Monday, August 27, 2012

Mencari Lailatul Qadar di Bulan Syawal


 

Hey kawan.

Dimanakah subuh kalian pagi tadi ?

Masih berbekaskah sisa tarbiyah Ramadhan yang mampu mengheret kaki kita bersujud di rumah tuhan kala dinihari itu, atau kita sudah boleh berehat panjang selepas berjaya mencapai kemenangan ramadhan tempohari.

Kalau subuh kita masih di rumah, mungkinkah boleh kita pertimbangkan bahawa kita sebenarnya telah terlepas dari mendapat ruh dan semangat lailatul Qadar tempohari sebagaimana yang diidamkan para pendamba kasih ilahi.

Semangat Lailatul Qadar ? Masih adakah malam istimewa itu diluar Ramadhan …..

Temanya semakin menuju klimaks.

Kesolehan membawa kepada keberkatan. Keberkatan dijana melalui konsistensi.

Dan kalimah ISTIQAMAH lah yang seharusnya kita cari dan bina semasa menikmati juadah ketaatan ini. Biar nikmat kemanisan ibadah mampu diluncurkan ke muara takwa tanpa mampu ditahan oleh halangan jemu dan malas, biar ibadat kita mampu menongkah badai menyusur arus berterusan tanpa henti dan lelah.

Teringat seketika dihari mulia aku berkhutbah, meladeni khalayak yang hadir dengan busana indah. Raut ceria dengan gamat sanak saudara memenuhi ruangan saf yang kehairanan bila diasak dengan begitu ramai pengunjung buat julung kalinya dalam tempoh setahun.

Melihat wajah yang berseri dan bersemangat sememangnya amat mengujakan. Ianya seperti renjatan elektrik kecil yang mengecaskan motivasi dan bukannya membunuh empati. Aku gembira.

Dalam tenang aku lafazkan kalimah ini, kalimah yang memberi makna.

Alhamdulillah, kita dipilih tuhan untuk berjaya mengharungi ramadhan dengan baik dan takbir ini adalah manifestasi kemenangan kita memilih rasa bertuhan dan setia berbanding memilih derhaka dan sengketa.

Alhamdulillah, ianya hadir setelah kita bertungkus lumus cuba untuk melunaskan bukti bahawa kita adalah hamba tuhan yang benar2 percaya pada janji dan tawarannya. Kita ingin dinilai lulus dan cemerlang dengan sijil TAKWA dan slip PEMBEBASAN DARI NERAKA.

Kita juga masih lagi dibasahi keringat kesungguhan PULUN dan GOMO untuk mendapatkan malam istimewa LAILATUL QADAR yang cukup gah dan istimewa. Moga semangatnya masih kekal bersemi.

Tapi sayangnya kawan, ramai antara kita yang tersalah persepsi.

Ruh lailatul qadar diterjemahkan dengan merangsang adrenalin semangat untuk sekadar beribadat, berjaga malam dan beriktikaf di malam tertentu bulan Ramadhan sahaja, atau lebih spesifiknya 10 terakhir ramadhan. Masih menitis lagi kesan kesungguhan itu dibadan kita dan bersisa. Aaah, moga allah merahmati dan menerimanya.

Namun, adakah keistimewaan lailatul qadar terhenti sebegitu sahaja.

Keajaiban semangatnya hanya berdurasi satu malam sahaja ??

Maka tak hairanlah jika seorang guruku mengatakan : antara tanda mereka yang dikurniakan allah lailatul qadar ialah mereka yang dulunya rajin ke masjid akan mula menghilang dari pintunya, mereka yang dulunya banyak berpuasa takkan mahu lagi melaparkan ususnya, mereka yang sentiasa hadir bersolat di dinihari takkan lagi kelihatan walaupun hari sudah menginjak tua ke usia senja. Kenapa ?? Bukankah mereka sudah menikmati bonus al Qadar yang begitu besar pahalanya melebihi umurnya sendiri. Ianya bonus dan subsidi yang begitu berbaloi.

