Saturday, October 9, 2010

Mencari Kelainan

Bersama lensa kamera yang tidak pernah berhenti berkelip.

Terakam episod yang kekal di memori.

Di Majlis Restu Ilmu yang berlangsung dalam selubung rahmat dan kasih tuhan.


Menadah segala inayah dalam perhambaan kerdil seorang hamba.


Barisan anak2 pelajar SXI khusyuk menunaikan solat.


Tenang mentaati tuhan.


Tapi dalam gambar ini, seolah ada sesuatu yang tak kena. Apa ya ????

Majlis Restu Ilmu

Salam Peperiksaan !

Masih belum terlambat rasanya untuk saya memintal ingatan pada para pelajar yang kini sedang bergelut dengan PMR dan juga yang akan menempuh peperiksaan yang lain. Ingatan untuk kita pasrah dan berdoa selepas usaha dan ikhtiar.

Worship Day 2 !! Itulah tugasan saya berikutnya. Ianya merupakan hari penganut semua agama untuk bermeditasi mengingati pengasasnya.

Juga untuk membina rangkaian kesatuan dalam beragama pada semua warga ST Xavier ini.



Tilikan saya mendapati tarikhnya tepat menghampiri situasi kritikal – merasai debaran dan gementar – peperiksaan yang akan berlangsung. Tanggal 1 Oktober yang diamanahkan untuk berlangsungnya program pula sememangnya dikhaskan untuk semua anutan fahaman ini memimpin para pelajar agamanya untuk merasai kehebatan pergantungan kepada penciptanya, atau mungkin dalam ertikata mereka (pengasasnya).

Kepimpinan Baru

Namun bagi saya kali ini ialah bagaimana merencana dan melaksanakan program ini dengan saf kepimpinan baru BAKTI, hamper 85 peratus organisasi yang baru ini adalah anggota baru yang mula berjinak dengan wadah perjuangan islam ini. Merekalah sebenarnya pelapis baru yang diharapkan mampu meneruskan kesinambungan episode dakwah dan hidayah dalam komuniti majority islam di sekolah ini. Menangani karenah anggota pelajarnya bukanlah sesuatu yang mudah kerana rebung mereka tumbuh dalam acuan berbeza dan tersendiri. Kekadang tercondong dari lurus cahaya mentari hidayahnya.



Tapi alhamdulillah, dengan karisma pengerusi baru yang dilantik, kelancaran program seolah berjalan tenang dilandasannya. Pengendalian majlis juga tercerna indah dalam sinaran mentari pagi yang gemersik biasan cahayanya.

Majlis Restu Ilmu…..

Itulah program yang kami luncurkan bersama di pagi itu.

Bersama menyembankan permohonan didahi sujud, bersama merafak doa kelangit harapan, bersama menyulam pasrah didada tahlil, bersama mendengar tazkirah dan motivasi nasihat yang disampaikan guru dan barisan pendidik.

Kali ini, saya bawakan segmen kelainan dengan menjemput beberapa orang guru PMR dan SPM untuk bersama berkongsi pentas majlis memberi nasihat, dorongan dan inspirasi buat pelajar. Moga kepelbagaian dan keiklasan yang tampak disetiap lenggok bicara sang muaddib ini mampu dijamah rasa sedar dan insaf dihati pelajar.

Dan akhirnya, saya maklumkan tatkala terasa sudah ada mata yang bergenang airnya, tatkala hati sudah ada yang tersentuh emosinya, tatkala motivasi sudah ada yang menggunung tekadnya…. Wahai pelajarku sekelian, pergilah ke setiap guru kalian, yang pernah mendidik dengan nawaitu ikhlas yang membara, tatapilah wajah mereka, mintalah ampun pada mereka dan mohonlah dihalalkan agar segala ilmu yang mereka berikan padamu. Moga tiada secalit geram dan benci pada diri mereka. Ingatlah … doa seorang guru selain ibubapa adalah amat mustajab.

