Saturday, November 28, 2009

Islah diri di Pondok Baitul Taubah



Travel raya

Perjalanan raya kali ini membawa saya untuk menjadi pilot kepada abah saya HJ Ubaidah Yaakub ke kampung halaman beliau di Gong Serai, Pasir Puteh.

Jarak 40km dari bandar kota bharu menjadikan perjalanan kami tidak mengambil masa yang lama, sekitar 9.45 pagi kami tiba di sana bertepatan dengan masa kaum keluarga kami berkumpul dengan pisau terhunus bersedia untuk acara korban.

Namun saya lebih terpanggil untuk berkongsi cerita tentang pondok Baitul Taubah yang dikendalikan oleh abah saya sebagai pengarah operasinya sejak 2008 dan sudah berjaya memulihkan hampir 200 anak bina.



Terminal Taubat dan Islah

Pondok ini merupakan satu projek Kerajaan Negeri untuk memulihkan para remaja hinggalah kepada orang dewasa yang terlibat dan terbelunggu dengan najis dadah.

Dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri berjumlah 50ribu setahun, ianya belum mampu untuk menjana dan menstabilkan perjalanan usaha dakwah dan tarbiah kepada para penagih yang pernah tersesat sebelum ini.

Makluman peribadi dari pengarah operasinya ini menyatakan kos operasi bulanannya sahaja sudah mencecah 10 ribu sebulan dengan kos makanan, perubatan, tarbiyah, pengangkutan, gaji pembina, pengurusan dan sebagainya.

Rawatan Alternatif Islam

Mengamalkan proses rawatan pemulihan berasaakan Islam, pondok Baitul taubah ini telah berjaya memulihkan ramai para penagih yang sebelum ini tegar dan liat dengan najis ini.

Mereka disini tidak dikenali sebagai penagih tetapi akan dipanggil anak bina, dan mereka akan mengikuti setiap program yang dianjurkan pengurusan pondok. Kemasukan mereka adalah secara sukarela samada dari kemahuan sendiri atau ibubapa, mereka akan diprogramkan selama 4 bulan dengan kos bulanan untuk pemakanan mereka ditanggung keluarga sebanyak RM 400 sebulan.



Bahkan ramai antara mereka yang pulih ingin kekal menyambung kursus islah ini sehingga 6 bulan mahupun setahun, ada juga yang sedia berkhidmat sebagai pembina yang menjadi fasilitator dan pemantau program dengan tugas memberi motivasi, mengajar doa dan zikir, mengejutkan anak bina untuk bangun dan mandi di tengah malam dan tugasan rencam yang lain.

Rutin harian mereka ialah solat, zikir dan mandi malam yang saya akan perincikan kemudian nanti.Dengan amalan islam ini dan pengharapan pulih bergantung teguh pada Allah, akhirnya ia menjadi kaedah yang berjaya memulihkan bukan sahaja tabiat bahkan rohani anak bina untuk memulakan hidup baru.

Menagih sumbangan

Sesudah menunaikan solat jumaat di masjid kg. Panggung, saya mengemudi innova ini menuju ke terminal menunggu di dataran pondok ini untuk menyerahkan sebahagian daging korban kami kepada para penghuni pondok.

Esoknya dijangka berguni lagi daging korban dan sedekah jariah orang ramai akan menjengah pondok ini sebagai satu sumbangan untuk mereka dan juga suntikan motivasi serta doa kebersamaan untuk mereka terus gigih berubah dan membina sahsiah masa depan yang lebih terpuji.

Namun, sumbangan untuk memulihkan anak bangsa ini masih terus ditagih dan dicari, moga allah mempermudahkan.

Pautan dan informasi tentang pondok ini boleh didapati di laman web ini .... http://pondokbaitultaubah.blogspot.com

PT 372 JALAN JERAM PASU,
PADANG PAK AMAT,
16800 PASIR PUTEH,
KELANTAN

Tel : 09-748 0086 (pentadbiran) /atau 09-977 6566 (operasi)
email : baitul_taubah@yahoo.com

Friday, November 27, 2009

Memugar rahmat di selubung korban

Ceria hening pagi

Pagi bermula ceria dengan laungan takbir tingkah meningkah antara masjid dan surau berdekatan rumah kami di Kg. Bayam Guchil, Kota Bharu.

