Showing posts with label Bakti. Show all posts
Showing posts with label Bakti. Show all posts

Monday, December 13, 2010

Program Diskusi Ilmu


Program Diskusi Ilmu siri kedua ini disertai oleh hampir seramai 1000 orang pelajar dari Daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Ianya diadakan pada 3 November 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.Program ini anjuran Unit Operasi Dakwah dengan kerjasama Masjid Negeri P.Pinang.

Majlis ilmu ini diisi dengan soal jawab agama dan bacaan kitab Mukhtasar al Mufid susunan Ustaz Rosli Othman yang juga selaku pembicara pada program kali ini.

Ustaz Rosli Othman merupakan Penolong Pengarah Kepimpinan Unit Operasi Dakwah SPI. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri P.Pinang


Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010





Kem Pemantapan Organisasi 2.5 dan Kem Kepemimpinan Imtiyaz 2010 telah diadakan pada 19 hingga 21 November 2010 bertempat di SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Kem Pemantapan Organisasi 2.5 adalah lanjutan daripada Kem Pemantapan Organisasi siri II yang telah berjaya diadakan sebelum ini.Kem selama 3 hari 2 malam ini disertai oleh 18 orang pelajar lelaki dan 50 orang pelajar perempuan dari SMK Abdullah Munshi.

Kesemua 68 peserta kem ini dibantu oleh 11 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Perempuan dan 9 orang fasilitator muda dari SMKA Al-Mashoor Lelaki.

Fasilitator-fasilitator ini dibawah bimbingan Unit Operasi Dakwah SPI.

Syabas kepada semua yang telah menjayakan kem pada kali ini.

Walaupun bahang hari raya masih hangat terasa, para pelajar dan tenaga kerja dakwah dari SPI dan SMK Abdullah Munshi telah berjaya menunjukkan erti kata PENGORBANAN mereka dengan menganjurkan dan mengahdiri program yang dirangka sejak awal lagi .

Dengan menggunakan para tenaga fasi dikalangan pelajar yang dilatih menjadi AMILIN tempohari, mereka diberi kesempatan bereksperimen dengan berhadapan mad'u sebenar dalam sekolah yang berbeza.

Alhamdulillah, sesungguhnya mereka mampu melakukan.

Tahniah dan ucapan selamat berjaya juga di ucapkan kepada al Fadhil Ustaz Khairul Asfani yang banyak terlibat menjayakan program tarbiah islam di kepulauan ini.

Walaupun berat rasa hati melepaskan, akhirnya kami terpaksa relakan al Ustaz untuk berpindah dan terus melakar kerja dakwah dengan lebih berkesan di daerah yang baru.

Moga allah merahmati kita semua dan meramaikan AMILIN DAKWAH seperti al fadhil Ustaz.

Kursus Pemantapan Organisasi Siri Kedua



Kursus Pemantapan Organisasi siri kedua untuk pelajar-pelajar Sekolah Berasrama Negeri P.Pinang telah berjaya dilaksanakan pada 8 hingga 10 November 2010.

Kursus ini diadakan di Pusat Kokurikulum JPN Bukit Mertajam. Seramai 120 pelajar menyertai kursus ini dibawah bimbingan 12 orang fasilitator berpengalaman.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah Md Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah Bahagian Pendidikan Islam KPM.

Syabas kepada semua yang terlibat menjayakan kursus ini.

Semoga akan melahirkan pekerja Islam yang sejati.

Dengan menjenamakan tema MENCETAK PEKERJA ISLAM , saya dan beberapa rakan fasi memegang amanah penting dalam menerapkan semangat amilin ini untuk dihayati.

Ternyata fikrah merasakan tanggungjawab islam ini dibahu mereka yang tertentu hanya akan menjadikan kerja2 islam ini semakin dipandang lesu dan ditinggalkan.

Sindrom merasakan INI BUKAN TUGAS SAYA meletakkan pelbagai aktiviti agama di sekolah menjadi kaku, bosan , dimonopoli dan akhirnya ditinggalkan. Atas semangat inilah perlunya para penggerak remaja disetiap sekolah merasai amanah BERAMAL KERANA ALLAH ini menjadi pemangkin dan pendorong diri untuk terus beramal tanpa rasa jemu dan lelah.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam



Antara program yang sempat saya sertai di penghujung persekolahan yang lalu.

Kem Kecemerlangan Pelajar Islam Peringkat Negeri P.Pinang telah berjaya diadakan pada 12 hingga 14 Oktober 2010 bertempat di Masjid Negeri P.Pinang.

Kem ini adalah hasil kerjasama Unit Operasi Dakwah dan Masjid Negeri P.Pinang. Seramai hampir 80 pelajar lelaki dan perempuan dari SMJKC dan Sekolah Bantuan Modal negeri P.Pinang telah menyertai kem selama 3 hari 2 malam ini.

Antara pengisian utamanya ialah pemantapan Akidah Islam dan tangungjawab sebagai seorang Muslim sejati.

