Saturday, March 31, 2012

Aisyah Nazurah - Tahniah Buatmu Adikku


Petikan berita dari Utusan Malaysia (Edisi Timur) 23 Mac lalu.

KOTA BHARU 22 Mac - Maahad Muhammadi Perempuan meneruskan tradisi kecemerlangan dengan muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila 17 pelajarnya mencatat keputusan cemerlang semua A termasuk tiga orang mendapat 12A dalam peperiksaan itu.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, seramai 4,740 calon atau 97.19 peratus yang menduduki peperiksaan itu layak mendapat sijil.

Beliau berkata, peratus tersebut meningkat 0.8 peratus berbanding tahun 2010 dengan tiga calon mendapat 12A, sementara 49 calon mendapat 11A, 43 orang (10A), 64 orang (9A), 96 orang (8A) dan 189 calon 7A.

"Walaupun ia dilihat hanya sedikit peningkatan, tetapi ia sangat penting sebagai momentum yang lebih baik pada 2012 nanti, insya-Allah," katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut di Maahad Muhammadi Perempuan, di sini hari ini.

Sementara itu, kata Mohd. Amar, bilangan calon sekolah maahad kerajaan yang layak mendapat sijil ialah 3,488 orang, sementara sekolah bantuan kerajaan pula seramai 1,252 orang.

Katanya, bilangan sekolah maahad yang mencapai kelulusan 90 peratus ke atas adalah sebanyak 27 buah berbanding hanya 20 pada tahun 2010.

Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan melalui YIK untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga aspek sahsiah bagi melahirkan insan sempurna dan menjadi penentu pembangunan ummah pada masa hadapan.

Sementara itu, Aisyah Nazurah Ubaidah, 18, yang terpilih sebagai pelajar terbaik dengan mencapai keputusan cemerlang 10A+ dan 2A berkata, dia kerap melakukan latih tubi terutama menjelang hari-hari terakhir peperiksaan.

Dalam masa sama, gadis pemalu ini turut mengakui menjadikan kejayaan beberapa bekas pelajar cemerlang sekolahnya termasuk Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal (pelajar cemerlang SPM 2008) sebagai sumber aspirasi.

"Selain itu, saya juga selalu melakukan solat hajat dan berdoa," katanya yang merupakan anak kesepuluh daripada 11 orang adik-beradik.

Anak kepada bekas juruaudit ini bercita-cita mahu menjadi seorang pakar bedah.

No comments:

Post a Comment