Suasana hening subuh menyentap jasad untuk segera bangun dan bergegas ke rumah allah yang terletak lebih 500 meter ke dalam kampung. Berada dalam saf keempat dengan diimamkan oleh imam tua Masjid al Husna, Tuk Imam Yaakub menggamit nostalgia ke zaman remaja saya.

Dengan suara kerasnya yang tidak berubah beliau membacakan surah sajdah dan diikuti surah al insan dipagi jumaat raya ini. Kami membuntutinya dari belakang dengan penuh taat dan khusyuk.

Pagi bening itu, seramai 200 pengunjung setia membanjiri rumah allah dalam pelbagai jalur umur, tidak hanya bersama golongan veteran yang sudah pencen dan setia ke masjid menghabiskan usia tua, masih ramai anak-anak muda yang terdidik mengangkat takbir di subuh ceria ini.



Alhamdulillah... damainya rasa ini, suasana yang saya tercari-cari dibumi bertuah sabah dulunya. Suasana yang sama saya dapati hanya di Masjid Negeri tika mencari malam lailatul qadar dahulu. Namun harapan masih berbunga, moga bumi bertuah ini akan terus dibajai rahmat tuhan hingga ke akhirnya..

Sesudah subuh kami dihidang dengan tazkirah ringkas versi lama yang amat saya rindui, versi Ust Kob yang kaya dengan pengalaman dan peringatan hidupnya. Tazkirahnya ringkas, santai tapi penuh makna meresap bersama contoh hidup pengalaman masyarakat kampung di bawah jagaannya.

Khutbah PERTAMA

Jam 8 pagi, saya pula diamanahkan menggantikan adik saya untuk menjadi imam dan seterusnya berkhutbah di Surau Kecil berhampiran rumah kami dan SRK Sultan Ismail Empat yang memuatkan hampir 60 jamaah. Adik merupakan seorang Hafiz Quran dan masih menuntut di pondok Kandis, Bachok yang biasanya menjadi imam dan khatib disana. Namun, kali ini demam dan selsemanya membataskan pergerakannya.

Dengan niat untuk mempermudahkan dan menyempurnakan amanah, saya terima dan berkhutbah buat kali PERTAMA dibumi tanah tumpah darah saya sendiri.

Berbekalkan teks majlis agama islam negeri kelantan saya gunakan sebagai panduan saya untuk terus melakar khutbah dan peringatan buat semua. Moga kami beroleh kerahmatan dari Allah yang maha kuasa.

Bersalaman dengan jamaah kejiranan yang hadir, meniupkan rasa syukur dan redha atas segala nikmat dan kurniaannya. Allah maha berkuasa memberi nikmat dan rahmatnya.

Ibrah kuasa Allah

Sempat saya sentuh tentang kuasa Allah mampu menjadikan manusia bijak yang bercita tinggi untuk menjadi peguam ternama akhirnya ditakdirkan pengsan dan seterusnya koma dihospital buat seketika. Bangun dari pitamnya menyaksikan dia menjadi manusia yang berubah sepenuhnya, darah yang terhenti sekejap mengalir diotaknya , juga fokus yang keterlaluan menyebabkan SATU saraf diotaknya meletup menjadikannya cukup istimewa, ya istimewa kerana dia bukan lagi siswa universiti yang mengejar wawasan dan cuba menempatkan palbagai maklumat kedalam mindanya, sarafnya yang hilang menjadikannya manusia yang tidak berupaya mengingat, walaupaun dalam masa 5 minit yang berselang. Akhirnya beliau terpaksa menggunakan tape recoder untuk memaklumkan kepada dirinya tentang aktiviti yang telah dilaluinya saban hari seperti makan,minum,mandi dan sebagainya.

