempurnakan. Sekembalinya dari urusan jenazah, beliau pula tergamam apabila motornya pula hilang dan menjadi arwah.

Selesai membuat laporan polis di balai Perda. Kami ditemukan dengan inspector izlan yang memaklumkan area black list kecurian ialah dikawasan hospital tersebut. Dan ternyata rangking tertinggi kecurian motor pula ialah LC, Honda EX-5 dan Yamaha RXZ.

Kunci Pasrah

“memang selamat lah tu…. Dan peratus untuk berjumpa semula amat tipis sekali. Jarang, pemiliknya akan dapat rujuk semula…. Katanya berbasa basi. Motorsikal saya pun dikebasnya sampai sekarang masih tak jumpa..sambungnya lagi.

Aik, beraninya dia…motorsikal polis pun dia orang berani kebas…. Ujar saya membuat lelucon meredakan ketegangan.

Semua jenis kunci dah mereka dapat buka, jenama solex ke bukan… semuanya kacang bagi mereka. Tak tahu kunci apa yang boleh tahan dan anti pencuri ni.. pecah lagi suara inspector berkongsi info.

Hmm, kena pakai kunci tawakkal tu kata saya mengingatkan diri pada kuasa terhebat pencipta. Pasrah.

Dalam perjalanan pulang, TEH banyak terdiam. Saya melayaninya sekejap dengan bercerita dan bertazkirah santai.

Doa Kehilangan

Memang banyak hikmatnya, dan dalam sedar saya memberikannya doa kehilangan. Bacalah doa ini, sambil memandu saya membetulkan bacaannya mengulang2 doa dan zikir a’zam tersebut.

Mintalah dengan penuh pengharapan. Allah akan tetap mendengarnya. DIA ada rahsia yang kita tidak terjangkau agendanya.

Sepi. Masing2 melayan perasaan. Gelap malam menyelimuti pemandangan

Dan kelmarin, 11 Ramadhan ... telefon saya berdering girang. Entah ada khabar gembira ingin dikongsinya.

Dihujung talian, suara inspector Izlan ceria menyatakan. Motorsikal tuan kembali dijumpai.. sila datang ke balai untuk menuntutnya.

Alhamdulillah, perceraian hanya sementara, rajuk hilangnya meredakan ketegangan, kini ia pulang ke pangkuan. Mungkin jodoh TEH saya dengan motornya masih panjang.

Tenang saya letakkan dahi kesejadah. Syukur. Terima kasih ya allah diatas perkenanmu.
Mungkin ini anugerah rahmat ramadhan mu kepada kami.

Sunday, August 22, 2010

Ramadhan kitakah ini ?

Ramadhan Terakhir



Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu, mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu solat yang dikerjakan.. .
sungguh khusyuk lagi tawadhu',
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri menghadap Rabbul Jalil...
menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]



andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih.. .
berqiamullail. ..bertahajjud. ..mengadu...
merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU tapi...
aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang

mari kita meriahkan Ramadhankita buru...kita cari...
suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail di kiri dan kanan ...
lorong-lorong redha Ar-Rahman Duhai Ilahi....

andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju redho serta kasih sayangMu

Ya Ilahi semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA

Dari blog Ust Izwan

Abid Ramadhani



JADILAH ABID RABBANI DAN BUKANNYA ABID RAMADHANI

Dari blog Ustaz Izwan, Sarawak

Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.

Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.

Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:

﴿وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الإِنْسَ إِلا لِيَعْبُدُوْن﴾
“Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.

Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya Abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesen kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain. Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.

Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan. Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.

Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya mendekati Allah.

Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.

Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.

Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.

Thursday, August 19, 2010

Nikmatilah keroncong Ramadhanmu

Nikmatilah keroncong perutmu. Biarkan ianya berlagu sepuasnya.

Malam itu saya berdiri seketika.

Selepas terawih lapan rakaat dilunasi sejenak, berdiri sekadar memberi ingat. Buat diri sendiri yang lebih banyak terlupa.

