Wednesday, March 31, 2010

Khatam Quraan



Hening malam dilimpah suram cahaya, angin semilir berlalu perlahan. Nafas malam ditarik lembut dan perlahan setenang lena tidur penghuninya.

Terjaga Comot si teddy bear dari lenanya, menguap dan menggeliat sedikit .. kemalasan, Bingkas dia bangun dari pembaringannya, kotak kayu mainan berunsur rotan itu agak padat berisi puluhan mainan rosak yang lain, ada kereta yang tercabut rodanya, ada spiderman yang terkoyak kangkang seluarnya. Berselerak kekabu keluar dari celahannya.

Dengan susah payah dia memanjat turun dari kotak itu, tangannya yang tidak berjari menyukarkan pegangannya. Menggelungsur dia turun dari kotak kayu permainan itu dengan diam dan penuh berhati2.

Aah … segar sikit udara disini, dah lama aku terperap didalam kotak itu, sambil dia cuba menghidu2 bau hamis dibajunya. Dah lama aku tak mandi, baju dan seluar pendek ini berbau peluh, mungkin kesan pelukan dan tumpahan air anak majikanku ini. Seingatku, hanya sekali aku pernah dimandikan, dalam baldi biru aku disabun dan dibersihkan. Wow, tika itu tak sangka pula aku masih hensem dan menawan. Hahaha, riangnya hatiku perasan.



Ha ! Berangan ya ? …. Tiba2 satu suara halus menegurnya.

Opocot !! Terkejut aku, apalah kau ni Miaw, lain kali bagilah salam dulu. Ni, terus sergah, kau ni Islam ke apa ?

Ketawa Miaw melihat telatah teddy bear putih itu, dialah kawan yang paling rapat dengannya, hadiah dari Mak Long Faizah untuk anis anak majikannku. Kalau dulu, Miaw hanya berseorangan, dia hadir ketika anas masih kecil, hadiah ulang tahun kelahiran keduanya, diambil diatas para pasaraya Giant di Karamungsing dahulu. Miaw jadi teman baik anas, dan dimana ada anas disitulah Miaw akan mengikut walau pulang ke rumah nenek dikedah sekalipun. Pernah dia merasa naik kapalterbang MAS itu dalam dakapan erat anas yang tak mahu melepaskannya.

Heheehe, saja je nak mengusik, kenapa ? tak boleh tidur ke ? Selalunya kau la yang paling lena tidur, macam si baby elephant Huggies tu, muncung Miaw melirik kepada Huggies yang tidur hanya berlampin, tanpa risau di gigit nyamuk dan dibalut sejuk.

Takpalah dia pakai pampers cantik, TIDUR LENA PAGI SENYUMAN … nyanyi Teddy Bear sambil membetulkan riben biru dikepalanya.



Apa yang ganggu kau tidur malam ni ? Cuaca dah tak panas sangat sekarang, petang tadi hujan dah turun lebat, kau lapar ke ? nak curi makanan kat dapur ya !! serkap Miaw mengacah jenaka.

Takdelah, aku sekadar terhibur melihat senyum tuan kita tadi, aku pasti dia sedang gembira, hatinya berbunga , aku boleh baca dari lirik sepet matanya tu.

Ya, aku pun sama, sejak maghrib tadi aku tengok dia serius mengaji, biasanya dia mengaji 3-4 mukasurat je, kenapa pula, ada kematian ke ?? Tanya Miaw ingin tahu.



Hish, takdelah kesitu pulak kau. Tuan kita dah khatam Quran malam ni, aku tengok sejak januari dia mula membaca albaqarah, dan hari ini dia dah habiskan juz amma, maknanya dalam 3 bulan dia akan khatamkan sekali quran. Bear kecil menjelaskan.

Yalah, aku pun selalu dengar dia mengaji. Dia niat untuk cuba konsisten membaca quran dan khatam 3 bulan sekali. Moga allah membantunya dan berkatkan kita kat dalam rumah ni kan…. Sambung Miaw sambil membetulkan silanya. Misainya yang terputus diusap perlahan.

Beruntunglah siapa yang makan dengan dia esok !! kata Teddy perlahan antara dengar dan tidak.

Kenapa pulak ? Miaw melemparkan pandangan hairan. Biasalah tu,habis membaca Quran kan nikmat tuhan, kalau dengan usaha kita sahaja takkan mampu, tapi dengan izinnya, allah memilih hambanya untuk taat dan bersyukur. Esok, biasalah kalau ustaz tu buat kesyukuran, belanja kawan makan dan sedekah apa yang patut, moga allah kekalkan dan tambahkan lagit. Bear membalas pandangan.

