Saturday, February 6, 2010

Chapel dan Kematian



Ribut Pagi

Hitungan hari ke kemuncak CANTEEN DAY masih berbaki 2 hari.

Persaingan mengumpul dana kebajikan terbanyak masih berlangsung gamat.

Pelajar memberi komitmen berganda.

Tapi keriuhan pagi ini bertiup sedikit berbeza. Dengan desas – desus menghembus berdesir. Saya tidak tahu apa gerangan khabar beritanya.

Tapi riak jelas membayangkan, ada sesuatu perkara baru berlaku.

Pemergian Father

Menjelang tengahari, baru saya dikhabarkan pemergian aman dan damai seorang Brother Paderi yang sekian lama menabur bakti di sekolah permai ini. Berusia 91 tahun, pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk pengetua di sekolah mubaligh berdekatan. Jasa dan sumbangan mungkin tidak terhitung.

Saya baru melihat kelibatnya sekilas, itupun ketika saya berpapasan dengannya dikantin sekolah.

Dengan berkerusi roda, beliau tenang disapa oleh guru dan pelajar disekelilingnya. Walau suara tuanya tidak kedengaran, tapi segelintir pelajar masih mengerumuninya dan membantunya dengan menyorong wheel chair tuanya. Tanda hormat terbayang pada mereka yang menyapanya.

Beliau ialah Brother Brandane Hare berusia 91 tahun dan berasal dari Burma. Lama berkelana untuk berjasa pada tuhannya. Di akhir usianya, chapel atau gereja sekolah ini adalah merupakan tempat tinggalnya. Sudah lebih 4 tahun beliau menginap disini. Dan mungkin disinilah tempat persemadiannya.

Saya mengangguk tanda faham, mereka yang berjasa pasti dibalas penghormatan tuhan, walau siapa pun dia. Sumbangannya dihargai warga sekolah. Pemergiannya cukup dirasai.

Dikelas agama, sebagaimana biasa, saya tetap setia melontar kata, melentur nurani membentur ego dan membentuk peribadi.

Konflik Pengetahuan dan Amalan

Tiba-tiba kelas diketuk berkali2, kelihatan Cikgu Emmanuel berbangsa India tapi beragama Kristian Katolik menjengah pintu. Serius perwatakannya mengajak saya untuk berbincang, seterusnya saya didatangi pula Puan Veronica bertanya konflik dimindanya.
Persoalan yang seterusnya membawa saya kebilik PK Hem, En Sim dan juga PK 1 En Cheng.

Biasanya kematian Brother ini akan diiring majlis khas, penghormatan untuk ahli agama ini memerlukan acara, dan tentatifnya melibatkan kunjungan hormat, nyanyian pancaragam, perarakan dan majlis upacara sembahyang. Ia juga menggamit warga sekolah untuk melayangkan tanda hormat dan penghargaan atas jasa sekian dekad.



Mereka datang bertanyakan kebenaran, bagaimana pandangan islam berhubung kemasukan pelajar islam kegereja, seterusnya tunduk tafakkur memberi penghormatan, mengiringi jenazah dalam kawad perarakan hormat mengiringi pemergiannya ke pusara juga bersama mengikuti acara pengkebumiannya.

Soalan bertalu-talu juga dikemukakan pelajar saya bila tiba waktu kelas mereka. Jelas ianya mengundang konflik pengetahuan dan keimanan jika tidak dirungkai sebaiknya.

Harga sebuah Jasa

Saya cuba bertindak wajar, atas batasan dan pengetahuan yang ada. Saya berbicara untuk semua, bukan hanya pada watak pelajar, bahkan guru dan pimpinan tadbir sekolah. Saya menjelaskan halus toleransi agama kita.

Islam menghargai sumbangan mereka yang berjasa, ternyata manusia bermanfaat lebih dihormati dan ditagih terima kasihnya. Atas sumbangan jasa begitu lama, zalimnya Islam jika tidak mengizinkan penganutnya mengucap takziah dan datang menziarahi tanda hormat dan terima kasih bagi penganut agama lain yang meninggal dunia.

Bahkan nabi juga pernah menyuruh para sahabat untuk berdiri menghormati jenazah pimpinan bukan islam di kota madinah dulu, ianya toleransi asas kepada perpaduan.

Islam juga tidak melarang kita memasuki gereja, bahkan jika disanalah tapak subur untuk dakwah manusia kepada Allah, para agamawan perlu mengubah pentas dakwah mereka ke gereja pula, Saidina Umar juga pernah dalam harum sejarah palestinnya mengunjungi gereja, toleransinya untuk umat ini tidak alahan dengan tempat ibadat bukan islam ini.

Cerminan Sirah dalam Toleransi

Bahkan nabi menggariskan undang2 mengekalkan gereja sebagai rumah ibadat tanpa diganggu gugat keharmoniannya walau tika peperangan. Memasukinya hanya diizinkan untuk tujuan kebaikan dan bukannya menghancurkan.

