Tuesday, July 26, 2011

Motivasi Ramadhan



Ramadhan akan datang....
Ramadhan pasti datang ..



Ramadhan datang bersama kebaikan ...
Ramadhan datang memberkati kehidupan..



Ramdhan bulan penuh keredhaan ...
Bulan yang dijanjikan seribu anugerah

Ramadhan bermakna Bara api yang panas membakar..
Moga ramadhan membakar dosa kita yang terdahulu..
Sebagaimana ia membakar lemak dan kolestrol yang semakin menebal



Ramadhan bulan keajaiban ...
R A M A D H A N
Bukan sekadar bulan berlapar dahaga..
Ramadhan bulan peneguh benteng diri..
Bulan mengajar menginsafi nilai kehambaan
Kepada Pencipta Rabbul Izzati



Ra : Bulan Rahmat
Mim : Bulan Maghfirah
Dhad : Bulan Keredhaan
Alif : Bulan UKhuwwah
Nun : Bulan Nur = Al Quran dan bulan Itqun Minan Nar = Pembebasan dari api neraka.

Bersamalah kita memotivasikan diri untuk Ramadhan yang mendatang.

Monday, July 25, 2011

Kualiti Masa



Lengang masa cuti di hari Ahad ini dapat saya manfaatkan untuk berehat dan bersantai bersama keluarga.

Dapat juga saya melunjurkan saraf yang dikekang sibuk sepanjang minggu. Hambatan masa yang begitu laju memaksa saya memerah keringat fizikal serta mental untuk kekal focus dan mempunyai upaya untuk terus bekerja dan beramal.

Rasa lenguh dibadan dan kini mulai mesra menjengah kepala, saya lunaskan dengan berehat seharian, jadual hujung minggu kali ini tidak bertanda di takwim saya. Ianya bermaksud saya bebas seharian menjalankan aktiviti keluarga di hujung minggu yang sentiasa cemburu.

Ketika jendela masa sudah menuju ke penghujung usia senja. Saya senang melayari berita awam di internet. Sesekali menjenguk teratak rakan lama mendengar celoteh dan nasihat mereka. Sekadar menjengah maklumat khabar mereka agar sentiasa diulit bahagia, hati terasa tenang bila kebahagian selalu menemani mereka. Kekadang saya meninjau fenomena isu semasa melalui perspektif khalayak kebanyakan. Mengintai respon dan mengulit denyut nadi masyarakat marhaen berbicara sentiasa mencuit rasa simpati, prihatin dan cakna.

Namun sebagai pemerhati, ulasan dan komentar massa ini senantiasa dijolok emosi dan terhakis etika. Kata yang kurang enak dengan semburan tuduhan yang entah beralasan kukuh atau sebaliknya sedikit sebanyak mencuak saya, dengan limpahan maklumat dalam banjiran arus majority sebegini belum tentu menjanjikan kebenaran, meneliti hujah dan berwaspasa menilai adalah jalan terbaik menghadam isu semasa sebegini agar tidak segera melatah dan malu tersalah.

Ketika jam sudah berputar ke angka 7.15 petang, memori saya dikejutkan impuls sebuah data lama.

Bukankah malam ini ada ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Takwa, Bertam Indah.

Membuak hati saya untuk turut sama menjadi antara penonton mutiara ilmunya. Sebelum ini, saya hanya mendengar bicara ilmunya lewat fanatic rakan yang begitu menyanjungi dan menyayanginya. Terasa elok juga saya merasa nikmat bersimpuh mendengar ilmu sebegini setelah sekian lama duduk berkerusi di meja penceramah.

Saya bergegas menyiapkan diri sambil sempat menitip salam dan memaklum keizinan kepada isteri saya yang kehairanan dengan tingkah saya. Sememangnya dia amat memahami.

Memandu dijalan yang mulai diselimuti gelap menjadikan kita lebih focus dan memegang perhatian untuk tidak tersasar agakan. Sinar neon jalanan yang malap banyak membantu.

Namun tiba2, hati saya diserkup sayu ....

Hiba mencengkam diri.

Pilu menjengah perdu jiwa...

Terbayang wajah anak2 yang ceria dan aktif beraksi dan berbicara. Anak2 yang sentiasa saya tinggalkan berhimpun dibalik penjuru rumah. Anak2 yang tak lekang bertanya soalan yang hamper sama tatkala melihat saya sudah bersiap ikatan serban dan jubah, .... Abah nak pergi mana ?? Abah nak pergi masjid ke ??

Walaupun mereka sudah lali dan masak dengan jawapannya... hati mulus dan tulus mereka terus menginginkan pertanyaan dan reaksi saya.

Kekadang, mereka serentak berkata .... abah, boleh ke kami ikut ??