Oh, ya… aku ingat, kalau kat sabah dulu, dia selalu berlumba dengan ustaz norawi kan.
Khatam je quran, terus belanja kawan kesyukuran. War2kan sedikit secara tak sedar dan mengada2, moga yang baik dapat ditiru, yang dibuat jangan sampai mendapat celaka riak. Sambung Miaw nak menunjuk pandai.

Ya lah tu !! cebek Bear sambil kata2nya digangu tangisan kuat Alif kecil, mmm,dah pukul 4 pagi mesti nak minta susu lagi ni. Kejap lagi pasti Mama dia akan bangun.

Cepat2 ! Miaw …. Aku nak masuk tidur balik, esok kita sambung cerita lagi.

Lampu terbuka ….. Miaw dan Teddy bear terus membatukan diri macam patung.

Eh, mereka kan memang patung mainan.

Sunday, March 28, 2010

Kekuatan Subuh



Antara paparan menarik garapan Ustaz Pahruol Mohd Joui dalam genta rasanya. Moga kita merasa getarnya.

Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.



Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.

Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.

Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?

Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??

Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!

Marilah kita renungi dua hadis ini:

1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).

2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan An Nasai’)

Komitmen Subuh

Pagi saya disapa dengan satu persoalan rumit yang perlu diselesaikan segera.

Diajukan seorang guru senior yang begitu prihatin, jujur dan ikhlas memberi pandangan dan menyalurkan penyelesaian. Beliau saya kenali sebagai seorang kakak yang baik hati dan mudah menghulur bantuan. Keramahannya menegur saya dan selalunya beliau menumpang bilik agama saya untuk solat zohor dikala kelas tingkatan enamnya berlanjutan hingga ke jam 3.30 petang menggusarkannya selalu andai tidak sempat bersolat dirumahnya. Jujurnya saya memandangnya mulia dan menyimpan hormat padanya.

Tatkala ustazah kami terpaksa bercuti kerana terkena buatan orang (baca bersalin), beliau kekadang terpilih menjadi ustazah ganti untuk kelas agama yang ditinggalkan. Keprihatinannya membolehkannya menyelami pelbagai masalah agama pelajar yang saya tidak sempat perhalusi. Pemilihannya bagi saya amat bertepatan dan kena pada masanya.
Terima kasih Kak Halina.

“ Rupanya ustaz, ada ramai pelajar kita yang tak bersolat subuh, mereka terpaksa datang awal kesekolah dengan menaiki bas seawal jam 6 dan sampai sebelum jam 7. Mereka tiada tempat untuk solat kerana surau berkunci. Bila saya tanya, mereka jawab hanya qadha dirumah sahaja setiap hari , harap ustaz dapat bantu mereka.” Ujarnya sewaktu kami terserempak dikantin sekolah satu hari.

“Kunci surau ada pada saya dan ustazah, saya hanya berada disekolah setiap hari jam 7.20 pagi tak sempat nak membuka surau, kalau diserahkan pada pelajar pun. Saya khuatir ia akan menjadi port ponteng dan lepak pelajar sebelum masuk ke kelas awal pagi. Mungkin ada juga yang masih ingin menyambung baki tidur disekolah, apapun saya cuba fikirkan sesuatu” kata saya sambil tangan sempat mengeluarkan duit membayar harga minuman. Aah, masih berbaki 80 sen,saya terkial menggapai kocek dengan sebelah tangan memegang pinggan sarapan.

Takpalah ustaz, bakinya kak lina bayarkan.

Terima kasih, moga murah rezeki. Doa saya membalas budi.

Separuh pagi minda saya berputar ligat, mencari jangkaan penyelesaian termungkin bagi mengatasi keadaaan, juga menyelidik silang nama sahabat yang mungkin boleh membantu, juga mencari kaedah selamat dan senang untuk dipraktikkan.

Disurau kami, bukan sekadar pintunya bahkan pilinya juga memerlukan kunci dan tombol untuk membukanya. Satu alternative tradisi yang saya warisi untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan salahguna dan pembaziran.

Jam 12 sempat saya menemui beberapa pelajar yang diadu masalahnya, mereka menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat bersolat. Dengan kesal mereka hanya mampu qadha sebagai tanda bersalah dan masih sayangkan taat.