Namun kebijaksanaan Umar untuk tidak bersolat didalam gereja berlapik alasan, umat yang terkemudian tidak akan menyalah anggap tindakannya. Bukan membawa maksud kuasailah gereja dan tukarkannya kepada masjid islam juga bukan untuk kita langsung tidak memasukinya kerana kenajisannya.



Perarakan pelajar beruniform dengan tabik hormat yang juga melibatkan pelajar Islam juga tidak membawa apa-apa kesan aqidah jika hanya bertujuan menghormati, ini juga bukannya merupakan acara rasmi keagamaan pengkebumiaan ala kristian.

Tapi yang paling puncaknya, saya tegaskan kepada pentadbiran dan pelajar, jangan melibatkan diri pelajar Islam kedalam acara keagamaan dan majlis pengkebumian, ianya acara agama dan tidak boleh dihadiri umat islam apatah lagi untuk sama-sama berdoa dan membaca mantera agama bersama mereka.

Tegak agama bersama prinsipnya, namun toleransi adalah seni keindahannya.

Kunjungan Ziarah

Petang itu, saya bersama wakil BAKTI datang berkunjung. Memasuki gereja dan menuju ke keranda persemadian. Kelihatan Brother tenang dalam lenanya.

Saya mengucap terima kasih.

Disambut oleh beberapa cikgu yang beragama kristian, mereka berterima kasih atas kunjungan seorang USTAZ.

Tanpa bacaan fatihah, tanpa doa hanya ucapan terima kasih dari saya.

Namun, bibir hati saya mengetus ayat pendinding diri, mohon allah lindungi kami dari kejahatan makhluk yang kelihatan mahupun tersembunyi.

Selamat kembali Brother Brandane, moga disana kita akan diperlihatkan dengan kebenaran. Sudahkan anda melihat kebenaran ?

Terima kasih atas sumbangan, tapi sayang sumbangan itu hanya lah debu yang berterbangan.

Pada pelajar BAKTI saya berbisik, jadilah manusia berguna dan bermanfaat.

Friday, February 5, 2010

Nasib dan Kebajikan

Minggu berkebajikan, satu nama yang cukup indah untuk menyedarkan manusia tentang erti hidup.

Belajar memberi lebih banyak dari menerima adalah hakikat hidup bermakna yang seharusnya menjadi prinsip kita.

Mendengar apa yang orang lain mahu dan cuba memenuhinya adalah keutamaan kita berbanding memenuhi tembolok keinginan tersendiri. Mencintai saudara kita dengan rasa sayang dan kasih seumpama diri adalah tuntutan agama.

Hari-hari berlalu menyaksikan kreativiti pelajar berniaga mencambah ufuk baru pengalaman saya, dengan modus operandi yang kekadang dirancang menjadi dan ada juga yang sekadar terjah membuktikan kedunguan sendiri.

Setiap kali iklan masuk mempromosikan barangan, saya lihat pasti ada yang menyahutnya. Mungkin seorang hingga lima orang bangun mendapatkan barangan yang dijual dengan mengunjukkan not kekadang berwarna merah atau hijau.

Terkesima saya dibuatnya. Pelajar sementah tingkatan 1 sudah diizin ajar berbelanja begitu mewah. Hakikatnya mungkin dunia sudah berubah.

Masuk pelajar menjual lollipop dengan tawaran harga 3 batang untuk RM 1, ia diserbu 6 pelajar lagi.Ada pula yang mendatangi dengan agihan air bikarbonat, disambut 3 tangan yang kehausan.

Namun yang saya perhatikan, ada segelintir pelajar yang tidak berganjak dari kerusinya. Berpura-pura sombong dengan setiap tawaran promosi yang mendatang. Atau kerana mereka tahu poket mereka kosong dan tidak pernah kembung.

Hati saya berbisik, inilah padahnya pipit terbang bersama enggang.

Dan sebelum penghujung kelas, kelihatan ceria 3 anak muda tingkatan 5 datang membawa balang ajaib, setelah meminta izin mereka mula mempromosi jualan.

Dengan lagak ayam jantan penuh keyakinan, dia bersuara “didalam balang ini penuh dengan bintang, ada yang berwarna merah, puith, biru dan kuning, ianya cukup misteri” ujarnya sambil berhenti mengambil nafas dan melihat reaksi.

Positif riaknya, sambil dia meyambung bicara, siapa yang berjaya meneka tepat jumlahnya akan memenangi hadiah wang bernilai RM 50, namun penyertaannya ialah yuran 50 sen sahaja.

Bayangkan dengan 50sen kamu akan mendapat RM50, cepat jangan lepaskan peluang ini.” Ujarnya berkeyakinan memujuk.

Kelas seolah terkena panahan hysteria, hamper 15 dari 42 pelajar meluru kepintu hadapan untuk membuat tekaan.

