Friday, December 16, 2011

Memanfaatkan BAHASA ZAMAN




Bahasa Zaman - Istilah yang saya cedok seputar pembacaan saya menelusuri fikrah beberapa orang penulis versatile Islam kini antaranya Ustaz Ridhuan Mohd Nor, Pahroul Mohd Joui, Hilal Asyraf , Zul Ramli, Ust Hasrizal Jamil dan ramai lagi.

Mereka mengutarakan keperluan mendesak untuk memugar kebijaksaan daie dalam mengorak acuan dakwah agar lebih berkesan dan memberi impak kepada mad'ue sasaran dengan memanfaatkan kehendak dan kebiasaan mereka dengan sebaiknya.

Jika masyarakat berminat dengan hiburan dan filem, perlu ada keupayaan para duat yang berganding bahu membelah kebobrokan nilai yang ada untuk dijernihkan supaya menjadi lebih baik dan bersih. Sikap kebersamaan dan saling membahu ini sangat perlu untuk melunaskan tanggungjawab dan amanah dakwah yang berlambak menuntut solusinya saban masa.

Jika mereka meminati sukan, maka para duat islam juga perlu berkemahiran dengan skill riadhah ini agar tidak rendah dipandang remeh para remaja disamping tangguh menampilkan watak islami dalam setiap lapangan sukan yang diceburi. Kini, bukan asing lagi antara program wajib anjur disurau dan masjid ialah program futsal dan badminton yang menuntaskan ukhuwwah dan budaya sihat yang bukan sedikit.

Diperkarangan kawasan saya ini, saya dapati ada satu masjid yang menganjurkan Jogging berbasikal setiap hari minggu untuk melebarkan rasa kebersamaan dan pemupukan nilai islam ini agar terus istiqamah.

..............................................

Saya cukup memuji sahabat ini , pendekatan tangguh ini yang sering diutarakan al Fadhil Ustaz Nasaruddin Tantawi yang dulunya dipandang sebelah mata dengan jubah dan serbannya, mampukah dia menggalas tugasan memimpin dan mencetak massa yang lebih islamik dan terbuka kefahamannya.

Melalui ulasan santai diblognya yang sudah tersohor untuk diperkenalkan, beliau menggunakan bahasa zaman ini tepat pada masa dan sasarannya :

Mari kita tanggapi hikmah dan ibrahnya :


ULANGTAHUN KEDUA ANGRY BIRDS: PEMINAT DISERU CONTOHI SEMANGAT PERJUANGAN MENENTANG KEZALIMAN

1. Bersempena ulang tahun kedua Angry Birds pada 11 Disember, Pemuda PAS menyeru peminat permainan Angry Birds di Malaysia mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh ‘burung-burung yang marah’ terhadap ‘si pencuri’ dan mengajak setiap warganegara yang prihatin menghapuskan budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin.

2. Berdasarkan laporan berita TheMalaysianInsider yang menyatakan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, Pemuda PAS memuji kreativiti pereka permainan Angry Birds, Rovio Mobile, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.

3. Pengarah Institut Polisi Studi Pemuda PAS, Mohd Syahir Sulaiman, menyifatkan permainan Angry Birds memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak. “Angry Birds secara kreatif dan penuh tekad berusaha mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri.


Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. Ini mengajar kita TIGA perkara iaitu;

i. rakyat perlu bangkit menentang kezaliman
ii. pencuri akan ditentang
iii. pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”.

4. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyifatkan Angry Birds mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman. “Slogan ‘Jangan Curi !!’ adalah simbol kemarahan rakyat terhadap EMPAT pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia iaitu;

i. penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum

ii. penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib
peneroka

iii. keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS

iv. kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua
Auditor Negara".

5. Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan turut menyeru rakyat Malaysia menyemai budaya integriti dan ketelusan di dalam negara dengan memilih pemimpin beramanah yang ditawar oleh PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU yang akan datang.

Disediakan oleh:

Mohd Syahir Sulaiman
Pengarah, Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kuliah Disember di Bertam Indah


Serakan cahaya mentari Disember melebar ceria di permukiman kami di Kepala Batas ini. Ianya menerangi hari indah dengan kicauan burung yang berterbangan riang mencari takdir rezeki tersurat mereka sambil bertasbih memuji ilahi penuh ketulusan.