Dalam nipis kabus malam minggu itu saya teringat lagi. Isteri tercinta saya membuka cerita, usai kepulangan dari satu tugasan dakwah sebelah malamnya...

Anak2 terasa kehilangan abahnya.... Sibuk abahnya belum mampu mereka mengerti dengan akal kecil mereka. Hingga ada diantara mereka bertanya, adakah kehidupan kita dipulau mutiara ini semakin gawat, bebanan kewangan keluarga semakin mencengkam dan menghimpit. Miskinkah kita mama ?? Sampai abah terpaksa mencari duit hingga ke tengah malam. Betulkah sekarang kita amat memerlukan duit, mama ??

Hati saya yang berkaca di malam itu, terasa seperti ingin memutar stereng untuk u-turn segera ke rumah. Mendakap dan menjamah panahan mata setiap anak dengan limpahan kasih seorang ayah. Ayah yang waktunya kekadang tercuri di arena dakwah. Ketahuilah, abahmu ini menghilang bukannya kerana hauskan duit dan habuan !!

Tatkala berkongsi cerita dengan rakan saya, dia mengakui fenomena yang sama dan lantas dia tersenyum menyatakan, nasib baik anak anta belum bijak berkata begini : Mama, berapakah wang yang ayah dapat setiap malam keluar berceramah ? Kalau saya ada duit, saya nak bayar harga tersebut supaya ayah dapat kekal bersama kita semalaman. Ucapan ikhlas dan santainya bagaikan sembilu menikam saya .... terasa seakan tanggungjawab saya seakan terabai seketika.

Kerana itulah, kita para pendakwah perlu mempunyai masa berkualiti bersama keluarga, biarpun hanya beberapa jam Cuma, namun pastikan ianya kita khususkan buat anak2 kita sepenuhnya, beri focus dan perhatian untuk mereka, meladeni karenah dan soalan mereka tanpa perlu bersibuk dengan laptop kerja atau membaca atau melayari internet. Insya allah, kualiti masa sebegini akan sentiasa diingati anak2 dan dihargai.

Malam itu, lebih 8000 pengunjung yang memenuhi perkarangan Masjid Takwa, limpahan manusia ini memaksa pengurusan menyediakan skrin besar diluar masjid dengan khemah yang sudah sedia terpasang.

Lautan manusiawi ini mengiktiraf keilmuan dan kewarakan seorang guru. Moga Allah merahmati. Dan malam itu sememangnya banyak yang dapat saya pelajari dan fahami.

Thursday, July 21, 2011

Kenangan Sabah

Kala ini, saya sering mencari ruang sepicing cuma untuk berehat.

Dengan kestabilan urusan peribadi yang belum konsisten, saya sering dihimpit antara mengutamakan privasi keperibadian ataupun memenuhi tuntutan komuniti yang menjemput minta diisi gelas jiwa yang hauskan ilmu.

Kebanyakannya saya penuhi hingga menjadikan kelelahan dan kelenguhan minda dan badan saling menyapa berselirat di saraf deria saya. Dunia seakan menghambat masa saya, berkejaran memenuhi jemputan dalam ruangan masa yang terbatas dan rengekan anak minta dimanjakan dan diberi perhatian, namun begitu, jiwa terasa bermakna dan masa seperti diberkati.

Dengan hidangan komuniti audiens yang berkuantiti baik, kepelbagaian jalur pemikiran dan kedewasaan minda memberikan saya keseronokan berkongsi idea dan ilmu, mungkin saya terusik dengan suasana ilmu yang mekar di pulau mutiara ini, sesuatu yang jarang saya nikmatinya dahulu walau pernah mencuba. Terkenang kala masih dipupuk bayu di sebuah pekan bernama Kinabalu, mengumpul khalayak untuk berjemaah dan menuntun tangga masjid lebih sukar bagi saya daripada mengulit ceramah agama itu sendiri. Kehadirannya sama dan komitmennya juga sama walau sudah diacah dengan pelbagai azam dan semangat. Mungkin saya belum gigih mencuba dahulunya.

Tersentuh saya bila sempat menatap bicara hati seorang rakan sejawat saya ABU NUHA yang kaya dengan pengalaman dakwahnya di Sabah berkongsi rasa, bernada memujuk dan memintal perubahan. Terasa saya berada di sisinya kala itu.


Suatu ketika, saya bersama kawan-kawan tiba di satu lokasi @ masjid untuk mengisi program yang sudah diatur bersama.

Kepada penganjur, saya ada mencadangkan agar maklumat program diumumkan sebelum azan solat jumaat kerana ceramah dijadualkan pada malamnya nanti. Setiba kami jam 6.40 petang, masjid yang cantik ini masih bergelap walaupun waktu maghrib sudah masuk hampir 10 minit lalu.