Dengan minda yang mencongak, tekaan ditembak dengan hati berbunga harap.

Dan benarkah mata saya melihat, anak muda pendiam sombong dikerusinya juga lenyap, diulit fantasi kaya dengan permainan teka bintang. Mana tahu dia akan menjadi bintang penuh kemenangan dan kekayaaan. Atau mata angannya berkunang2 dan berbintang 2 kerugian.

Begitulah manusia, yang miskin berharap palsu yang kaya membazir. Tiada yang bersyukur setia.

Hasrat hati hendak menegah, tapi kondisi saya dikelas sivik yang bercampur watak manusia menegah saya. Apatah lagi, wakil kelas tersebut pastinya sudah mendapat lampu hijau barisan pentadbir sebagaimana yang lain.

Saya melihat dengan senyuman geleng kepala, anak-anak islam juga turut sama mengecapi angan beracun ini. Angan hampa bersama murka tuhan. Menang atau kalah ianya adalah sumber haram yang dipertanggungjawabkan.

Ia adalah satu bentuk perjudian walau apapun seni kreatif mengubah nama dan bemtuknya.

Dipentas saya, dibilik agama saya beraksi sendirian, saya selitkan dosa dan bahaya judi, saya tanpa berselindung merujuk silang kejadian yang berlaku, saya cuba menasihatkan pelajar islam agar tidak terjebak dengannya.

Saya menyatakan dengan berlapik dan lembut kebodohan mereka yang mengikutinya. Menolak rasional akal sihat untuk berusaha dan bekerja mendapatkan rezeki dengan hanya bertuhankan nasib dan menunggu durian runtuh tanpa usaha adalah kebodohan tahap tertinggi.

Saya mengangkatnya sebagai dosa besar kemurkaan tuhan yang dirangkaikan kepada 4 kejelikan utama iaitu minum arak , judi , tenung nasib dan bernujum adalah dosa jijik dan permainan tipu daya syaitan melalui akses kepada ayat al quran.

Tak lupa saya mengungkit implikasi dosa dan kecelakaan ditempah mereka yang engkar.

Zaman serba maju dan berubah, kenapa masih ada manusia yang hanya bergantung pada nasib dan perjudian.

Seperti kata Zakiah Anas dalam 999, jenayah membawa padah, laporkan segera pada pihak berkuasa. Saya utarakan untuk semua judi hanya membawa padah, hindari segera tiada keuntungan dan keistimewaan pada menunggu nasib dan kekayaan dimiliki umpama mee segera yang akan habis tanpa keberkatan dan kesan mendalam.

Entahlah, apa lagi yang akan berlaku di hari kantin.

Saya tunggu dan lihat.

Thursday, February 4, 2010

Charity Week – Kelainan Budaya Kerja

Hari Berkebajikan

2 minggu berlalu pantas, puing masa seolah ditinggal jauh tanpa dirasa. Tenang pagi diganti keriuhan. Anak kecil belajar berusaha, menimba pengalaman menjadi usahawan.

Bersama wawasan kebajikan, mereka didorong berusaha membantu, menggandakan pendapatan demi memberi. Dengan memberi mudahan akan memiliki. Memiliki erti dalam hidup ini, erti pada hati dan harta. Juga erti pada hari sesudah mati.

Sekolah kami mengadakan Minggu Kebajikan yang berjalan saban hari dengan penuh kemeriahan dan kegamatan. Pelajar2 setiap tingkatan berlumba untuk mencari cara membuat duit.

Tradisi menjaja makanan dan barangan dari kelas ke kelas tidak pernah menghampakan.

Dari nasi lemak, kerabu, roti canai, hinggalah kepada pizza, shushi mahupun lollipop pasti ada pembelinya.

Praktikal Keusahawanan

Seperti kata pepatah arab : likulli saaqitotin illa walaha laaqitah. Maknanya : tidak akan ada barang yang tercicir, pasti akan ada juga manusia yang mengutipnya.

Barangan terjual sempurna. Walau harganya saya lihat agak mengerikan dengan saiz dan kapasiti barangan yang kecil ciput, namun rupanya baru saya tahu, kuasa beli pelajar disini amat luarbiasa.

Dengan roti keping yang disalut mentega dan sosej bersos spageti, mereka namakannya pizza dan dijual dengan harga RM2.50 pun sudah ramai peminatnya. Apatah lagi dengan jualan air kotak, tin bergas dan jus bercampur aiskrim sejujurnya terus menggamit pembeli yang memborong banyak bukan sekadar melihat cuma.

Wawasan guru dan kerjasama pelajar dalam menjayakan aktiviti cukup baik. Ianya seolah chemistry yang tercipta dari tradisi lama yang semakin mencapai kesempurnaan.

Guru membantu menyediakan, pelajar bersatu menjaja dan menjualkan.

Satu hari, bilik guru kami bergelap, dengan plug yang terlekat pada soketnya overload, hangus terbakar. Begitulah betapa hangat semangat dan panasnya perlumbaan mencari apperentice usahawan ini.