Kekadang bukan sekejap awan hitam menyelubungi alam menumpahkan titis air yang bukan sedikit membasah bumi ini dengan kedinginan dan kelam cuaca.

Namun, saya kagum melihat suasana ilmu yang mula mendesah mekar menguntum indah dari tangkainya disini. Sana sini kuliah ilmu dipenuhi pengunjung yang bukan sedikit jumlahnya.

Rutin malamnya dimulakan dengan mengambil keberkatan ibadat bersendikan ilmu yang disusun kreatif oleh para jawatankuasa masjid dan surau yang ada.

Setiap lorong dan taman, cuba memanfaatkan gelap malam dengan pencerahan cahaya ilmu yang begitu mengasyikkan. Mereka segar mendatangi taman syurgawi walau fizikal masih belum kebah dibalun tangungjawab profesion duniawi saban hari.

Mereka seolah ingin melupuskan beban kepenatan dengan mengisi kecerian dalam hati penuh ketaatan dan kesedaran. Mereka ingin membeli ketenangan dengan mencari sumur kedamaian rumah tuhan.

Alhamdulillah, saya semakin mendapati betapa kesan yang amat positif mengisi ruangan sunyi rumah Allah dahulu kini sudah dipenuhi dengan lambakan hati2 yang ingin kembali mentaati dan mengenalinya.

Moga Allah membantu menguatkan sinar cahaya agamanya. Walau ada mereka yang cuba meniup api agama Allah dengan mulutnya, nescaya api itu takkan padam bahkan terus bersinar marak membahang rasa mereka yang membencinya.

Moga Allah menyuburkan lagi sinar hidayahnya ini kepada seluruh kelompok masyarakat di daerah ini, sebagaiamana semakin berani para Du'at J/kuasa masjid keluar dari kotak kebiasaan untuk semakin berkreativiti merangka program untuk mengajak golongan remaja semakin mencintai rumah Allah ini dan seterusnya membina JIIL RABBANI yang terpuji.

Semoga Allah memberkati negeri seribu mutiara dengan limpahan hidayahnya dan moga agama Allah akan kekal berdaulat dan dihormati di negeri ini.

Tuesday, December 13, 2011

Mengucur Pahala Untuk Sebuah Ukhuwwah


Hey Kawan,

Beberapa hari aku tidak sempat menjenguk teratak travelog mayaku, rutin harianku menguruskan baki pengawasan SPM di sebuah sekolah agama disini membataskan pergerakan ziarahku ke laman sahabat2 dakwahku.

Tiba2 terpempan aku dijengah berita musibah mengejutkan ini.

Apatah lagi, bait2 kata yang dikarang sang penulis begitu meruntun rasa.

Abang Dai ... dia pernah menjadi sahabat dakwahku, tegas dan berkarismatik dengan watak protagonis tersendiri, dia mengucur peluh dalam dakwah sebagaimana dia meletakkan mardhatillah sebagai keutamaan hidupnya.

Percayalah .... sekarang dia sedang dihimpit ujian.

Dan Allah menghantar berita ini untuk kita sama2 mengucur pahala dari pertolongan yang mampu disumbangkan buat Abang Dai sekeluarga, moga dengannya mampu meringankan beban, malah mampu membangkitkan lagi semangat juang penuh tegar dari watak manusia kental ini.

Moga allah membantu mu abang dai ....

Ayuh kita bersama kalimat penuh puitis berkias makna dari Ustaz Ridhuan Mohd Nor meraih simpati rakan seperjuangan. Dari blog tinta jundinya.

I
Hidup ini kadang tak terjangka teman, awan hitam boleh tiba-tiba melibas langit yang cerah dan membawa gerah. Panggung kehidupan ini begitu berwarna warni, sebab itulah dunia ini tidak sekadar mempunyai hitam dan putih. Aku terpanar, apabila menerima berita Farhana, gadis kecil anak teman baikku Abang Dai (aktivis dakwah Tawau) sedang dioperasi perutnya di hospital. Bermula dengan sakit perut, akhirnya melarat kepada buah pinggang. Kini perutnya ditebuk sang perawat. Anak comel itu sedang bertarung dengan maut. Bapanya tidak punyai apa pun, kecuali teratak usang. Bekerja siang dan mlm untuk dakwah. Aku merayu teman, jangan kita biarkan Farhanah disengat kesakitan lantaran bapanya tidak mampu membiayai yang terbaik buat puterinya. Ayuh, kita ada rezeki untuk dikongsi, tidak luak harta kita untuk membantu teman yang kejerihan. Jangan langit menatap murka, kita sendawa kekenyangan dan menjadi tak peduli.

