Monday, May 9, 2016

Salam 2016

Hey Kawan,

Masih ingatkah kalian tentang aku. Seorang musafir yang pernah singgah dalam diari hidup kalian. Menyapa dan menyulam rasa bersama. Mekar menjadi ukhuwwah. Namun sayangnya, saat ini ianya hanya mampu harum dijambangan memori.

Aku sang camar putih, terbang bebas di angkasa untuk meredah atmosfera takdir. Kiranya aku tercunggap letih, lekas aku hinggap melepas lelah buat seketika di perdu angan. Jika mampu, mungkin aku lebih selesa bertenggek sekejap di belakang sang balau yang agam di petak bendang. Kontras warna hitam putih kami pastinya memberi refleks tenang pada mereka yang mencari damai.


Aku sukakan ketenangan, aaah semua manusia tentu sukakan ketenangan. Mana ada spesis manusia yang tega memilih hidup dicemeti kesibukan dalam kota serba kalut jika hanya kerana fitrah dan keinginan. Tapi tanpa sedar, hidup kita bagai dicucuk hidungnya merelakan adrenalin kalut dan sibuk memacu perjalanan kita. Akhirnya kita akan terpana keletihan mengejar bayangan angan dan impian yang belum tentu menjanjikan kejayaan. Namun yang pastinya diselekoh yang paling hujung dalam kehidupan ini, kita akan mengeluh kesal atas kealpaan dan kelekaan kita melebihkan sesuatu yang fana berbanding amalan penyelamat kita di hari kemudian nanti.

Dan , aku rasa aku tenang disini. Tenang mengulit angan. Sesekali tersenyum dibuai fantasi. Teruja di apung rasa. Gebu memugar hati. Pasrah dalam diri. . .   . . Namun yang bersisa, hanyalah satu persoalan . . . bilakah langkah musafir ku akan terhenti ???

Biar takdir yang menjadi juri.
Menghukum aku untuk redha dan akur.
Kerana kita hanya merancang,
Namun yang Maha Berkuasa juga memutuskannya . . .

Wednesday, December 31, 2014

Salam 2015

Hai kawan,

Noktah. . . . Sepi . . .

Semangat . . . Melanggar perbukitan . . . Jatuh . . . Tersungkur sakit . . Ngilu

Rindu . . . Hangat . . . Terbakar rentung . . . Sunyi Kembali

Harapan . . . Mekar . . . Tuntas berbunga . . . Dimamah layu , , , Khali menyapa

Azam . . . Membugar Tekad . . .Memangkas Samun kemalasan . . Melestarikan kanvas maya

Putih bercanda aksara . . . kalimah bersulam rasa . . .

Memupuk impian . .

Yang tak pernah terpadam . .

Hanya lekang di paparan keghairahan. .

Disinggung himpitan masa . . .

Nyeri di jerat alpa . . .

Leka . . .

Lamun , , ,

Lalai .. .

Lupa . . .

Mungkin Huruf L terlalu banyak negatifnya . . .

Dan namaku Hafizullah mempunyai dua L

Aaaaah . . bergandalah musibahnya.


Salam Ingatan untuk semua kawan yang mengenaliku. . .

Di gerbang baharu 2015.

Dan . . pesanku, usah bimbang . . . pasti berulang semula

Khali  . . . Sunyi . . . Sepi

Noktah.





Thursday, December 26, 2013

Jadual Gaji Tahun 2014

Jadual gaji kakitangan awal tahun 2014



Salam kawan ...

Rezeki bukan semestinya harta. Ianya istilah abstrak yang menghimpunkan seribu makna.
Rezeki bermakna anugerah dan kurniaan. Ianya manifestasi cinta dan kasih sayang. Juga signifikan restu dan keredhaan.

Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya. Tanpa had. Tanpa kekurangan. Allah mengurniakan rezeki kepada setiap hambanya berdasarkan keadilan dan kebijaksanaanya. Pembahagian yang cukup saksama untuk manusia menginsafi dan sentiasa mensyukurinya.

