Thursday, July 14, 2011

Jumaat Penghulu Hari


Selamat datang penghulu segala hari.

Istimewanya Jumaat terserlah jelas pada namanya, ianya diukir ulamak sebagai hari yang mulia.

Padanya terhimpun segala kebaikan.

Temujanji pertemuan umat islam mingguan yang terbesar dan terindah.

Juga dikatakan hari pertemuan semula adam dan hawa dibumi.

Padanya juga diangkat ibadah berjemaah yang teramat mulia yang menghimpunkan elemen ilmu dan persaudaraan dalam pakej nya yang satu

Nama asalnya didalam jahiliyyah ialah hari Arubah atau hari yang besar dan nyata.

Disebut juga ; hari rahmat.

Kefardhuan solat jumaat

Ianya difardhukan di Mekah sebelum h=Hijrah,

Diriwayatkan oleh Daruqutni dari Ibnu Abbas : Nabi diizinkan allah utk menunaikan solat jumaat sebelum hijrah, namun baginda tidak berkesempatan / mampu menunaikannnya jumaat di Mekah, maka baginda menulis surat utk Musaab Bin Umaair (yg ditugaskan menajdi jurudakwah islam sblm baginda dan para sahabat berhijrah), : Amma ba’du , lihatlah hari dimana org yahudi membaca kitab zabur secara lantang untuk ibadah sabtu mereka, maka kumpulkanlah para wanita dan kanak2, dan apabila matahari condong sedikit dari asal selepas waktu tengahari utk hari jumaat, maka dekatkanlah diri kamu kepada Allah dgn solat 2 rakaat.

Org yang pertama Solat Jumaat Ialah Musaab Bin Umair sehinggalah nabi tiba di madinah.

Org yang mengumpulkan manusia kala itu ialah As’ad Bin Zurarah .

Rujukan :

(Kitab Fiqh Islami Waadillatuhu, Dr Wahbah Zuhaili, Juz Ke2, Terbitan Dar Fikir, Damascus, Ms 260)

Monday, July 11, 2011

Bahana KUNING



Dari kejauhan saya mendapat berita sedih.

Berita penangkapan seorang kenalan lama di wilayah SABAH dahulu menganggu emosi saya.
Kenapa ?? Mengapa ?? Apa kesalahannya antara soalan yang bergema dibenak hati saya.

Penahanannya persis seorang pesalah jenayah berat yang menggugat negara.
Ditahan, digari, dibawa ke balai dan dilokapkan.

Apakah salahnya sahabat saya ini ???

Saya kenalinya sebagai seorang yang begitu istiqamah menjaga agama.
Tegas dan berani bersuara menyanggah penyelewengan.
Mesra dan santun melayani rakan dan taulan.
Walau terpaksa berdepan badai menggila.
Walau dihimpit masalah berjuta. Namun ketabahannya memotivasi dan mengujakan kita.




Anda tatapilah sendiri dan hakimilah :

Seawal jam 9 pagi tadi, saudara Lahirul Latigu tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu setelah penat mengharungi himpunan BERSIH semalaman. Ketika itu beliau turut memakai baju BERSIH di lapangan terbang, tetapi tiada apa-apa masalah.
Kemudian, sekitar jam 4.30 petang tadi, KP Sabah Lahirul Latigu sedang minum petang bersama beberapa rakannya dengan memakai baju BERSIH.
Tanpa semena-mena, dia ditahan oleh pihak polis, dibawa ke balai polis Alamesra, dan kes berlanjutan hingga ke tahap begini.
Persoalannya, bukankah semua himpunan itu sudah selesai semalam, mengapa masih besarkan isu?
Adakah pihak tertentu berasa terancam dengan kebangkitan suara rakyat, khususnya di bumi Sabah ini?

P/s : Ketika mahu mengambil gambar di lokasi kejadian, beberapa pegawai polis menghalang kami daripada buat demikian. Persoalannya, mengapa takut jika buat perkara yang benar?

Sumber : Sahabat Blog Sabah


Salahkah berbaju KUNING ???