Tapi inikah yang dikehendaki agama.

Walaupun guruku itu mungkin agak berlebihan memberi analogi. Tapi berapakah antara kita yang setiap tahun melaksanakan KAMIKAZE dengan kaedah pulun dan gomo menghabiskan segala kesungguhan diri disepanjang malam terakhir ramadhan untuk menDAPATkannya, tapi kita langsung tidak melakarkan target untuk kekal meLAKUkannya.

Ya, benar kawanku. Bacalah sendiri tafsiran surah al Qadar untuk menghadami ruh lailatul qadar ini.

Para Sahabat bukannya umat subsidi. Mereka tidak hanya teruja dengan bonus dan tawaran tapi mereka adalah umat yang suka menikmati ilmu dan amalan.

Selaklah tafsir qurtuby mahupun ibnu kathir yang bermadahkan kisah nabi melaporkan cerita umat terdahulu yang begitu tekun berjuang, beribadat dan menyebarkan ilmu hingga menjangkau 1000 bulan. Nabi pernah merekodkan nama mereka seperti nabi zakaria, nabi sulaiman, nabi ayub, yusha’ bin nun dan juga Heizqil ibnu ajuuz. Betapa ibadat mereka cukup mengkagumkan tanpa lelah dan jemu.

Para sahabat teruja. Mereka adalah umat jihad dan pengorbanan. Mereka adalah pejuang praktikal dan juga teladan berwibawa.

Mereka cemburu dan jealous.

Mereka gembira dan seronok.

Mereka ingin bersaing dan berlumba.

Mereka dambakan kebaikan.

Mereka sedih ketinggalan.

Lalu wahyu tuhan mendamaikan gelora jiwa mereka, tuhan menjanjikan MALAM ISTIMEWA. Pahalanya lebih hebat dari 1000 bulan.

Tenangnya hati mereka untuk dipujuk ilahi. Mereka menjadi umat yang tekun beribadah dan terus berlari. Melunaskan janji untuk disayangi tuhan samada di pasir sujud atau digersang sahara berjihad. Mereka umat yang obsess beramal.

Bagiku, para sahabat bukan kagumkan pahala umat terdahulu. Soal pahala adalah rahsia tuhan. Allah boleh memberi pahala sesuka hatinya. Pahala puasa adalah rahsia tuhan yang misteri, solat pula dijanjikan pahala berjemaah dengan gandaan 27 pahala yang kita sendiri gagal mentafsir maknanya, kelebihan 5 fardhu kita juga mampu menyerap pahala 50 fardhu dimalam israk,  sedekah membuahkan 700 tangkai keberkatan dan setiap kebaikan berganda 10 ketaatan adalah rahsia pahala yang dimiliki tuhan cukup aneh dan misteri.

Allah mampu memasukkan manusia ke syurga tanpa solat dan sujud persis juru sihir firaun, allah boleh memilih syurga kepada pelacur tegar yang membuat kebaikan kepada anjing kehausan, allah bebas memberikan 10 kali nikmat dunia kepada manusia yang paling akhir memasuki syurga. Aaah, bagi sahabat, kurnia allah cukup besar untuk difikirkan.

Tapi apa yang mengujakan mereka ialah bagaimana umat terdahulu mampu terus beramal tanpa henti dan lelah. Bagaimana mereka tega beribadat tanpa jemu dan malas. 

Bagaimana mereka menjadi umat jihad yang begitu praktikal.

Dan inilah yang dipohon para sahabat, menjadi umat yang mendapat RUH LAILATUL QADAR yang akan TEGA beramal, KEKAL berjuang, KONSISTEN beribadah dan ISTIQAMAH mencari keredhaan tuhan dalam kehidupan mereka BERTERUSAN.