Juga pengagihan telus yang mendorong manusia terus mendambakannya dan mengharapkan bantuannya.

Ianya kontrak janji allah kepada manusia. Rezeki yang terus tersurat tanpa sesiapa yang mampu menghentikannya. Hanya maut menjadi penghujungnya. Tika tiada lagi suratan rezeki yang tertulis maka siratan kehidupan akan terputus ... dan manusia akan menempuh takdir kematiaannya yang tak pernah diragukan.

Ia rezeki kurniaan Allah.

Bersyukurlah.

Sedikit ataupun banyak bukan persoalannya. Kaya atau miskin bukan juga titik problemnya.
Yang mendasari hakikat kita sebagai hamba .... ialah setiap ujian ini kita hadapi dengan kesyukuran terhadapNYA. Mensyukurinya ialah mengingatinya.

Mengingatinya ialah mentaatinya.

Mentaatinya ialah melakukan apa yang disukaiNYA.

Adakah kita mensyukuri dan mengingatinya selalu ...?

Atau kita hanya mengingati ....... kesan rezekinya sahaja ... ??

Atau kita hanya mengigaukan jadual rezeki sahaja ....

Moga2 kita dapat berfikir.

Wednesday, December 25, 2013

Rindu Seputih Kanvas




Salam kawan ..

Gamitan rindu membawa aku kembali. Singgah bersimpuh buat seketika di birai beranda teratak usang travelogku ini. 
Entah aku rasa ianya tidak sesuai menjadi travelog yang bermaksud kembara hidayah dan tarbiyah lagi. Ianya seolah villa usang yang hanya menyimpan memoir lama khazanah kisah2 yang menyimpan momen antik hidupku sahaja.Villa usang tanpa roh dan penghuni  .... villa kosong tanpa sapa dan suara ... villa sepi tanpa entry dan berita. 

Namun yang positifnya .. ianya bukanlah Villa Nabila yang terfitnah nista dek kenakalan anak remaja yang galak mengejar keseronokan.

Sekilas mataku menerawang ke setiap sudut teratakku. Ianya hanya dipenuhi sawang entry lama yang sudah berkurun sejarah penulisannya. Tanpa disuruh jemari reflekku terus mengibas2 dan menepis habuk2 yang sudah mendekam kental disana sini. Sayu tangkai hatiku. Teratak ini tidak terjaga sempurna.

Aah.. Sudah sekian lama aku bermusafir rupanya. Berkelana mencari sesuap pengalaman untuk bekalan dihari muka. Rupanya dalam merentas denai hidup yang panjang ini ... aku terasa seperti kehilangan sesuatu. Kehilangan asal ku. Aku berharap untuk kembali semula .. setingi dan sejauh mana terbang bangau pastikan pulang semula kebelakang kerbaunya suatu hari nanti.

Bukankah cacat panorama sawah bendang jika hanya kelibat sang kelabu agam bertanduk teguh ini berposing tanpa pasangan putih unggasnya. Tiada kontras warna hitam dan putihnya umpama tempo irama dan lagu yang sumbang melodinya.



Aku pasti kembali ... sekurang2nya mengulit rindu dihati. 

Mencoret bingkisan ...  mengarca memori.... mahupun mengkordinat imej lensa.

Semuanya diatas kanvas putih skrin ini.

Di dalam teratak travelog ku.
................

Moga kedatangan tahun 2014 nanti mampu mengukir entry2 yang baik untuk perhiasan travelog ini.

Dan harapnya ... teratak ini kekal bermanfaat dan tidak menjadi kubur yang sepi tanpa ruh dan harapan.





Saturday, August 31, 2013

Lensa Masa Bercerita

Hey Kawan,

Masa yang berlalu takkan pernah kembali. Kalaulah ia boleh berbicara, nescaya ia bingit mempertikaikan pengabaian kita terhadapnya. Masa dimuliakan Allah dari langit yang ketujuh.Cukuplah keutamaannya diperuntukkan jenama terkhusus untuk dirakamkan dalam al quran dengan namanya yang tersendiri AL ASR.