Sahabat2, marilah kita menunaikan tanggungjawab ramadhan ini dengan penuh azam dan penghayatan. Jangan kita menjadi puasa Pak turut, bukan juga puasa barang permainan, atau lebih2 lagi puasa pelari marathon yang ketewasan.

Kesemuanya puasa yang tidak akan membangkitkan pengertian dan penghayatan diri pada kehendak Ramadhan yang sebenarnya.

Benarlah hadis nabi yang menyangkal puasa kita : Ramai antara kita yang berpuasa tapi tidak mendapat apa2 kecuali lapar dan dahaga. Bukankah puasa sebegini persis pelari marathon yang tewas tanpa mendapat sebarang keraian.



Ramadhan juga bukan diturunkan untuk sekadar berpuasa menahan lapar dahaga.

Ia dinamakan Ramadhan berdasarkan maknanya bara dan kehangatan, moga ianya akan membakar hanguskan dosa lama yang tersimpan di stok amalan. Moga sang nafsu juga akan terpanggang dengan kualiti pengorbanan yang terdisiplin sepanjang bulan.

Kerana itu puasa dianjak citranya oleh agama sebagai bulan kesabaran, bulan perpaduan, bulan pengabdian, bulan keikhlasan, bulan doa dan quran, bulan kesamarataan dan kederhanaan dan bermacam lagi.

Moga dengan kesiksaan batin dan kelesuan tenaga menahan pengorbanan akan tersingkap manisnya taat dan pengabdian.

Kerana itu, saya memohon marilah kita nikmati setiap saat keroncong lapar kita berlagu indah. Usah manjakannya dengan tidur berlebihan. Rasailah nikmat kelaparan ini moga ianya menyedar dan menginsafkan.

Diluar sana ramai miskin yang kelaparan.

Disudut dunia, ramai pelarian yang menangisi kebuluran.

Dipenjuru palestin, makanannya peluru dan air mata.

Dan pernah suatu ketika dulu, sang kekasih ….. rasul tercinta menahan lapar dahaga yang membelit belikat dan pinggulnya penuh seksa, membaham tubuh mulianya hanya kerana risalah islam yang dibawakannya….

Untuk kita…

Wednesday, August 18, 2010

Pencuri Ramadhan


Peringatan untuk diri sendiri.

Dari hadapan ke belakang, orang besar dan orang kecil, lelaki dan perempuan, masjid besar dan surau kecil, ramai didapati mencuri khususnya dalam solat tarawih mereka. Namun ia seolah-olah direstui oleh semua orang, bahkan kadang-kadang dipuji pula perbuatan itu.

“Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.

Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?”

Baginda menjawab : “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (HR Ahmad).

Ketahuilah bahawa orang yang solat dengan laju tanpa menyempurnakan tempoh thoma’ninah (bertenang), maka ia termasuk dalam kategori orang yang mencuri dalam solatnya. Bahkan Nabi sebutkan itulah sejahat-jahat pencuri.

Wahai para imam, pimpinlah jamaah solatmu dengan tenang dan sabar.

Wahai para ma’mum, tegurlah imam kamu yang laju solat mereka sehingga mengabaikan thoma’ninah. Jangan biarkan kita termasuk orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith tersebut.

Dari Blog : abu nuha corner.

Tahniah Ramadhan

Bohong jika saya tidak terusik dengan kebahagian kalian.

Dusta jika hati ini tak pernah cemburu dalam jelingan jauh dengan keakraban hubungan mesra kalian.

Kalian umpama pinang dibelah dua, berseri bak bulan dipagari bintang. Walau tanpa paluan kompang dan rebana, kalian beraksi spontan dengan serlah lagak seorang wira.

Sememangnya saat itu adalah milik kalian.

Pengorbanan dan kegigihan azam menyemikan jua keabsahan hubungan kalian.

