Sunday, July 10, 2011

Kemaafan Diri

Bahasa diamlah yang paling sukar. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu soalan. Dalam diam ada seribu jawapan. Dalam diam ada seribu tafsiran. Dengan diam orang boleh berkata ‘aku cinta padamu’. Dan dalam diam orang boleh berkata ‘ kita tidak sehaluan lagI’-( IMAEN - DALAM LABYRINTH ).

Tapi saya lebih suka mengambil pendekatan berdiam.

Bahasa Diam apakah yang perlu saya gunakan....

Diam tanda marah, Diam juga tandanya maaf.

Memohon maaf adalah sukar dan memberi kemaafan sebenarnya lagi susah.

Tapi pantaskah seorang guru berdendam dan menyimpan amarah.

Apatah lagi untuk anak2 didik yang sememangnya memerlukan tunjuk ajar.
Andai tersalah dan tersilap bicara, tegur dan didiklah..

Mereka masih mentah dalam kehidupan, Mereka terlalu rebung untuk menyedari kewajipan, mereka masih hingusan dalam menilai kesopanan.

Kita juga insan yang melakukan pelbagai rencam kesilapan.
Kita memohon keampunan berkala tika sujud dan rukuk, mohon di ceduk basuh antara noda dan dosa dengan pengampunan ilahi..
Moga dengan kebaikan kita memaafkan, dosa kita akan terhapus jua...

Bukankah juga antara pesanan hikmah mereka yang menghuni syurga, maafkan segala manusia nescaya hatimu tenang dan sejahtera,
maafkan segala kesilapan manusia nescaya kamu menyedari kesilapan sendiri
maafkan kesilapan manusia barulah kamu menginsafi keburukan dosa
maafkanlah manusia moga kamu akan beroleh pahala dan kebahagiaan.

Bukankah Nabi mengiktiraf PEMAAF MANUSIA ini dengan gelaran ahli syurga.

Ampunkah lah segala kesalahan kami duhai tuhan.

Friday, July 8, 2011

GURU - Dulu dan Sekarang



Kredit kartun dari laman blog Hilal Asyraf
Langit Ilahi.

Dilema Cikgu

Hati ini berbelah bahagi.

Masih relevankah kerjaya seorang guru.

Masih terhormatkah mereka.

Atau merekalah hamba masyarakat yang lebih terhormat.

Menunduk, mengangguk dan mengiakan segala kebobrokan dan kebiadapan.

Dalam etika PIAGAM PELANGGAN.

Pelajar adalah KLIEN merangkap TUAN yang perlu disanjung dan diberi penghormatan.

Pantang untuk ditegur.

Silap untuk diusik.

Jangan bermimpi untuk diubah.

KLAUSA pelanggannya terpatri kukuh di simen dinding :

Guru tidak boleh menunjukkan ekpresi wajah mahupun mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh mencederakan, mengguris, dan melukakan hati pelajar ..... apatah lagi menghukum dan mendenda fizikal mereka. NOKTAH

..............................................................

Berada dibilik pengetua, baru saya terasa hakikatnya.

Pertama kali, dipanggil berbincang tentang kebebasan dan kreativiti mendidik dan menghukum menyebabkan saya tercengang kebingungan.

Di balik wajah redup ibubapa yang datang menegakkan kebenaran.
Respons sebelah dari anak yang dimanjakan - menjadi priority untuk dibela dan dipertahankan.

Kerjaya dan tanggungjawab mungkin seketika diketepikan.

Tapi mendidik GURU YG TERLEBIH AJAR perlu disegerakan.
Sekurangnya menjadi TELADAN dan PENGAJARAN.

Anak kami jangan disentuh dan dijentik...

Kerana Ibubapa lebih pandai menilai dan mendidik.
Jangan tangan, herdik pun tidak pernah kami lafazkan.

Siapa GURU untuk bijak bereksperimen ....

Mendidik dan menegur ...

Tugasmu GURU hanya mengajar.


Habiskan silibes.

Tingkatkan prestasi akademik.
Catatkan kecemerlangan hanya pada sijil.
Dan terimalah gaji bulanan mu.

Saya disengat dilema.
Muliakah masih tugas guru kini ???

Thursday, July 7, 2011

Isra' dan Sebuah Perjalanan


Perjalanan saya hari itu terhenti seketika.

Disapa mesra suara seorang pelajar lelaki di tepi koridor pejabat menahan kaki saya dari melangkah.

Saya sebenarnya sudah lama ingin bertemu Ustaz, tapi sayangnya tak berkesempatan.