Oh masa.. kalaulah benar engkau mempunyai lidah. Ceritakanlah diteratakku ini sketsa indah dam gundah kehidupanku.Biarlah gambar statik ini menemani kalian disini.


Acara solat hajat perdana di SMK Alma, memuji Allah dalam rafak doa menjemput rahmat dan inayahnya.


Semua warga bersatu hati, memadu harapan dan menrafakkan permintaan, moga permohonan kita dimakbulkan.


Serikandi Alma bukan hanya perlu hebat dipentas akademik, bahkan yang utamanya ialah membentuk peribadi hebat dengan kepatuhan kepada ilahi.

Tazkirah dalam rapat umum seperti ini mengalirkan rasa kehambaan yang bukan sedikit untuk mengecas kendiri kita terhadap yang esa.

Moga allah memperkenankan.





Sunday, August 18, 2013

Syawal Saeed

Hai kawan,

Ternyata Syawal sudah berlabuh beberapa hari di muara kalender kehidupan ini.

Gema takbirnya seperti biasa telah lama ditenggelamkan lagu raya malar hijau yang sentiasa begitu cepat mengambil ruang memeriahkan perjalanan hidup syawal kita tanpa sedar. Tiada lagi keringat kesungguhan untuk meletakkan pasak benteng menjaga pusaka azam dan gigih ibadat sepanjang ramadhan yang lalu,

Pamitan lailatul qadar juga seakan melambai jauh meninggalkan kita terleka sendiri. Tanpa paksa kita lebih rela dibuai kemalasan dan leka dengan keselesaan diri. Puluhan kuih berbagai nama sudah semakin sendat menempati ruangan tembolok kita yang dulunya kelegaan dengan himpitan lapar yang meleraikan kusut penyakit. Lalu kita semakin uzur dimamah rutin raya.

Aku juga begitu teman. Rutin raya memperdayakan kita.

Teringat aku petikan hikmah menjentik alpaku, sesungguhnya hari raya yang sebenar buat insan beriman ialah hari dia mempertahankan dirinya dari segala dosa dan noda. itulah hari kejayaan dan kegembiraan buat setiap insan yang mengakui budi tuhan terhadapnya.

Moga kita juga begitu kawan.

Salam aidilfitri buat semua.



Friday, July 19, 2013

Ramadhan Kareem 2013

Hey kawan,

Salam Ramadhan untuk kalian disana, semoga kalian terus dilimpahi dengan kesegaran cahaya iman dan keseronokan beribadat. Sememangnya Allah memuliakan ramadhan, beruntunglah bagi sesiapa yang memuliakannya dan rugilah mereka yang mensia-siakannya.




Dengan rutin meladeni tazkirah dipenjuru terawih saban malam, aku melihat pelbagai rencam manusia dan karakternya di saf solat mereka. Mereka yang berwajah bersih, berbaju polos dan berketayap penuh warna sememangnya senang diusik dengan sentuhan tazkirah yang juga pelbagai tema, tempo dan gaya. Mereka seakan tenang diulit tazkirah yang menginsafkan jiwa namun membangunkan hati untuk terus berharap pada keajaiban kuasa ilahi dibulan yang mulia ini.

Harapannya ialah rangkaian kasih rahmat, pedoman maghfirah dan juga nikmat memilih syurga dari neraka allah suatu hari nanti. Impian yang hebat ini akan melahirkan karekter yang diasuh disiplin sabar, tenang dan seronok untuk melangsung ibadah taat ini kesetiap lorong perjalanan insan nanti walaupun ianya jauh berada diluar ramadhan.

Moga allah memilih kita untuk menjadi insan yang terpilih dan istimewa itu.



Kupohon agar Ramadhan mampu melahirkan jiwa ini menjadi insan yang HINA, TAMAK dan MEMENTINGKAN DIRI.

Insan HINA dan kerdil disisi Allah Rabbul jalil, mengakui semua kelemahan diri dan memuji akur kepada kekuatan dan kemulian zat ilahi semata-mata. Hidup ini hanya ujian melayakkan diri menjadi HAMBA yang soleh kepada allah tanpa prejudis sangka, mahupun kealpaan malas dan bertangguh juga kebobrokan riyak dan mencari glamour. Bukankah hanya allah yang layak dan berhak dipuji.