Saya hanya mampu mengulang kepada semua, baru SATU saraf yang rosak dengan kuasa Allah, bagaimanakah kalau allah hancurkan saraf – saraf manusia yang engkar kepada allah satu persatu.

Maha suci allah dan maha berkuasa.

Raya pertama

Seterusnya langkah kami memanjang ke Kg Gong Serai yang menempatkan rumah lama datuk saya, Tuan Guru Yaakub Panggung, pengasas kepada pondok dipanggung ini yang juga merupakan anak murid kepada ulamak tersohor nusantara, Tuk Kenali.

Ditepi sebuah surau yang disemadikan nama bapa saudara saya , Tuan Guru Hj Atiqullah kami melaksanakan tuntutan Korban tahun ini dengan menyembelih dua ekor lembu.



Memori silam bersama allayarham terasa segar dalam ingatan dengan kehadiran orang-orang kampung dan penghuni berdekatan untuk sama-sama menyempurnakan lapah dan potong lembu korban tersebut.

Alhamdulillah... Aidil adha menggamit persaudaraan dan silaturrahim, sebagaimana ia menyemai nilai pengorbanan dan rasa kehambaan mencari kasih yang maha kuasa.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidul Adha Buat Sahabat

Salam Aidul adha buat semua….

Ucapan ini datangnya dari seorang sahabat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat saudaranya, tak kira dimana sahaja anda berada.

Moga allah menjadikan kita antara para kekasihnya yang berkelana di alam buana ini membawa secangkir ilmu untuk disebarkan kepada ummah, menjadi agen hidayah yang tamakkan balasan rahmat ilahi dengan tekunnya memugar dakwah, menjadi pendamba kasih ilahi dengan hati pasrah mengharap ihsan dan maghfirah rabbani…. Selalu.

Sahabat….

Kedatangan Aidil adha ini bukanlah sekadar kebetulan yang sengaja diadakan tuhan buat ummat bertuah ini, bahkan sebagaimana yang saya selalu tegaskan ianya merupakan satu program tarbiah dan dakwah yang allah takwimkan untuk kita.

Acuan Allah maha hebat, siapakah yang mampu menandingi kehebatan perencanaan allah.

Allah mensyariatkan aidil Adha ini dengan segala macam hikmah dan kelebihannya. Marilah sama2 kita cuba mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Apa yang saya coretkan disini adalah merupakan perkara asas yang semua orang tahu, namun ianya ditulis untuk memberi peringatan kepada kita…

tidak semua benda yang kita tahu kita amalkan, dan tidak semua benda yang kita tahu kita laksanakan dengan sebaik mungkin.

Sahabat….

Hadirnya aidli adha ini sebagai program rabbani.

Siapa yang sambil lewa dalam menyertainya dan mendapat ibrahnya maka … kita pasti boleh berfikir apakah pula kesannya kepada kita..

Oleh itu, hayatilah syiar agama ini kerana ia akan membawakan kita kepada kecintaan tulen kepada allah… yakinilah janji tuhan ini :

Demikianlah dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati .

Antara perkara asas yang kita tahu tapi sentiasa diabaikan ialah :

1. Takbir hari raya .

Ianya merupakan syiar kemenangan dan syair tauhid ummat ini ketika membesar dan mengagungkan allah. Ianya mempunyai kesan kepada hati yang cukup besar jika dihayati dan diucapkan tulus mengharapkan keredhaannya.
Hari ini, takbir dianggap siulan budak2 yang kemaruk raya, mereka yang bersungguh bertakbir akan dianggap golongan tiga suku macam tak pernah raya, semakin lama usia seseorang menjadikannya semakin biasa dan sudah idak teruja dengan takbir lagi.

Takbir… merupakan ucapan mengagungkan allah .. ia juga ucapan baiah ummat ini untuk berdiri teguh bersama panji ilahi, tidak gentar dan tidak takut pada setiap yang mendatang, kerana mana ada lagi kekuasaan yang mampu menandingi Zat maha esa ini.