Alhamdulillah, sempat saya mengeksport beberapa orang pelajar Tingkatan 4 untuk menyertainya sebagai langkah awal membina kepimpinan baru bagi menyelaras aktiviti persatuan untuk BAKTI nanti.

Respon yang amat baik apabila mereka yang pulang bertanya dengan penuh semangat untuk menyertainya lagi buat kali yang kedua.

Monday, November 22, 2010

Praktikal Sembelihan

Peperiksaan PMR baru sahaja berlalu 2 minggu yang lalu, Kaum Muslimin pula bakal menyambut kedatangan Zulhijjah 2 minggu selepas itu.

Kehadiran pelajar Tingkatan 3 semakin merosot saban hari meskipun diacah dengan denda dan amaran juga disogok dengan hiburan dan program lawatan bertema hamper setiap hari, ia dianjurkan secara silih berganti oleh pelbagai panitia yang ada disekolah bagi mengisi kekosongan waktu yang ada.

Program lepas PMR itulah antara tugasan yang diberikan untuk saya sebagai ketua panitia mengisinya dengan program keagamaan yang berfaedah, jua perlu diingat ianya perlu mencerminkan ilmu, santai dan ceria. Takut budak tak mai kata penyelaras kami Encik Lim.

Teruja dengan keakraban bulan zulkaedah dan zulhijjah serta kesyahduan ibadah korban yang sinonim dengannya, saya mencadangkan praktikal sembelihan dan penghayatannya untuk menjadi agenda dasar program tersebut nanti. Apatah lagi, topic sembelihan, akikah dan korban bakal dilalui mereka tatkala berada di Tingkatan 4 nanti.

Ianya dengan mudah dipersetujui bersama, sementelahn juga pihak kantin yang dikendalikan oleh Kak Idamiah juga menyatakan kesediaannya tanpa berbelah bahagi untuk turut sama membantu.

Kertas kerja diajukan kepada pihak pentadbir dengan jumlah tertentu yang dipohon sebagai alat pelincir majlis.

Tidak sebagaimana yang saya andaikan awal, Jumlahnya dilulus tanpa banyak bicara.

Namun yang ajaibnya, tentative dan perjalanan program pula yang menimbulkan banyak pertanyaan.

Saya dan Ustazah Asmawati berulangkali menjelaskan tentang objektif perlaksanaan, kawalan pelajar, lokaliti penyembelihan, jaminan kualiti kebersihan dan ajk bertindak serta tuntutan agama untuk umatnya mengetahui dan sensitive terhadap isu pemakanan seumpama ini.

Sayangnya ….. Praktikal Sembelihan perlu dirujuk ke peringkat pentadbiran.

Dan jawapan yang saya terima keesokannya agak memeranjatkan, pihak sekolah tidak dapat membenarkan praktikal sembelihan ini dilaksanakan atas dua alasan :

1) Kita berada di territory gereja atau brotherhood, mungkin ada pantang larangnya disini yang tidak sesuai dilanggar apatah lagi melibatkan penumpahan darah binatang, kebersihan dan sebagainya.
2) Menjaga sensitivity kaum yang pelbagai disekolah ini yang antara majoritinya beragama hindu dan Buddha yang menggangap cara penyembelihan itu nanti akan menzalimi binatang serta tidak menimbulkan rasa kecilhati para guru vegetarian yang ada.

Dengan keputusan perit itu, saya didamaikan dengan satu penyelesaian, mungkin masjid sekitar sekolah yang berdekatan boleh membantu. Dan kerananya jugalah saya sempat menziarahi dan mengenali beberapa masjid terdekat dan berinteraksi dengan jawatankuasanya.

Apapun kekangan masa dan prosuder menjadikan saya selesa meneruskan program sembelihan ini dengan teori dan objektifnya. Namun sesi praktikalnya masih lagi ada dengan jamuan ala-western food yang dinikmati para guru dan pelajar muslim serta Bakti dihari jumaat yang ceria itu.

Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu dan menjayakan dan tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada ayam2 yang sanggup terkorban.

Antara gambar foto sesi praktikal makan ayam di surau SXI.


Bersemangat dan penuh kebuluran, pelajar yang hadir memeriahkan program.


Begitu juga rakan guru, dengan mulut yang masih penuh, mereka memuji penganjuran program dan memintanya diadakan lagi. Tak pastilah program praktikal korbannya atau praktikal makannya. Apapun layannnn ayammm dulu !


Nasi Goreng Special, sumbangan dari Kantin sekolah yang dermawan.


Coleslaw yang lemak berkrim dan diminati ramai. Licin tanpa perlu disental lagi.



SXI Fried Chicken yang awesome dan lazat. Rugi sesiapa yang tak rasa.

Monday, October 25, 2010

Nostalgia NKISM 2010



Terkenang saya saat ditaklifkan menjadi guru pengiring untuk peserta Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Kebangsaan tempohari di Kelantan.