Mungkin yang akan tertawa nanti ialah para pencandu BUDAYA HEDONISME KUNING yang semakin menyebar virus gilanya ini.

Saya berdoa moga ALLAH mempermudahkan perjalanan sahabat saya ini dan memberinya ketabahan. Moga doa seorang sahabat dari kejauhan ini mampu membantu emosi dan rohaninya.

Membenci KUNING


PELUDAH WARNA

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said

Sunday, July 10, 2011

Kemaafan Diri

Bahasa diamlah yang paling sukar. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu soalan. Dalam diam ada seribu jawapan. Dalam diam ada seribu tafsiran. Dengan diam orang boleh berkata ‘aku cinta padamu’. Dan dalam diam orang boleh berkata ‘ kita tidak sehaluan lagI’-( IMAEN - DALAM LABYRINTH ).

Tapi saya lebih suka mengambil pendekatan berdiam.

Bahasa Diam apakah yang perlu saya gunakan....

Diam tanda marah, Diam juga tandanya maaf.

Memohon maaf adalah sukar dan memberi kemaafan sebenarnya lagi susah.

Tapi pantaskah seorang guru berdendam dan menyimpan amarah.

Apatah lagi untuk anak2 didik yang sememangnya memerlukan tunjuk ajar.
Andai tersalah dan tersilap bicara, tegur dan didiklah..

Mereka masih mentah dalam kehidupan, Mereka terlalu rebung untuk menyedari kewajipan, mereka masih hingusan dalam menilai kesopanan.

Kita juga insan yang melakukan pelbagai rencam kesilapan.
Kita memohon keampunan berkala tika sujud dan rukuk, mohon di ceduk basuh antara noda dan dosa dengan pengampunan ilahi..
Moga dengan kebaikan kita memaafkan, dosa kita akan terhapus jua...

Bukankah juga antara pesanan hikmah mereka yang menghuni syurga, maafkan segala manusia nescaya hatimu tenang dan sejahtera,
maafkan segala kesilapan manusia nescaya kamu menyedari kesilapan sendiri
maafkan kesilapan manusia barulah kamu menginsafi keburukan dosa
maafkanlah manusia moga kamu akan beroleh pahala dan kebahagiaan.

Bukankah Nabi mengiktiraf PEMAAF MANUSIA ini dengan gelaran ahli syurga.

Ampunkah lah segala kesalahan kami duhai tuhan.

Friday, July 8, 2011

GURU - Dulu dan Sekarang



Kredit kartun dari laman blog Hilal Asyraf
Langit Ilahi.

Dilema Cikgu

Hati ini berbelah bahagi.

Masih relevankah kerjaya seorang guru.

Masih terhormatkah mereka.

Atau merekalah hamba masyarakat yang lebih terhormat.

Menunduk, mengangguk dan mengiakan segala kebobrokan dan kebiadapan.

Dalam etika PIAGAM PELANGGAN.

Pelajar adalah KLIEN merangkap TUAN yang perlu disanjung dan diberi penghormatan.

Pantang untuk ditegur.

Silap untuk diusik.

Jangan bermimpi untuk diubah.

KLAUSA pelanggannya terpatri kukuh di simen dinding :

Guru tidak boleh menunjukkan ekpresi wajah mahupun mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh mencederakan, mengguris, dan melukakan hati pelajar ..... apatah lagi menghukum dan mendenda fizikal mereka. NOKTAH

..............................................................

Berada dibilik pengetua, baru saya terasa hakikatnya.

Pertama kali, dipanggil berbincang tentang kebebasan dan kreativiti mendidik dan menghukum menyebabkan saya tercengang kebingungan.

Di balik wajah redup ibubapa yang datang menegakkan kebenaran.
Respons sebelah dari anak yang dimanjakan - menjadi priority untuk dibela dan dipertahankan.

Kerjaya dan tanggungjawab mungkin seketika diketepikan.

Tapi mendidik GURU YG TERLEBIH AJAR perlu disegerakan.
Sekurangnya menjadi TELADAN dan PENGAJARAN.