BIMB 10025020355759 Dara​Mansah Lamasa

II

Demi sebuah persahabatan yang mulus dan tulus, aku lancarkan tabung ini. Kau kenal teman bapanya yang tidak sepi mengirim perkembangan dakwah di Sabah. Dia petugas jamaah yang tidak berkira dengan peluh yg mengucur laju. Jangan biarkan Abang Dai berseorangan diuji dengan kepayahan. Berikan simpatimu, ruak rasa tak peduli yang sedang melilit tangkai hatimu. Bantulah dengan infak, zakat dan lain-lain. Paling lemah dengan titipan doa yang ikhlas untuk melihat Farhanah kembali ceria mengukir senyum. Hidup tak sebagaimana yang kita lihat teman, gunung takdir bila-bila masa akan menghempapmu. Jom kita bantu Abang Dai. BIMB 10025020355759. Langit sedang melirik kita teman. Jangan tak pedulisme!

III

Aku demam malam ini, tetapi Farhana begitu sekali sakit. Farhana mungkin tidak mengenali aku namun bapanya setiap kali datang ke Semenanjung akan tidur di celah timbunan buku-buku terbitan JUNDI di Padang Balang. Bapanya juga akan menjadi pemanduku jika berceramah jauh daripada metro. Farhana anak kecil itu tidak tahu bahawa bapanya separuh nyawa menyintai dirinya. Jika makan bapanya akan teringatkan Farhana walau dengan kredit terbatas tetap bertanya khabar dari jauh. Anak kecil itu seenaknya memesan permainan. Saat ini Farhana terlantar kesakitan. Malam ini mata aku berkaca-kaca, merembes tanpa sedar manik-manik. Moga Farhana akan sembuh dengan kepeduliaan teman-teman dakwah sekalian. Aku merayu malam ini teman! Hulurkan sedikit kertas itu untuk sebuah ukhuwwah dan mahabbahfillah.

Hulurkan sumbangan, ringankan beban

Thursday, December 8, 2011

Kenangan Hiijrah Dunia Maya




Blog ini muncul di dunia maya lewat Hijrah 1430 Hijrah saat2 terakhir saya melepaskan pandangan perpisahan buat bumi dibawah bayu yang begitu banyap tersisip pengalaman dan rusuh kehidupan saya dahulu.

Mungkin antara semangat HIJRAH yang ada memungkinkan kolek BICARA DIRI meluncur ke lautan maya dalam persepsi dan gayanya tersendiri, walau ianya sudah sekian lama beroleng dimuara kehidupan dengan pasang surut postingnya yang sentiasa menunggu tibanya angin barat yang meniupkan semangat dan keterujaan berkarya, kekadang hadirnya sapaan bayu membawa angin mati yang meresahkan, akhirnya blog ini bersawang percuma...

Walau apa yang terjadi, blog ini akan sentiasa gagah merempuh alur dan ombak kehidupan hingga tiba kedestinasi travelognya ... Yang pasti , dan akan sentiasa diingati .... nawaitu kemunculannya bersama semangat HIJRAH mencari kebaikan dalam dorongan motivasi para ikhwan yang soleh melorongkan jejak kebaikan..

Antara tulisan awal saya dalam kenangan Hijrah didunia maya ini ...

Entah bagai dirancang dan sememangnya sudah tersurat, kelahiran blog ini amat membahagiakan. Ianya juga lantunan dari idea dan gesaan kawan – kawan yang mahukan perkongsian ilmu dan rasa ini berterusan diabadikan dan dimanfaatkan secara bersama di alam maya ini. Dan kini ianya menjadi kenyataan namun rasa rendah diri dan kekurangan terus menyerang sudut hati ini takut dan bimbang amanah ilmu yang disampaikan tersasar dari hidayat dan niat yang dipaterikan diperingkat awal terpesong jauh dari keikhlasan.Ya allah,ku pohon padamu agar usahaku ini mendapat keredhaan mu dan caraku ini tidak melalaikan dan memesongkan aku dari hidayahmu.

