Thursday, September 9, 2010

Salam Aidil Fitri 1431H

Saya ingin merakamkan ucapan salam Aidil Fitri untuk semua,

Bersama jambangan doa yang mekar dikelopaknya,

Ku bermohon Ya Allah,
Perkenankanlah ibadat puasa kami ini.
Terimalah semua amalan kebajikan kami dibulan yang mulia ini.
Jadikanlah ia sesuci lebaran yang mendatang,
bersama Fitrah kebersihan diri dan nafsu,
didiklah kami ya allah, dengan pekerti dan imej keikhlasan,
agar kami menempah redha dan kasihmu ..
Jadikanlah takwa pakaian dan amalan kami yang berterusan Ya allah
disepanjang susur liku kehidupan ini ya allah..
bebaskanlah kami dari belenggu neraka mu..
nyahkan nista jijik kederhakaan maksiat dan kesalahan
dari bersarang dilubuk hati dan nawaitu kami..
jadikanlah kami hambamu yang terpilih...
menerima hati yang panuh tenang dan redha
mengunjungi syurgamu..

Buat semua ,
Rakan dan taulan..
tak kira dimana pun berada.
Kepimpinan dan generasi pelajar Bakti dan Balkis,
jamaah surau dan masjid yang saya singgahi..
dan juga semua pengunjung blog dhaif ini.

Salam AidilFitri dari saya dan keluarga :

Ahmad Hafizullah Ubaidah
Shamilah Mahzir
Anas Hamdi
Anis Salsabila
Auni Syazwani
Atiyah syukrina
Alif Hadi

Tuesday, September 7, 2010

Jumaat di Aidil Fitri

Dari blog rakan saya Ust Aizam Mas'ud, pegawai penyelidik JAKIM dibahagian Aqidah.

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada 'Idul Fitri mahupun 'Idul Adha.

Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al A`immah karya Imam Sadr al-Din Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Rahman Ad Dimasyqi al-Syafi’iy, disebutkan bahawa :

“Apabila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih, bahawa solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kampung yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi orang yang datang dari kampung lain, gugur Jumaatnya. Demikian menurut pendapat Imam Asy Syafi’i yang sahih. Maka jika mereka telah solat hari raya, boleh bagi mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung wajib solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun orang yang ditempati solat Jumaat. Kewajiban solat Jumaat gugur sebab mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Menurut ‘Atha`, Zuhur dan Jumaat gugur bersama-sama pada hari itu. Maka tidak ada solat sesudah solat hari raya selain solat Asar.”

Ad Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan pendapat Imam Malik sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Disebutkannya bahawa,“Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat,”Jika berkumpul hari raya dan Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakannya semuanya….”

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah bahawa dalam masalah ini terdapat empat pendapat :

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka diselenggarakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung atau padang gurun (ahlul badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di tempatnya itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung — telah solat hari raya, boleh mereka terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang ditempati solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang mahupun bagi orang yang ditempati solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabbah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubayr dan ‘Ali.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum Pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya -yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat- gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. Antara dalilnya adalah hadith Zayd bin Arqam r.a. bahawa dia berkata : “Nabi SAW melaksanakan solat Ied (pada suatu hari Jumaat) kemudian beliau memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumat. Kemudian Nabi berkata, “Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah dia solat.” (HR. Al Khamsah, kecuali At Tirmidzi. Hadith ini menurut Ibnu Khuzaimah,sahih).

Hukum Kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadith Abu Hurayrah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahwa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum Ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.

Hukum Keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Walaubagaimanapun penulis berpandangan, bagi keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal untuk tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut bagi sesiapa yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid. Realiti atau waqi’ juga cenderung kepada kewajipan menunaikan solat Jumaat berdasarkan kemudahan untuk menemui masjid di mana sahaja kita berada di samping kemudahan lain seperti kenderaan. Wallahu a’lam.

Sunday, September 5, 2010

Sanggul Muslimah

“Salam ustaz. sy mau tnya tentang sanggul rambut muslimat yg jelas kelihatan wpun memakai tudung. yg mana Allah melaknatnya. Sy yg dhoif ini minta penjelasan. trm ksh..”

2 minggu kotak komentar di blog saya kekal tak terusik. Sapaan salam seorang sahabat bersama soalannya membuatkan minda saya berfikir 2 kali untuk menjawabnya. Ianya isu penting yang saya lihat perlu diperhalusi persepsinya bukan sekadar menghambur hokum halal dan haram tanpa kewarasan pertimbangannya.