Walau dilombang gelora ombak kehidupan sekalipun, kalian tega melaluinya. Keutuhan semangat juang itu terpamer jua dalam denai waktu2 yang berlalu. Didesak perjalanan jauh musafir ilmu, bertemankan pemandu bas dan komuter yang silih berganti tanpa pamit mengenal namanya, dihempap juga henyak resah tugasan yang bertimbun dilaman kerjaya.

Tahniah buatmu, para sahabatku….

Bertangkai hati ini dengan gugusan rafak tahniah buat kalian. Kejayaan kalian hendaknya kekal dan malar menjadi obor inspirasi kepada mujahid ilmu walau disudut generasi mana ia bertandang. Moga seri ilmunya dapat dikongsi sama.

Dan pastinya hati ini semakin iri dengan kalian….

Ya, hari ini mungkin hari bahagia kalian…. Entah bila pula cemburu rasa ini akan hilang. Bila pula akan tibanya hari terbaik buat saya ….???

Tahniah, buat semua sahabat2 yang berjaya menamatkan pengajian diperingkat MASTER.

1. Mohd Bakri Aziz
2. Afandi Yusof Bakty
3. Abd Hadi Mohd Suhaimi
4. Mohamad Husain
5. Azhari Hamzah
6. Shahrul Azmi Sidek
7. Pak Sheikh, Rusydi Haron
8. Mohd Azlan Mohd Noor
9. Ibnu Rajab, Zamri
10. Yazid a.ka Zaid Akhtar
11. dan lain2 lagi.

Terasa diri saya kehilangan…. Walau imiginasi ini cuba membayangkan kewujudan imej saya dicelahan barisan graduan bersama kalian. Saya hampa….. (hanya nostalgia Jordan saja muncul memujuk hati)







Sunday, August 15, 2010

2 Ramadhan



Terkenang Ramadhan semalam.

Bersama ingatan yang sentiasa basah di tasbih memori.

Daerah subur yang segar ini.

menyimpan pelbagai rasa dan getarnya

cerianya masih berembun

dan putiknya masih mekar hijaunya...

Tika dakapan bayu masih dingin menyelimuti.

sayup di kejauhan menyendiri... namun,

Kental ukhuwwah dan santun persaudaraannya.

utuh semangat juang dan tinggi impiannya.

menapak denai dakwah yang lecak dan berliku.

bersendirian, terpinggir dan dan ditinggalkan.

dan jatuh, bangun semula...

dipapah dan dipimpin bersama..

dalam sebuah perjuangan

yang takkan kunjung padam obornya

memerdekakan tauhid dan pengabdian hanya kepadaNYA

Moga allah memperkuatkan jiwa2 sahabat seperjuangan yang berada di Sabah, terus kental dengan semangat istiqamah dan kesedaran yang tinggi.

Ganjaran menjadi ghuraba' amat tinggi nilaiannya, perintis dan peneroka denai dakwah sentiasa dicarik luka dan sengsara... namun ganjarannya pasti lebih lumayan dari toifah yang sudah mendabik jaya.

Wednesday, August 11, 2010

1 Ramadhan

Tahun ini saya solat terawih di Surau Kompleks Perumahan Kastam di Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Suasananya persis surau Flat Persekutuan Likas dahulu.

Fizikal yang sederhana, bersih dan selesa. Cumanya surau di sini ada air cond. Terasa hawa sejuknya mengigit kulit dingin.

Jemaah yang hadir ke surau ini agak ramai, mungkin mencecah 120 orang yang menginjakkan kaki memeriahkan awal ramadhan seperti lazimnya. Namun bilangannya masih kecil berbanding jumlah penduduk yang mendiami kawasan perumahan ini.

Seperti biasa, saya tetamu luar yang hadir menumpang solat dan ibadah. Terkadang menjadi imam dan selebihnya hanya makmum meluruskan genap saf.

Imam terawih disini ialah Ustaz Farid Al Hafiz, anak seorang pegawai kastam di sini yang menamatkan pengajian tahfiznya di Pakistan sejak setahun yang lalu. Ayahnya yang saya kenali sebagai pakcik Zakaria pula ialah siak dan jawatankuasa surau tersebut.