Bingung lagi. Adakah kunci surau ini patut diijazahkan pada seorang pelajar? Atau tombol keramat ini juga disembunyikan diluar surau? Atau saya wasiatkan mereka berwuduk awal dan menjaganya, saya bekali mereka dengan sejadah diluar surau? Entahlah, Penyelesaiannya belum menjengah minda.

Tiba waktu zohor, allah melapangkan kerja dan keputusan saya.

Dengan bantuan ustazah ganti yang baru, beliau sanggup menjadi pembuka surau dan pemerhati dari jam 7 pagi setiap hari. Saya amanahkan beliau untuk memastikan tiada yang mengambil kesempatan tidur dan berbual kosong saban hari. Beliau menyatakan kesanggupannya yang terpuji. Moga hidupmu diberkati Ustazah Siti Atikah.

Usai zohor, saya duduk memberi amanat tergempar. Betapa berdosanya janji allah kita mungkiri. Betapa khianatnya menjadi petualang yang engkar untuk sujud bersyukur. Solat bukannya mainan dan perhiasan, dia adalah jiwa dan uniform islam. Bukanlah islam bagi mereka yang tidak bersolat.



Marilah kita menjadi hamba allah yang bersyukur.

Janji terpatri, azam bersemadi lafaz, moga allah mempermudahkan.

Esok lusanya, saya menziarahi awal ke surau pagi, alhamdulillah …. Bermula dengan 3 orang pelajar, kini sudah sampai belasan pelajar yang mahu datang menunaikan syukur pada allah diawal pagi ini.

Syukur dipanjatkan hanya untuk Allah.

Saturday, March 27, 2010

Cemburu Iman

Menatap setiap huruf dan aksara yang tertera diblog sahabat saya Abu Nuha sekarang ini hanya menimbulkan geram, cemburu dan hasad.

Tulisannya berbau provakasi, jelas menimbulkan rasa tidak selesa di sanubari ini, penceritaannya mengenai rehlah iman dan pengalaman rohani dan amali ditanah suci sentiasa menggamit kejealousan, terasa ketinggalan dan kehilangan kesempatan.

GERAM … kerana saya tidak terpilih untuk turut serta dalam rombongan mulia ini menunaikan umrah dan meneruskan travelog iman mereka, geram juga kerana kesempatan itu timbul semasa kami kali kedua bermesyuarat dalam PUM, persatuan ulama Malaysia cawangan sabah yang berlangsung disurau riadhus solihin kala itu.

Tika itu, kelihatan Al Fadhil Ust Azam sedang sibuk on line tiket Air asia untuk perjalanan membuat umrah, spontan beliau mempromosi pakej umrah bersama2 ini untuk semua AJK yang hadir, moga ia meperkuatkan iman. Hati ini membuak untuk turut bersama namun persimpangan kehidupan memerlukan saya memilih keutamaan untuk menangguhkannya dahulu atas andaian mendapat pertukaran ke semenanjung.



CEMBURU ….
Mereka bertolak dalam perjalanan keimanan dalam mencari keredhaan Allah, meninggalkan sebentar keduniaan semata2 menagih janji dan cinta ar Rahman. Cemburu dengan kejayaan mereka menjadi tetamu Allah di kota mulia dan kota bercahaya itu.

Hasad ….. amarah ini timbul dengan perasaan GHIBTAH, dengki yang dihalalkan agama, dengki atas semangat persaingan dan perlumbaan mencari keredhaan tuhan dan memperbanyakkan amalan. Hasad atas kesempatan mereka berada ditanah suci yang penuh kemuliaan, hasad dengan bacaan quran dan doa mustajab disisi tuhan ar rahim, hasad dengan pengorbanan harta mereka dijalan Allah.

Saya takkan menjadi Aiman, Aiman tak kisah dengan segalanya, saya ingin menjadi pemuja iman, perindu tuhan dan pendamba janji untuk bertemu tuhan suatu hari nanti.
Moga kita menjadi manusia yang saling berlumba untuk menjadi manusia yang kaya ibadah dan ketaatannya, bukannya meletakkan kegilaan hanya pada skim pyramid memburu habuan duniawi semata2.



Alhamdulillah, mereka adalah antara jutawan segera dan manusia suci dosa bila pulang nanti. Moga allah menerima amalan semua para sahabat kita.

Doanya juga semoga Allah menghadirkan pula peluang kita untuk bertamu dirumahnya nanti.