Dan semasa majlis bersalaman, saya mewakii panitia islam menghadiahkan mereka dengan sejambak alat tulis yang dibungkus indah menjadi kelopak ingatan yang mewangi syukurnya.



Moga mereka mampu menghadiahkan yang terbaik buat diri mereka dan sekolah..

Respon Positif

Beberapa hari berlalu…

Seorang guru memberitahu saya, alhamdulillah ustaz, sejuk hati keibuan saya melihat anak2 islam kita berkerumun memenuhi bilik guru mencari para guru yang mengajar mereka. Tanpa segan silu mereka memohon maaf dan minta didoakan kejayaan mereka kepada guru, tanpa berselindung ada yang menangis keterharuan, tanpa berpaling mereka berjumpa dengan semua guru mereka.

Dan alangkah harumnya hati saya ustaz, bila ada sebahagian guru bukan islam amat terperanjat dan teruja melihat perubahan akhlak para pelajar kita ini.

Alhamdulillah, segala yang baik dan mulia adalah milik kesempurnaan allah jua.

Wednesday, October 6, 2010

Keluarga baru OUM Penang



Hari Sabtu saya kembali hidup, jika sebelum ini kebiasaannya kami sekeluarga hanya akan meluncur dijalanraya untuk pulang ke kampong untuk bertemu keluarga.

Kali ini jadual Sabtu saya kembali padat. Terisi dengan tugasan pengajaran tutorial di sebuah universiti swasta yang meniti glamournya tersendiri, Open Universiti.

Sejak 2005, saya dilamar untuk menyertai kumpulan awal peneroka gerak kerja pembelajaran sepanjang hayat anjuran universiti ini. Ketika itu, kolej PTPTL di Sembulan menjadi pusat pengajian pertama warga senior yang keciciran kesempatan zaman untuk meneruskan cita akademik mereka.

Dengan kemudahan yang ada dan wawasan universiti yang sentiasa muda. Saya melihat kewajaran dan kebaikan pada usaha yang dilakukan.

Ianya memberi ruang lebar untuk semua warga senior ini untuk berjaya mencapai peningkatan dalam taraf akademik mereka disamping mampu mendepani arus dan cabaran semasa.

Tugas dan profesion yang pelbagai dengan masa kerja yang beragam tidak menjadi penghalang buat kumpulan pelajar ini, bentuk pengajian jarak jauh yang ditawarkan juga amat memudahkan kumpulan sasar ini meneruskan pengajian walau karenah anak beragam dikeliling pinggang, walau timbunan tugas yang menyesakkan, walau jarak dan sempadan geografi juga begitu jauh dan memanjang jalur aspalnya.

Pusat pengajiannya disabah juga sentiasa berubah, dari sembulan ke UMS, dari UMS ke Maktab Perguruan Gaya, dan akhirnya kini OUM mampu menjana ekonomi dan promosi gahnya memungkin universiti ini memiliki 2 bangunan kekalnya di Kota Kinabalu dan Tawau.

Berada dalam keluarga OUM merupakan satu perkara yang menyeronokkan, saya sempat bertemu ramai kenalan dan rakan sejawatan yang tega menuntut ilmu.

Teringat kali pertama menjejak menara OUM ini untuk memberi kuliah, saya terkejut dengan jarak usia yang begitu jauh antara saya dengan para pelajar OUM ini, apatah lagi jawatan mereka. Dengan usia yang begitu berbeza, bukanlah menghairankan jika saya pernah mengajar mereka yang 15 hingga 25 tahun lebih berumur dari saya, dan ada dikalangan mereka merupakan penolong kanan, guru besar malahan ramai juga yang telah lama berbumbung khidmat di JPN Sabah sendiri.

