Friday, July 6, 2012

Mimpi Semlam.

Hey Kawan,

Sudikah kalian mencuri masuk ke dalam mimpiku.

Mengikuti impuls tanpa sedar berkonvoi memasuki fantasi alam yang penuh keajaiban dan kemungkinan itu. Membelok dan pantas gerakannya. Menerawang ke segenap penjuru imiginasi untuk menancapkan cerlang fokus ke skrin minda bawah sedarku ...

Aku bermimpi !!!?

Pancaran slide pertamanya membawaku menekuni imej pegun ini. Agam dan indah, bak sentuhan seniman berpengalaman , lanskapnya menuntaskan kontras warna dan suasana yang cukup damai. Dan entah mengapa, hatiku tersentuh dan berkaca.





Kawan, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain ! Inilah sekolah tempat pertama ku dipostingkan dahulu : SMK Perempuan Likas.

Aaah, seindah namanya , seayu itu juga kenangan silamku membelainya.

Mengadaptasi citra penuh warna ini membawaku menyelinap ke kabinet memoriku, aku menggeledah mencari fail lama yang hilang, menyelongkar dan mencari. Namun ianya serabut berselerakan. Aku gagal kepasrahan....

Titis air dihujung hatiku membeku, serentak itu dinginnya menggigitku, aku kaku seketika, namun magisnya ... rindu ini membakarku untuk terus cekal berusaha. Memadamkan api gundah tersihir potret sekolah lamaku, aku membulat dengan gigih mengemas semula data ingatanku.

Aku menarik nafas keazaman, menghela seketika keserabutan minda yang kusut kebuntuan, aku singkirkan genggaman memori yang berseliratan, aku susun dan pilih hanya yang berkaitan, Aku mencari fail memori ku : Kenangan di SMK Perempuan Likas.

Masih adakah simpanan fail itu di memoriku ??

............................

Aaaah, aku terhantuk dengan deringan jam subuh tadi. Aku kebingungan dan kebuntuan.

Apakah yang aku mimpikan semalam ?? Dalam mamai aku kehilangan kata .....  tahukah kalian apa mimpiku ?

..........................

Petang ini, aku kembali sedar. Teringat sambungan mimpiku yang hilang dari aksinya. Tanpa ending ....

Tapi, tuhan merencanakan magisnya. aku terpana kagum. Terujanya aku melihat momen kaku tanpa suara dalam blog sahabatku abu nuha dibawah lembayung entry nya : Ceramah Smart Solat di SMK P Likas.

 

Dengan wajah-wajah yang semakin luput dari ingatan memori pelajar2 yang pernah aku kenali, ianya tetap menghadirkan ruangan ceria tatkala aku mampu masuk menerobos celahan gambar untuk menjamah ruangan surau siti khadijah yang pernah menjadi tempat aku berpencak memimpin pengajaran mahupun kuliah,ianya tempat aku berdiri mengatur program mahupun tempat aku tunduk melabuhkan sujudku, tempat aku serius menyunting kaligrafi pertandingan maulidurrasul negeri mahupun tempat aku santai meminjamkan seketika tubuh untuk menyandar kerehatan, tempat aku menjerit mencetak motivasi mahupun tempat aku berbisik dalam munajat tahajjud malam program qiam bersama pelajar, tempat aku berseorangan merenung dinding kegelisahan diri mahupun juga tempat aku berjemaah meladeni ukhuwwah sihat yang membahagiakan.

aku kerinduan, aku kehilangan, dan aku kesyahduan.

kelu ...


Oh, surau siti khadijah ..... antara garapan nama yang tercetus semasa permukimanku disana. Doaku buatmu untuk terus tabah berdiri.

Relakanlah para serikandi cilik itu memijak dadamu saban hari. Dalam rutin pagi mengumpul kekuatan rohani dengan bacaan mathurat dan yasin, dengan tazkirah dan omelan para ustazahnya, biarkanlah mereka disimbah cahaya redupmu, dengan sesekali kau oleskan bayu aircondmu lembut kemuka mereka. Himpunkanlah mereka dengan lembayung teduhan mu, moga mereka akan keluar sebagai mujahidah yang berjasa .... atau sebagai ibu yang berperibadi kental dan sasa.

 

jangan kau lupa untuk doakan mereka surauku, moga mereka kekal tabah dan ceria berpesta di sisimu, berusrah dan berprogram, bercerita dan bersolat .... moga mereka lebih rindu dan teruja bersamamu daripada berkelana ke lembah yang lain.

Surau ku ..... adakah lagi jodohku untuk mengunjungimu ?




No comments:

Post a Comment