Oh ya, nama surau ini ialah MADINATUL ANBIYA’.

Terkejut saya dengan pemilihan nama yang amat glamourus dan terhormat ini, serasa saya belum pernah ada nama seumpama ini yang saya pernah dengar. Frasa sebutannya sahaja sudah cukup gah dan menggamatkan, apatah pula maknanya yang membawa maksud KOTA NABI-NABI.

Hebat surau kita kan … namanya menggambarkan tempat kita ni menjadi markas persinggahan nabi2. Entah nabi mana yang pernah sampai kat sini ya ?? Pernah terkeluar lelucon spontan saya pada ahli jamaah ketika menguliti sesi tazkirah maghrib di surau ini setiap malam isnin. Dan mungkin setelah lama bergaul, saya mengenali seorang sahabat ahli jemaah surau disini yang bernama ambiya’, juga ahli jawatankuasa surau… mungkin sempena namanya barangkali, hati saya tersenyum nakal.

Di surau ini, saya hanya pemerhati.

Menonton setiap aktiviti dan usaha gigih ahli jawatankuasa surau menghidupkan ramadhan dengan penuh keazaman memuliakannya.

Melihatnya, terkenang pelbagai impian saya memimpin jamaah surau flat persekutuan likas dahulu. Dan merenungnya, ternyata impian saya rupanya direlitikan masyarakat awam disini, semasa saya hanya banyak berekperimen mereka telah berjaya melunaskannya.

Dihadapan surau, terbentang Kain Sepanduk Ahlan Ramadhan yang membujur lalu melintang pemandangan setiap yang hadir untuk menatapnya dan disapa ajakan menunaikan tuntutan berjemaah dan memuliakan ramadhan.

Setiap kunjung maghrib mendatang, para jemaah bergilir mengadakan majlis berbuka puasa di anjung surau menggantikan kebiasaan infak makanan moreh hanya setelah usai terawih berlabuh. Hari pertama semalam, hamper 30 orang jemaah yang menjayakannya setelah bilangan maghrib ramadhan yang lalu hanya berjumlah 4 orang sahaja. Moga ianya kekal istiqamah dan diberi berkat.

Kerjasama ahli surau dan pimpinan kompleks begitu saling membahu. Peralatan jamuan dan kelengkapan surau diselia dengan kemas dan baik dalam organisasi yang teratur sekali. Terdapat bilik stor, bilik masakan dan pejabat yang mengukuhkan lagi kejituan komitmen ajk disini.

Usai terawih dan moreh, kumpulan 10 hingga 15 jemaah membuat bulatan dengan bertadarus dan membaca tilawah. Acara gamatnya tetap memeriahkan suasana.

Pernah surau ini mengadakan aktiviti ,sehari bersama surau dengan pengisian program yang pelbagai termasuk pameran dan pertandingan, juga konvoi bermotor mengelilingi masjid di daerah pulau ini, majlis qiam dan sebagainya.

Syabas dan tahniah buat mereka.

Dan izinkanlah saya ingin terus menjadi sebahagian makmum disini.

Ingin mendengar bacaan merdu al quran yang ditilawahkan, ingin bersesak bahu dan tumit bersama ukhuwwah berjemaah solat, ingin mengulit jamuan dan berkongsi khabar, ingin menjabat salam dan menumpang sudut kecil bersolat sunat seamannya.

Tapi semalam, selesai terawih lapan rakaat, pakcik zakaria mengiklankan nama saya untuk tazkirah. …..

Saya sambut amanah sewajarnya. Hanya dalam kuantiti masa yang seringkasnya, seperti selalu.

Namun saya ingin terus menikmati tilawah terawih ini di susunan saf makmum. Izinkan saya ….. bolehkah saya???

Hadiah Ramadhan



Jam Makkah Telah Siap

MAKKAH: Umat Islam seluruh dunia boleh merujuk waktu di negara masing-masing apabila jam terbesar di dunia akan mula berdetik di menara bangunan pencakar langit di Makkah.

