Sunday, September 26, 2010

Muhasabah Ramadhan Lalu

Lagi puisi dari curahan emosi ilmu Ustaz Pahroul Juoi

MUHASABAH RAMADAN

Hari Raya Hari Kemenangan
Hari Kesyukuran Dilimpahi Kemuliaan
Di Lipatan Seni Mehnah
Ada Maksud Murni Yang Lebih Hakiki

Pada Nafsu Yang Dilentur Lapar Dahaga
Pada fikiran Disinar Wahyu dan Sabda
Pada Hati Bersih Di Solat Tarawih
Apakah Semuanya Telah Dimiliki

Puasa Mengajar Erti Ketabahan
Menghadap Ujian Berlandaskan Iman
Puasa Perisai Yang Sangat Maknawi
Penyinkap Hijab Antara Hamba Dengan Illahi

Puasa Sempurna Menahan Rohani dan Rasa
Puasa Sederhana Menahan Indera dan Juga Anggota
Puasa Biasa Hanya Melawan Lapar dan Dahaga
Lalu Di Manakah Puasa Kita
Adakah Masih Di Tahap Lama

Lalu Muhasabah Di Hujung Ramadhan
Sudahkah Terbangun Jiwa Teguh Dankukuh
Atau Kolam Jiwa Masih Tercemar Keruh
Bersembilu Dosa Duri Angkara

Ketika Bertahmid
Bertakbir
Bertasbih
Terasakah Ita Hamba Illahi
Yang Hanya Mampu Mengukir Tadbir
Sedangkan Padanya Segala Takdir



PELUANG SAMA NATIJAH BERBEZA

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa diawal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah Nur al-Quran
Tapi malam kami muram bertemu dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

MAHAR CINTA SYAWAL



Cetusan Puisi Indah Dari Blog Genta Rasa, Ustaz Pahroul Mohd Joui

MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

PERISA HATI DI AIDIL FITRI

Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
Dalam resepi warisan sejak dahulukala

Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
Melahirkan citarasa yang serasi dan harmoni

Begitulah kiasan di Hari Raya
Hari mempertemukan semua yang berbeza
Segala bangsa, budaya dan agama
Buat menjalinkan kesatuan rasa

Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di Aidil Fitri kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan

Inilah menu hakiki…
Inilah persaudaraan sejati…
Perisa hati di Aidil Fitri!

Monday, September 20, 2010

Kepimpinan BAKTI baru

Sekalung tahniah buat kepimpinan baru BAKTI.


Usiamu belumpun cukup setahun jagung.

Imejmu masih comot berhingus.

Latahmu masih bercanda senda dan tawa. Seriusmu hilang dibalik keletahmu.

Namun ia membahagiakan.

Qiammu pun belum utuh stabilnya, langkah tatihmu masih tersungkur jatuh dan bangun.

Suaramu masih belum bergema, tersekat antara anak gigi yang baru hendak tumbuh.

Namun dibalik halus jejarimu, dan redup matamu …. Menyinar rona aktif sahsiahmu.

Engkau bisa bangkit dari jatuh, bisa ceria dari kegagalan, bisa tersenyum dari kesilapan, bisa bingkas dari keletihan… Akar semangatmu biar kental berombak semangat ingin menerima dan memberi. Menimba ilmu dan bersedia dididik setiap waktu disamping tahan ujian dan suka menghulur tangan bantuan dan manfaat untuk semua.

Inilah wajah BAKTI yang baru.

Watak anak merdeka yang sedia berjuang dan terkorban.

Demi agama.

Biar pahit ujian didunia, namun yakinlah janji allah, sesungguhnya syurga itu manis….. sebagai maharnya.