Banyak kenangan manis yang tercatat dan tersisip kemas dingatan.

Kepulangan ke desa asal saya manfaatkan namun melihat kecaknaan peserta mengikuti rutin asas program adalah lebih bermakna.


Kerana itu, saya lebih gemar untuk turut menyertai setiap aktiviti anjuran nadwah ini moga ianya menjadi bekalan bermakna untuk dibawa pulang tatkala berakhir permusafiran nanti.



Ihsan dari SPI Penang yang dipamerkan Ust Suhaizi, ketua rombongan kami di facebook spi. Banyak memori seolah berbicara kembali dibenak saya. walau dialognya sepi, namun kesepiannya bersulam pengalaman.

Dan pengalaman itu boleh menjadi sebaik2 guru yang mendewasakan kita.




Friday, October 22, 2010

Jejak Foto Dari Kem Kecemerlangan

Beberapa foto dari ehsan spi penang, mungkin memori ini mampu menjana istiqamah berkekalan.









Kem Kecemerlangan Pelajar Islam 2010

Berlangsung tanpa publisiti meluas ialah sebuah program anjuran Sektor pendidikan Islam Pulau Pinang dibawah kendalian dua murabbi SPI Penang, Ustaz Suhaizi dan Ustaz Arizualdy.



Program berskala sederhana ini mengumpulkan para pelajar dari beberapa buah sekolah yang terpilih sahaja. Kendati nawaitu yang asasnya ialah mengumpulkan para pelajar yang bermasalah dari sudut pemahaman akidah, penghayatan ibadah dan pemakaian akhlak.

Justeru saya menyambut positif tatkala dihubungi al fadhil pengelola program untuk menempatkan 10 pelajar berstatus tersebut untuk dibimbing didalam komuniti kem kesedaran yang lebih dihighlightkan sebagai kem kecemerlangan ini.

Seawal tugas amat rumit untuk mengumpulkan pelajar tingkatan 4 yang diminta penganjur, ini kerana tapak program yang bertempat di masjid negeri pulau pinang mematikan langsung keinginan para pelajar berstatus nakal2 remaja ini untuk mengikuti program.

Setelah beberapa hari bertolak ansur dan berbahasa halus dengan pelajar, saya amanahkan kepada saudara HILMI, ajk BAKTI untuk mempromosi dan mengambil maklum balas dari pelajar, tapi ternyata saya dihampakan dengan pelbagai alasan pelajar untuk tidak menghadiri kem tersebut.

Lalu, dengan kuasa SUPERGURU yang ada pada saya, saya memilih secara terpilih beberapa nama pelajar yang agak nakal namun masih boleh dibimbing untuk diserapkan dalam senarai pelajar yang akan diasuh nanti. Dengan menggunakan sedikit teknik pujukan ala paksa, mereka bersedia mengharunginya.

Namun, sebagai strateginya, saya masih menempatkan beberapa orang pemimpin BAKTI untuk menjadi peninjau dan penasihat on the spot kepada rakan2 yang mungkin terlupa.

Berlangsung selama 3 hari bermula 12-14 haribulan 10 yang lalu, respon pelajar saya cukup positif, mereka seolah tersihir dan tersentuh dengan aura positif yang hadir dari kalangan murabbi dan fasi yang terdiri dari pendidik agama di sekolah berdekatan.

Andaian awal dan nakal rakan guru yang pelajar ini akan membawa masalah dan mencalar imej sekolah ternyata meleset, sebaliknya mereka dipuji antara kumpulan aktif dan berdisiplin dikalangan komuniti peserta. Ulasan rawak yang saya terima dari para fasi dan murabbi juga menceritakan perkara yang sama.



Dan mungkin kerana itu jualah, beberapa peserta dari SXI ini terpilih memimpin kumpulan dan program2 tertentu, dan dipenghujungnya serumpun doa dirafakkan doanya oleh wakil pelajar dari SXI juga.

Moga arus perubahan ini mampu terus bertahan dan menderukan momentumnya untuk merancakkan penghayatan agama disekolah satu hari nanti.

Tatapilah beberapa gambar fasilitator dari laman facebook spi penang.



Monday, September 20, 2010

Kepimpinan BAKTI baru

Sekalung tahniah buat kepimpinan baru BAKTI.


Usiamu belumpun cukup setahun jagung.

Imejmu masih comot berhingus.

Latahmu masih bercanda senda dan tawa. Seriusmu hilang dibalik keletahmu.

Namun ia membahagiakan.

Qiammu pun belum utuh stabilnya, langkah tatihmu masih tersungkur jatuh dan bangun.

Suaramu masih belum bergema, tersekat antara anak gigi yang baru hendak tumbuh.

Namun dibalik halus jejarimu, dan redup matamu …. Menyinar rona aktif sahsiahmu.