Tiada kelibat imam, bilal atau jamaah masjid kecuali setelah jam 6.45 petang. Imam datang relaks menemui saya sambil jarinya menyepit sebatang rokok yang berasap. “Hari inikah ustaz datang? Kami ingatkan semalam. Hari ni tiada orang ustaz.. kalau semalam ustaz datang memang ramai”, saya terpaksa menerima hakikat mereka tersalah informasi antara ‘malam jumaat’ dengan ‘jumaat malam’ walaupun saya telah jelaskan agar iklankan program sebelum azan jumaat. Walaubagaimanapun, saya kesal melihat masjid terbiar lengang. Ertinya kalau tiada program khas, tiadalah jamaah, padahal solat berjamaah itulah programnya.

Selepas solat maghrib berjamaah bersama mereka – semua sekali lima orang -, kami bergerak perlahan-lahan menaiki kereta, melalui kepekatan malam di beberapa buah kampung berhampiran. Kami melimpasi beberapa masjid dan surau yang berstatus sama – hampir kosong, hampir tiada jamaah berada di dalamnya kecuali seorang dua. Di satu sisi, kami bertembung beberapa kali anak-anak muda yang melepak dalam samar kegelapan itu, mereka tersilau dengan cahaya lampu kereta yang saya pandu.

Pada mulanya saya fikir orang-orang kampung di sini barangkali lebih selesa berada di rumah masing-masing bersama keluarga memandangkan suasana yang sunyi sepi walaupun jam baru menunjukkan sekitar jam 7 malam (awal maghrib). Tetapi apabila tiba di kawasan pekan, kami melihat ratusan orang (kalaupun tidak ribuan) memenuhi kawasan gerai-gerai makan. Ada menu sayap ayam, sate, dan bermacam-macam lagi. “Oh, di sini mereka berjamaah!”, saya menyimpulkan pemandangan kami saat waktu menghampiri isyak.

Wahai umat islam, wahai para pendakwah, wahai para ustaz ustazah, wahai para imam, rupanya tugas kita masih banyak lagi. Bukannya tugas belum selesai, tetapi mungkin belum bermula. Saya bimbang kalau ombak kuat menerjang kawasan gerai berkenaan, menghanyutkan manusia yang hanyut dengan dunianya.

Saturday, July 16, 2011

Kem Pengawas ALMA

Malam ini saya bermonolog sendiri, usai kuliah maghrib di perkampungan jatidiri pengawas sebentar tadi, saya memecut laju di aspal keras lebuhraya menuju ke permukiman saya di Bertam Putra. Sedikit lenguh dan haus menyengat dikerongkong saya. Kering.

Teringat seketika genggaman memori bersama barisan kepimpinan pengawas sebentar tadi. Wajah2 bersih menginjak remaja, mempunyai aura semangat dan keyakinan. Berteleku tenang di saf karpet usang di Surau Alma malam itu, sesekali bau hapaknya menyelinap rongga hidung menelurkan tengik aromanya.

Hening dan damai. Sang wajah menongkat langit. Mengadah kepala kehadapan.

Tanpa terancang saya menyusun bicara, malam semulia NISFU SYAABAN ini seharusnya kita manfaatkan sebaiknya. Bersyukur pada yang esa kerana menghimpun kita berteduh dibawah bumbung rumahnya yang mulia untuk memenuhi tentative program yang telah direncana.

Tapi islam bukannya program semata2, samada berbentuk mingguan atau bulanan. Islam adalah kehidupan dan perjuangan menuju akhirat.

Malangnya kita hanya mampu menjadi manusia taat dan beriman di kala program kepimpinan seumpama ini, yang bijak memanipulasi masa dan berdisiplin untuk bersegera datang dan tenang bersolat bersama tazkirah sedangkan di waktu biasa seumpama ini kita masih belum menjumpai jalan pulang ke rumah dan ke tikar sejadah, masih tegar berkelana mencari sesuatu dicelahan bahan2 makanan dan niaga di pasar malam kala itu. (Pasar malam di Alma berdekatan dengan kawasan sekolah dan jadualnya sememangnya di malam ini, Sabtu ) Malang juga jika kita sebenarnya belum pernah menjejakkan kaki dan mengenali lorong ke masjid di perumahan kita sebelum ini.

Dan sekali lagi malangnya berganda, tatkala jawatan kepimpinan yang penuh tanggungjawab dan amanah di serahkan untuk mereka yang tidak pernah tahu untuk menyantuni agama, mentaati Allah dan menjadi ikon kebaikan.

Segera rekod ingatan saya berfungsi mengingatkan para pelajar tentang tuntutan kepimpinan.