Ahli jawatankuasa BAKTI 2010

Bil Nama calon Tingkatan
1 HARITH MURAD A.K.A BOB 3C (Pengerusi)
2 ADLI 3G
3 AFIFUDDIN NOR AZAM 4A1
4 MURSHID ABU HASAN 4A2
5 AHMAD FADHIL 4A3
6 ZUL AZRI 3L
7 HILMI HUSAINI 4A3
8 SYED HUSAINI 3C
9 ZULHAMIZAN 2J
10 HAZIQ HAZWAN ZULKIFLI 2F
11 AMIR SAIFULLAH IDRIS 4S3
12 MUHD NAIM B MOHD NIZAM 4S1
13 M. DANIEL AZRAI 4A2
14 SYAHRAIN 4A2
15 HARIS HASAN 3L
16 WAN AZRI 3J
17 SYAMIR 3C
18 MUIZ 2M
19 SABIQUL BUKHARI 2J
20 SYAZWAN 3M

Cuba teka yang mana satu BOB ???



Yang mana satu ya ???

MESYUARAT AGUNG BAKTI

Seawal Ogos, sesi mesyuarat agung untuk setiap persatuan dan kelab berjalan lancar mengikut tradisinya di sekolah ini, ianya bagi memberi ruang kerehatan kepada para pimpinan lama yang kebanyakannya berada di tingkatan 5 dan 6 untuk lebih memberi fokus pada peperiksaan klimaks mereka.

Objektif keduanya juga membuka peluang kepada garapan kepimpinan baru yang lebih bertenaga dan berwawasan untuk berperanan dalam mengembangkan sayap organisasi agar dapat memberi manfaat selebar yang terjangkau.

Mungkin organisasi yang baru dilantik dipertengahan tahun mampu untuk melihat dan menjangkau agenda dan aktiviti baru yang lebih berkesan, samada sebelum, semasa atau selepas cuti dan buka sekolah nanti ditahun depan.

Saya terbius seketika tatkala pengumuman pembubaran kepimpinan ini dilancarkan PK Kokum sekolah, MR LIM. Hati terasa berkaca dan retak seribu. Persatuan dan kepimpinan sedia ada yang baru terasa serasi dan mampu bertindak seiringan terpaksa saya leraikan untaiannya. Apatah lagi pelapis kepimpinan BAKTI juga belum mampu saya congak calon terbaiknya.

Namun dibawah sedar tanggungjawab dan menyahut cabaran, saya akur menggangguk untuk sesi AGM yang dipilih tarikhnya di penghujung Ramadhan yang lalu.

Maka bergegaslah kami merangka, menyusun dan memprogramkan AGM sulung BAKTI ini sebaik yang mungkin. Pengalaman dan sedikit dokumentasi lama bersama BALKIS saya arahkan pelajar disini untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

Dan alhamdulillah, pada Khamis terakhir persekolahan, AGM BAKTI berjaya kami luncurkan sebaiknya.

Terima kasih dan teruskan komitmen buat kepimpinan BAKTI yang lama.

Selamat bertugas dan berjuang buat kepimpinan baru yang terpilih.

Antara foto terindah dalam lipatan kenangan.


Amanah, Sesi pengundian berlangsung memilih kepimpinan baru BAKTI.


Tekun dan fokus menanti amanat, reaksi audiens yang hadir.


Istiqamahlah ... antara pesanan saya kepada barisan pelajar islam ini.


Pengerusi BAKTI sayu melepaskan jawatannya.


Barisan kepimpinan BAKTI yang lama, terima kasih atas sumbangan kalian.

Salam Raya di Guchil Bayam

Untaian Salam Hari Raya buat semua sahabat dan keluarga.



Terasa derasnya arus masa berlalu.

Meninggalkan saya kelelahan merenangi keadaan yang berubah setiap liku waktu dan jeram masa.

Sekejap tenggelam menghirup kelatnya permusafiran yang panjang, dan terkadang timbul dengan cerianya kepermukaan melihat khabaran berita dan mesej yang diterima dari sahabat dan kenalan yang utuh berpanjangan.