Anak kami jangan disentuh dan dijentik...

Kerana Ibubapa lebih pandai menilai dan mendidik.
Jangan tangan, herdik pun tidak pernah kami lafazkan.

Siapa GURU untuk bijak bereksperimen ....

Mendidik dan menegur ...

Tugasmu GURU hanya mengajar.


Habiskan silibes.

Tingkatkan prestasi akademik.
Catatkan kecemerlangan hanya pada sijil.
Dan terimalah gaji bulanan mu.

Saya disengat dilema.
Muliakah masih tugas guru kini ???

Thursday, July 7, 2011

Isra' dan Sebuah Perjalanan


Perjalanan saya hari itu terhenti seketika.

Disapa mesra suara seorang pelajar lelaki di tepi koridor pejabat menahan kaki saya dari melangkah.

Saya sebenarnya sudah lama ingin bertemu Ustaz, tapi sayangnya tak berkesempatan.

Mujurlah hari ini, saya dapat bercakap dengan Ustaz bersemuka. Terserlah keterujaan dan pengharapan disebalik sinar matanya yang bercahaya. Wajahnya disapu putih keceriaan.

Entah mengapa hari itu alam begitu mesra memancar suria yang damai tidak membakar.

Gerak hari yang tenang meninggi ke tengahari dengan langkah yang cukup perlahan.

Kedamaian menyerkapkan hamparan kasihnya ke seluruh inci perkarangan SMK Alma pagi itu.

Dan pagi itu, sememangnya amat berbeza bagi saya tatkala diberi ruang untuk berdepan dengan ribuan pasang mata di atas pentas ilmu diperkarangan dataran perhimpunan terbuka pagi itu. Tatkala diri gugup menjadi sasaran objek tujahan pandangan ini, saya diminta berkongsi bicara, memugar pengajaran berguna , mencoret motivasi terpimpin dan seterusnya melakar jambatan kesedaran yang tuntas buat para pelajar dan warga sekolah lewat majlis sambutan Isra’ dan Mi’raj pagi itu.

Pagi itu, alam seolah menyebelahi saya. Dalam ruangan terbuka berbumbungkan langit biru itu saya biasanya akan segera dipagut rasa bersalah jika dipanggil berceramah panjang. Hati cepat merasa tersentuh jika saya masih terus asyik ingin mengatur bicara dan menyusun hikmah pengajaran tatkala bahang hangat matahari dan silaunya sudah menyengat kulit para hadirin.

Mungkinkah ada manfaat maksima dengan hati yang mula berdetik mencari teduh dan kulit yang mula aktif menelurkan peluh. Saya lebih suka memilih berhenti.

Tapi diawal hari itu, damai pagi masih menyelimuti kami. Serinya segar seperti wajah ibu menyambut kepulangan anak tercinta.

Alhamdulillah, terasa tugas saya lebih mudah dan dipermudahkan Allah.

Mata mereka tertancap kukuh ke sosok tubuh dan bicara saya. Khusyuk dan Memberi perhatian. Sepi pagi itu saya manfaatkan dengan perkongsian ilmu berkaitan peristiwa agung Isra’ dan Mikraj’.

Sebuah hadiah pelancongan untuk junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan keberkatan dan pengajaran. Ianya merupakan hiburan yang menenangkan hati dan memotivasikan semangat buat seorang insan yang sentiasa diuji dan teruji.

Satu lawatan sambil belajar yang begitu hebat tentatifnya dan bermanfaat programnya. Pertemuan jejak kasih bersama para petugas tarbiyyah dan risalah dalam organisasi kenabian amat mengujakan beliau. Tatkala nama dan sejarah bukan lagi menjadi halwa pembakar semangat, tapi kini wajah dan watak mekar segar di pandangan, apatah lagi dengan suara kesatuan yang teguh dan doa kebaikan dari setiap nabi yang dijumpai dengan sebutan : Selamat datang buat saudaraku yang baik dan Nabi yang baik terus memugar azam dan tekad untuk terus mendada ujian walau sekuat mana badai yang menghempas.