Engkau bisa bangkit dari jatuh, bisa ceria dari kegagalan, bisa tersenyum dari kesilapan, bisa bingkas dari keletihan… Akar semangatmu biar kental berombak semangat ingin menerima dan memberi. Menimba ilmu dan bersedia dididik setiap waktu disamping tahan ujian dan suka menghulur tangan bantuan dan manfaat untuk semua.

Inilah wajah BAKTI yang baru.

Watak anak merdeka yang sedia berjuang dan terkorban.

Demi agama.

Biar pahit ujian didunia, namun yakinlah janji allah, sesungguhnya syurga itu manis….. sebagai maharnya.

Ahli jawatankuasa BAKTI 2010

Bil Nama calon Tingkatan
1 HARITH MURAD A.K.A BOB 3C (Pengerusi)
2 ADLI 3G
3 AFIFUDDIN NOR AZAM 4A1
4 MURSHID ABU HASAN 4A2
5 AHMAD FADHIL 4A3
6 ZUL AZRI 3L
7 HILMI HUSAINI 4A3
8 SYED HUSAINI 3C
9 ZULHAMIZAN 2J
10 HAZIQ HAZWAN ZULKIFLI 2F
11 AMIR SAIFULLAH IDRIS 4S3
12 MUHD NAIM B MOHD NIZAM 4S1
13 M. DANIEL AZRAI 4A2
14 SYAHRAIN 4A2
15 HARIS HASAN 3L
16 WAN AZRI 3J
17 SYAMIR 3C
18 MUIZ 2M
19 SABIQUL BUKHARI 2J
20 SYAZWAN 3M

Cuba teka yang mana satu BOB ???



Yang mana satu ya ???

MESYUARAT AGUNG BAKTI

Seawal Ogos, sesi mesyuarat agung untuk setiap persatuan dan kelab berjalan lancar mengikut tradisinya di sekolah ini, ianya bagi memberi ruang kerehatan kepada para pimpinan lama yang kebanyakannya berada di tingkatan 5 dan 6 untuk lebih memberi fokus pada peperiksaan klimaks mereka.

Objektif keduanya juga membuka peluang kepada garapan kepimpinan baru yang lebih bertenaga dan berwawasan untuk berperanan dalam mengembangkan sayap organisasi agar dapat memberi manfaat selebar yang terjangkau.

Mungkin organisasi yang baru dilantik dipertengahan tahun mampu untuk melihat dan menjangkau agenda dan aktiviti baru yang lebih berkesan, samada sebelum, semasa atau selepas cuti dan buka sekolah nanti ditahun depan.

Saya terbius seketika tatkala pengumuman pembubaran kepimpinan ini dilancarkan PK Kokum sekolah, MR LIM. Hati terasa berkaca dan retak seribu. Persatuan dan kepimpinan sedia ada yang baru terasa serasi dan mampu bertindak seiringan terpaksa saya leraikan untaiannya. Apatah lagi pelapis kepimpinan BAKTI juga belum mampu saya congak calon terbaiknya.

Namun dibawah sedar tanggungjawab dan menyahut cabaran, saya akur menggangguk untuk sesi AGM yang dipilih tarikhnya di penghujung Ramadhan yang lalu.

Maka bergegaslah kami merangka, menyusun dan memprogramkan AGM sulung BAKTI ini sebaik yang mungkin. Pengalaman dan sedikit dokumentasi lama bersama BALKIS saya arahkan pelajar disini untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

Dan alhamdulillah, pada Khamis terakhir persekolahan, AGM BAKTI berjaya kami luncurkan sebaiknya.

Terima kasih dan teruskan komitmen buat kepimpinan BAKTI yang lama.

Selamat bertugas dan berjuang buat kepimpinan baru yang terpilih.

Antara foto terindah dalam lipatan kenangan.


Amanah, Sesi pengundian berlangsung memilih kepimpinan baru BAKTI.


Tekun dan fokus menanti amanat, reaksi audiens yang hadir.


Istiqamahlah ... antara pesanan saya kepada barisan pelajar islam ini.


Pengerusi BAKTI sayu melepaskan jawatannya.


Barisan kepimpinan BAKTI yang lama, terima kasih atas sumbangan kalian.

Friday, July 23, 2010

Saingan Komitmen Pelajar

Meluncur deras kalimah alhamdulillah dari bibir saya tatkala melihat kehadiran AJK persatuan Islam di sekolah saya untuk bersama solat berjemaah. Ternyata komitmen mereka masih utuh walau ada juga yang terpaksa diketuk dan diperingatkan.

Buku Fadhilat Amal yang dihadiah dan berstatus WAKAF oleh seorang sahabat guru yang teruja dengan komitmen persatuan pelajar islam disini, kami baca dan telaahnya sebaik mungkin. Walau dalam jumlah yang mungkin masih minority, komitmen pelajar untuk menimba ilmu-ilmu agama juga terserlah. Nasihat agama yang dibacakan tentang solat misalnya, diulang-ulang sesame rakan untuk menjadi renungan dan obor sedar keinsafan.