Dan entah mengapa ianya bagai direncanakan apabila blog ini dengan bersendikan judul Travelog Hidayah diluncurkan ke alam maya ini, rupanya ia serentak dengan kemunculan Solusi isu ke12 yang membawa tajuk utamanya Hidayah Kompas Kehidupan yang dicanang oleh Ketua editornya Sdr Pahrol Mohamad Juoi, memang ia sebuah majalah yang baik untuk tatapan umum yang dahagakan informasi agama apatah lagi ianya diulas dan diolah oleh minda ulamak yang sudah teruji kewibawaannya. Moga ianya terus membawa kebaikan untuk semua.



Sebenarnya entah mengapa hati ini terus terpaut dengan nama Travelog Hidayah ini mungkin selepas diri tergamam dan kagum dengan buah tangan penuh rasa dan airmata serta hadiah pengalaman Prof Mohd Kamil Ibrahim,yang menulis buku bestsellernya Travelog Haji dan Dakwah, seterusnya melakarkan perubahan dan hidayah luarbiasa yang mengubah sempadan iman dan amal sebelum ini.Moga blog ini juga mampu mencoret perubahan dan hidayah pada diri pemilik dan pembacanya,insya allah.

Dan memang entah mengapa, rasa ingin memiliki dan menyebarkan blog yang berorientasikan dakwah dan ilmu ini ke tengah arus masyarakat ini semakin menebal dan membuak apabila sifu sahabat blogger sabah Ust Akmal Othman dengan blog popularnya Abu Nuha Corner menyarankan usaha dakwah di alaf moden ini harus dirancakkan dengan pelbagai alternatif,strategi dan medium yang boleh dimanfaatkan.Gesaannya itu dibuat semasa membentangkan slot tarbiah dan pengenalan blogger semasa Konvensyen IT Pemuda Islam di Kundasang 24-25 okober yang lalu, ia amat bermakna dan mengujakan.Banyak manfaat yang diperolehi… moga allah memberi ganjaran.

Ya,memang entah mengapa…. Hakikat hidayah ini hanya allah yang tahu, allah memberi hidayah kepada siapa yang ia kehendaki dan allah juga akan menyesatkan mereka yang membenci agamanya ini berdasarkan apa yang ia kehendaki.

Moga allah memberikan kita hidayah dan petunjuk dan ini bukannya entahlah, tapi mohonlah dengan penuh kepastian dan keyakinan.

Membenci SANTAI


Hey kawan,

Apa yang kalian sedang lakukan kala ini ? Bercuti ... ? Bersantai ? Atau pulang menziarahi ibubapa di kampung setelah kian lama berjauhan ?

Apapun pekerjaan kalian kala ini, aku doakan engkau, kawan akan sentiasa beroleh manfaat dan kebaikannya.Moga kehidupan kalian semakin indah diserikan cahaya Hidayah dan Cinta Ilahi sepanjang masa ..

Tersingkap ingatanku seketika kala ini tentang ramainya manusia yang tertipu dengan waktu rehat dan cuti seumpama ini. Ianya nikmat yang menghancurkan keperibadian dan kejernihan hati. Manusia semakin layu memanjakan diri, juga semakin lewa menunaikan ketekunan ibadah rutinnya dan juga mungkin terlemas dengan agenda RELAX yang akhirnya memandulkan diri dari wawasan untuk menjadi hamba Allah yang mulia dan sentiasa BERHIJRAH memperbaiki diri.

Ku singkap buku AYYUHAL WALAD karangan Al Imam Ghazali yang menjadi teks kupasan ringanku disurau yang berdekatan, mencari ungkapan penuh puitis dengan erti enuh mendalam membekasi kolam hati untuk mencela kemalasan dan kekurangan diri ini, bagimu kawanku... aku catatkan disini nasihat pertamanya yang amat berguna :

Antara tanda Allah menyayangi seseorang, maka DIA akan mempermudahkan kita meninggalkan perkara yang buruk dan tidak BERFAEDAH kepada kita dan agama kita, sesiapa yang terjerumus dgn perkara yang sia2 sebegini pasti akan menemui SAAT PENYESALAN yang berpanjangan tika di akhirat nanti, dan jika kalian sudah mencecah umur 40 tahun dan belum mahu berubah, bersedialah untuk menuju neraka ALLah .....