Menara jam yang dibina di bangunan kedua tertinggi di dunia itu akan menjadikan Makkah sebagai rujukan waktu standard dunia berbanding waktu median Greenwich.

Jam itu dijangka mampu menggantikan waktu standard Greenwich Mean Time (GMT) yang digunakan sejak 126 tahun lalu. Dalam persidangan di Doha pada 2008, ulama dan cendekiawan Islam berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridan dunia kerana kedudukan Makkah di tengah-tengah dunia. Waktu Greenwich dikuatkuasakan Barat pada 1884. Jam berkenaan akan mula berdetik pada 12 Ogos dalam minggu pertama Ramadan dan akan menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan.



Menara jam Makkah mempunyai empat permukaan seluas 46 meter yang dibuat daripada jubin komposit berteknologi tinggi yang dilapik emas dan berdiri dengan ketinggian 400 meter di luar halaman Masjidil Haram.

Syarikat Premiere Composite yang ditugaskan menyiapkan binaan menara jam Makkah merangka pembinaannya dengan ketinggian 590 meter. Ketinggian itu membolehkan menara jam Makkah menjadi menara kedua tertinggi di dunia mengatasi menara Taipei 101 (509 meter) dan berada di belakang Burj Khalifa (828 meter).



Pembinaan menara jam Makkah membabitkan 250 tenaga kerja mahir umat Islam. Muka jam yang berdiameter enam kali lebih besar daripada Big Ben di London itu ditulis dengan nama Allah di atasnya dan akan diterangi dua juta cahaya LED. Menara itu turut dilengkapi 21,000 cahaya putih dan hijau yang akan berkilauan sejauh 30 kilometer sebagai pemberitahuan bagi lima waktu solat fardu. - Agensi

Tawaran Ramadhan

Tuesday, August 10, 2010

Ihya'Ramadhan di SXI

PROGRAM IHYA’RAMADHAN 2010
SMK ST. XAVIER


ANJURAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DENGAN KERJASAMA BADAN KEPIMPINAN DAN TARBIAH ISLAM (BAKTI)

MAKLUMAT PROGRAM


TEMPOH : SEPANJANG BULAN RAMADHAN 1431 H / 2010 M
TARIKH : SEPANJANG MINGGU
MASA : SESI 1 (9.40 -10.10 PAGI)
SESI 2 (11.00 – 11.30 PAGI)
TEMPAT : BILIK ALT DAN SURAU SEKOLAH
SASARAN : SEMUA PELAJAR MUSLIM

OBJEKTIF


1. MENGHAYATI KEDATANGAN BULAN RAMADHAN DENGAN PROGRAM KEBAJIKAN DAN BERAMAL SOLEH.
2. MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DAN SALING MEMBANTU DI KALANGAN WARGA SEKOLAH.
3. MENGHIDUPKAN ETIKA DAN PENGHAYATAN ISLAM DIBULAN RAMADHAN YANG MULIA.
4. MENGERATKAN HUBUNGAN GURU DAN PELAJAR MUSLIM.

TENTATIF :

MASA AKTIVITI TEMPAT
ISNIN TAZKIRAH BILIK ALT
SELASA TAYANGAN VIDEO BILIK ALT
RABU PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN ISLAM BILIK ALT
KHAMIS BACAAN YASIN BILIK ALT
JUMAAT ZIKIR MUNAJAT BILIK ALT


SETIAP HARI SOLAT ZOHOR SURAU
TADARUS AL-QURAN

PENUTUP

SEMOGA PROGRAM YANG AKAN DILAKSANAKAN INI MENDAPAT KERJASAMA DAN KOMITMEN DARI SEMUA.
SEMOGA ALLAH MEMBALAS SEGALA SUMBANGAN YANG DICURAHKAN SAMA ADA KECIL ATAU BESAR. SEDIKIT ATU BANYAK UNTUK MEMJADI BEKALAN DI HARI YANG ABADI NANTI.