Takbir datang dalam pakej hokum sunat muakkad yang amat dituntut untuk dilaksanakan oleh kita, ianya boleh dilaungkan keras diseluruh pelusuk bumi atau di gemakan bisu didalam hati bagi merasai kekuasaan ilahi.

Sekiranya di aidil fitri, takbir hanya disyariatkan semalam raya dan sebelum solat raya sahaja, akan tetapi takbir aidil adha ini mengiringi setiap slot program bermula dari malam raya hinggalah kehari ketiga tasyrik. Betapa allah membesarkan program korban ini untuk menyemai sifat ini kedalam sanubari ummat.

2. Mandi sunat, memilih pakaian terbersih dan memakai wangian harum.

Hari raya adalah hari gembira, kerana itu janganlah iringi hari raya ini dengahn takbir sayu dan lagu sendu. Ia hari ceria untuk ummat ini sentiasa optimis dan berfikiran positif setiapa masa.

Memilih kecantikan dan kebersihan memang menjadi tuntutan utama islam. Kerana itulah islam meletakkan taraf ibadat bagi mereka yang menyucikan pakaian bahkan fizikal mereka setiap masa, sedangkan jika difikir logic … pakaian dan haruman adalah adat manusia.

Allah lebih ingin mengajar manusia dalam program korban ini untuk mengormati agama allah, ianya bermula dengan menghormati diri sendiri.

Memilih kebersihan fizikal adalah penting untuk kita membiasakan diri menuju kepada kebersihan hati dan jiwa… Ianya juga mengajar kita menghormati awam dan tidak menyakiti mereka dengan sesuatu yang tidak enak dan menyenangkan mereka. Bukankah prinsip islam itu ialah tidak menyakiti….

Lalu saya tinggalkan persoalan ini kepada mereka yang masih mahu memilih keselekehan, kekotoran, kebusukan dalam hidup mereka.

Sebagai permulaannya … cuba tanyakan diri kita, sanggupkah kita menyakiti saudara kita dengan bau badan dan ketiak kita, dan juga sanggupkah kita melihat mereka terseksa hidung dan paru-paru dengan bau mulut dan asap kita. Fikirkanlah……

3. Melaksanakan korban.

Ianya segmen praktikal dakwah dan perlaksannya. Bukannya sekadar ucapan dari lidah tidak bertulang, tetapi ianya tenaga dan harta yang perlu dilaksanakan dengan kudrat tulang empat kerat.

Biarkan perasaan korban ini melekat didalam hati, mencontohi ikon keluarga soleh kerasulan ibrahim dan ismaail menunujkan teladan… kita perlu berkorban atas nama agama dan kita harus menjadikan diri kita gadaian untuk mencapai kasih sayang allah.

Pengorbanan yang meresap ini harusnya dihayati bukan sekadar melihat lembu kerbau ditumbangkan, atau sesenang mengeluarkan wang bagi mereka yang berada atau duduk sama melapah dan menyiat korban sambil melayan pelbagai cerita.

Tidak…. Pengorbanan ini harus subur dalam diri, menjalar kesluruh urat nadi, merasai detik dan denyut masyarakat islam, yang tertindas dan dizalimi, yang miskin dan tidak berupaya. Jadikan korban kita bermanfaat buat semua dan biarkan ianya memberi lebih manfaat kepada kita dan masyarakat.

4. solat hari raya dan mendengar khutbah.

Ramai yang menjadikan solat hari raya sebagai sesuatu yang fardhu dan lazim dilakukan sedangkan solat fardhu yang menjadi tuntutan hilang berterbangan entah kemana. Ramai yang masih suka menunjuk muka dihari raya sedangkan di masa jumaat dan rutin berjemaah tidak kelihatan.

Sedih saya bila terkenangkan kisah silam ketika dipanggil membaca tahlil dan doa selamat disebuah rumah pelajar saya, memenuhi jemputan adalah wajib apatah lagi bila ianya permohonan untuk tidak dihampakan , apatah lagi dengan tubuh yang agak tidak segar ekoran keletihan menjadikan saya lebih perasa hari itu, bila ditanya kiblat lintang pukang mereka tergamam hingga terpaksa menanya jiran sebelah menyebelah.