Dana Prihatin

Dana yang dikumpul setiap kelas setiap hari akan dilekatkan diatas carta dan dipamerkan. Terdapat 4 kelas yang sudah berjaya mencecah jualan keparas RM 2,300 dan yang lainnya masih bersaing ke angka RM 1,500 keuntungan bersih. Tapi tak dinafikan ada juga kelas yang hanya berposisi pembeli dan bergelut membuat keuntungan jualan walau hanya RM 20.

Saya difahamkan dana charity ini akan disalurkan ke 7 buah rumah kebajikan meliputi setiap bangsa dan agama. Satu taktik yang cukup bijak bagi saya untuk memenangi hati semua pihak dan warga sekolah.

Pembelian atas nama kebajikan pastinya akan mengugat hati. Biar Tuhan jadi saksi, hidup ini biar berbakti.

Gaya Pemikir

Saya memainkan peranan pemerhati. Melihat suasana yang cukup asing dari rutin kehidupan yang pernah saya alami. Sememangnya masyarakat bukan islam ini kekadang lebih mudah menderma dan berkebajikan.

Adakah kerana mereka kaya dan kebanjiran duit ? Atau kerana mereka ingin menjual dosa dan menebusnya dengan pahala ? atau kerana mereka ingin dekat pada tuhan dalam mebantu manusia.

Entahlah, jawapan yang belum saya temui, tapi hakikatnya kuasa ekonomi dan dana missionary lebih hebat dari umat islam yang dianugerahkan tuhan dengan lautan kekayaan minyak dan anugerah. Tapi realitinya, wacana dakwah hanya boleh diprogramkan dibawah tempurung ekoran kekangan dana dan kebajikan.

Setiap hari, antara waktu pertama dan ketiga, kalau anda seorang guru dan berada dikelas, terimalah hakikat, anda takkan sempat untuk menghabiskan satu tajuk silibes pun. Persis drama dan wayang yang ditayangkan dikaca tv, ianya program yang akan sentiasa diganggu iklan, begitulah sesi P&P tika ini, setiap 5 minit anda memulakan bicara. Pastinya ada iklan baru masuk mempromosikan barangan dan jualan.

Arahanya, biarkan mereka menjual, dan biarkan juga pelajar yang ingin membeli, dan kalau tidak silap formulanya, benarkan juga pelajar untuk makan dan emnikmatinya dikelas asal tidak mengganggu pelajaran.

Bayangkan peruntukan masa 40minit sewaktu dijenguk selingan iklan sekitar 2minit. Jika ianya datang dari 10 kelas dan pastinya lebih, anda hanya memerlukan 20minit untuk mengawal kelas, memberi salam, memulakan bicara, menegur, membuka buku dan kemudiannya menutup buku dan salam.

Saya kira ianya harga yang patut kami bayar demi sebuah kebajikan….. dan dana sekolah.

Sekolah yang masih berkategori sekolah bukan bantuan penuh kerajaan terpaksa mencari dananya sendiri, pengurusan utility sekolah dan infranstrukturnya yang cukup banyak memerlukan hak belanjawannya tersendiri.

Untuk itu, anda sebagai guru perlu berkompromi. Dan saya kira ianya latihan praktikal untuk melahirkan jiwa usahawan berbanding ritual kitab yang diajar tentang ekonomi dan perdagangan.

Dan acara kemuncaknya nanti ialah satu HARI KANTIN sekolah.

Ia dijadualkan pada Jumaat bertarikh 5 Febuari 2010.

Wednesday, February 3, 2010

Seksa Thaipusam

Sesak Jalan Mengira Aspal

Jumaat lepas, saya hanya mampu menghitung batuan aspal, jarak ke sekolah diisi oleh kenderaan yang tidak berpenghujung.

Jalan raya sesak. Detik berlalu perlahan seperti pusingan roda kenderaan yang pasrah tidak bergerak.

Rupanya hari itu adalah hari istimewa bagi masyarakat beragama hindu yang merayakan THAIPUSAM, mereka datang berhimpun dari segenap penjuru negeri untuk berada dikuil terbesar mereka di pulau pinang ini, iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthabani , Georgetown. Hanya 3 km dari sekolah saya.

Lanjutannya, hari Sabtu merupakan cuti umum kepada rakyat Pulau Pinang. Dan ianya adalah antara hari paling sesak dalam sejarah negeri. Saya dinasihatkan untuk mengelak jalan ke Bandar pada hari tersebut jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan.

Inilah antara hari masyarakat hindu datang dengan pelbagai ragam, namun tujuannya adalah satu iaitu mendapatkan pengampunan dan menunaikan nazar mereka.

Seksa Diri

Inilah budaya dan kepercayaan masyarakat Hindu yang amat jauh dari kebenaran dan rasional mental manusia. Ragam mereka hanya dianggap kini ritual hiburan oleh para pelancong asing yang teruja menyaksikan kelainan dan warna warni kesakitan dan kebobrokan barangkali.