Aduh teman, begitu berbisanya naluri hidayah imam agung ini, nasihat pertamanya sudah begitu menyentuh dan menginsafkan kita, apatah lagi dengan rentetan amanat , teguran dan nasihatnya yang lain... moga ianya menjadi magnet hidayah untuk kita kembali mengenal diri penuh keinsafan.

Dan tahukah engkau kawan...

Entah mengapa , aku juga terlalu membenci lelaki ini, tulisan bicara hatinya di lanskap skrin putih diblognya ternyata begitu mengesankan ... Aku sekian lama terpaku pasrah meneliti idea hidayahnya yang santai, ringkas tapi cukup signifikan dengan erti hidayah. Kronologi perjalanannya sememang mengagumkan dan menyentuh jiwa fitrah ... aaah , dia lebih layak memiliki TRAVELOG HIDAYAH ini dariku ...

ya, kerana itulah aku membencinya untuk terus mencuri intai ke alur gagasan fikrah dan bahasa santunnya yang cukup mengesankan aku. Bahasa yang mudah berbuahkan hidayah dan merimbunkan ketenangan.

aaah, aku tak pasti adakah engkau juga begitu kawan ???

mari kita tatapi antara nukilan terbarunya ..... yang menambahkan kecemburuanku !!

Dari blog kehidupan ringkas tapi signifikan karya Prof Kamil Ibrahim. Sorotilah :



Kehidupan kami sekeluarga berubah lagi. Saya dan Amirul memulakan pengajian al-Quran di Haram. Roza dan Sofea akan menyusul.

Inilah guru Quran saya. Ia guru ke 4 selepas Ustaz Hafizi, Idris dan Azrul. Sudah 2 malam saya bersama beliau. Orangnya sudah tua, menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan boleh sedikit-sedikit berbahasa Inggeris.

Ia satu pengalaman luar biasa berguru bersama beliau. Sangat berbeza berbanding sebelumnya. Orangnya garang tetapi hanya pada zahir sahaja. Ia unik.

InsyaAllah, saya sedang menghayati pengalaman baru ini dengan sabar dan tekun. Siapa tahu, 3-4 tahun nanti saya dapat menghafal al-Quran di bawah bimbingan beliau.

Lalu saya ceritakan kepada rakan sejawat di universiti. Ramai yang sudah berada di sini melebihi 2 tahun dan tidak pernah terfikir untuk mengambil peluang di atas nikmat yang Allah berikan.

Salah seorang merenung wajah saya dalam keadaan terpinga-pinga. Agaknya beliau terfikir, “kenapa aku tidak terfikir begitu?”.

Allah… Allah… Allah itulah dakwah yang paling halus yang boleh saya sampaikan kepada mereka. Belajarlah…. kita tidak pernah pandai dan sampai bila-bila kita tidak akan pandai berbanding dengan ilmu Allah hatta beliau seorang profesor.

Akhirnya ada dua pensyarah yang mengikut jejak. Mudah-mudahan ia bermanfaat.

Sunday, December 4, 2011

Muharram Membakar Dosa

Moga Allah memilih kita untuk menjadi hambanya yang dipermudahkan untuk sentiasa mengingati dan mengabdikan diri kepadaNYa.

Thursday, December 1, 2011

Menyantuni Rindu Semalam


Hei kawan ,

Terasa aku kesayuan dan kepiluan semakin merantai hatiku, mendera batinku dan perasaanku kala ini, terlalu menyeksa dan meyesakkan.


Saat2 sebeginilah yang paling aku bencikan dalam kehidupanku, gelisah dan kemurungan yang memenjarakan aku daripada aktif bergerak, berfikir dan beraksi. Ianya menjadikan aku kelu dan tepu …. Jumud dan beku.