Kekadang terasa malu dan kerdil saya terhadap mereka, perasaan hormat menebal untuk mengajar dan mendidik sementelahan saya yang sepatutnya menerima didikan, tapi yang kecil bukan semestinya anak yang besar bukan selalunya bapak … maka saya gagahi jua tugasan ini apatah lagi bila saya mendapati ada kelompangan ilmu dan maklumat pada mereka yang perlu saya isi. Moga saya mampu membantu dan bermanfaat.

Dan Januari 2010, akhirnya sang bangau kembali kebelakang kerbau, destinasinya Pulau Mutiara yang serba cerlang bergemerlapan.

Disini, saya terpisah lama dari OUM.

Tapi Oktober 2010 ini,nadi jodoh saya di OUM masih berdenyut rupanya.

Setelah mendapat panggilan dan akuan tugasan dari pihak terbabit, saya d iberi tugasan mengajar subjek pendidikan Islam dan Tajwid pula. Destinasinya, saya terpaksa menjelajah dua buah Insitut Perguruan, IP 4P di Gelugor dan IP Bainun di Mengkuang, Pulau Pinang dalam senggang masa yang diberikan sejam cuma, namun alhamdulillah terasa segala urusan dipermudahkan tuhan.

Harapannya, cetusan pembelajaran sepanjang hayat yang dicetuskan para pelajar senior ini mampu membara dan membakar semangat saya untuk terus bergelumang dengan ilmu dan mendaki tahap akademik yang lebih tinggi.

Ya allah, permudahkan saya untuk terus belajar dan belajar.

Monday, October 4, 2010

Jam oh Jam !



Jam saya rosak lagi.

Entah ini buat kali yang ke berapa.

Terasa tangan ini seperti tidak serasi dengan jam.

Sejak di usia tingkatan lagi, terasa tangan saya selesa memakai jam, bahkan ianya sudah menjadi kebiasaan saya memilikinya untuk mempermudahkan saya menilik masa dan menilai mutunya.

Tapi seakan jam pelbagai jenama dan harga ini tak pernah betah berada lama di tangan ini. Ia seakan mempunyai badi tersendiri.

Entah ketulahan apa yang ada, jam takkan berdiam lama ditangan kiri saya.

Kebiasaannya jam tersebut tidak akan bertahan lama, sama ada ia rosak dan kekadang ianya hilang ghaib begitu saja. Paling lama ianya akan bertahan seingat saya tak lebih dari setahun setengah, selepas itu ia akan membuat hal.

Mungkin tangan ini agak panas agaknya.

Kerana itulah saya suka membeli jam murahan yang dijual bertaburan dipasar malam di kota kinabalu dulu, harganya semurah RM 25 yang di beli berjenama tiruan tahan dipakai selama setahun. Rasanya amat berbaloi berbanding jam semahal RM 120 yang dihadiahkan isteri sempena ulangtahun perkahwinan juga bertahan hanya setahun.

Kali ini saya membeli jam lagi, entah buat kali ke berapa. Tersenyum isteri saya melihat kegelisahan saya bila tidak berjam ditangan, dengan penuh memahami diajaknya saya menuju ke kedai TIME GALERIES di TESCO untuk memiliki jam lagi.

Setelah wang RM 79 bertukar tangan, jam tersebut sah menjadi milik saya pada tanggal 8 Ogos yang lalu.

Kali ini saya berazam mencipta rekod peribadi, mempertahankan usia dan ketahanan jam ini agar terus bergaya di tangan saya. Azam saya untuk tidak sesekali menjatuhkannya walau dengan tidak sengaja, membasahinya walau untuk berwuduk mahupun meletakkannya bebas di almari yang mungkin dicapai anak2 kecil saya.

Begitu teliti dan konsisten saya bertekad dan mengaplikasinya seharian. Cuba untuk bertahan dan terus bertahan. Mungkin ianya akan menjadi reality.
Siapa tahu…..

Dan siapa juga yang tahu , bila kelmarin selepas menziarahi raya ke rumah adik ipar saya di Taiping, Perak. Tiba2 jam itu terungkai talinya sendiri.

