Monday, February 20, 2012

Tuah Bahasa Arab

Alhamdulillah, dalam kecamuk jiwa dan kekangan masa yang ada saya hanya sempat melakarkan berita ini. Cerita versi akademik pencapaian para pelajar bahasa arab di sekolah yang terletak agak meminggir dari kesibukan arus kota.

Namun hambatan metropolitan dan kehilangan unsur kedesaan sudah lama menjadi taboo dalam masyarakat pinggiran sebegini , mereka terapung diawangan menjadi orang bandar dalam tarikan naluri untuk kekal menghuni kampung yang dibaham kerasukan budaya kota yang sentiasa pantas, gagah, penuh persaingan dan kadang2 amat zalim.

Namun bacalah berita ini dalam kacamata ayat2 pernyataan semata2 tanpa perlu menyuntik elemen suspen dan emosi padanya. Sememangnya tulisan ini adalah cedokan saya semasa menghantar laporan post mortem ke unit bahasa arab tempohari .

ANALISA PEPERIKSAAN PMR 2011

Tahun

Calon

A

B

C

D

E

LULUS

GPMP

BEZA %

2011-2012

BEZA GPMP

2009

26

0

1

4

8

13

50.0

-

-

-

2010

11

1

2

1

3

4

63.6

3.64

13.6

-

2011

27

5

6

1

10

5

81.5

3.15

17.9

0.49

Terdapat lonjakan peningkatan yang ketara pada keputusan peperiksaan Bahasa Arab pelajar untuk calon PMR tahun 2011 berbanding tahun 2010 yang lalu dengan peningkatan 17.9 peratus dan buat pertama kalinya pihak panitia berjaya mencatat keputusan PMR ke tahap yang terbaik iaitu 81.5 peratus.

Pihak panitia juga berjaya menghampiri sasaran min gred 3.0 untuk pelajar PMR dan pada tahun 2011 ini, min gred yang dicatat ialah 3.15 meningkat 0.49 mata berbanding tahun 2010 yang lalu dengan 3.64 mata.

Namun begitu pencapaian baik ini masih perlu diperbaiki apabila hanya terdapat seorang sahaja calon C dengan 10 orang yang lain mencapai gred D, ia menyumbang kepada kegagalan panitia bagi mencapai min gred 3.0 .

Terdapat juga 5 orang calon yang gagal dalam peperiksaan kali ini yang sebenarnya lebih menjurus kepada kegagalan mereka menguasai tulisan jawi ,bacaan al quran dan asas bahasa sejak awal lagi serta ada calon yang sememangnya tidak pernah hadir ke sekolah sepanjang tahun 2011 namun menduduki peperiksaan.

Akhirnya, semoga momentum cemerlang yang hadir ini bukan sekadar singgah dan menumpang lalu tetapi harapannya akan kekal bermukim dan berterusan.

Monday, February 6, 2012

Kenapa Bahasa Arab ??

Hey kawan,

Ada yang bertanyakan saya ... Kenapa saya memilih jurusan bahasa arab ini ??? Kenapa ya ??

Masih ada yang sangsi dengan keupayaan bahasa arab sebagai ilmu dan peradaban, atau sekurang2nya mampukah ia menjadi bahasa zaman yang dikagumi penutur dan pendengarnya .

Banggakah kita kalau mampu berbahasa arab sebenarnya, mampukah kita berdiri sama tinggi bersama graduan lain mencorak negara ke arah kemajuan terbaik buat ketamadunan bangsa. Terserlahkah para penutur bahasa ini dikalangan anak bangsa peribumi ini sekarang yang mampu memberi impak luarbiasa dan terbaik pada masyarakat, atau insan pemulia bahasa agama ini hanya mampu menggoncang minbar tanpa mampu membentuk kekuatan menggoncang negara apatah lagi dunia.

Atau kita sebenarnya hanya melukut ditepi gantang pendidikan negara, menyalak bukit yang tak pernah takut, apatah lagi mengimpikannya runtuh.