Lalu diwaktu solat pula, ramai tetamu yang mengambil sikap ada kerja nak dibuat, buat-buat ambil barang dan sengaja melarikan diri dari tuntutan kewajipan allah ini. Bagi mereka buat doa selamat ….. akan menyelamatkan mereka dari tohmahan mulut manusia dan juga murka allah barangkali……..

Seterusnya …dengarlah kuihtbah dengan jiwa yang tenang dan ingin mengambil pengajaran, memang Islam ini agama allah sejak azli lagi, Ianya berbentuk peringatan dan akan datang secara berulang-ulang.

Justeru para pendakwah harus bijak mengemudi kata2 dan membawa penedekatan agar ianya tidak membawa KEJEMUAN kepada pendengar.

Apapun hidayah milik allah, allah akan serapkan kesanubari yang ia pilih bersih dari kemurkaannya.

Selamat Hari Raya Aidil Adha

dari sahabatmu Ustaz Hafizullah sekeluarga.

Tuesday, November 24, 2009

Salam Perjuangan Menempuh SPM untuk semua Srikandi SMP

Hari ini merupakan hari ke 5 peperiksaan SPM dilangsungkan meriah, dengan gelagat dan ragam manusia pelbagai, terus mewarnai kalender November ini kepada pelajar tingkatan 5 saban tahun.

Dan tidak ketinggalan sekolah saya SMP.

Ralat….. itulah rasa hati ini bila terpanggil menulis entry ini, sudah berlangsung beberapa detik waktu, namun ucapan keramat dan salam perjuangan baru saya mampu utarakan disini… terasa hambatan masa dan kegawatan waktu terus melingkari kehidupan ini..

Masih tekejut dan teruja dengan berita perpindahan, bersambung dengan pelbagai amanah yang harus dilangsaikan segera.. Ucapan ini hadirnya lewat, walau saya tahu ramai anak2 srikandi yang sudah menjangkanya, dan memaafkannya, namun saya rasa ia masih perlu dan relevan untuk diucapkan, apatah lagi dari seorang guru pembimbing mereka, khususnya warga BALKIS yang banyak diperah keringat dan masa mereka demi merealisasi rencana agama ini dihayati ummah.

Amanah Bekal Perjuangan

Amanat perjuangan ini sudah saya lama saya bekal dan selitkan, khususnya untuk kita memahami ert kehidupan… Hidup tanpa ujian tiada kemuliaan, makanan tanpa masam manisnya tiada keenakan, dunia tanpa hitam putihnya akan sirnalah keanggunannya.

Tahniah dan teruskanlah wahai anak2 srikandi SMP, teruskan munajat dan doa pagi diselitkan bacaan Yasin diawalnya, mohonlah restu setiap awal pagi untuk membangkit rasa optimis, ceria mahupun pergantungan tawakal kepada yang maha kuasa.

Sekiranya allah menulis kejayaan untuk kita, siapakah lagi yang mampu menahannya.

Realiti Kejayaan

Istiqamahlah dalam meminta dan mengharap, suatu hari allah akan memperkenankannya. Biasanya Allah menulis natijah sesuatu perkara berdasarkan sebabnya. Kejayaan itu datang dari usaha dan ingatlah …. Tuhan akan berikan kejayaan untuk kita setimpal dengan usahanya..

Pepatah inggeris mengatakan “Rom tidak dibina dalam masa sehari”bermakna keunggulan dan kecemerlangan perlu dijana dan dipupuk usahanya sejak dari awal lagi, ianya tidak akan datang menggolek mahupun melayang… tapi ianya memerlukan komitmen usaha, keazaman tekad dan ketulusan harap pada allah yang berkuasa.

Akhirnya , salam perjuangan untuk semua , moga allah berikan kejayaan.. doa dari seorang guru jauh diperantauan…..