Sayang … Cikgu Fairuz yang pada awalnya berstatus Guru Sandaran tidak terlatih, juga yang telah menghadiahkan buku itu kepada kami akhirnya berpindah menyambung Kursus KPLI yang lebih menjamin kerjayanya.

Diambang Ramadhan ini kami cuba gamatkan aktiviti, biarpun tahap kesibukan aktiviti persekolahan yang tingkah meningkah programnya berselang, kami celah dan selitkan perancangannya sebaik mungkin. Dalam celahan aktiviti sekolah dengan hari merentas desa, malam ko-kurikulum, hari unit beruniform dan lainnya, kami sempat merealisasikan satu KEM BESTARI (versi PMR) dan juga program ZIARAH DAKWAH bersama Bakti.

Lestarinya ia menjadi trademark satu program yang berjaya dan boleh dicontohi.

Namun …. tanpa sedar, saya rupanya telah membangkitkan amarah. Tanpa niat ada hati dalam persatuan yang terkilan, sekam jealous membara memarakkan api tersentuh perasaan.

Lalu… kemuncaknya ia dilahirkan dalam satu pertemuan, kami ajk Bakti pun mahukan program sekerap BALKIS, kami sanggup bersekang komitmen demi kelangsungan program terbaik bagi kami.

Dan ustaz ni, asyik tersasul sibuk BALKIS aje…… persatuan pelajar islam kat sini ialah BAKTI lah. Komen panas mereka mengusik cuping seketika. Saya hanya mampu tersenyum…

Insya allah, kita cuba laksanakan program sebaik mungkin. Bukan kuantiti aktiviti yang kita cari tapi kualitinya ya …. Ujar saya memujuk mereka. Harapannya, moga mereka memahami.

Tiba-tiba sayup mata saya menangkap tinta entry ini (diambil dari blog pimpinan pelajar saya, Hazmizal). Mungkin mereka mahu mula memahami !!

BAKTI VS BALKIS

Bakti merupakan Badan Kepimpinan dan Tarbiah Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier. Ianya ditubuhkan pada awal tahun ini. Semua pelajar islam di sekolah ini merupakan anggota Bakti...

Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan oleh Bakti pada tahun ini..
Antaranya Sambutan Maal Hijrah, Kem Ibadat sempena Maulidur Rasul, Pertandingan Poster [ Rasulullah S.A.W. Utusan Terakhir ] dan Sebagainya..



Semoga Bakti terus maju di kemuncaknya.....

Balkis merupakan badan yang telah ditubuhkan oleh ustaz Hafizullah di sekolah tempat dia mengajar di Sabah. Balkis sering menjadi ungkapan apabila ustaz berada bersama kami.. Ustaz cuba membawa Bakti seiring dan semaju Balkis..

Balkis menjadi kenangan yang terindah kepada Ustaz Hafizullah.



Apa-apa pun, Bakti masih baru dan kami mampu untuk bersaing secara sihat dengan Balkis..

Biarlah masa menjadi penentunya...

Wednesday, May 12, 2010

Memori Lama Majlis Ceramah Maal Hijrah Di SXI

Antara gambar yang sempat saya kutip dari beberapa kotak lensa kamera para pelajar Bakti. Setelah sekian lama, rasanya memori gambar ini masih mampu menceriakan ingatan.


Group Sajak yang menghiburkan.


Bersama kumpulan nasyid BAKTI yang baru suam2 kuku gegarannya.


Tidak dilupakan para AJK BAKTI yang banyak berjasa.


Penghargaan bersama anak2 didik di St Xavier seusai ceramah.

Tuesday, May 11, 2010

Belajar dari Realiti

Jumaat itu.

Suasana redup tengahari jumaat itu menceriakan iskandar dan Danish yang sedang menikmati makanan tengahari itu disebuah restoran yang sarat dengan pengunjung. Lokasi yang sesuai dan dekat dengan tempat kerja menjadikan ianya tempat yang paling strategic untuk mereka menyantap makanan dengan penuh bersemangat.

Gulai lemak cili padi yang berlaukkan ikan kembung itu pantas disuapkan iskandar ke mulutnya, pedas tapi sedap. Sekilas matanya menoleh ketepi jalan, ianya singgah ke susuk tubuh seorang gadis muda yang sedang melintas jalan, spontan bibirnya memuncung kearahnya dan berkata , Danish, cuba kau tengok tu ?

Apa dia is ? tu, anak pak mat tu, kau tengoklah pakaian dia,terbelah sana sini, : jawab iskandar menerangkan. Shila tu memang macam tu, aku dah biasa tengok dah , kejap lagi kau tengoklah …. Mesti ada sekor mamat datang bawak dia naik motor, ntah mamat kilang mana ? berkepit lah tu, ntah kemana perginya. Jumaat pun ntah sembahyang kat mana ? sampuk Danish pula

Setan

Ntah la, …. Aku pun heran. Macamana la mak bapak diaorang boleh benarkan, pak mat tu kan orang masjid, selalu solat dekat masjid. Tapi anak dia …hush, mengalahkan setan. Amin anak dia yang sulong penagih dadah, zikri yang nombor dua tu bulan lepas kena tangkap polis pasal curi kabel, ha dan yang no 3 ni , shila ….esok lusa kau tengoklah, pasti mengembong perut dia tu…kata iskandar menambah, sambil tangannya menghirup sup daging disebelah kirinya.