Tapi sayangnya, kini kita pula seolah dipaksa menerima budaya menyiksa diri adalah perlu untuk diampunkan. Siapa yang lebih tegar untuk diseksa dan disakiti fizikalnya, bermakna mereka lebih besar berpeluang diampunkan dosa.

Ada antara orang islam yang mula terikut budaya ini. Mereka suka menyiksa anggota diri hanya untuk merasakan nikmat penerimaan tuhan, betulkah begitu ? Bahkan penyiksaan ini berjalan dan berlangsung dengan pelbagai variasi penyiksaan dan kekadang berakhir dengan kematian sebagaimana yang terlapor dalam akhbar baru-baru ini dalam kes yang diklasifikasikan pihak polis sebagai pembunuhan mistik tanpa niat.

Tuhan Pengampun

Allah tuhan pengampun tanpa batasan. Tuhan mengampun segala dosa manusia kecuali syirik. Tuhan tidak memerlukan hantaran hadiah mahupun penyiksaan diri untuk mengampunkan manusia.

Tuhan hanya inginkan keinsafan, kesedaran, taubat dan kerendahan diri manusia mengakui kelemahan dan seterusnya memohon ampun.

Berada dinegeri serba majmuk ini, saya perlu memperlengkapkan pengetahuan tentang agama sekitar, atas nama dakwah dan ilmu.

Berikut antara maklumat yang saya dapati berkaitan perayaaan ini :



Patung besar Dewa Murugan Di Batu Caves

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.

Tujuan

Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Pada hari itu mereka akan membawa susu yang berwarna putih kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak , warna , daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Tidak semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini.

Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala dengan warna oren. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Ia merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar.

Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini terdiri daripada lelaki , perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung kepada kemampuan seseorang.



Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain.

Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.

Pelbagai cara menyiksa diri bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belalang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sm. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.

Boleh dikatakan semua mereka berada di dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu .

Perbandingan Malaysia dan India

Agama Hindu berasal dari India dan dibawa ke Malaysia oleh buruh-buruh ladang pada zaman penjajahan British seawal 1786 di Pulau Pinang. Di ladang-ladang , kuil-kuil Hindu dibina dengan pembiayaan beberapa penganut Hindu. Oleh yang demikian saiznya tidaklah begitu besar . Antara kuil yang bersaiz besar terletak di Sungai Petani, Georgetown, Teluk Intan, Hutan Melintang , Seremban, Johor Baharu , Kuala Lumpur dan lain-lain.

Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia berbanding dengan di India, Di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Thaipusam dapat menyatukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar dan bertumpu kepada beberapa kuil Hindu yang besar sahaja.

Tuesday, February 2, 2010

Ajaibnya sedekah



Melihat kejaiban sedekah dengan mata hati.

Ianya harus dilakukan dengan penuh kesedaran dan ilmu pengetahuan.

Ia juga harus hadir dengan keyakinan dan kepercayaan.

Percayalah. Sedekah banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Ia hadir dalam kepelbagaian ragam dan cara. Ia hadir mengikut ketentuan yang maha kuasa dan pemurah.

Ada 4 manfaat besar bagi sedekah :

1. sedekah akan mengundang rezeki.
2. sedekah akan menolak bala.
3. sedekah akan menyembuhkan penyakit.
4. sedekah akan memanjangkan umur dan memberkatinya.

Namun ianya perlu dilakukan secara focus, berilmu dan terancang.

Bukan sekadar memberi atau memberi sekadarnya.

Keajaibannya hadir bagi mereka yang mengingininya.

Kerana itulah saya melihat, memberi sedekah kepada para pengemis jalanan tidak akan membantu keajaiban hadir. Ia seolah dating dan pergi seumpama angina yang berlalu. Insya allah pahalanya ada. Namun kesan keajaibannya tidak akan ketara.

Bahkan sebaliknya, sedekah kepada pengemis jalanan ini akan membiakkan lagi industri cara makan dengan simpati ini dengan lebih dahsyat.

Di Masjid saya , Taman Tun Sardon Gelugor akan sentiasa ada sederetan manusia pengemis ini duduk dipermukaan pintu pagar masjid dibahu jalan sambil menadah tangan.

Walau golongannya ramai perempuan yang lemah, tapi pakaiannya tidak menzahirkan kedaifan. Anak-anak kecil yang dibawa seolah keriangan melihat tangan mereka diletakkan duit sedekah, membibitkan perasaan sejak kecil inilah satu cara mudah mencari wang dengan menarik simpati bukannya berusaha.

Seharusnya diingat sedekah adalah ibadat.

Ianya harus dilaksanakan dengan teliti, berperancangan dan mengikut ilmu.

Dan selepas itu, saksikanlah keajaibannya. Yakinlah.