Mujurlah hari ini, saya dapat bercakap dengan Ustaz bersemuka. Terserlah keterujaan dan pengharapan disebalik sinar matanya yang bercahaya. Wajahnya disapu putih keceriaan.

Entah mengapa hari itu alam begitu mesra memancar suria yang damai tidak membakar.

Gerak hari yang tenang meninggi ke tengahari dengan langkah yang cukup perlahan.

Kedamaian menyerkapkan hamparan kasihnya ke seluruh inci perkarangan SMK Alma pagi itu.

Dan pagi itu, sememangnya amat berbeza bagi saya tatkala diberi ruang untuk berdepan dengan ribuan pasang mata di atas pentas ilmu diperkarangan dataran perhimpunan terbuka pagi itu. Tatkala diri gugup menjadi sasaran objek tujahan pandangan ini, saya diminta berkongsi bicara, memugar pengajaran berguna , mencoret motivasi terpimpin dan seterusnya melakar jambatan kesedaran yang tuntas buat para pelajar dan warga sekolah lewat majlis sambutan Isra’ dan Mi’raj pagi itu.

Pagi itu, alam seolah menyebelahi saya. Dalam ruangan terbuka berbumbungkan langit biru itu saya biasanya akan segera dipagut rasa bersalah jika dipanggil berceramah panjang. Hati cepat merasa tersentuh jika saya masih terus asyik ingin mengatur bicara dan menyusun hikmah pengajaran tatkala bahang hangat matahari dan silaunya sudah menyengat kulit para hadirin.

Mungkinkah ada manfaat maksima dengan hati yang mula berdetik mencari teduh dan kulit yang mula aktif menelurkan peluh. Saya lebih suka memilih berhenti.

Tapi diawal hari itu, damai pagi masih menyelimuti kami. Serinya segar seperti wajah ibu menyambut kepulangan anak tercinta.

Alhamdulillah, terasa tugas saya lebih mudah dan dipermudahkan Allah.

Mata mereka tertancap kukuh ke sosok tubuh dan bicara saya. Khusyuk dan Memberi perhatian. Sepi pagi itu saya manfaatkan dengan perkongsian ilmu berkaitan peristiwa agung Isra’ dan Mikraj’.

Sebuah hadiah pelancongan untuk junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan keberkatan dan pengajaran. Ianya merupakan hiburan yang menenangkan hati dan memotivasikan semangat buat seorang insan yang sentiasa diuji dan teruji.

Satu lawatan sambil belajar yang begitu hebat tentatifnya dan bermanfaat programnya. Pertemuan jejak kasih bersama para petugas tarbiyyah dan risalah dalam organisasi kenabian amat mengujakan beliau. Tatkala nama dan sejarah bukan lagi menjadi halwa pembakar semangat, tapi kini wajah dan watak mekar segar di pandangan, apatah lagi dengan suara kesatuan yang teguh dan doa kebaikan dari setiap nabi yang dijumpai dengan sebutan : Selamat datang buat saudaraku yang baik dan Nabi yang baik terus memugar azam dan tekad untuk terus mendada ujian walau sekuat mana badai yang menghempas.

Peristiwa ini adalah simbolik sebuah perjalanan.

Cerita ini adalah teladan sebuah travelog.

Dan hidup ini juga satu kembara.

Yang pastinya …. Kita akan terus melangkah pergi …. pergi …. Dan pergi hanya untuk akhirnya kembali menemui kehidupan yang abadi, kembali kepada tuhan rabbul izzati.

Kehidupan yang cukup singkat dan sementara, umpama membuka pintu kelahiran menuju kepintu kematian, segalanya segera… cepat … dan tiada pusingan ulangan.

Lalu untuk suatu perjalanan kehidupan yang pasti berlaku, Kita diajar hikmah dalam sirah ISRA’ dengan beberapa perkara :

1) Nabi dijemput Allah dalam perjalanan yang diberitahu destinasi arah tujunya. Mengadap Allah dalam rahmat kasih yang melimpah.

Untuk itu kita juga perlu mengenali destinasi perjalanan kehidupan kita, kemanakah tempat untuk kita tuju dan siapakah yang kita berjumpa kelak menghitung baik buruknya amalan yang dibawa. Mereka yang tahu dan kenal tujuan perjalanan, tidak akan mudah terleka, senang tersesat dan membazir masa percuma untuk sesuatu yang sia2.

2) Perjalanan yang selamat memerlukan bekalan sebagaimana Rasul dipersiapkan dengan bekal ilmu, iman dan hikmah kebijaksanaan sebelum mengharungi detik diluncurkan tuhan dalam perjalanan aero angkasa yang cukup jauh dan luar biasa kepantasannya.