Dan mereka juga tahu bak kata para mufassir quran – makna seribu bulan ialah pahalanya berganda tidak terkira banyaknya, ya dan ianya bukan terhenti sekadar usia bulan menginjak 84 tahun sahaja. Ianya pahala berterusan …. Pahala yang dijana oleh amal yang berterusan.

Tapi… bagaimana pula kita, umat akhir zaman.

Umat bonus dan tawaran. Umat pemalas dan panjang angan2.

Akhirnya ada diantara kita yang kelihatan bersungguh di ramadhan,tidak lagi kelihatan begitu diluar ramadhan. Ada yang berjaya kekal menongkat mata di 10 akhir ramadhan tak lagi mampu mengangkat walau sepicing mata selepas ramadhan. Dan yang terbanyaknya ialah mereka yang dulu kekal di serambi surau hingga ke fajar menyinsing berjemaah dalam solat subuh yang paling berharga kini kekal pula dibalut selimut hingga ke dhuha menyonsong tanpa risau tergolong dalam orang munafiqin yang kerugian dan tidak berharga.

Sayangnya kita tidak meletakkan target lebih awal untuk istiqamah.

Kita gagal mendapatkan hadiah dari ruh lailatul qadar ini untuk mengharungi 11 bulan yang mendatang.

Kita diulit rutin sama. Diet sama. Rencam sama dan diri yang sama.

Bagaimana kalian kawan ?

Apa hadiah dari permukiman kalian di ramadhan yang lepas.

Hadiah yang boleh menjadi bekalan istiqamah kita diluar ramadhan.

Jika ada Alhamdulillah.


Istiqamah adalah ruh lailatul qadar.

Monday, August 20, 2012

Salam Keberkatan Aidilfitri


Hey Kawan !

Moga berbahagia dihari lebaran ini.

Moga belum terlambat untuk aku mengukir kalimah Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin di atas kanvas putih skrin ini sempena hari mulia ini untuk mempotretkan rasa syukurku buat ilahi yang terus setia mempertautkan kita dengan jalinan ukhuwwah hingga ke hari ini.

Moga jalinan persahabatan maya yang bisu tanpa suara juga doa ghaib yang mungkin terucap mampu menjana dapatan pahala buat diri kita semasa jaga mahupun setelah beradu lena. Ianya adalah senjata yang cukup ampuh buat kita menongkat keberkatan umur di dunia yang serba fana ini. Bukankah kita pernah dibisikkan oleh baginda rasul memberi inspirasi dengan sabdanya yang membawa maksud bahawa “ Sesungguhnya menghubungkan silaturrahim dan member sumbangan (wang atau ilmu) akan 
memanjangkan umur kita”.

Memanjangkan umur ??

Adakah doa, sedekah dan silaturrahim mampu menginjak ajal kita untuk suatu tempoh yang lebih lama ? Adakah takdir tuhan mampu dirubah ?? Adakah bisa cetakan LUH dipadam ??

Moga2 begitu kawan ! dan begitulah pandangan sebahagian para ulamak kita kan …

Tapi apa gunanya berusia panjang. Apa faedahnya memuja umur. Apa nikmatnya menjangkau fasa kaki dua ke kaki tiga. Apa lazatnya bila makanan sudah tidak terasa enaknya dan badan juga sudah tak punya keaktifannya.

Aaaah, ia seakan mengundang lebih banyak derita dari bahagia.

Apa bahagianya takala kita lebih banyak menyusahkan orang dari member manfaat ? apa untungnya jika mulut lebih banyak bertutur dari minda yang mengatur. Kuasa kawalan diri kurang dan nikmat beribadat semakin menipis. Mungkin pahala sabar sahaja yang menguntungkan kita.

Mungkin kerana itulah aku lebih suka memilih tema keberkatan umur sebagai tafsiran tepatnya.

Merujuk kepada beberapa pandangan ulamak yang memberi konotasi demikian kepada frasa umur yang panjang.