Aku benci keresahan…. Hidupku sekian lama ku cuba memastikannya ceria dan memudahkan. Aku akan cuba memahat bahagia dan mengukir lakaran senyuman di batin dan mukaku sepanjang liku jalan hidupku walaupun di atas kesakitan dan masalah yang paling menyayat jiwaku sekalipun…


Aku ingin tersenyum dan membahagiakan ramai … Senyuman itu kolam kedamaian yang memercikkan kejernihan dan memotivasikan kebahagiaan. Percayalah …


Sekilas memoriku terpanggil untuk menyapa mindaku … terkenang seketika, semasa dibangku sekolah rendahku di SRK Sultan Ismail 1, aku tenang melangkah di koridor menggalas jawatan sebagai seorang Ketua Kelas 6 Hijau membawa bongkahan buku latihan ke kelasku kala itu sambil ditemani antara guru yang masih tercetak jasanya dihatiku iaitu Guru Bahasa Melayu yang juga guru kelasku Cikgu Ramlah, beliau memandangku sambil melemparkan senyuman dan berkata … Hafiz, kenapa cikgu sentiasa lihat engkau tersenyum ??? Soalan cepumas tahap dewasa yang yang membuatkan aku bungkam dan kaget, kalian tahukah apa jawapanku untuk guru kesayanganku itu …. , mana mungkin aku berfalsafah kala itu dengan otak kecilku yang belumpun menginjak remaja, lalu jawapanku ternyata hanyalah satu senyuman berskala besar yang aku rasa paling panjang pernah ku ukir diwajahku ditambah beribu bungaan bahagia membedak seri wajahku kala itu. Alangkah indahnya memori bagi sebuah kehidupankan kawan..


Tapi kala ini aku berduka, lukanya agak panjang mencalar mozek hatiku yang sentiasa berpetak ceria. Tempoh beberapa hari yang ku pendam dan rasai semakin membusung pecah merekahkan keindahan susunan geometric bungaan yang sekian lama memotretkan ceria.


Apa ? Kalian hendak tahu mengapa ? Memang sudah ku duga kalian akan terus menyapa bisu begitu. Dari lerekan matamu membaca dan gerakan tangan mu menggerakkan curser berbentuk tikus itu sememangnya tepat membetulkan andaian dan agakanku, bukankah begitu kawan ??


Tapi, peduli apa kalian dengan masalah dan kesedihan ku, ianya masalah peribadi yang datang dan pergi. Datangnya untuk menguji dan menilai keampuhan sabar manusiawi.


Terpatri diingatanku jasa seorang rakan yang pernah membahu bersamaku berjuang menggapai ilmu di permukiman bumi gersang sebuah padang pasir bernama mafraq , Jordan.


Tatkala itu, kamilah warga Malaysia pertama yang perlu mencetak budaya mulia dan mengemudi sunnah terbaik untuk menjadi ikutan adik2 kami nanti. Begitu juga dengan amanah untuk menjadi DUTA NEGARA yang akan mengakar persepsi dan imej terbaik buat Negara.


Kini aku terkenangkan sahabatku ini, dia antara ratusan teman yang bersama menemani taman ilmu bersimpuh dan mendongak untuk menadah curahan ilmu para agamawan yang membuka ufuk kesedaran dan keintelektualan agama kami, bahkan dialah antara TOKOH dan HASILAN terbaik pergomolan ilmu di lembah dan sumur ini.

Masih teringat aku tatkala kami bersama menadah sebuah kitab tersohor dalam ilmu usul Fiqh iaitu Kitab al Luma’ Imam Syairazi bersama seorang tuan guru kami Syeikh Zainal Abidin dari SUDAN yang cukup amanah dan bersemangat melorongkan kefahaman ilmu kepada kami. Dengan perbahasan ilmu usul Fiqh yang diakui sukar untuk dihadam dan dilumati ini, aku melihat dia hanya tersenyum berteleku dengan khusyuk menanti setiap bilahan kata pencerahan dan penerangan tuang guru kami dengan wajah yang semakin berseri.


Dan tatkala satu ketika, kami tersadung minda dan berkhilaf kefahaman apabila dicabar soalan tuan guru kami, beliau dengan perwatakan ceria dan penuh gelak menjawab dan membuktikan kefahamannya yang diakui tepat oleh tuan guru kami. Ketepatan dan kespontanan jawapannya mengagumkan kami para pencinta ilmu yang terdiri dari pelbagai bangsa kala itu. Kala itu aku mulai mengakui kehebatan sahabatku ini kawan.