Ruangan MEMORI MESEJ ANDA SUDAH PENUH !!! Itulah teks rutin yang tercetak di skrin handphone saya saban hari. Ianya menyesakkan minda dan nafas hidup saya. Terasa kesal tatkala terpaksa memadam mesej mahabbah yang dihantar para sahabat hanya bagi memberi ruang untuk rekod memori saya bernafas dan berfungsi semula.

Dan alhamdulillah, keceriaan raya tahun ini saya abadikan bersama rumpun keluarga yang mekar jambangan kasihnya, moga rimbunannya memberi redup rahmat selama akar hayat masih berdenyut.

Bersama keluarga, lensa kamera tidak betah berkelip.


Ayahanda dan Bonda Tercinta. Haji Ubaidah dan Hajjah Hasnah.


Kekanda Sulung dalam keluarga, Arif Lokman


Adinda Dahlan dan keluarga.


2 Anak Teruna, Abdullah Rahimi Al Hafiz dan Ainuddin

Wednesday, September 15, 2010

Puasa 6 Syawal - Manifestasi ketaatan dan kejayaan

Salam syawal untuk semua.

Hari ini adalah hari ketujuh Ramadhan, mungkin diantara kita sudah ada yang sedang merayakan RAYA KEDUA bagi dirinya apabila berjaya menyempurnakan tuntutan ketaatan dengan berpuasa enam.



Puasa 6 dibulan syawal adalah sesuatu manifestasi diri terhadap keberkesanan dan keampuhan tekad yang disemai semasa Ramadhan, ianya adalah sesi warming up kedua untuk kedatangan cabaran kehidupan dalam 11 bulan yang mendatang.



Marilah kita sama meneruskan ibadah ini dengan penuh penghayatan dan keazaman.

Moga kita berjaya.

Tuesday, September 14, 2010

Usrah Khatam

Aidil Fitri tahun ini datang dengan penuh kelainan.

Dan kelainan ini hadirnya membuahkan transformasi, satu kembara perubahan kearah yang lebih baik pastinya.

Ssesungguhnya transformasi dan kelainan merupakan sesuatu keperluan dalam litar kehidupan ini, takkanlah kita masih mahu berhari raya sebagai manusia berjiwa kanak-kanak yang hanya mengimpikan kocek saku berisi penuh duit rayanya.

Bukan jua hanya menjadi peraya remaja yang hanya tahu berseronok santai menghabiskan sembang dan serdak kuih raya.

Kita seharusnya berubah dengan info agama dan ilmu seiring peredaran usia kita yang semakin melebar.

Dan tahun ini, saya mampu beraya di kampong setelah sekian lama bertakbir dan bertahmid diluar kampong halaman. Mampu untuk duduk bersimpuh menyusun jari di pagi raya menyalami dan mencium pipi kedua orang tua yang masih ada.

Dan di hari sebelumnya, kami para anggota keluarga sempat berkumpul bersama, walaupun ada yang baru menginjak anak tangga setelah lesu dalam kesesakan permusafiran yang panjang.

Berkumpul untuk satu majlis tadarus dan khatam yang diilhamkan bonda saya untuk mengisi masa terakhir ramadhan dengan sesuatu aktiviti penuh makna dan mesra ukhuwwah serta ubbudiahnya.

Dan saat itu kami berkumpul, menghabiskan 30 juzuk al Quran bersama-sama.

Membulatkan himpunan duduk dan tekad hati , kami melangsungkan terus alunan quran sebelum terbenam sinar ramadhannya sebelum kami sudahi dengan sedikit tahlil dan doa khatam…

Alhamdulillah, sekilas saya memandang mata bening bonda dan ayahanda memerhatikan semua anak zuriatnya yang mampu berhimpun membaca al quran, zuriat yang dahulunya celik quran dan agama berkat didikan airtangan bonda dan ayahanda tanpa kompromi.

Moga kami mampu menjadi anak yang soleh, dan moga Quran yang kami mampu baca ini menjadi saham kebajikan buat keduamu….