Kekuatan ilmu, kesedaran dan tanggungjawab merupakan kunci kepada segala teras kepimpinan. Dengan memberikan beberapa sampel sejarah Islam seperti kiash Umar al Khattab dan Abu DZAR al Ghifari saya menekankan konsep ilmu dan amanah.

Bagaimana mungkin seorang pengawas mampu memegang kepimpinan sekiranya mereka gagal menjadi FIGUR CONTOH untuk akhlak dan akademik. Bagaimana mereka mampu untuk menggalas amanah jika mereka pun sebenarnya gagal menjunjung amanah IBADAH kepada yang maha esa, pemberi amanah dan anugerah.

Saya terus melaporkan balasan terbanyak dan tersegera untuk para penanggung amanah yang palsu sebegini .... Geram, Benci, dan ingin memotivasikan, jiwa saya bercampur antara amarah racun dan ubat dorongan motivasi.

Bahkan allah tidak akan pernah melupakan mereka yang menjadi PENZALIM kepada amanah ini selamanya. Doa yang dizalimi takkan pernah terhijab.

Sekilas saya melihat beberapa pelajar kelat menelan liurnya, menunduk kepala semakin rendah menyentuh karpet .... debar di dada mereka menggelegak amarahnya seolah mengutuk tindakan tangan yang begitu spontan menurun tanda setuju untuk terpilih sebagai pengawas. Apatah lagi jika tujuannya hanya mencari glamour, menjadi batu loncatan untuk ponteng kelas dan juga mencari pasangan...

Saya heningkan suasana. Bisu dan sepi. Diam merajai. Moga bicara hati boleh menginsafkan.

Posisi saya berubah. Dari pesimis kepimpinan kepada positif kesedaran.

Menyuntik beberapa hadis terbaik untuk member dorongan.

Pemimpin terbaik akan beriringan disyurga menemani para rasul. Dengan kuasa mustajabnya doa dan rahmat naungan rabbani di akhir kehidupan amat mengujakan semua.

Bunga kesedaran dan keazaman bertunas semula. Biarlah segala dedaun nawaitu buruk dan jahatnya dahulu ditanggalkan sendiri tatkala musim luruh menyapa waktu. Dan yang bakal menggantikannya adalah bungaan cerlang dengan sinar manfaatmya.

Sedarlah kalian, dan jangan sesekali menjejak peribadi orang gila untuk meneruskan kehidupan ini. Selingan cerita orang gila menutupi kuliah kem malam ini.

Moga ianya bermanfaat.

Friday, July 15, 2011

Jumaat Pertama

Ulamak Berselisih Tentang Jumaat Pertama Dalam Islam

1) Org yang pertama solat jumaat ialah Musaab bin Umair sehinggalah nabi tiba di madinah.

2) Ada pandangan yang mengatakan bahawa Jumaat pertama dikendalikan As’ad bin Zurarah . Seorang pemuka dan sahabat ansar.

1. Diriwayatkan Dar Sunan Abi Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban Dan Baihaqi : Hadis Dari Abd Razaq Dan Abd Bin Hamid Dari Ibnu Sirin Yang Menjelaskan Penduduk Madinah Telah Solat Jumaat Terlebih Dahulu Solat Jumat Sebelum Ketibaan Nabi,

Org Ansar Berkata : Yahudi Berkumpul Dihari Sabtu Manakala Nasara Berkumpul Dihari Ahad Ayuhlah Kita Jadikan Satu Hari Utk Kita Berhimpun Dan Mengingati Allah Dan Mensyukuri Iaitu Hari Arubah,Nama Jumaat Ketika Jahiliyyah. Maka Allah Menurunkan Ayat 9 Surah Jumaat.

3) Org Pertama Yang Solat Jumaat Ialah Nabi Sendiri Selepas 4 Hari Tiba Di Madinah Di Perkampungan Bani Salim Bin Auf, Maka Nabi Bersolat Dan Berkhutbah Disana.

TAFSIR MUNIR , DR WAHBAH ZUHAILI MS 204 JUZ 27-28, DAR FIKIR,DAMASCUS

Intuk menyatukan antara pandangan ini, para ulamak menyatakan :

Sebagaimana yang telah dimaklumi sebelum ini, kefardhuan Jumaat berdasarkan hadis telah dimuktamadkan sebelum Hijrah Nabi ke Madinah.

Ianya di kelolakan oleh Asad Bin Zurarah untuk mengumpulkan penduduk Madinah untuk sama2 bersolat jumaat dan diimam dan dikhutbahkan oleh Mubaligh Madinah kala itu Musaab Bin Umair.

Khutbah atau Jumaat pertama nabi hanyalah berlaku pada hari ke 4 selepas Hijrah.