Idea dan wawasan ilmunya juga tinggi kawan, beliaulah calon utama kami untuk membedah ilmu dan menjalin kefahaman bila terdapat pengisian ilmu atau ceramah mahupun forum. Bercakap dihadapan sahabat seperguruan yang serba bermaklumat dan terisi dada mereka dengan kepelbagaian ilmu tidak pernah menjadikannya gugup meminjamkan pandangannya untuk dicerna oleh kami. Aku ketahui akhirnya, beliaulah juga calon popular para pelajar muslimat untuk dedikasi ilmu dan pengisian selain Ustaz Aizam Mas’ud pemilik blog Mufakir Islam.


Percayakah kalian kalau aku katakan dia tidak meminati mana2 pasukan bolasepak di dunia ini, tanyalah dia tentang penyerang dan posisinya, dia bukanlah orangnya yang pakar untuk mengulas dan bercerita. Tapi kalian jangan menyangka dia kaki bangku menyepak angin, dialah kawan STRIKER utama kami dalam pasukan underdog JARJIL dengan jersi hitam putih JUVENTUS membelah pertahanan lawan dengan gelecekan dan larian derasnya. Sekiranya dia tidak mendapat hantaran bola silang dari MUSLIM atau mendapat lorongan through pass dari NAJE dibahagian bawah, beliau ternyata bijak membuat tindakan penyudahnya sendiri. Kawan … dia bagiku seorang penyerang prolific yang semulajadi bijak menjadi pemangsa untuk menghidu peluang menggegar jarring, percayalah…..


Koloni kami pelajar Malaysia disana ternyata masih bersifat kampungan dan suka berada dalam komunitinya tersendiri. Kami biasanya akan menyewa bersama pelajar senegara kalaupun tidak senegeri untuk menjamin kesesuaian budaya, makanan dan membahu untuk keselamatan dan pelajaran. Namun, DIA sahabatku menepis segala aturan bukan rasmi ini untuk hidup bersama dua orang pelajar MASTER IRAQ yang juga menjadi guru Tafsir dan Hadis kami, Syeikh Ahmad dan Syeikh Yunus yang sememangnya jelas berkesempitan dalam kewangan dan bukannya ilmu. Dengan dua sahabatnya yang lain, beliau bersama melalui kembara ilmunya untuk terus menyumbang dan memberi tanpa lelah dan akhirnya persahabatan dengan teman serumah yang sememangnya kaya ilmu menambahkan point bonus ilmunya melebihi kami.


Dan dua minggu lalu, aku terserempak seorang rakan yang pernah menyantuninya di bumi dakwah TAWAU menyatakan dalam bicara ukhuwwah kami tentang kekagumannya yang sentiasa menyedari kehilangan DIA dari perbaringan seawal jam 2 pagi untuk bangun membasahi lidah dengan tilawah dan sujud. Selain itu, beliau juga menyantuni ilmunya secara terbuka dikhalayak tawau yang akhirnya mengiktiraf ketokohan dan kewibawaannya.

Katakan juga aku salah kawan, tatkala aku mendengarnya menjadi antara mereka yang dipilh tuhan untuk menjaga Quran tatkala beberapa tahun dahulu mendekam dalam tahanan angkara undang2 drakonian manuasiawi.


Dan kini, sekali lagi beliau teraniaya …. Dengan permainan kata dan alasan yang bisa direka percuma siapa sahaja untuk menjaga keselamatan Negara tanpa perlu dibukti dan dibicara. Aduhai kawan, takdirmu berbeza …. Tapi ingatlah, semakin berat ujianNYA tanda terawal semakin besar kasih sayang NYA.


Dan mungkin kini kalian kawanku sudah boleh mengagak derita sakitku ini. Aku kepiluan disiat pedih nasib yang menimpa sahabatku ini, dan dia adalah USTAZ NAZRI BIN DOLLAH yang kami kenali sebagai PAK DOL.

Sabarlah teman, moga pahala untukmu berpanjangan dan doamu sentiasa mustajab.