Untuk hidup yang pastinya berdepan cabaran, manusia seprti kita perlukan persiapan kendiri yang mantap untuk terus tega berdiri mengharung segala mehnah yang membadai pantai kehidupan.

3) Rasul menjalani pembersihan. Dalam rangkuman kisah pembelahan dada nabi yang mulia oleh para malaikat yang cukup taat dan suci, membawakan kita kepasrahan hati dan kesuciannya merupakan syarat utama penerimaan amalan dan diri untuk mengadap Allah yang maha agung.

Untuk itulah penyucian diri perlu menjadi agenda utama dalam kita menunaikan perintah menunduk sembah kepada Allah setiap kali kewajipan solat kita tunaikan. Hati yang masih kebal memegang ego sebenarnya lebur dalam penghinaan Allah dalam sirna reality yang tidak kekelihatan. Akhirnya kita tercungap keletihan ditipu nafsu dan syaitan walaupun beribu rakaat kita dirikan.

Tatkala audiens menghela nafas kepenatan dalam mengharung synopsis dan analisis saya diperdu hujjah ilmu, saya mengulit mereka dengan kesedaran untuk kita terus sedar dan mengambil inisiatif kewarasan ini untuk mengenal diri dan matlamat kehidupan.

Meluncur kisah anti klimaks saya berkenaan keretapi, ianya menghiburkan dan memotivasikan,sesekali ia sebenarnya yang menampar pipi kelapaan kita sendiri untuk mengenali watak kita yang sebenarnya dan bukannya masih leka terlena.

Ayuh, mulakanlah langkah kita untuk terus menuju kejayaan.

Tiada maknanya, untuk kita terus terbuai keseronokan dalam gadaian masa depan yang kian pudar dan punah. Tuntas saya menutup tirai ceramah dalam suasana oksigen pagi semakin terbakar dek cahaya matahari.

Moga kita semua mampu sedar dan berubah …. Ujar saya menamatkan bicara.

Saya ingin berubah Ustaz, kata-kata ustaz menyedarkan saya untuk mula berusaha untuk berubah.

Saya ingin mendapatkan nasihat ustaz lagi untuk mengetahu cara terbaik dalam melaksanakan perubahan diri saya ini, sudikah ustaz membantu saya…

Alhamdulillah, Itulah momentum kesedaran yang saya terima di penghujung pagi itu. Moga ianya kekal berpanjangan.

Saturday, July 2, 2011

Sensasi Terhebat Bulan Ini


Polemiknya mengundang pelbagai persepsi.

Positif dan negatif bercelaru sehinggakan objektifnya juga menjadi hari biru.

Auranya amat mengujakan, hinggakan anak tadika, para staf kerajaan bahkan pasukan boleasepak negara yang meladeni musuh digelanggang sendiri pun tidak berani berjersi KUNING kerananya.

Saspen dan konfliknya makin memuncak.

Apakah yang bakal terjadidi penghujung endingnya nanti.

Kuasa Baik atau Kuasa Jahat yang menang ???

Sama2 kita nanti dan saksikan.

Ayuh siapkan kamera anda ....

Pasang dan Luaskan pandangan dan telinga anda.

Mungkin ia sejarah yang bakal menjadi modal cerita rakyat yang boleh diperturunkan untuk anak cucu.

Mungkin ada yang BERMANFAAT.

BERSIH 2.0 - Tanggal 9 Julai.



Lelaki Baca Novel ??

Masih terngiang soalan cepumas dari rakan sejawat saya tempohari.

Terasa pijar seketika ruangan memori seperti ada sesuatu yang terbakar.

Aliran emosi juga seperti tertahan dan tersumbat tanpa setia mengalir tenang seperti biasa.

Susahkah hendak membaca ?? Apakah perlu ada seribu alasan untuk mencipta bahagia demi kepuasan menutup segala kelemahan sendiri. Kekurangan lewat minat yang tidak terasuh dan kemalasan mengasah minda kritis untuk mengempur segala maklumat dan informasi baru adalah jawapan kepada segala alasan tiada masa membaca.

Maka akan terciptalah seribu kepayahan untuk membaca yang merupakan jambatan ilmu yang terulung ini.

Benar juga kiasan melayu yang bersenandung : Orang yang hebat akan membuatkan orang lain turut merasa hebat, manakala orang yang kecil suka memperkecilkan orang lain ... dan orang yang lemah akan sentiasa lemah melihat cabaran dan peluang.

Terkenang saya bagaimana getirnya mungkin para ulamak silam khususnya di nusantara ini memupuk budaya membaca ini barangkali. Lalu mungkin kerana itulah mereka bereksperimen dengan pelbagai bahan bacaan dan jurusan penulisan hanya untuk membina generasi celik ilmu dan sukakan agama.