BERAMAL KERANA ALLAH

Monday, August 9, 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan



Segala puji bagi allah yang menyampaikan kita ke bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ianya bulan seribu berkat dan rahmat.

Bulan menyuntik perpaduan dan kesaksamaan.



Bulan menyempurnakan impian dan kesetiaan.

Bulan keampunan dan dambaan kasih sayang.

Bulan kesihatan dan motivasi pemulihan.



Bulan Quran dan pesta Ibadat.

Bulan solat dan sedekah.

Bulan doa dan permintaan.



Bulan iktikaf dan pengabdian.

Bulan pengorbanan dan mujahadah.

Bulan kesederhanaan dan keluhuran.

Bulan kejayaan dan kemenangan.

Friday, August 6, 2010

Takziah di atas kematian Hafizullah

Semasa meneliti tajuk berita hari ini, kebiasaannya saya menelaah artikel dari laman Berita Harian,kerana bagi saya isunya lebih nasional dan rasional berbanding dengan harian metro yang kebiasaannya sensasi dan berunsur komersial kurang sihat, perasaan kaget saya disentak seketika.....saya terkedu dan teruja bila menatap kandungan berita dibawah. Bukan kerana tajuknya tapi kerana kandungan beritanya.

Setiap hari kita akan mendengar berita tentang kematian, namun pastinya satu hari nanti kita yang akan bertemu dengan kematian. dan yang terpamer nanti : Ustaz Hafizullah meninggal dunia.

2010/08/07
MELAKA: Dua anggota 10 Briged PARA, lemas ketika menjalani latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Sungai Udang, dekat sini, jam 11 pagi semalam.

Mohd Hafizullah Sohok, 19, dari Pasir Puteh, Kelantan
dan Shahrul Nizam Salim, 24, dari Felda Palong 7, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Sumber memberitahu Berita Harian, kedua-dua mangsa menjalani latihan terakhir apabila tiba-tiba mengalami masalah ketika dalam kolam.

Beliau berkata kedua-dua jenazah dihantar ke Hospital Melaka pada jam 2.50 petang untuk bedah siasat sebelum dihantar ke Masjid As-Syuhada di Kem Terendak kira-kira jam 8.45 malam tadi, untuk disembahyangkan.

Satu lembaga siasatan dijangka ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian.

Juara Akademi Al Quran


2010/08/07

AHMAD Tirmizi (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Johan selepas menjuarai AQ4, sambil diperhatikan Jamil Khir, di Putrajaya, malam tadi.


PUTRAJAYA: Peserta Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali, 25, mengubat kekecewaan dua abangnya apabila diumumkan juara musim keempat Akademi Al-Quran (AQ4) pada peringkat akhir yang berlangsung, di sini malam tadi.

Dua abangnya, Mohd Muslim dan Mohd Hafaz, masing-masing sebelum ini hanya berpuas hati di tempat kedua dan ketiga AQ musim kedua.
Pada saingan malam tadi, Graduan Sarjana Muda Qiraat dari sebuah universiti di Mesir itu mengenepikan tiga pesaing, termasuk adiknya sendiri, Yahya, 23. Dua peserta lain ialah Muhammad Ahmad Zahid, 15, dan Husni Ali Hassan, 25.
Dengan kemenangan itu, Ahmad Tirmizi, Pengurus Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, pakej umrah, sebuah al-Quran digital berserta trofi.

Gelaran naib johan diraih Muhammad Ahmad yang menerima wang tunai RM15,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing milik Yahya dan Husni. Yahya membawa pulang RM10,000 dan Husni menerima RM2,000.

AQ4 disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran TV9. Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Bacaan peserta malam tadi dinilai dari sudut taranum (lagu), tajwid, fasohah dan qiraat serta diadili juri, Zamri Mohd Zainuddin, Nazri Abdullah dan Radzi Kamarul Hailan sepenuhnya.