1. Syaza Syafeeqah Mohd Kasnan.
2. Khalilah Sapawi
3. Wan Nor Fatini Wan Anor
4. Dg Norlisa
5. Farah Atiqah Ali Rahman
6. Kasmia Marandan
7. Munawwarah Jamaludin
8. Aslinda Asrul
9. Aslinda Ampin
10. Siti Rizna Mohd Yunos
11. Sania Fung Sai Yuk
12. Isna Zakiah Fajrin Mustapha
13. Nor Aziemah ibrahim
14. Siti Hazirah Abd Rait
15. Syahirah Mohd Nazri
16. Norliyana nawawi
17. Ria Restiyani
18. Marlyzatul Farhain
19. Nurazlin Zulpata
20. Citi Manisa
21. NurAfiqah Ahmad
22. NurFariza Azhbi
23. NurHafizah Mustapa

Dan semua pelajar SMP kelas 5 Berlian, 5 Zamrud dan 5 Nilam.

Jejak Kasih Bersama Sang Gajah

Berseminya sebuah kasih

Rindu …. Itulah perkataan keramat yang hadir halus di deria perasaan bila terpaksa meninggalkan makhluk peliharaan kesayangan ini keseorangan nun jauh di desa Alor Setar, Kedah.

Melihatnya satu ketika dulu, bergelumang selut Lumpur di bendang sawah, bermandi lopak air dari terusan warisan negeri Wan Mat Saman dan menunggangnya menjajah tanah jelapang padi ini satu pengalaman yang begitu mengujakan.

Hakikat perpisahan

Perpisahan adalah mainan hidup, ia mungkin satu kekejaman namun ianya perlu untuk melatih kematangan diri, dan lebih menyedihkan jika keputusan untuk berpisah ini terletak di tangan manusia yang tidak mengerti dan memahami.

Maka terpisahlah 2 jiwa yang saling mengerti, dalam gelita masa depan yang tiada berpenghujung, entah bilakan dapat bersua kembali, yang tinggal hanya harapan , pergantungan pada yang maha menentukan, hanya takdir yang mampu menceriakan.

Perancangan takkan boleh mengubah takdir, rencana hanya menjadi berita , harapan hanya tinggal kenangan, keputusan untuk berpindah sesukar menangkap unicorn bertanduk satu, dengan kepantasan menggila dan misteri yang menyelubunginya… setahun hanya sekali, harapan menggunung akhirnya dihancur badai sesaat.

Tapi kali ini, bila khabar gembira berstatus surat confirm erat dalam genggaman, terbayang wajah comel penuh pengharapan dari sang gajah dalam kerinduan, makhluk yang tidak berdosa menghadapi perpisahan, yang tidak mengerti erti tugasan dan perkhidmatan, yang hanya tahu melihat dan memandang , dengan dua mata sayu bergenang air.

Jejak Kasih Bersatu

Tanggal 23 November, kasih lama kembali berjejak, sayang akan kembali bersambung, rindu terus terpatri noktah.

Dalam renyai hujan menyambut ketibaan saya, melilau mata ini mencari kelibatnya, dan tatkala mata ini memandang sang gajah ini, ia masih setia dalam gelap warnanya, tegap dan sasa tubuhnya, mengedipkan matanya, lalu mengibas air yang jatuh dimukanya….

Turun saya dari lantai gergasi airport Alor Setar, terpandang dia sedang akur menunggu kerimasan, Lantas saya segera menyapanya, “DBJ… apa khabar ??, lama menunggu” nama timangan manjanya saya sapa penuh kegirangan, tersentak dia dari lamunan lalu dengan senyum ceria dia memandang dan lantas menyahut dengan bunyi istimewanya….

“Hoooooooonnnn … Hooooon……… Hooooonn” dan saya memahaminya sebagai tanda gembira menyambut kepulangan tuan dan teman lamanya ini.

Itulah DBJ saya, makhluk peliharaan kesayangan saya yang sekian lama ditinggalkan…. Bersusuk bagai gajah hitam di rimba, dengan kekuatan 2.0 cc dijalanraya, dia adalah gajah saya. Pengangkutan saya di bumi semenanjung ini.