Sekali lagi saya cuba mengingati matan hadisnya, ia seakan jinak di ingatan tapi meliar di pandangan rujukan dan carian saya. Saya memerlukan sumber hadis yang terperinci untuk membuat andaian dan jawapan konsisten yang menghampiri tepat dan kebenaran. Memberi jawapan dalam tergesa dan gopoh hanya mengundang penyesalan dan kehinaan, kerana itu jalan selamat saya hanya dengan menyatakan maaf saya kurang arif jawapannya.

Setelah membuat pelbagai rujukan dan carian barulah saya diilhamkan destinasi sumbernya . Ianya merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan dicatatkan juga oleh imam Nawawi dalam Riyadhus Solihin berkenaan Bab Haram Lelaki Menyerupai Wanita.

Terjemahan saya secara bebas tentang matan hadis tersebut ialah :
Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda : Terdapat 2 golongan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya (sekarang ini), (pertamanya) golongan penguasa yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya, dan (golongan kedua) ialah wanita yang berpakaian seperti telanjang, meliuk lintuk (gaya dan bentuk badan dan jalannya, menjauhi perintah allah) kepala mereka umpama bonggol unta yang senget, mereka tidak akan memasuki syurga dan mereka tidak akan tercium bau harumnya, walaupun bauan syurga itu mampu dihidu dari jarak tertentu… dalam riwayat yang lain : Bauannya mampu dihidu dari jarak perjalanan selama 500 tahun.

Sememangnya hadis ini jelas menceritakan tentang pengharaman TABARRUJ dan mendedahkan kecantikan tubuh badan wanita dan perhiasannya untuk tujuan godaan dan keghairahan terhadap lelaki.

Melalui hadis ini juga ianya jelas menunjukkan fitnah akhir zaman yang salah satu elemennya didominasikan oleh watak wanita penggoda ini. Mereka diprogramkan untuk menjadi alat pelaris komersial, habuan dan rasuah perniagaan, agen hiburan dan keseronokan dan pelbagai lagi.

Malahan bukan lagi misteri dan perkara menghairankan jika kita melihat para wanita penggoda ini akan menari dan menayangkan tubuh giurnya hanya untuk iklan syampu yang sepatutnya mengfokuskan bahagian rambut dan kepala sahaja. Dan pastinya fokus lebih spesifik kepada wanita berpakaian merah ini hanya untuk iklan sebuah kereta mewah contohnya.
Pendedahan rasul ini yang pertamanya bermakna golongan wanita ini antara penghuni teramai dineraka.

Ianya juga menyerlahkan hakikat bahawa para wanita diberi lebih banyak nikmat kecantikan ,kejelitaan dan kelembutan daripada lelaki, namun malangnya ianya disalahgunakan pada tujuan yang diharamkan oleh tuhan.

Memang mereka golongan yang dipakaikan Allah lengkap dengan nikmat dan anugerahnya, namun mereka bertelanjang dari mensyukurinya.

Lalu mereka mengadakan pelbagai pakej kesesatan godaan samada berpakaian singkat, sempit, jarang , ketat dan mendedahkan. Dan segala kreativiti semakin bercambah kesetiap fesyen pakaian wanita dari hujung kaki kehujung rambut.

Dan kita lihat hari ini pelbagai fesyen rambut dan tudung diperagakan semata2 untuk memberikan kepuasaan nafsu melampiaskan kecantikan diri untuk tatapan umum.

Kerana itu, Rasul SAW menyebut khusus tentang gambaran rambut dan kepala wanita ini yang sengaja disenget manjakan untuk menggoda manusia. Ianya juga memberi idea baru dan promosi hedonisme dengan menyatakan RAMBUT ADALAH MAHKOTA WANITA, lalu pelbagai fesyen terus diteroka untuk memberi kelainan dan keunikan pada sipenggoda ini.

Dewasa kini, pelbagai jenis rambut palsu terdapat dipasaran, pelbagai dye pewarna juga dipasarkan, pelbagai bentuk topi dan skaf yang direka femini juga turut dijual dan semuanya ini termasuk dalam maksud golongan wanita berbonggol unta dikepalanya.

Tersebut dalam satu hadis riwayat imam ahmad dan at tabarani : dari Abdullah bin amru menyatakan : aku mendengar sabda nabi SAW, Suatu hari nanti diakhir zaman, para lelaki dikalangan umatku menaiki kenderaan besar dan laju, mereka berhenti dipintu2 masjid, dan golongan perempuan pula berpakaian seperti telanjang, dan dikepala mereka bonggol unta, laknatilah mereka seseungguhnya mereka golongan tercela dan celaka.