Tanpa salam dan apa2 tanda. Tanpa mahu mengasihani saya.

Tersepuk saya di kerusi khayalan, rekod saya lebur dalam pembikinan impian. Hanya bertahan tidak lebih dari DUA BULAN.

Rekod juga bukan …..! Mujur masih ada warranty nya.

Sunday, October 3, 2010

Persimpangan Waktu



Jam terus berdetik,
Berputar mengikut tingkah waktu
Rutinnya tegas,
Berwawasan ke hadapan,
Barannya tak pernah kenal erti menanti
Meninggalkan yang lemah kerugian …. Terkebelakang.
Dan arus masa tidak pernah menoleh ke belakang

Lakukanlah yang terbaik ..

Semalam adalah sejarah
Esok adalah misteri
Dan hari ini adalah anugerah….



Impikanlah yang terbaik…

Semalam adalah pengajaran
Hari ini adalah cabaran
Dan esok adalah ketentuan…

Hadiahkanlah yang terbaik untuk dirimu..

Hargailah masa yang masih ada…
Bersyukurlah.

Kaabah Sumber Hidayah



Dari blog sahabat saya Ustaz azhari, saya menyusur ke Muallaf Centre online, ianya mengisahkan pelbagai dimensi hidayah yang muncul dalam bentuk berbeza dan tidak terduga cara dan sahsiah pemiliknya.

Tatapilah artikel hidayah ini :

Hidayah bisa datang dari cara yang tak pernah diduga. Mungkin itu pula yang dialami ratusan pekerja Cina di Arab Saudi yang kemudian memilih Islam sebagai agamanya yang baru.Setelah melihat Ka'bah dari TV, tiba-tiba hati mereka bergetar. Pintu hidayah seakan terbuka. Dan Allah SWT pun melapangkan jalan mereka untuk mengucapkan dua kalimat syahadat.

Lebih dari 600 pekerja asal Cina berpaling menjadi Muslim setelah mendapatkan pengalaman spiritual di Arab Saudi.Mereka adalah bahagian dari 4.600 warga Cina yang sedang mengerjakan projek rel kereta api yang menghubungkan Makkah dan Madinah. Rel kereta itu nantinya akan melalui Jeddah dan Khum. Peristiwa yang sempat menghebohkan itu terjadi tahun lalu.Awalnya, kedatangan ribuan pekerja Cina itu sempat dipertanyakan warga Arab Saudi.



Pasalnya dari 4.600 pekerja itu hanya 370 orang yang Muslim. Warga meminta agar pemerintah mempekerjakan buruh Cina yang beragama Islam. Namun Allah mempunyai rencana lain dengan kedatangan para pekerja itu.Kedatangan ke Arab Saudi ternyata membuka peluang bagi mereka untuk melihat Islam langsung dari tanah tempat agama ini diturunkan. Seperti yang dikatakan seorang pekerja yang telah menjadi Mualaf. Pekerja yang telah mengganti namanya menjadi Hamza (42) ini mengaku tertarik pada Islam setelah melihat Ka'bah untuk kali pertama di TV Saudi. ''Ini menggetarkan saya. Saya menyaksikan siaran langsung sholat dari Masjidil Haram dan umat Islam yang sedang berjalan memutari Ka'bah (tawaf),'' katanya.''Saya bertanya ke teman yang Muslim tentang semua hal ini. Dia kemudian mengantarkan saya ke Bimbingan Asing yang ada di perusahaan, di mana saya memiliki kesempatan untuk belajar tentang berbagai aspek mengenai Islam,'' tuturnya.



Kini Hamza merasa lebih bahagia dan lebih santai setelah menjadi seorang Muslim.Pekerja lainnya, Ibrahim (51), mengalami peristiwa yang hampir serupa pada September tahun lalu. Dia yang bekerja di bahagian pemeliharaan perusahaan negara, Kereta Api Cina, menjadi seorang Muslim usai melihat Ka'bah. ''Meskipun kami berada di Cina, kami tidak memiliki kesempatan untuk belajar tentang Islam. Ketika saya mencapai Mekah, saya sangat terkesan oleh perilaku banyak warganya. Perlakuan yang sama bagi orang Muslim dan non-Muslim memiliki impak besar pada saya,'' tambahnya.