Golongan Pak Turut dan taklid buta hanya akan melemahkan agama.

Mujurlah saya masih mampu berterima kasih atas jasa ulamak nusantara persis HAMKA yang berani menongkah arus dan menerjang badai adat dengan turut sama mengarang bukan sahaja artikel agama, kupasan hukum bahkan beliau sanggup menulis novel sarat dengan citra percintaan yang diadun dengan sulaman agama untuk menarik golongan muda dan pertengahan untuk kembali kepada agama.

Sekilas saya memandang buku2nya yang masih tersimpan di rak ilmu saya dengan doa moga Allah merahmati dan memberkatinya. Tenggelamnya kapal Van der wijck dan Di Bawah lindongan Kaabah adalah antara buku terawal beliau yang saya baca... Dalam getar dan debar, beliau menyusun kalimat CINTA sebenarnya hanya pada ALLAH.

Mungkin kupasan dari Saudara IMAEN MUHAMMAD ini ada jawapannya. Beliau merupakan penulis novel yang kritis, dan bijak menggunakan nuansa islam untk membentuk konflik dan saspen yang amat mengujakan lewat novelnya Labyrinth, Bohemian, Vendetta dan lainnya.

--- http://imaen.blogdrive.com




Rasanya, walau tiada siapa tahu angka rasmi, tidak ramai lelaki Melayu yang membaca novel Melayu. Pada ramai lelaki Melayu, membaca novel Melayu itu ialah sesuatu yang tidak berfaedah, sia-sia, membuang masa dan boleh mengurangkan kejantanan. Mengikut pemahaman mereka, novel Melayu itu hanya novel satu genre - cinta asyik maksyuk di mana hero dan heroin ialah malaikat yang terperangkap dalam badan manusia. Kisah hero yang sanggup menangis merayu pada kaki heroin untuk sebuah cinta. Mana-mana lelaki yang membaca novel Melayu akan jadi 'lelaki semi-pro', jadi auw! Jadi baik jangan cuba.


Tak tahulah siapa yang memulakan ajaran sesat ini.

Ibu bapa? Guru? Menteri? Kita tidak tahu jawapannya, tapi kita tahu semua itu hanya alasan. Sebab sebenar mereka tidak membaca novel ialah sikap malas membaca. Kalau mereka mahu membaca, ada juga novel Melayu yang tidak menjadikan cinta sesama manusia sebagai tema atau matlamat utama kehidupan. Dan kita manusia yang dinamakan haiwan ekonomi oleh setengah ahli ekonomi Barat selalu terikat dengan hukum permintaan dan penawaran. Ada permintaan pasti ada penawaran. Ramai yang mahu membaca novel bukan cinta-cintun maka ada banyaklah novel bukan cinta-cintun di pasaran. Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu ada tiap-tiap tahun kerana permintaan terhadapnya tinggi!


Sedikit sebanyak kurangnya minat lelaki Melayu membaca novel mengurangkan 'mutu' lelaki Melayu sebagai lelaki. Orang bijak pandai memberitahu bahawa novel itu memanusiakan seseorang manusia. Membaca novel itu membantu menjadikan manusia lebih memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Sepanjang pengalaman saya berkawan, kawan-kawan lelaki yang membaca novel secara umum lebih bersopan-santun dan kurang menjadikan material sebagai matlamat utama kehidupan. Kawan-kawan lelaki saya yang membaca novel juga ramai yang tidak merokok – tentulah tidak selesa membaca novel sambil merokok.

Kalau membaca novel itu tidak berguna pasti Prof Hamka tidak menulis novel. Pasti juga Syeikh Yusof Qardhawi tidak memberi hukum harus untuk menulis fiksyen, dan dia sendiri mengaku pernah menulis dua buah skrip drama pentas ketika muda dulu. Dan saya pernah membaca Syahid Syed Qutb juga pernah menulis novel. Dan kita juga tentu tidak berpeluang membaca antologi cerpen Tuk Kenali, ulama tasawuf tersohor itu kalau membaca cerita fiksyen itu sia-sia.