Tatapilah Innova 2.0e keluaran 2008 ini , teman saya dalam perjalanan….

Insya allah, kita tidak akan berpisah lagi, Janji…..!!! azam saya dalam hati. Dan janji... gunamu untuk jalan allah. Moga Allah merestui.



Sunday, November 22, 2009

Terima Kasih atas Segalanya

Perpisahan dan Pertemuan – Sana Sini

Alhamdulillah, walau berita kepulangan kami sekeluarga dihebah lewat dari lumrahnya, walau masa begitu cemburu pada detiknya, walau timbunan tugas yang belum diselesaikan masih banyak berbaki resah, walau teman lain juga penuh dengan tuntutan waktu dan perancangan cuti pulang, majlis untuk meluahkan rasa kebersamaan dan penghargaan masih sempat dilaksanakan.

Terasa terharu, teruja dan dihargai.

Begitu lama masa 9 tahun berlalu, membawa pelbagai ragam peristiwa, nostalgia pahit manis, ibrah hitam putih kehidupan, bebanan amanah jalan dakwah, namun terasa singkatnya masa menjalin ukhuwwah bila waktunya sudah tiba… seakan tidak mahu berpisah.

Terima kasih buat semua diatas sambutan, majlis, ziarah dan pertemuan yang diaturkan bagi meraikan seorang musafir tidak bernama ini pulang ke halaman.

Maafkan andai diri dan keluarga ini sememangnya banyak menyusahkan, banyak karenah dan halnya , banyak mengundang benci dan amarah, banyak menyinggung perasaan, banyak bertikam lidah, banyak menganyam fitnah dan banyak keburukan lagi.

Pohon Kemaafan dengan sepuluh jari, setulus hati

Akhirnya…. Maafkanlah kami sekeluarga, tidak kira siapa, mungkin pentadbir tegas berpendirian, teman sejawat disekolah, sahabat dakwah seperjuangan, tentera merah menjaga parking, rakan sepermainan ditaman perumahan, jiran taman yakim jaya seperumahan, warga surau dan flat persekutuan, kenalan dijalanan dan restoran, guru pada anak2 di sekolah, pelajar2 dan ahli balkis yang dahagakan ilmu pengetahuan dan bimbingan, asrama2 teknik dan likas yang berdekatan, ustaz2 lama di pengajian oum nya, anak didik tafsir di kampung e ums, pelajar iqra’dan quran setiap malam dirumah, audiens diskusi politeknik dipusat islam, bebudak BAT di SMKA Inanam, serta warga jumaat dimasjid yang dipijak mimbarnya.

Terima kasih dan salam dakwah perjuangan.


Majlis Perpisahan anjuran Panitia Pendidikan Islam dan kelab guru SMK P Likas






Perpisahan bersama rakan dan pentadbir SMK Likas





Perpisahan dengan anak2 5 Berlian dan Ajk Balkis 2009

Terbangnya Camar Pulang Ke Sarang



izinkan camar pulang ke sarang


Ibrah Al Asr

Terngiang bacaan surah al Asr diminda saya saat ini. Pesanan tuhan buat umat bertuah ini. Demi Masa, semua manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, sambil berpesan kearah kebenaran dengan penuh kesabaran.

Surah yang pernah disentuh Imam Syafei dalam mutiara katanya , kalaulah allah tidak menurunkan alquran kecuali pesanan ini untuk peringatan umat manusia, nescaya sudah mencukupi untuk memotivasikan umat ini.

Inilah motivasi kita untuk terus menjalani kehidupan sebagai seorang peniaga yang berjaya, memanfaatkan setiap ruang dan peluang untuk mencari keuntungan hidup abadi, sentiasa ingin maju dan berani menghadapi risiko dan cabaran ini, hebatnya anologi perumpamaan rabbani mengasak pemikiran kita hari ini.

Dewasa kini, umat leka mencari kesenangan dan keuntungan dunia sambil mengabaikan akhirat, lebih seronok mencongak harta dari menghimpun pahala, bebas bergosip fitnah dari berpesan kebenaran dan lebih senang mencari mereka yang panas membuli di jalanan dari yang sabar mematuhi undang2.