Aku setuju, is… kau ingat lagi pasal minggu lepas yang heboh jumpa mayat bayi kat tangga masjid. Spesis budak macam ni la yang buat kerja. Tak tahu halal dan haram. Jelas Danish.

Ya, la.. mula2 seronok2 jumpa, dating, pegang2 pastu berzina, dah pandai buat dosa tu tapi tak pandai nak jaga, ditambah pula dengan dosa yang lain pula, dibunuh pula bebudak kecik tak berdosa tu… kan baik kalau diberi pada orang yang tak ada anak. Memang hati binatang betul diaorang ni. Jelas iskandar kesal.

Yalah, memang jenis tak menghormati agama, tak tahu dosa pahala, bua malu mak bapak je. Orang macam ni , kena sula dan potong kemaluan lagi bagus. Danish mengeluarkan pendapat gila2nya.

Ya la, kalau aku dapat tahu sapa punya kerja, aku baker dan bagi makan dengan anjing baru tahu, iskandar sama mengeluarkan perasaan marahnya.

Kewajipan

Angin yang sepoi2 bahasa menyaman dinginkan tubuh mereka, apatah lagi tatkala itu mereka meminum air batu campur yang memang menyelerakan, terasa nikmat makan itu mengaliri kerongkong ke usus mereka dengan penuh keseronokan.

Tiba2 iqamah jumaat dari surau berdekatan menyedarkan mereka, ternyata imam sudah menghabiskan khutbah keduanya dan mula mengangkat takbir.

Segera mereka menghabiskan sisa ABC yang masih berbaki, …. Ish, sempat lagi ni, cepat sikit iskandar … nanti terlepas jumaat pula.

Bergegas kaki mereka melangkah kemasjid bersebelahan surau untuk menunaikan fardhu jumaat.

Slot tengahari isnin itu berjalan lancar, walaupun suasana diluar surau agak lengang dan kosong kerana hari itu diisytiharkan hari bebas kokum, Ia akan diganti pada hari sabtu nanti untuk acara gotong royong perdana, tapi kehadiran ajk BAKTI untuk program sahabat amat mengujakan saya.

Kehadiran tanpa jemu, dan kesungguhan berpartisipasi dan komitmen mengambil manfaat dalam program kecil tersebut sesungguhnya sungguh mengkagumkan saya.

Bilangan mereka kecil, tapi komitmen dan kualiti niat dan kesungguhan yang ada pada mereka saya amat puji. Inilah barisan hadapan yang saya harapkan untuk membangun budaya ilmu dan islam disekolah ini nanti. Mudah-mudahan dipermudahkan.

Dengan artikel tarbiyah yang saya karang spontan dari pengalaman lama, saya sengaja bentukkan ia menjadi peristiwa reality yang kerap berlaku sekitar kita, ianya adalah lumrah hidup bukannya khayalan fantasi yang kabur.

Dan situasi ini saya bawakan kehadapan mereka, menggamit pandangan dan soalan mereka, sengaja saya timbulkan konflik tandatanya, sengaja saya bangkitkan kontra pendapat, sengaja saya dedahkan fakta yang pelbagai dan sengaja saya berikan pelbagai tips dalam menghurai kekusutan penyusunan idea dan fikrah pelajar ketika mengemukakan pandangan dan hujjah.

Dan saya sengaja membiarkan perdebatan dan kontradiksi idea antara mereka membakar semangat ingin mencari kebenaran dan tidak malu mengeluarkan pandangan.

Mereka yang sesat dilebuh maklumat saya pandu kepangkal jalan, mereka yang teraba mencari arah idea saya berikan sedikit clue membantu, mereka yang terover saya redakan kelajuannya dan mereka yang pendiam saya baker sedikit ego senyap dan telinga tebalnya. Semuanya untuk memastikan mereka berjiwa islam dan berhujjah dengan idea yang mampu menyelamatkan mereka dari lembah kesempitan dunia kepada kemuliaan dan keluasan ilmu dan rasional islam meliputi wawasan dunia dan akhirat.

Becok akhirnya mereka berbicara, rancak mengeluarkan pandangan walau kekadang bertatih dan terpaksa dibantu. Tidak mengapalah… inilah barisan hadapan BAKTI yang saya perlu sabar melatih dan melukis potret jatidiri muslim pada setiap pemikiran dan perwatakan mereka.

Dan antara soalan perbincangan yang saya kemukakan berdasarkan cerita reality tersebut :

Apa pendapat kamu tentang sikap :

1) Shila.