Friday, March 26, 2010

Al Fatihah Untuk Guruku Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad

Pemergian Sheikh Mohd Khalil Bin Sheikh Ahmad. Al Fatihah.

Mendapatkan berita pemergiannya seawal jam 7.00 pagi amat mengejutkan saya, sedikit sebanyak kehilangan insan yang banyak jasanya merencatkan keceriaan hati saya pagi itu.

Namun mesej yang saya terima, saya tatap sayu sambil mendoakan segala yang terbaik buat ustaz khalil yang diingati.

Terdetik hati untuk sama menghantar mesej pemergiaannya kesemua rakan Sabahan dan ex MPI dan yang mengenalinya, moga doa tulus dari sahabat seperjuangan akan mempermudahkan perjalanan rohnya kealam yang lebih abadi.

Dalam kagetan mesej yang baru diterima, tangan saya tiba2 kaku untuk meneruskan niat awal, ingin saya cari kepastian dahulu. Dan apabila mesej2 dari sahabat yang lain sampai ke kotak pengetahuan saya samaada melalui email ataupun mesej handphone, fahamilah saya … al Fadhil Ustaz Khalil telah kembali menemui cinta abadinya.

Al Fadhil Ustaz Sheikh Khalil bukanlah orang yang asing bagi saya yang mengenalinya sebagai guru bahasa arab semasa pengajian KPLI di Maktab Perguruan Islam di Bangi dahulu.

Perawakan yang agak serius dan wajahnya yang garang menyebabkan kami para ustaz muda graduan Jordan ini sedikit kecut,hormat dan kagum, apatah lagi penguasaan bahasa arabnya amat baik walaupun beliau tidak pernah menyambung pelajaran ke timur tengah. Beliaulah antara hasil terbaik Pengajian Arab ditanah melayu versi dahulu.

Namun kehadirannya kekelas antara yang dinantikan, perawakan wajah seriusnya sama sekali berjauhan dengan perwatakan ceria dan jenakannya bila bersua, beliau seperti tidak pernah marah dan tawanya seakan terakam dimemori ini setiap kali kami bersua. Katanya penuh nasihat dalam versi orang lama yang begitu kaya dengan pengalamnnya.

Al Fadhil Ustaz bersama dengan Ustaz Muzni (HEP MPI) tika itulah yang paling digeruni pelajar asrama, dengan jerkah dan tegurannya, para ustaz berdarah muda ini akhirnya patuh dan mendisiplinkan diri pada setiap peraturan terutamanya waktu solat. Dengan sabar beliau berhenti ditepi padang memperingatkan ketibaan maghrib, tika amarah muda masa rancak memburu bola.

Beliau seterusnya ditawarkan jawatan pengetua disekolah agama Sandakan. Selama beberapa tahun beliau mengabdikan diri dan membawa perubahan baru disana.

Hinggalah beliau akhirnya diserap ke jawatan tertinggi pendidikan islam di sabah pada waktu itu sebagai Ketua Sektor SPPIM.

Mungkin jodoh kami panjang dan saya masih sempat lagi untuk terus bersua dan berguru dengannya di Kota Kinabalu, apatah lagi al Fadhil Ustaz ditakdirkan hidup dalam kejiranan saya di Taman Yakim Jaya, Likas. Apatah lagi isterinya Ustazah Zainun dinaikkan pangkat kejawatan HEM disekolah lama saya SMP. Hubungan kami terus berlangsung hormat.

Walaupun sibuk dengan tugasannya disektor pendidikan islam yang terlalu besar fungsi dan aktivitinya, beliau masih sempat menuai ukhuwwah dan bermasyarakat. Beliau sentiasa menjadi rujukan dikalangan kami, dan kewujudannya ditaman kami menjadikannya Insan Terbaik dan Terpilih untuk kami para ustaz dan jiran menjadikkannya sebagai guru mulia pembelah mulut (tahnik) bagi anak2 kami. Anak ketiga saya diTAHNIK oleh beliau dirumah lama saya dahulu dalam majlis yang dihadiri seisi taman.



Meriah dan penuh Barakah, malam itu saya memerhatikan bibirnya dan mengaminkan doa beliau supaya anak2 kami membesar menjadi anak amilin yang soleh dalam islam. Doa yang cukup istimewa diadun dalam ungkapan bahasa arab yang amat menarik, belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.

Dan semasa kami sibuk melaksanakan program korban aidiladha peringkat sekolah, beliaulah yang turun untuk bersama menjadi tukang sembelih dan pengagih utama dagingnya. Kebersamaannya bersama kami tidak ternilai.