Sementara, Abdullah Al-Baligh (51), terinspirasi untuk memeluk Islam setelah melihat perubahan positif dari rakan-rakannya yang lebih dulu menjadi mualaf. ''Enam bulan setelah saya tiba di Makkah, saya melihat bahwa rakan saya, yang sudah menjadi Muslim, telah benar-benar berubah. Tingkah lakunya patut dicontoh. Saya menyedari bahwa Islam adalah kekuatan penuntun di balik perubahan tersebut,'' ujarnya.''Ketika saya bertanya padanya, ia mengatakan bahwa ia sama sekali tak tahu tentang agama ini selama di Cina. Sekarang, ia memiliki pemahaman yang tepat tentang Islam dan ingin menjadi lebih teladan.''

Begitu pula dengan Younus. Pekerja asal Cina ini baru mempelajari Islam ketika berada di Makkah. ''Islam di Cina begitu kurang. Aku baru mengetahui Islam setelah datang ke Saudi,'' ujarnya.

Saturday, October 2, 2010

Hujan Persoalan

Gelisah saya di jendela waktu.

Dibalik tirai malam, saya merenung basah alam disirami curahan hujan yang menderu. Entah mengapa, hujan seakan kerap menziarahi kami di pulau mutiara saban waktu tanpa temujanji terdahulu. Hadirnya begitu spontan dan luar biasa lebatnya.

Dan kala ini saya gelisah dijendela skrin.

Hujan yang menyiram bumi diluar jendela tidak menelurkan mood dan idea untuk menulis.

Entah mengapa, semangat dan kudrat untuk mencoret seakan lumpuh seketika. Idea yang cuba untuk menjalar ke angkasa maya cepat dicantas motivasi yang hilang, pucuknya layu tanpa sempat bercambah membentuk lakaran coretan yang tersusun.

Dan saya sememangnya gelisah di Pulau Mutiara ini.

Ketenangannya banyak dirobek hujan isu yang tak kunjung padam.

Terasa diri dihujani persoalan remeh dan biasa tanpa disensasikan media dan pihak yang berkepentingan.

Suatu pagi, saya diajukan soalan dari rakan sejawat yang berbangsa Cina, bertanyakan pandangan saya tentang isu bukan muslim memeasuki masjid. Saya mungkin antara yang dicari kerana kedudukan saya yang mempunyai authority semasa dan menjadi rujukan dalam hal ehwal agama disekolah saya.

Ustaz, apa pandangan islam sebenarnya tentang isu sekarang, bolehkah orang yang bukan Islam memasuki masjid ? Benarkah orang islam itu pengotor dan najis ? Selama mana mereka belum mandi wajib, mereka berdosa dan terhalang menginjak kaki ke lantai masjid…. Dan pakaian mereka yang terdedah auratnya itu, akan mencemar kesucian rumah Allah yang mulia nanti.Bagaimana ya ??? Tanya seorang sahabat menyambut isu semasa ke neraca ilmu, sikapnya menolak prejudis dan sensasi politik.

Inilah antara perkara yang menyesak pemikiran saya kala ini, walaupun hujan masih lebat mencurah dicucuran atap, hujanan persoalan agama yang disadur konspirasi berkepentingan ini lebih merimaskan saya.

Ianya menyusahkan pemahaman masyarakat islam menilai keindahan agamanya sendiri bahkan menjauhkan skop toleransi beragama diantara umat 1 Malaysia dinegara kita.

Bayangkan apabila masyarakat Cina berpandangan serong dengan menyatakan, Islam mengamalkan permusuhan terpimpin antara agama.