2) Pak Mat

3) Apa yang kamu buat selepas menjumpai anak yang dibuang. Bagaimana jalan penyelesaian menangani kes buang anak ini.

4) Sanggupkah kamu mengambil anak luar nikah ini sebagai anak angkat satu hari nanti.

5) Setujukah kamu dengan sikap Iskandar dan Danish.

Wednesday, May 5, 2010

Minda Analitikal

Minda Analitikal

Membina barisan kepimpinan islam yang penuh komitmen dalam menjiwai watak keislaman bukanlah satu perkara yang mudah.

Apatah lagi kepimpinan organisasi islam yang berfikiran positif mendepani segala mehnah dan ujian memerlukan mereka berfikiran kreatif, bijak berhikmah, cepat membuat keputusan dan melebihkan peranan sabar dalam kehidupan.

Lalu pernah saya berkongsi cerita bersama anak2 BAKTI dalam program usrah mingguan kami, Program Sahabat Islam.

Setiap pendakwah perlu bijak dan kreatif dalam meyeru umat manusia kembali berpaut pada tali agama, seorang agamawan dan pendakwah tidak hanya boleh menuturkan kata-kata HARAM, DOSA dan NERAKA kepada semua dalam apa keadaan sekalipun.

Tugas seorang rasul juga bukannya mudah, ia memerlukan hikmah dan kekuatan minda dalam mendepani cabaran semasa dan mehnah manusiawi yang pelbagai.

Sebagai tamsilannya, tatkala berdepan dengan isu kebejatan social dan perzinaan seorang ustaz tidak hanya boleh berkata sekadar haram berdosa dan mendapat laknat allah, penjenayahnya akan dimasukkan kedalam neraka dengan pelbagai azab seksaan dari allah disediakan untuknya.

Tetapi seorang ustaz pula bercakap lebih dari itu :

1) katakanlah bahawa zina sememangnya membawa keseronokan kepada diri, tapi ianya akan melemparkan penghinaan dan keaiban kepada masyarakat, bayangkan seorang perempuan yang dizinai seseorang, pastinya ia mempunyai ayah ibu yang sentiasa menjaga dan menatang manjanya, mungkin ia juga adalah isteri seseorang, ibu ataupun makcik seseorang yang amat mereka hormati dan sayanginya.
Jika ianya terjadi kepada diri,keluarga dan wanita yang kita sayangi, dimanakah lagi kehormatan dan keseronokan yang kita cari selama ini, ia terpadam dengan pencabulan maruah diatas jenayah zina yang dilakukan.

2) Zina perlu dijauhi bermula dengan mengawal diri dari tercebur ke dalam pergaulan bebas tanpa batasan, membebaskan diri dari agama dan berpeleseran anatara lelaki dan perempuan akan menjadikan manusia cepat terjerumus dan binasa dilembah kehinaan zina. Bercinta, dating, berdua-duaan, berkhalwat dan berpegang tangan adalah muqaddimah pertama kepada perzinaan.
Cuba ingati pesan ini : mencium pipi babi lebih baik daripada menjamah tangan seorang perempuan yang bukan mahramnya, ini kerana babi yang dianggap jijik dan busuk itu hanya najis jika disentuh tapi ianya tidak menjanjikan dosa, kenajisannya boleh dibasuh dengan menggunakan bilasan air dan tanah sebagaimana disyariatkan.
Tapi persentuhan kulit yang bukan najis ini pula sebenarnya menuntut sebuah dosa besar penderhakaan kepada tuhan yang seterusnya merangsang sebuah perzinaan yang penuh dosa.

3) Jika tidak kita takuti zina dan hukuman nerakanya, takutlah kesan zina yang akan berlaku pada diri kita, zina dan perlakuan sumbang kita hanya akan membawa kita menerima pembalasan tuhan dalam tempoh duniawi lagi.
Seseorang yang sudah terlanjur dan curang, pastinya akan disandingkan jodohnya dengan perempuan yang sama lagak nakal dan kesyaitanannya.Maka jika kita menginginkan jodoh yang terbaik untuk membina rumahtangga bahagia kita, juga membentuk genetik zuriat cemerlang asuhan baik dari isteri tersayang kita, maka kita sendiri perlu mempastikan kesolehan kita. Jika tidak apa ertinya ayat tuhan : lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan wanita jalang untuk jantan yang songsang.

4) Sebuah dosa yang hadir pada manusia tidak akan berhenti dengan satu dosa, bahkan ianya akan merebak kepada dosa yang berpanjangan. Kerana itulah dosa berpegangan tangan akan membawa kepada dosa khalwat, dosa khalwat membesar kepada zina, dosa zina membawa kepada dosa kehamilan luar nikah, dosa hamil membawa kepada dosa pembunuhan bayi tidak berdosa. Pembunuhan membawa kepada penipuan dan menutup jejak, dan dosa ini akhirnya terus berpanjangan tanpa noktahnya hinggalah kesaat kematiannya.