Sedekah akan memberikan manusia kekayaan, sedekah akan menjauhkan manusia dari kejahatan tangan bala dan bangkrapsi. Ianya memudahkan kehidupan rohani kita untuk segar dengan hidayah dan diberkati.

Kerana itulah ianya perlu berperancangan, carilah sesiapa yang memerlukan, berilah secara terang atau tersembunyi, letakkan keikhlasan dalam pemberian tanpa balasan, harapkan keampunan tuhan.

Nescaya keajaiban akan muncul untuk pemberi dan juga penerima sedekah ini.

Bersama rakan di SMK Perempuan Likas dulu, kami bersatu nawaitu dan tindakan, berinisiatif mencari pelajar miskin dan bermasalah kewangan, melihat potensi agama dan dakwah lalu kami kumpul bersama sumbangan dari panitia agama, dan seterusnya kami salurkan pada mereka yang berkelayakan setiap bulan diluar hebohan pada dunia sekolah. Hanya kami dan Allah sahaja yang tahu.

Harapan kami, ianya satu jalan dakwah yang baik, bukan sahaja memberi ilmu, nasihat agama bahkan huluran bantuan kewangan ini mempastikan jalan dakwah terbuka luas. Pelajar menerimanya dengan hati dan perasaan yang tentunya berbunga keinsafan, bantuan ini berada pada landasan agama.

Moga ini akan meruntun jiwa syukur dan menanam rasa memberi kepadanya tika dewasa nanti.

Moga saya juga mampu laksanakannya disini. Disekolah ini. Jauh di Pulau mutiara. Jauh dari jangkaun kawan seangkatan dan sefikrah.

Saya sedang mengintai mangsa saya. Siapakah yang boleh saya Bantu. Pastinya mereka adalah down line saya, seterusnya mengumpul mata bonus ganjaran dari tuhan, dan kalau boleh merekrut lebih ramai yang berfikrah ingin memberi ini supaya kekayaan yang ada ini akan bercambah dan dinikmati bersama.
Ya ianya satu konsep pyramid kepada kekayaan. Ianya pelaburan cepat kaya yang begitu menguntungkan.

Terujakah anda ??



Selesai membaca buku ini, dan hati berbisik. Hidayahnya perlu dikongsi bersama.

Judul : Ajaibnya Sedekah – Semakin Bersedekah Semakin Kaya.

Pengarang : Muhammad Muhyiddin

Penerbit : PTS

Halaman : 174 mukasurat.

Dinamika Sedekah

Tugas saya sebagai pengerusi majlis belum selesai. Selepas penceramah pertama melabuhkan bicaranya, saya akan kembali memegang mikrofon.

Membuat sedikit ulasan bebas dan kemudiannya menjemput panel kedua untuk berucap adalah rutin biasa pengerusi.

Namun, sekeping nota sampai ke kaki meja saya, “Ustaz, kita ambil masa sikit, panel kedua baru sampai kita bagi dia rehat seketika,jamaah tengah ramai,ustaz lancarkan kutipan derma sekarang.”

Ringkas nota berbentuk arahan. Membuat saya terkedu seketika mengumpul kata.

Apa bicara terbaik untuk meruntun jiwa manusia, mengenggam amanah dan menuntun mereka bersedekah.

Ada antara mereka yang biasa bersedekah, ada yang baru berjinak untuk memberi infak dan ada pula yang agak liat menghulur sumbangan ekoran ketidakcekapan diri.

Bukan kerana mereka tidak berduit, tapi duit mereka tidak pernah kecukupan. Mereka boleh berbelanja makan sampai RM 20 sehari dan tika masanya dengan mudah membeli sesuatu barangan seperti raket badminton yang berharga ratusan ringgit sedangkan keperluannya tidak mendesak.

Natijahnya, manusia ini terbelenggu dengan perangakp nafsu manusiawi. Tamak dan tidak tahu erti tanggungjawab.



Saya berkata didalam hati. Bagaimana menggamit hati manusia untuk bersedekah. Bagaimana menyapa jiwa untuk seronok memberi, bagaimana menegur nafsu untuk redha dan tidak rugi menghulurkan.

Lalu saya menyusun ayat ini. Ayat pemanis bicara, ayat mengetuk hati, ayat mencabar minda sedar, ayat memohon sumbangan. Saya mulakan dengan pertanyaan.

Dalam kedewasaan dakwah yang terus berlangsung, pastinya banyak halangan yang menimpa, namun itu semuanya adalah lumrah pengajaran buat para daie memikul dan mengambil manfaatnya.

Pernah satu ketika dulu, Prof Buya Hamka bertanya kepada para pelajarnya dalam satu sesi ceramah yang penuh bersalut hujjah dan hidayah. Beliau bertanya : Jika suatu hari didalam sebuah hutan yang luas, ada seorang pemburu sedang merayau-rayau mencari sasarannya, tiba2 kelihatan sekawan burung diatas dahan pokok. Rezeki sampuk hatinya. Lalu dia terus menghalakan laras senapangnya. Ada 10 ekor semuanya diatas dahan. Dimasukkan peluru penabur. Lantas bidikannya dilepaskan dan mengenai 6 daripadanya. Soalannya : berapakah burung yang tinggal ??