Islam tak membenarkan rumah ibadatnya diziarahi dan dijenguk komuniti luar.

Islam tak membenarkan kita merayakan hari kebesaran dan perayaan umat lain.

Bahkan islam tak membenarkan kita mengucapkan salam sejahtera pun pada orang bukan islam, bahkan haram mendoakan kesejahteraan pada mereka.

Bukankah ini, antara intipati isu semasa yang membuahkan kemusykilan umum dikalangan masyarakat satu Malaysia dewasa kini.

Konfliknya hanya membutirkan sebuah bom jangka pergeseran kaum yang tersembunyi dan hanya menunggu masanya. Mungkin juga umpama api dalam sekam yang membara dalam senyap membakar perpaduan yang sedia terjalin.

Sedangkan, pandangan islam yang terbuka, sederhana serta global sekarang ini lebih membuka jalan dan sumber hidayah ini untuk diekspresi dengan cara yang terbaik dan sewajarnya.

Tiada satu dalil pun yang mengharamkan kemasukan non muslim kedalam masjid kecuali yang berkaitan dengan 2 tanah suci umat islam iaitu di mekah dan madinah sahaja. Keduanya wajar dijadikan kawasan larangan kerana ia menempatkan tapak dan asas suci agama ini dan syiarnya yang terindah. Ianya perlu dijaga dan tak sayugia dikongsi bersama kerana ianya berbentuk kawasan ritual ibadah yang khusus.

Sebagai simboliknya, bolehkah kawasan stor simpanan senjata dibuka kepada umum, atau maslahahnya perlu dijaga dan hanya dibenarkan orang awam memasuki premis kem tentera dengan syarat dan kawalan yang ketat.

Sewajarnya premis ibadah umat islam ini juga dijaga kemuliaannya disamping dalam masa yang sama membenarkan cahaya hidayah dari sumbunya ini mampu menjamah hati para pengunjung dan penziarahnya dari pelbagai anutan agama.

Namun syaratnya perlu jelas dan tegas, kesucian …. Kemuliaan …. Dan kebersihan rumah allah ini perlu dijaga sewajarnya.

Oleh itu perkataan najis dan kotor hanya bersangkutan dengan akidah sahaja.

Persoalan mandi wajib tidak dituntut kepada orang yang bukan islam.

Menjaga aurat dan etika pakaian dimestikan kelihatan sopan menurut budaya dan agama masing2, sebagaimana menjadi kesalahan juga bagi isteri para pembesar yang datang dengan tudung berjambul untuk merasmikan majlis dan menyampaikan sumbangan di masjid.

Oleh itu, jawapan saya kepada rakan yang bertanya : Islam mengharuskan orang bukan islam mengunjungi masjid dengan syarat kemuliaan dan kebersihan rumah allah ini dijaga sewajarnya.

Teringat saya pada petugas masjid negeri sabah saudara Janis pernah bercerita : kedatangan para pengunjung ini akan disambut jawatankuasa masjid serta diberi taklimat. Mereka juga bebas bersoal jawab berkaitan islam diplatform yang disediakan sebelum dibawa mennziarahi persekitaran masjid yang ada.

Terkenang juga arwah ustaz nahar mantan imam masjid negeri sabah yang membentangkan ideanya mewujudkan pusat dan markaz informasi islam di beranda masjid dalam pelbagai bahasa khusus untuk menangani dan membuka ruang hidayah bagi para pengunjung budiman ini.

Jikalau niat mereka bukan baik, nescaya lebih baik bagi mereka mengunjungi kelab malam daripada memilih pusat agama ini sebagai destinasi kunjungan.

Dan masih terngiang suara para sahabat ini bercerita , bukan seorang daripada mereka yang akhirnya datang buat kali kedua dan ketiga seterusnya melafazkan syahadah dirumah allah yang mulia ini.

Allah yang mengatur panahan hidayah ini menuju kesasarannya.

Siapa kita untuk menghalangnya …………….