Menjadi insan TAMAK dengan amal dan yakin dengan janji ilahi yang tekal dan pasti. Tamak dengan begitu tergiur pada habuan nikmat dan keseronokan taat ini melebihi keselesaan rehat dan bersantai menghirup kopi pekat meladeni gosip dan sembang kosong semata2.

Juga buat menjadi insan yang MEMENTINGKAN DIRI dengan menggagahi kudrat fizikal untuk berlumba dengan yang lain mencari pahala buat menyelamatkan diri sendiri dari azab murka ilahi. Janji yang dicanang tuhan diharap dapat membekas dihati untuk melunasi detik ramadhan dengan begitu bersemangat walaupun persekitaran dan rakan sebaya seperti besi berani negatif yang menolak kita untuk menjadi pasif dan malas, Moga sifat pentingkan diri untuk masuk syurga ini mampu menepis dan menyatakan jelas kalimah TIDAK kepada segala maksiat dan taulan yang alpa sebegini.

moga ramadhan melebarkan kemuliaannya juga buat kita.

Tapi, tengahari tadi aku mengacah beberapa orang pelajar pintar dikelas yang dianggap elit itu dengan soalan aku kehilangan wajah2 reamaja disurau senja ramadhan kali ini. Aku melunasi tanggungjawabku mengimami solat dipermukiman alma bukit mertajam ini dua kali minggu ini, namun hampanya perjalananku meredah lebuhraya untuk melihat wajah genit dan tenang para pelajarku menyusun saf disurau berdekatan rumah mereka tidak kesampaian. Aku kehilangan mereka, hanya wajah2 penuh garisan pengalaman dan kedutan usia menjadi tatapanku kala itu.

Lalu aku bertanya: Dimanakah kalian pelajarku ?? Dimanakah kalian solat berjemaah terawih ? Berapa rakaatkah yang kalian tunaikan untuk sama mendapat kemulian Ramadahn ini.

Kawan, tahukah apa jawapan yang aku perolehi dari anak2 didikku berstatus elit ini. Tiga daripadanya mengaku hanya berada dirumah dan tidak mengunjungi surau untuk berterawih, malahan kesempatan yang ada dirumah juga gagal diterjemahkan untuk menjadi dua raakt terawih sekalipun.

Ada yang beralasan, ayah bekerja dan tidak dapat membawanya bersama ke surau. Agaknya ia mungkin alasan ampuh untuk pelajar yang berusia 6 tahun, namun jika diungkapkan remaja berusia 16 tahun ianya menjadi satu nada sumbang yang amat mengecewakan hatiku.

Dan ada yang berkata, ayah selalu berjemaah disurau tapi tidak membawa saya bersama. Hanya alasan yang menghiris hatiku melihat generasi kecilku kini terabai dengan golongan tua yang tiada ilmu meng"agama"kan keluarga.

Hanya satu jawapan yang mungkin menyejukkan sedikit perasaanku kawan...  antara 4 orang dialah yang terbaik, saya sempat kerjakan terawih 4 rakaat sahaja lepas tu saya bersama kawan meliepak dan meronda mengukur jalan kampung yang saban tahun dilaluinya jawabnya jujur.

4 rakaat kawan !! jawab pelajar elitku ini.

Jawapan jujur anak muda alaf Y yang lebih mesra dengan teknologi dan kepantasan ini.

Jawapan terbaik dari rakan sebayanya.

Juga jawapan terbaik sebenarnya bagi mereka yang masih bertelingkah tentang jumlah terawih antara 8 dan 20. Kita punya tanggungkawab cukup besar untuk membawa mereka ke mihrab agama dan menjadi hamba allah dari bersengketa tanpa noktah di isu yang kalis muafakat ini.

Ramadhan kareem .... Ramadhan itu mulia.

Moga allah memuliakan kita yang sentiasa menghidupkan siang dan malamnya dengan ketakwaan.