Mungkin kita hanya bermandikan izzah agama yang mencurah dipundak kita, berbangga dengan bahasa syurgawi atau hanya sekadar pakar rujuk jika ada pasangan muda yang ingin bertanya tentang makna dan nama anak yang mereka pilih.

Aku juga tidak pasti kawan ...., Tapi aku amat setuju dengan entry sahabatku ini, Ustaz Azhari Hamzah diblognya .......... .

Moga kita mampu merealisasikannya.

ANDA DARI GOLONGAN MANA?

Terjemahan:


Mereka berkata : " Kasihan.... sesiapa yang tidak tahu Bahasa Inggeris, mungkin dia akan menghadapi kesusahan untuk memahami percakapan orang lain"

Dan aku pula berkata : " Kasihan... sesiapa yang yang tidak tahu Bahasa Arab, mungkin dia akan menghadapi kesusahan untuk memahami percakapan Tuhan..."

Anda dalam golongan mana...?

Friday, February 3, 2012

Menyambung Pelajaran



Hey Kawan,

Alhamdulillah, hari ini genap 6 minggu pengajian saya di peringkat sarjana bahasa arab telah bermula. Setelah sekian lama memasang impian dan angan untuk berada di gelanggang ilmu secara formal ini akhirnya saya dijodohkan dengan sebuah kolej universiti di utara semenanjung, iaitu Kolej Insaniah (KUIN).

Pengajian jarak jauh yang saya tempuhi dihujung minggu sahaja dengan jumlah subjeknya ialah 12 dalam tempoh masa mungkin 4-5 semester iaitu hampir 2 - 3 tahun dicampur dengan penulisan tesisnya. Ianya tentu agak memenatkan dan mengambil masa rehat yang bukit sedikit kuantitinya.

Namun, tatkala dapat meminjamkan telinga bersama rakan sepengajian mendengar penerangan dan juga celoteh para pensyarah berketurunan arab ini menjadikan hati semakin lapang dan damai. Ternyata jarak 80km dari Pulau Pinang ke Kedah ini terbayar sempurna. Terasa betapa lamanya suasana pengajian sebegini telah saya tinggalkan sejak 1994 dahulu, kini dapat saya ulangi iramanya sekali lagi dengan penuh kecintaan dan kenikmatan.



Terima kasih tuhan.

Pastinya keterujaan dalam menyambung pengajian ini begitu meruntun perasaan dan jiwa saya, apatah lagi setelah sekian lama terpaksa menunggu dan menanti peluang terbuka seperti ini. KehendakNYA jua saya berada disini, meneruskan sisa perjuangan silam yang masih membara sekamnya disudut hati ini biarpun agak kelewatan berbanding rakan sepengajian Jordan yang terlebih dahulu menggenggam ijazah berbanding saya. Natijahnya, mereka sudah berpuluh langkah dihadapan saya.

Dan tanpa terduga, sudah beberapa orang antara mereka yang sedang mencuba nasib menempuh tahap akademik tertinggi PHD dibidang bahasa arab yang mulia ini. Tahniah buat mereka dengan rafak doa moga berjaya.

Moga nawaitu yang baik ini akan diberi pertolongan oleh Tuhan yang maha penyayang.

Moga Allah mempermudahkan.

Thursday, February 2, 2012

Cemburunya Masa

Cemburunya Masa

Wahai masa, mengapa begitu cepat berlalu. Menukar hari menjadi minggu. Minggu bertukar bulan. Sedar tak sedar, sudah di pintu Februari kini. Cemburu benar engkau wahai masa, sehinggakan meninggalkan insan seperti saya terkial-kial, terpinga-pinga ..."Subhanallah..dah Februari rupanya.."
Januari penuh kesibukan. Februari lagi menggasak dengan kesibukannya. Semester 5 yang bermula pertengahan Januari lalu, sudah terasa bahangnya. Saya sudah dihinggapi virus-virus kebimbangan, risau akan masa yang selalu cemburu sehinggakan saya tenggelam antara kerja dan pengajian.
Tolonglah masa..jangan cemburu.
Firman Allah :
[1] Demi Masa! [2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Al-’Asr 103: (1-3)