Lelaki Melayu mesti digalakkan membaca novel. Saya rasa masalah sosial (dan so sial) yang dialami oleh kaum lelaki Melayu sedikit sebanyak dapat diatasi dengan membaca novel. Masalah nisbah 30:70 antara lelaki dengan perempuan di universiti, masalah budak lelaki Melayu lebih berminat menjadi Mat Rempit (cuba tanya Mat Rempit berapa ramai yang baca novel), masalah lepak kaum boy friend, kaum suami atau kaum bapa di kedai mamak, masalah lelaki Melayu antara yang paling tidak romantis di dunia, masalah masyarakat kita sekarang menduduki top 10 dalam indeks kebiadaban manusia di dunia (Saya dengar dalam orang bijak pandai berforum dalam Astro Awani)

Minat membaca perlu dipupuk. Dalam ringkasan Ihya' Imam Ghazali ada satu contoh yang patut kita renungi. Katanya kalau seseorang itu diajar makan tanah dari kecil maka dia akan membesar sebagai orang yang makan tanah. Saya ada seorang kawan ketika sekolah dulu yang gelisah kalau tidak dapat membaca sehari kerana dia telah melatih dirinya untuk membaca.

Tugas siapa untuk menggalakkan lelaki Melayu membaca novel terletak pada pemimpin, guru dan ibu bapa. Saya membaca kerana dulu para guru saya memberitahu faedah membaca dalam kelas. Perpustakaan sekolah saya dulu mempunyai banyak rak-rak novel dan hasil sastera. Malah dalam kelas saya ketika sekolah dulu juga ada sudut komik. Cikgu kelas kami mengutip sepuluh sen sehari daripada setiap kami untuk membeli komik. Tujuannya supaya pelajar membaca. Saya membaca juga kerana imam di kampung saya menasihati saya supaya membaca. Saya membaca juga kerana ibu saya memaksa saya membaca ketika sekolah rendah dulu.

Jadi, kalau ibu saya yang tidak bersekolah secara formal mampu memaksa saya membaca, tiada sebab mengapa ibu yang bergelar cikgu, pengurus, jurutera atau peguam tidak mampu menyuruh anaknya membaca.

Friday, July 1, 2011

Saya dan Novel




Ustaz pun baca novel ??

Kalau saya lah, nak tengok surat khabar pun tak sempat, banyak kerja yang nak kena buat. Orang lelaki senang , goyang kaki aje ... Ulas seorang rakan sejawat saya, seorang guru wanita tatkala saya mengulit khusyuk sebuah buku pengkisahan watak islami dari seorang novelis adikarya tersohor Indonesia kala ini , Habiburrahman As Syirazi yang bertajuk BUMI CINTA.

Kebiasaannya, saya suka untuk bercerita dan berkongsi maklumat.

Membuka lembaran topik dan bicara sejujurnya umpama menghampar sejalinan untaian tali silaturrahim untuk kita berukhuwwah dan bersahabat.

Lalu, di meja kantinlah biasanya saya suka mendengar cerita manusiawi, memerhati gelagat mereka, membedah cara berfikir mereka, menganalisa emosi dan perwatakan mereka dan seterusnya cuba sedikit mencuit diri untuk menginsafi dan mempelajari sesuatu.

Mungkin jika ada kesempatan, saya luncurkan jua beberapa nasihat santai yang tidak bersifat formal atau menunjuk pandai kepada rakan sejawatan, moga ianya dapat memberi manfaat.

Tapi jika saya sudah dirasuk hantu buku, mata erat tertancap dicelahan aksara berdakwat gelap itu, fikiran melayang terbuai di awangan fikrah, emosi tak keruan disapa saspen hujjah dan penceritaan, saya biasanya lebih suka membatu ... atau kekadang sememangnya telinga ini tak terdengar pun sapaan dan pertanyaan org disebelah, Kalau mertua yang tanya .... nasib badanlah.

Dan sememangnya itu jualah bebelan awal isteri tatkala baru setahun berbumbung dengan saya. Perkongsian cerita dan masalahnya terkadang seperti terabai bila saya sudah mula membuka buku, ianya seakan sama juga tatkala mata saya sudah mengadap kaca tv juga.

Setelah beberapa kali dia gagal memulakan komunikasi, atau setelah bosan dengan jawapan ha, apa dia .... ? , dia mula mencuka dan beredar ke sudut privasinya membiarkan saya diulit asyik dunia saya.

Sepekan masa berlalu, barulah saya sedar kehilangan buah hati saya, namun yang melucukannya ialah .... saya biasanya akan kehairanan dengan perubahan monson emosi isteri yang entah kenapa, cuaknya saya dengan perubahan mendadaknya tanpa saya sedari sebenarnya dia lah yang begitu sabar menunggu reaksi untuk berbicara dengan saya. Akhirnya terpaksalah saya mengalah dan berlembut memujuk .... siapa tak sayang bini woo.

Salahkah Ustaz membaca Novel ???

Salahkah juga para ustaz yang menulis novel ???

Mungkin anda ada jawapannya ..........