Berkaitan soalan diatas : Adakah sanggul wanita bertudung turut termasuk dalam perkara terkutuk yang dilaknat Allah seperti watak wanita penggoda diatas.

Saya melihatnya sebagai sama jika ianya bertujuan untuk mendedahkan kecantikan, menzahirkan perhiasan yang tersembunyi, menarik perhatian, menggoda dan menimbulkan pesona.

Adapun jika ianya untuk tujuan kesihatan, kebersihan, keselesaan diri atau alasan yang kita mencakupi uzur syarie yang dibenarkan maka ianya harus namun tidak digalakkan. Sebaiknya mereka mencari alternative lain untuk menudungi hijab mereka dengan sebaiknya tanpa menimbulkan syubhat.

Dan bagi para duat pula … berhematlah dalam membuat penilaian dan berdakwah, jangan terlalu sembrono menghukum dan menegur, ianya menyisihkan dan tidak menghimpunkan, ianya menjauhkan bukan mendekatkan..

Pada pandangan saya, nasihatilah golongan tudung bersanggul ini dengan berhemat dan lebih lembut berbanding wanita yang langsung tidak bertudung,gunakan kewarasan hikmah untuk memberikan kesedaran dan ingatlah, tujulah kesasaran kebenaran sedikit demi sedikit sehingga kita samapai ke destinasi yakin dan selamat.

Moga allah memayungi kita dengan hidayahnya.

Di hujung Lensa Munajat Malam Iftar



Antara program yang di laksanakan di malam itu :

1. Bacaan Yasin
2. Solat Hajat
3. Solat Terawih dan Witir
4. Solat Witir
5. Tazkirah 10 minit

Dalam remang malam yang ke23 Ramadhan, berbumbungkan langit tuhan, beralaskan bumi kami berkumpul dihadapan mu tuhan, kami memohon rahmatmu, mendambakan petunjukmu ..
ampunkanlah segala dosa kealpaan kami, ampunkan jua nista amalan kami, terlebih lagi solat dan siyam yang tidak sempurna apatah lagi kurangnya kualiti ikhlas di pelupuk hati kami.

Tuhan ... jadikanlah kami dimalam mulia ini, dibulan yang penuh dgn keberkatan ini untuk menjadi tetamu kasihmu, diterima amalan kami dan diiktiraf status kehambaan kami. Jangan jadikan kami manusia yang celaka dan tersia ramadhannya tuhan...

Tuhan ... yang maha pengampun dan sukakan keampunan, ampunlah kami...

Redhakanlah perjalanan hidup kami.... dan akhirilah hayat kami nanti dengan perkenan rahmatmu. Amiiiin Ya Allah.







Saturday, September 4, 2010

Klik lensa di Iftar Ramadhan

Atas permintaan ramai sahabat, saya berkongsi gambar2 ini sebagai kenangan bersama.


Rancak... Para guru sempat membuka sembang kedai kopi selepas Iftar sementara menunggu solat maghrib.


Licin... begitulah lazatnya juadah iftar dimalam itu. Larat terawih ke ni ??


Penuh Komitmen... Ustazah Atiqah (ustazah ganti dahulu) masih setia memenuhi jemputan walau terpaksa meredah aspal yang jauh.


Ceria... antara guru yang hadir bersama keluarga memeriahkan majlis di malam itu.


Santai dalam doa ... para pelajar bersama mengaminkan doa yang dipanjat. Pakai topi pun ada ...? Nak pi mana tu ? Tersalah majlis ke ? Namun kehadiran pelajar amat bermakna menjayakan majlis yang telah disusun.

Iftar Ramadhan di SXI

Pada hari khamis 2 September yang lalu, julung kalinya BAKTI dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam berjaya melaksanakan agenda ukhuwwah dan kerohanian yang sekian lama dirancang.

Majlis yang dimaksudkan itu ialah IFTAR JAMAIE DAN SOLAT HAJAT PEPERIKSAAN SXI 2010.

Dengan kehadiran dan komitmen saf guru dan pelajar, program dinilai berjaya mencapai objektifnya.

Kehadiran kesemua watak dalam hirarki pentadbiran sekolah juga menandakan keterbukaan, kemesraan dan pengiktirafan kepada BAKTI dan segala kerja amal islami di sekolah ini.



Kesempatan yang ada juga, saya luangkan peluang untuk tuan pengetua menyampaikan ucapannya.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat menjayakannya.


Barisan pentadbir disapa perbincangan dan salam hormat bersama komuniti ibubapa muslim yang turut hadir.


Suasana sekitar dewan makan ceria dalam gamat hadirin menikmati juadah iftar.