Inilah ciri manusia beriman yang akan sentiasa diselimuti keuntungan dan kekayaan dunia dan akhirat, indahkan….? Bukan kah begitu…

Wal Asr dan Perahan Masa

Namun saya temui pesanan berbeza buat umat dipentas permusafiran, Wal Asr datangnya dari perkataan Asiir (dgn shod) yang bermakna jus atau perahan minuman, lalu dihimpun maknanya Demi perahan masa yang diperuntukkan kepada manusia, semuanya memilih kerugian, kecuali mereka yang mengisi ruang hidup ini dengan iman, amal, dakwah dan akhlak kesabaran yang mulia.

Perahan masa ini bergantung kepada tempoh yang tertentu. Apakah perahan masa remaja kita ? Apa pula hasil perahan masa kita ketika sedang menuntut di menara gading ? apa pula hasil masa kita diusia muda, begitu juga diusia tua, berbaloikah umur kita ?? Persoalan yang bergantung kepada memanfaatkan masa kita.

Teringat juga kata2 Ust Hilmi Ilyas, naqib Usrah sepanggar yang terdahulu melontar persepsi baru, hidup umpama botol….. manusia akan dinilai berdasarkan botol kehidupannya.

Manusia dan Botol kehidupan

Bagaimanakah manusia menyempurnakan hidup ini bermakna ia sedang mengisi sesuatu kedalam botol kehidupannya yang akan dikembalikan ke alam akhirat.

Sekiranya ia baik dan bermanfaat seumpama dia sedang mengisi cairan emas kedalam botolnya, dan pasti tinggi nilaian harganya, siapa pula yang membawa botol berisi wangian Bodyshop juga meraih untung dan laba besar bonus kepada bauannya yang harum, namun mungkin juga ada yang hanya membawa sebotol kicap, atau sebotol
Air mineral biasa atau sebotol air longkang yang berbau busuk.

Tafakur Muhasabah merenung diri

Ketika sang camar mula mahu membuka sayapnya, ingin membelah lautan angkasa, mengharung tiupan badai, untuk terbang kembali ke sarangnya… Saya tertanya dalam diri, apakah hasil perahan masa saya di Sabah ini. ??

Istighfar saya didalam hati… banyak yang kurang dalam amalan, banyak masa yang dibazirkan, banyak dakwah yang dipinggirkan, banyak mad’u yang belum berjumpa jalan pulang, banyak tempat yang belum disinggah dahi sujud, dan seribu lagi kekurangan yang datang ketika minda mencongak nilai masa.

Oh..tuhan, ampunlah hamba kerdilmu ini, ampuni dosa dan kelalaian ku, ampun jua kesilapan dan kesalahan ini, ampunlah segala dosa dan keburukan akhlakku, ya allah, jangan lah engkau hokum aku kerana kebodohan ku, jangan lah engkau benci aku … jangan engkau campakkan aku kenerakamu kerana kekurangan amal dakwahku ini.

Ampunkan aku… andai aku lebih banyak bermain dari menabur bakti, ampunkan aku kalau aku lebih banyak bercerita dari berceramah, ampunkan aku kalau aku lebih lama mengulit anak dari membelai lesu ummah yang rindukan agama, ampunkan aku jika aku lebih banyak solat dirumah dari sujud di merata rumahmu, ampunkan aku jika aku lebih banyak menghimpun harta dari menginfakkan harta dijalanmu, ampunkan aku jika aku lebih banyak terkorban dari berkorban…..

Ya allah, balutlah dukaku ini dengan maghfirahmu, damaikanlah resahku dengan redhamu, basuhlah amalanku dengan rahmatmu, dan kuatkanlah jiwaku dengan inayahmu.

Moga2 kau himpunkan aku ditempat orang2 yang soleh.

Dalam sepi aku masih tertanya-tanya ? apakah warna botolku itu ? apakah isinya ?