Akhirnya beliau berpindah ke Putrajaya menjawat jawatan baru, seingat saya sebagai ketua dibahagian dakwah.

Dan disanalah hubungan kami terpisah lama, hinggalah hari ini, berita kehilangannya menyambung semula hubungan ini, namun dalam ertikata doa dan ingatan seorang mukmin kepada saudaranya.

Wednesday, March 24, 2010

Tahbibul Lughah SMKAM

Pada hari rabu 2 minggu yang lalu, saya dijemput sebagai panel motivasi bagi program Tahbibul lughah Arabiah bagi SMK Abdullah Munshi, Jalan P.Ramlee, Pulau Pinang.

Bermula jam 2-3 petang, program tersebut mengumpulkan keseluruhan pelajar kelas Bestari tingkatan satu hingga tiga berjumlah 60 orang yang juga merupakan pelajar kelas aliran agama di sekolah elit tersebut.

Kedatangan pelajar dalam jumlah yang agak besar dan berbeza tahap pendedahan bahasa arab ini sedikit menyukarkan titik fokus saya, kepelbagaian mereka memeriahkan dan menguji apatah lagi diwaktu matahari tegak dikepala yang hanya terfikirkan bantal disorong memang selalunya akan mencabar keupayaan kreativiti saya memberi penyampaian terbaik.

Pendedahan maklumat awal saya dapati sekolah ini sudah lama menubuhkan sebuah kelas bahasa arab disetiap tingkatan bagi memenuhi taraf sebuah sekolah bestari, apatah lagi dengan kedatangan pelajar yang dianggap bijak apabila diterima masuk kesolah ini,kebiasaannya mendapat tapisan akademik yang agak tinggi, mungkin minima 3A sahaja yang layak merasa nilai pendidikan kelas atasan ini.

Pelajar kelas agama pula dipilih sendiri oleh jabatan dan diletakkan didalam sebuah kelas yang sama berdasarkan krtiteria tertentu.

Alhamdulillah, ianya berjaya di kekalkan konsisten sehinggalah kehari ini bahkan sekolah ini juga memilih specialist “subjek bahasa arab antarabangsa”sebagai subjek pilihannya sebagai sebuah sekolah bestari berbanding sekolah lain yang memilih bahasa jepun atau perancis.

Namun ajaibnya gabungan pelajar elit, sekolah bestari, infranstruktur tahap sempurna dan pentadbiran berprestasi tinggi kelihatan tidak berjaya mencapai kecemerlangan dibidang bahasa arab. Sejarah mereka mencatatkan keputusan tidak memberansangkan untuk subjek ini sejak dahulu bahkan sering dikambing hitamkan apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan. Satu kenyataan pahit yang perlu ditelan.

Teringat selalu saya pada teratak sekolah lama yang saya tinggalkan, tiada kumpulan pelajar tapisan elit, tiada elemen infranstruktur, yang ada jauh dari sempurna, mungkin yang ada hanyalah sebutir aircond sebagai pembakar motivasi dan kelainan, itu sahaja.

Namun pencapaian pelajar pernah dibanggakan antara terbaik setanding sekolah agama.



Bila ditanya guru berkenaan tentang cara memperbaiki pencapaian. Saya kaget dan kehairanan, bagi saya … sekolah ini sudah mempunyai prasyarat asas untuk kecemerlangan bahasa arab. Tapi kenapa kegemilangan seakan diserkap muram prestasi, mungkin pelajarnya belum cukup digilap dan gurunya belum cekap memberusnya lengkap.

Pengalaman sedikit saya pertaruhkan, saya huraikan prasyarat perubahan drastic pencapaian bahasa arab ini perlu diletakkan diatas landasan konkrit sewajarnya. Asas yang utuh inilah akan mempastikan konsistensi pencapaian pelajar pada peringkat seterusnya, tahun demi tahun… insya allah.

1) Asas minat dan mencintai bahasa arab.
2) Motivasi berterusan kearah penguasaan bahasa.
3) Pengetahuan dan kemahiran asas yang lengkap seperti penulisan jawi dan kemahiran membaca alquran.
4) Kebiasaan amalan menghafal yang sentiasa perlu diterapkan kepada pelajar bahasa ini.
5) Kreativiti pengajaran menyeronokkan dan berkesan.
6) Teknik dan kemahiran menjawab yang harus dikuasai pelajar dan terlebbih dahulu guru yang mengajar.
7) Meletakkan dorongan pengiktirafan langsung dan tidak langsung : melalui kelas bahasa arab yang perlu dinaikkan taraf dan tahap keelitannya sesuai dengan pengorbanan banyak subjek pelajarnya.
8) Program peransang luaran seperti kem bahasa arab, perkemahan dan aktiviti lainnya.