Peristiwa ini adalah simbolik sebuah perjalanan.

Cerita ini adalah teladan sebuah travelog.

Dan hidup ini juga satu kembara.

Yang pastinya …. Kita akan terus melangkah pergi …. pergi …. Dan pergi hanya untuk akhirnya kembali menemui kehidupan yang abadi, kembali kepada tuhan rabbul izzati.

Kehidupan yang cukup singkat dan sementara, umpama membuka pintu kelahiran menuju kepintu kematian, segalanya segera… cepat … dan tiada pusingan ulangan.

Lalu untuk suatu perjalanan kehidupan yang pasti berlaku, Kita diajar hikmah dalam sirah ISRA’ dengan beberapa perkara :

1) Nabi dijemput Allah dalam perjalanan yang diberitahu destinasi arah tujunya. Mengadap Allah dalam rahmat kasih yang melimpah.

Untuk itu kita juga perlu mengenali destinasi perjalanan kehidupan kita, kemanakah tempat untuk kita tuju dan siapakah yang kita berjumpa kelak menghitung baik buruknya amalan yang dibawa. Mereka yang tahu dan kenal tujuan perjalanan, tidak akan mudah terleka, senang tersesat dan membazir masa percuma untuk sesuatu yang sia2.

2) Perjalanan yang selamat memerlukan bekalan sebagaimana Rasul dipersiapkan dengan bekal ilmu, iman dan hikmah kebijaksanaan sebelum mengharungi detik diluncurkan tuhan dalam perjalanan aero angkasa yang cukup jauh dan luar biasa kepantasannya.

Untuk hidup yang pastinya berdepan cabaran, manusia seprti kita perlukan persiapan kendiri yang mantap untuk terus tega berdiri mengharung segala mehnah yang membadai pantai kehidupan.

3) Rasul menjalani pembersihan. Dalam rangkuman kisah pembelahan dada nabi yang mulia oleh para malaikat yang cukup taat dan suci, membawakan kita kepasrahan hati dan kesuciannya merupakan syarat utama penerimaan amalan dan diri untuk mengadap Allah yang maha agung.

Untuk itulah penyucian diri perlu menjadi agenda utama dalam kita menunaikan perintah menunduk sembah kepada Allah setiap kali kewajipan solat kita tunaikan. Hati yang masih kebal memegang ego sebenarnya lebur dalam penghinaan Allah dalam sirna reality yang tidak kekelihatan. Akhirnya kita tercungap keletihan ditipu nafsu dan syaitan walaupun beribu rakaat kita dirikan.

Tatkala audiens menghela nafas kepenatan dalam mengharung synopsis dan analisis saya diperdu hujjah ilmu, saya mengulit mereka dengan kesedaran untuk kita terus sedar dan mengambil inisiatif kewarasan ini untuk mengenal diri dan matlamat kehidupan.

Meluncur kisah anti klimaks saya berkenaan keretapi, ianya menghiburkan dan memotivasikan,sesekali ia sebenarnya yang menampar pipi kelapaan kita sendiri untuk mengenali watak kita yang sebenarnya dan bukannya masih leka terlena.

Ayuh, mulakanlah langkah kita untuk terus menuju kejayaan.

Tiada maknanya, untuk kita terus terbuai keseronokan dalam gadaian masa depan yang kian pudar dan punah. Tuntas saya menutup tirai ceramah dalam suasana oksigen pagi semakin terbakar dek cahaya matahari.

Moga kita semua mampu sedar dan berubah …. Ujar saya menamatkan bicara.

Saya ingin berubah Ustaz, kata-kata ustaz menyedarkan saya untuk mula berusaha untuk berubah.

Saya ingin mendapatkan nasihat ustaz lagi untuk mengetahu cara terbaik dalam melaksanakan perubahan diri saya ini, sudikah ustaz membantu saya…

Alhamdulillah, Itulah momentum kesedaran yang saya terima di penghujung pagi itu. Moga ianya kekal berpanjangan.