Pantas kita mencongak mudah. 10 tolak 6 bakinya adalah 4. begitulah kebiasaannya akal waras kita diajar mengira dan menghitung.

Tapi jawapan Buya Hamka amat mengejutkan audiens. Jika daripada 10 burung yang ada 6 daripadanya terkena tembakan, maka yang tinggal adalah adalah 6 yang jatuh ketanah dan menjadi rezeki kita.

Adapun 4 yang berbaki akan terbang dan melayang mungkin menjadi rezeki orang lain.

Begitulah aura pemikiran hebat yang dicetuskan minda mereka yang bernaung dengan hidayah tuhan. Mengambil contoh dari sirah rasul tercinta.

Pernah diberitakan Rasulullah pulang ke rumah salah seorang isteri tercintanya lalu Rasul bertanya tentang makanan yang masih berbaki dirumahnya. Isterinya berkata : ada sahabat yang menghadiahkan sepotong tulang beserta dagingnya. Namun bila ada orang yang dalam kesusahan, lantas saya menyerahkan daging tersebut kepadanya dan tidak ada yang tinggal kecuali tulang semata2.

Ya, tidak ada makanan, tidak ada yang tinggal kecuali tulang sahaja.

Tapi percayakah sahabat, bila rasul menyambutnya dengan senyuman dan pengajaran yang cukup berharga.

Tidak yang tinggal tetap disisi Allah ialah apa yang disedekahkan. Keseluruhan daging itu kekal dan tinggal dalam catatan pahala namun yang bakinya iaitu tulang belum tentu adalah rezeki dan pahala kita. Tapi yang disedekahkan pahalanya sudah pasti.

Jauh pemikiran rasul mengajar umat tentang dakwah dan pengorbanan.

Islam akan bangkit mulia jika umatnya lebih berfikiran dinamik seumpama ini.

Bukankah kehidupan yang lebih bermakna itu bermula dengan memberi dan bukannya menerima.



Mekanik pembaiki basikal dikampung saya menyatakan pula : You get what you give !!

Jika kita berikan kebaikan maka akan terulislah kebaikan dan dilipat gandakan.

Dan kalau kita hanya berharap untuk sekadar menerima dan tidak berpuas hati dengan sekeliling yang jarang menerima kita, maka bukan sahaja batin kita terseksa bahkan kehidupan kita menjadi tidak ceria bermakna.

Layarilah blog Saiful Islam yang mengangkat tema “Erti hidup pada memberi” ini untuk menjadi ubat pelali kita dari kehidupan jemu dan memenatkan. Dengan memberi, kita akan menjadi manusia yang lebih proaktif dan positif.

Saya memandang audiens yang khusyuk mendengar, mencongak, berfikir dan menghayati. Sesekali kelihatan anak-anak kecil merengek, mengganggu tumpuan.

Ayuh, cuba lihat apa yang ada dalam kocek kita. Apa yang kita mahu tinggalkan untuk akaun tetap pahala yang sudah pasti. Mari kita tinggalkan jumlah terbesar untuk mendapat janji keberkatan dan pengampunan dari Allah yang maha kuasa.

Bersedekahlah : Ajaibnya, semakin bersedekah semakin kaya.

Percayakah anda ???

Monday, February 1, 2010

Guru Menjadi Lilin Umat - Haruskah ?

Teringin saya menulis sesuatu tentang dakwah, sesuatu yang amat baik untuk dikongsi bersama.Sesuatu yang segar dan memeberi aroma hidayah kepada semua. Sesuatu yang sering terpinggir dari minda pendakwah.

Saya ingin namakannya : seni berdakwah untuk diri sendiri.



Alhamdulillah, Allah luncurkan saya untuk menemui blog ini dengan kandungannya yang amat berguna untuk dakwah. Dan ianya amat berbaloi untuk dikunjungi.

Saya menyalinnya dari blog : http://akhisalman.blogspot.com/

Mungkin kita selalu dengar perumpamaan yang mengumpamakan guru seumpama lilin.

Lilin membakarkan dirinya untuk menerangi orang yang disekitarnya. Ia disamakan guru yang mengorbankan dirinya demi kepentingan orang lain.

Namun Islam menyanggah perkara ini sekiranya ia bermaksud menyampaikan ilmu kepada orang lain tetapi melupakan diri sendiri untuk beramal. Nabi saw bersabda:

مَثَلُ الَّذِيْ يُعَلِّمُ النَّاسَ الْخَيْرَ وَيَنْسَى نَفْسَهُ كَمَثَلِ السِّرَاجِ يُضِيْءُ لِلنَّاسِ وَيَحْرِقُ نَفْسَهُ

"Perumpamaan orang yang mengajar kebaikan kepada manusia lain dan melupakan dirinya untuk diamalkan seumpama pelita yang menerangi manusia lain dan membakar dirinya sendiri."

