Friday, February 3, 2012

Menyambung Pelajaran



Hey Kawan,

Alhamdulillah, hari ini genap 6 minggu pengajian saya di peringkat sarjana bahasa arab telah bermula. Setelah sekian lama memasang impian dan angan untuk berada di gelanggang ilmu secara formal ini akhirnya saya dijodohkan dengan sebuah kolej universiti di utara semenanjung, iaitu Kolej Insaniah (KUIN).

Pengajian jarak jauh yang saya tempuhi dihujung minggu sahaja dengan jumlah subjeknya ialah 12 dalam tempoh masa mungkin 4-5 semester iaitu hampir 2 - 3 tahun dicampur dengan penulisan tesisnya. Ianya tentu agak memenatkan dan mengambil masa rehat yang bukit sedikit kuantitinya.

Namun, tatkala dapat meminjamkan telinga bersama rakan sepengajian mendengar penerangan dan juga celoteh para pensyarah berketurunan arab ini menjadikan hati semakin lapang dan damai. Ternyata jarak 80km dari Pulau Pinang ke Kedah ini terbayar sempurna. Terasa betapa lamanya suasana pengajian sebegini telah saya tinggalkan sejak 1994 dahulu, kini dapat saya ulangi iramanya sekali lagi dengan penuh kecintaan dan kenikmatan.



Terima kasih tuhan.

Pastinya keterujaan dalam menyambung pengajian ini begitu meruntun perasaan dan jiwa saya, apatah lagi setelah sekian lama terpaksa menunggu dan menanti peluang terbuka seperti ini. KehendakNYA jua saya berada disini, meneruskan sisa perjuangan silam yang masih membara sekamnya disudut hati ini biarpun agak kelewatan berbanding rakan sepengajian Jordan yang terlebih dahulu menggenggam ijazah berbanding saya. Natijahnya, mereka sudah berpuluh langkah dihadapan saya.

Dan tanpa terduga, sudah beberapa orang antara mereka yang sedang mencuba nasib menempuh tahap akademik tertinggi PHD dibidang bahasa arab yang mulia ini. Tahniah buat mereka dengan rafak doa moga berjaya.

Moga nawaitu yang baik ini akan diberi pertolongan oleh Tuhan yang maha penyayang.

Moga Allah mempermudahkan.

No comments:

Post a Comment