5) Jika tidak takut pada cercaan dan pandangan buruk masyarakat, maka insafilah dan takutlah pada keganasan virus penyakit yang boleh membaham manusiawi dengan rakus taring giginya membenam kepada pelaku seksual ini supaya segera bertaubat.
Kuman siplis, ghonarea dan virus HIV yang membentuk AIDS diciptakan tuhan untuk menggerunkan hati tegar manusia yang sudah lupakan agama dan etika murni social. Maka biarlah para soldadu tuhan ini menyerbu memberikan peringatan kepada manusia derhala ini. Moga semuanya beroleh pengajaran dan keinsafan.

Ya, seorang guru perlu kreatif dan membina revolusi pemikiran agama anak didik mereka, jadikan mereka cepat dan cekap menyelesaikan masalah dan bukannya sekadar menununggu penyelesaian masalah dari guru semata-mata.

Dalam perjumpaan tersebut, saya memberikan mereka soalan ini, soalan menguji minda dan kemampuan mengklasifikasi data dan membuat keputusan tepat dalam masa yang singkat.

6 pelajar iaitu Azman, Kapoor, Qayyum , Roslan, Matsum, Atan adalah ditempatkan di tingkatan 4a, 4b,4c,4d,4e dan 4f mengikut keputusan pmr seperti berikut :

• Roslan adalah ditempatkan dalam kelas berprestasi lebih tinggi dari Kapoor
• Qayyum dan Azman ditempatkan dalam kelas yang paling tinggi atau paling rendah.

1. Jika Atan ditempatkan dalam kelas berprestasi lebih tinggi daripada Azman, siapakah ditempatkan dalam kelas 4A.

2. Jika prestasi Matsum adalah lebih baik daripada Roslan dan Atan, kelas yang Roslan ditempatkan ialah :

3. Jika prestasi Atan adalah lebih rendah daripada Qayuum,siapakah yang berprsetasi paling rendah atau berada dikelas 4F.

4. Jika prestasi Kapoor adalah lebih tinggi daripada Atan, dan Roslan ditempatkan dalam kelas 4C, maka Matsum adalah ditempatkan dalam kelas ……


Selamat menjawab.

Saturday, May 1, 2010

PERTANDINGAN MELUKIS POSTER

PERTANDINGAN MELUKIS POSTER

UNTUKMU RASULULLAH

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DENGAN KERAJASAMA PERSATUAN PELAJAR ISLAM BAKTI MENGANJURKAN SATU PERTANDINGAN MELUKIS POSTER PERINGKAT SEKOLAH YANG BERTEMAKAN UNTUKMU RASULULLAH.

EKSPRESIKAN CINTA ANDA PADA RASULULLAH.

HADIAH MENARIK DAN MISTERI MENANTI ANDA !

SYARAT PERTANDINGAN
1. TERBUKA KEPADA SEMUA PELAJAR SXI YANG BERAGAMA ISLAM.

2. PENYERTAAN DITERIMA SECARA INDIVIDU ATAU BERKUMPULAN YANG TIDAK MELEBIHI 3 ORANG

3. TIDAK BOLEH MENGHANTAR LEBIH DARI SATU PENYERTAAN SAHAJA

4. POSTER HENDAKLAH ASLI DAN TIDAK DIPLAGIAT

5. DITULIS DIATAS SEHELAI MANILA KAD (SILA DAPATKAN MELALUI USTAZ ATAU USTAZAH)

6. MENGANDUNGI PERKARA BERIKUT :
a) TEMA : MUHAMMAD SAW UTUSAN TERAKHIR ( DUTA KESELAMATAN DAN KEBAHAGIAN )
b) MEMPUNYAI LUKISAN MASJID
c) TERDAPAT PERKATAAN ALLAH DAN MUHAMMAD DALAM TULISAN ARAB
d) TERCATAT HADIS BERIKUT : SABDA NABI MUHAMMAD SAW : TIDAK SEMPURNA IMAN KAMU SEHINGGALAH KAMU MENGASIHI SAUDARAMU SEBAGAIMANA KAMU MENYAYANGI DIRIMU SENDIRI.
e) NAMA AHLI KUMPULAN DICATAT DISEBELAH BELAKANG POSTER.

7. TARIKH TUTUP PENYERAHAN ADALAH PADA 7 MEI 2010.

8. POSTER YANG DIHANTAR MENJADI MILIK PANITIA DAN TIDAK AKAN DIPULANGKAN.

9. KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.

10. PEMENANG AKAN MENERIMA HADIAH MISTERI DAN POSTERNYA AKAN DITAMPAL DIBAHAGIAN HADAPAN SEKOLAH (BERHAMPIRAN PEJABAT)

Seputar Lensa Majlis Perpisahan Ustazah Siti Atiqah


Wajah kesedihan dan poyo anak2 BAKTI yang ditinggalkan.


Antara tetamu yang hadir


Barisan depan wakil Bakti


Saguhati dari Panitia. Terima Kasih !!