Hadis ini diriwayat oleh Imam at-Thabrani dalam Mu'jam Kabir. Imam Manawi menghukum hadis ini sebagai HADIS HASAN. Imam Haithami mengatakan para perawinya adalah thiqah.

KEADAAN PELITA DAN LILIN ADALAH SAMA

MEREKA YANG TERMASUK DALAM PELITA YANG MEMBAKAR

1) Penceramah yang melupakan dirinya.

Tidak ada siapa yang mampu untuk beramal dengan semua apa yang disampaikan. Namun bagi penceramah yang hanya hendak menambahkan ilmunya dan mengajak manusia kepada kebaikan tetapi tidak sama-sama mahu memperbaiki dirinya sendiri maka inilah yang dicela dalam Islam. Nabi saw bersabda:

إن أخوف ما أخاف عليكم بعدي كل منافق عليم اللسان

" Sesungguhnya perkara yang amat aku takuti berlaku kepada kamu selepas kewafatanku adalah orang munafik yang pandai bercakap (tapi tidak mengamalkannya)." (Hr Thabrani, Bazzar dan Ahmad - SAHIH)

2) Penulis yang melupakan dirinya

Hari ini telah timbul penulis-penulis bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kewujudan-kewujudan blog dakwah dan yang Islamik semakin banyak. Namun gejala sosial semakin berleluasa. Ini menunjukkan keberkesanan yang kurang akibat islam hanya ada pada blog tetapi tidak ada pada amalan seharian. Kalau kita lihat dalam blog seolah blogger tadi seorang yang hebat dari segi ilmu dan amalannya. Namun realiti yang terjadi hubungan manusia dengan tuhannya amat lemah. Mereka menyuruh dan menggalakkan orang lain berbuat baik tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Islam hanya pada tulisan dan bukannya pada hati dan anggota. Nabi saw bersabda:

يجاء بالرجل يوم القيامة قيلقى في النار فتندلق أقتابه فيدور بها كما يدور الحمار برحاه فتجتمع أهل النار عليه فيقولون : يا فلان ما شأنك؟ ألست تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر ؟ فيقول : كنت آمركم بالمعروف ولا آتيه وأنهاكم عن الشر وآتيه

" Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dicampakkan kedalam neraka. Usus-ususnya keluar dan berputar-putar seperti mana keldai berputar dalam tempat pengisar. Para penghuni neraka berkumpul mengerumuninya dan bertanya "Bukankah engkau menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab " Aku menyuruh kebaikan serta tidak melakukannya dan mencegah kemungkaran serta tidak meninggalkannya."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

3) Penganjur program kebaikan yang melupakan dirinya

Menganjurkan program kebaikan adalah suatu perkara yang amat baik. Semua prgram tersebut adalah semuanya bertujuan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mendekatkan diri kepada ilahi. Namun yang kita lihat orang-orang yang sibuk prgram ,tetapi dalam masa sama kurang hubungan mereka dengan tuhan. Balik lewat malam dan tahajudnya tiada dan subuh lewat di rumah. Hanya bersungguh memprgramkan orang lain tetapi lupa untuk memprgramkan diri bersama tuhan. Saidina Umar ra berkata:

لئن نمت الليل لأضيعن حق الله ولئن نمت النهار لأضيعن حق الرعية

" Kalau aku tidur waktu malam aku meyia2kan hak Allah dan kalau aku tidur waktu siang aku akan menyia-nyiakah hak rakyat."

KESIMPULAN

Marilah kita menyampaikan ilmu dan mengamalkan ilmu sedaya mungkin. Menyembunyikan ilmu dilarang oleh Islam. Nabi saw bersabda:

من كتم علما ألجمه الله يوم القيامة بلجام من نار

" Sesiapa yang menyembunyikan ilmunya , Allah akan mengekang dirinya dengan kekangan dari neraka pada hari kiamat. " (Hr Ibnu Hibban dan Hakim - sahih)



Menyampaikan ilmu dengan berceramah, menulis atau menganjurkan prgram sahaja tanpa ada usha untuk beramal dan memperbaiki diri adalah dilarang dalam Islam. Nabi saw bersabda:

مررت ليلة أسري بي بأقوام تقرض شفاههم بمقاريض من نار قلت : من هؤلاء يا جبريل؟ قال : خطباء أمتك الذين يقولون ما لا يفعلون

" Pada malam isra' aku telah lalu pada sekumpulan manusia yang dipotong lidahnya dengan gunting-gunting dari neraka. Aku bertanya "Siapakah mereka wahai jibril?" Jibril menjawab " Mereka adalah penceramah-penceramah dikalangan ummatmu yang berkata apa yang mereka tidak lakukan."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.