Meriah...antara guru2 lelaki yang hadir menjamu selera.

Gerak Gempur Ramadhan

ـ حَدَّثَنِي مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا عَبْدَةُ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ، وَيَقُولُ ‏”‏ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ ‏”‏‏.

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Rasulullah s.a.w. itu beri’tikaf dalam sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan dan beliau s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul-qadri itu dalam sepuLuh yang terakhir – yakni antara malam ke 21 sampai malam ke 30 – dari bulan Ramadhan.” (Muttafaq ‘alaih) AL-BUKHARI NO.2059


ففي صحيح مسلم عن عائشة رضي الله عنها : أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يجتهد في العشر الأواخر مالا يجتهد في غيرها ) رواه مسلم

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha pula, katanya: “Rasulullah s.a.w. itu bersungguh-sungguh dalam beribadat dalam bulan Ramadhan yang tidak demikian bersungguh-sungguhnya kalau dibandingkan dengan bulan lainnya, juga di dalam sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan itu beliau s.a.w. bersungguh-sungguh pula yang tidak demikian bersungguh-sungguhnya kalau dibandingkan dengan hari-hari Ramadhan yang lainnya.” (Riwayat Muslim)

Malam istimewa yang sangat unik. Cukup mulia lantaran rimbunnya rahmat dan anugerah tuhan hadir bersamanya.

Kehadirannya ditunggu penuh teliti, datangnya hanya setahun sekali, dalam penantian yang panjang …. Hadirnya hanya seketika, bertemu dan berjabat slam dengan mereka yang mendambakannya …. Mencarinya …. Dan begitu teruja memanfaatkannya.

Allah sebaik rujukan apabila mengambarkan citra malam istimewa ini yang begitu hebat dan mulia melebihi seribu bulan, dikirimkan beritanya segar dan gembira dalam penceritaan surah al Qadr yang lengkap memperincikan promosi ajaibnya.

Malam yang cukup mulia, pertamanya melalui sejarah awal penurunan sulung al quran dari luh mahfuz kelbaitul izzah dilangit dunia.

Dan keduanya melalui himpunan rahmat dan bonus ganjaran yang dijanjikan lewat mereka yang tega memuliakannya. Juga bagi mereka yang setia dan yakin percaya dengan janji tuhannya.

Melalui rentetan hadis pelbagai riwayat menperincikan hebahan anugerah ini, tidak pula tertera maklumat tepat dan jelas mendetailkan saat dan waktunya. Ianya seolah agenda rabbani membisik rahsia malam istimewa ini hanya untuk manusia terus teruja dan bersungguh mencarinya.

Beberapa hadits shahih meriwayatkan malam Lailatul Qodar itu jatuh pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Seperti dirawikan Imam Ahmad, “Lailatul Qadar adalah di akhir bulan Ramadhan tepatnya di sepuluh terakhir, malam keduapuluh satu atau duapuluh tiga atau duapuluh lima atau duapuluh tujuh atau duapuluh sembilan atau akhir malam Ramadhan.

“Barangsiapa mengerjakan qiyamullail (shalat malam) pada malam tersebut karena mengharap ridha-Ku, maka diampuni dosanya yang lampau atau yang akan datang.”

Yang hamper pasti, Ianya hadir lewat dipenghujung ramadhan. Tersembunyi rahsianya dibalik keMungkinan, andainya rahmat tuhan mengizinkan dua puluh malam pertama kita mulakan dengan pemanasan badan untuk ketaatan dan penyucian jiwa agar malam istimewa itu nanti ditemui dengan hati yang tega merindu, pasrah bertemu dan penuh keterujaan dalam ibadah.

Jika ditanya malam manakah ia ? Jawablah sahabat sekelian, ada dua tanda lailatul qadar. Al Qur’an menyatakan, “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat JIbril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan / kedamaian sampai terbit fajar. (QS al-Qadr : 4 – 5).

Dengan demikian, ianya bukanlah bermakna kita menanti untuk disapa malaikat dimalam itu… tapi hakikatnya bisikan malaikat akan selalu mendorong seseorang untuk melakukan hal-hal positif dan bermanfaat.Jadi kalau ada seseorang yang dari hari demi hari sisi kebajikan dan positifnya terus bertambah, maka yakinlah bahwa ia telah bertemu dengan Lailatul qodar.

Beruntunglah mereka yang menemuinya.

Dan beruntung jua mereka yang termotivasi dalam ibadah dengan keistimewaan malamnya.

Berusahalah…. Berusahalah….moga allah merahmati kita.