Atas asas inilah saya berdepan dengan pelajar dihari itu, meletakkan konkrit azam dan sisi pandang berbeza pada kemuliaan dan kelebihan menguasai bahasa quran ini

Mungkin kapasiti saya sebagai mantan jurulatih bahasa arab dinegeri sabah, ianya banyak membantu memberi nilai tambah dan cara berfikir baru untuk mendekati pelajar ini, juga mungkin sedikit eklebihan berbahasa saya yang dapat saya tagih untuk mereka lebih melihat bahasa syurga ini dalam dimensi dan skop berbeza.

Sejam berlalu ceria dengan pelajar memberi reaksi baik, teruja dan supporting berpartisipasi sepanjang program sehinggalah kehadiran kertas memo dari pengerusinya , MAAF 10 MINIT LAGI USTAZ, JAM 3 PELAJAR TERPAKSA BALIK KE ASRAMA, BAS SUDAH MENUNGGU.

Keceriaan terhenti, namun ianya langkah pertama kearah peningkatan motivasi dan prestasi bahasa rasulullah ini.

Saya telah menyampaikan….. Moga allah yang memberkati.

Tuesday, March 23, 2010

PEJABATKU MIHRAB IBADATKU (2)

3) Bersedekahlah walau sekadar senyuman, bersedekahlah dengan memperuntukkan diri melaksanakan pelbagai benda baik untuk manusiawi. Insya allah, kasih sayang allah sentiasa hadir bersama kasih sayang manusia.
Rasul pernah bersabda : Sayangilah mereka yang berada dibumi nescaya kamu akan disayangi DIA yang berada dilangit.

4) Solat dhuha dan doakan kebaikan.

Ruang waktu seharian kekadang sibuk dan tiada celahan masa senggang antaranya, mana mungkin sempat masa kita mencuri detik untuk sesaat berdoa dan bersolat.

Solat Dhuha dikategorikan sebagai solat pengikat amalan, ketaatan dan pemangkin rezeki. Jika ianya diamalkan selalu, nama kita kian termasuk dalam senarai penerima rezeki yang dipegang oleh Tuan Empunyanya.

Bahkan disiplin dan pengorbanan seorang hamba yang sanggup mencelah diri meladeni solat dan doa ini akan diketahui dan dihargai tuhannya. Bagaimana mungkin seseorang yang sanggup untuk menjual masa kantinnya berbual kosong dan makan tidak berhenti semata2 mencari keredhaan tuhan tidak diberi perhatian istimewa tuhan. Bahkan sebaliknya, mereka ini yang pandai dan profesioanal bertugas, mengagihkan masa sesuai dan sewajarnya, datang ke kantin untuk menjamu selera menguatkan tulang empat kerat untuk menyambung baki sisa kudrat yang terhimpun disamping tidak pernah lupa pada tuhan pengurnia nikmat dan kudrat. Berterima kasihlah.

Cuma sedikit pesanan perlu diberi untuk emnjamin imej islam tetap mulia dipandang zaman, gunakanlah kewarasan akal dan kreativiti bagi mencaeri sinar hidayah, mereka yang ikhlas dan tulus beribadah tidak akan mencari alasan BERSOLAT DHUHA untuk ponteng tugas dan menidakkan produktiviti. Jangan kerana mencari SUNAT Dhuha kita meninggalkan KEWAJIPAN tugas.

Dan yang harus diingat semua, mereka yang bersolat dhuha ini adalah golongan pemburu kecemerlangan. Ajaibnya jika golongan ini akhirnya kelihatan terjelepuk ditikar sejadah sambil dengkuran kuatnya jelas mengatasi doanya.

5) Bercakaplah dengan segala pengetahuan dan perkataan yang baik, mulakanlah dengan salam dan bertanya khabar.

Kata2 yang baik umpama akar yang meresap didalam tanah mencari sumber air keredhaan allah yang akhirnya menguatkan hati dan perasaan ukhuwwah.

Semoga kita mampu melaksanakannya. Moga momentum kebaikan dan ibadah yang kita jana diperdu mihrab pejabat ini mampu memberi sinar hidayah kecemerlangan untuk diri dan organisasi.