Thursday, August 5, 2010

Kepulangan Nadwah 2010

Alhamdulillah, walau sisa penat masih berbaki di temulang empat kerat ini, baki kantuk juga masih bergantungan minta dilunaskan. Ianya amat mengilukan rasa fizikal diri.

Namun desakan hati untuk bercerita, berkongsi insiden terpilih, mendengar salam rakan dan taulan, menziarahi sahabat fillah di alam maya terus membuak untuk saya memilih untuk mencoret terus berita di sini.

Kontinjen Pulau Pinang akhirnya selamat pulang ke destinasinya disambut pelukan hangat keluarga tercinta yang setia menanti. Walaupun jarum jam tanpa penat menunjukkan jam 1 pagi, saya terasa ringan bahu ini dari beban amanah yang dititipkan sebagai guru pengiring ini dapat dilunaskan dengan sebaiknya.

Baki 3 orang pelajar yang tinggal berdekatan rumah saya di asrama Abdullah Munshi saya bereskan dengan bantuan sang wira hijau saya, kereta tua yang banyak berjasa dan sarat cetusan nostalgiknya. Setelah saya berpamitan dengan Pak Jaga yang agak keberatan membuka kerdip matanya, saya luncurkan kereta terus menuju ke rumah dalam dakapan malam yang pekat. Rupanya warga pulau juga terlelap tenang di hujung malam sesuatu yang belum pernah saya alami sebelum ini, kebiasaannya hidup malam saya hanya dipagari terang kamar rumah saya,



Nadwah Kepemimpinan Islam 2010 berjaya disempurnakan dengan seramah mesranya dari tuan rumahnya Kelantan pada jam 2.30 petang. Setelah makan tengahari dan bersolat jamak di Musollanya kami para kontinjen bersalaman dan bermaafan,dibalik cahaya lensa yang berkerlipan merakam detik nostalgic syahdunya perpisahan.
Dengan sulaman aktiviti serba padat dan berobjektif, para peserta diharap dapat mengunyahnya sebagai santapan ilmu dan pengalaman yang cukup berharga. Sesungguhnya pengalaman adalah sebaik-baik guru. Bukankah begitu?

Antara program yang berlangsung dan disematkan dalam jadual nadwah kali ini ialah acara explorace solat yang menuntut para pelajar berwuduk dengan air laut dan bersejadahkan pasir pantai yang memutih, menguji ketahanan fizikal dan mental diri dalam pendakian bukit keluang yang mencabar kerangka naluri diri,memecahkan ego diri dalam sedar yang terpimpin melalui slot muhasabah Alam Kauni yang disempurnakan para jurulatih yang sememangnya berpengalaman.

Juga bersama membina ukhuwwah dan keserasian kerjasama melalui pemilikan Negara Islam bersama yang perlu dipacu dengan agenda pemikiran reality dengan keabsahannya teruji melalui kekuatan teori dan praktik mencipta loga, moto, visi dan haikal organisasi juga mengarca dimensi logiknya dengan pembinaan Negara Pasir yang ampuh bertahan.

Moga ibrahnya mampu terus diamalkan semua peserta walaupun tirai nadwah ini telah lama berlabuh nanti.

Segalanya berlangsung ceria dan penuh warna warni ragam kepimpinan muda ini.

Sehingga bertemu lagi, tabir penutupan program dilabuhkan penuh indah dengan baton penganjurannya ditahun depan beralih kejap di pundak amanah kontinjen negeri Sembilan.

Kita berjumpa di sana nanti 2011. Insya allah

Sunday, August 1, 2010

Wanita Setaraf Anjing

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A : Batal (terputus) solat seseorang kamu jika (telah lalu dihadapan kamu) seorang wanita, seekor keldai atau anjing. Hadis ini dirakamkan Imam Muslim dalam kitabnya bernombor 511 bab Sutrah bagi orang yang bersolat.

Ustaz… saya ada satu soalan untuk kamu. Ah Saw menerjahkan salamnya dengan soalan.

Seperti biasa perjalanan saya tersekat seketika dengan soalannya, urusan saya dipejabat sekolah saya tangguhkan seketika untuk meladeni soalan dari pelajar saya ini.



Saya melayari internet dan terbaca tentang kata2 dari prophet Muhammad yang menyamakan wanita dengan anjing. Betulkah begitu ?

Kaget mulanya saya bertembung soalan sebegitu, tapi saya gagahi sebagaimana biasa untuk tersenyum dan memulakan bicara. Bagaimana hadis tersebut …? Sengaja saya memancing sedikit kepastiannya untuk mengumpul detik menganilisis himpunan data tersebut diminda saya.
Sengaja saya melengahkan sedikit masa untuk mengedit strategi terbaik untuk memberi respons agar ianya menjurus kepada pencerahan ilmu dan keterbukaan minda. Sengaja saya sebenarnya menanti ilham dan pertolongan terbaik dari tuhan tentunya.

Lalu dengan sedikit pelat cinanya yang masih pekat beliau cuba menyebut kalimah hadis tersebut yang pastinya sudah dihafalnya buat pertembungan ilmu dengan saya hari ini.

Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim pastinya bukan calang2 hadis yang boleh disanggah DHAIF.

Namun senyum kelegaan saya bila sinar maklumat semakin mencerah diminda saya, ianya persoalan tentang anjing dan islam yang saya terbaca beberapa minggu yang lalu, itupun berkaitan selebriti Islam yang bersekongkol dengan anjing dan berhujjah perbezaan mazhab membenarkan tindakannya. Seorang sahabat bertanya tentangnya dalam satu sidang LDP yang membosankan memberikan sedikit keceriaan dan manfaat pada masa saya tika itu.

Baiklah, sememangnya hadis ini termaktub dalam kata2 nabi yang disebutkan benar dan betul, namun ianya memberi sedikit perbezaan pandangan antara ulamak Islam berkenaannya.

Ini kerana ada dalam hadis yang lain disebut beliau bersembahyang dirumahnya dan isterinya Aisyah berada dihadapannya. Beliau tidak membatal dan menghentikan solatnya.

Begitu juga dalam hadis yang lain menyebut, hanya wanita yang haid sahaja akan membatalkan solat. Dan nabi juga mengatakan : hanya anjing hitam sahaja membatalkan solat, bagaimana pula dengan anjing berwarna lain, lalu rasul menceriakan kita dengan simpulan jawapan : anjing hitam adalah syaitan,( ia akan mengganggu dan memutuskan kekhusyukkan solat).

Logik pun menyatakan taraf manusia dan haiwan berbeza. Lalu dalam persoalan sebegini para ulamak Islam menyatakan maksud hadis tersebut ialah sekiranya dihadapan orang yang sedang solat mengadap tuhan itu dilalui perkara2 tersebut, ia akan menganggu konsentrasi dan khusyuknya. Maka pahala solatnya akan teroutus dan berkurangan.

Seorang lelaki yang sedang belajar diganggu perempuan yang lalu lalang ditingkap bilik belajarnya, normalnya konsentrasinya akan terganggu bukan begitu kan. Lalu dalam hadis nabi meminta kita mencari cara terbaik mengatasinya dengan membuat hadangan untuk solat yang lebih sempurna dan berfokus. Itulah yang dinamakan sutrah.

Islam tak pernah menyamakan antara wanita dan anjing.

Apa pula persepsi kita bila kita ke sebuah kedai menjual pakaian untuk lelaki dan dipintunya terpamer : DILARANG MASUK UNTUK PEREMPUAN , ANJING DAN MAKANAN.

Adakah kita juga menyatakan : pemilik kedai dan pelanggan dikedai ini menyamakan wanita dengan anjing ???

Ah Saw mengangguk faham, namun pasti… soalan mautnya sentiasa menunggu dimuncung laras bibirnya untuk dihamburkan nanti.

Allahul Mustaaan.