Panjang umur kata mereka adalah keberkatan yang mengilhamkan ketaatan amalan berterusan untuk manusia juga ukiran arca kesolehan yang berkonkrit ikhlas dan manfaat besar seperti penulisan ilmu dan wakaf yang dinikmati massa berganti generasi. Ya, ianya amat mengujakan. Apatah lagi ada sebahagian ulamak menyebutnya dengan didikan zuriat yang berhemah dan berjaya mampu membuahkan kelansungan pokok pahala yang mekar menitipkan hadiah buat jasad kita yang sudah bersemadi berbantalkan nisan.

Sudahkah anda bersedia kawan ?? 

atau anda masih mengimpikan usia yang betul2 panjang ?

Friday, August 17, 2012

Aku dan Tazkirah


Tazkirah oh Tazkirah !

Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan tarbiyyah.

Allah mengajar kita untuk merasakan keprihatinan dan kebersamaan secara praktikal dan amali.

Kita diajar untuk turun ke padang merasai denyut nadi sebenar seorang hamba yang sentiasa meletakkan pergantungannya pada sang pencipta di setiap saat yang berlari. 

Bersabar dengan gigitan kelaparan yang memamah ususnya dan bersyukur pula tatkala kerongkong segar dibasahi nikmat air ketika berbuka, bersungguh pula untuk kekal berdiri dalam saf terawih para hamba yang membenarkan janji tuhannya serta bermujahadah pula untuk kekal bertenaga memburu cahaya hidayah dalam kelam malam yang menyelimuti.

Tapi, tiada maknanya ramadhan jika kita mempunyai hati yang tidak mahu dididik dan ditarbiyyah.

Meladeni ramadhan sekadar rutin dan meneruskan peribadatan sebagai adat yang kosong dari jiwa kehambaan, apatah lagi kefahaman ilmu dan jauh lagi dari merasai keseronokan nikmat ibadat itu sendiri.

Alhamdulillah, dibumi mutiara ini masjidnya subur dengan tazkirah.

Pentasnya sentiasa terisi dengan adunan ilmu yang menyegarkan minda dan jiwa. Ianya tidak pernah menghampakan, ia mempunyai peminatnya tersendiri kerana dengan mudah menghimpunkan ratusan hati untuk kekal menadah hamburan ilmu sepanjang maghrib yang berlangsung.

Jika ini fenomenanya di bulan2 sepanjang tahun, tak hairanlah jika Ramadhan kekal berseri dengan siri tazkirah pencerahan dan perkongsian.

Alhamdulillah kawan, allah memberikan aku peluang berkongsi dan menimba ilmu di pulau yang terserak mutiaranya di pasir ilmu dengan mudah dan tenang.

Namun, ada yang memandang pesimis fenomena ini dan menyatakan ianya bidaah alaf baru untuk menyuburkan perasaan membenci dan bermusuh antara umat, bahkan ianya hanya menjauhkan lagi massa dari rumah allah dibulan ibadat ini. Ianya sememangnya amat mengganggu rutin ibadat di bulan mulia ini. Benarkah ??

Emmm, bagaimana pula kalian ? Apa komen dan pandanganmu kawan ?

Aku juga sebenarnya berada dipersimpangan dilemma. Setiap perkara ada sisi positif dan negatifnya bukan.

Aku lebih suka memilih kebaikan dalam setiap perkara. Memilih yang mudah dan baik itukan prinsip dan cara berfikir nabi untuk umatnya.

Kekadang aku bersetuju dengan pesimis kata yang bersulam frasa sinis seumpama tadi, mungkin beberapa pengalaman peribadi dan omelan rakan yang menyampaikan respon kurang enak pelbagai versi tazkirah yang pernah mereka dengari sebelum ini menjadi fakta kurangnya kewajaran dan keberkesanan tazkirah ini.

Tanpa disangkal, ada beberapa pemberi tazkirah yang menggunakan pentas terawih ini untuk menjuarai isu rakyat dengan pidato mengapi-apikan isu semasa, mengajak memilih antara intan dan kaca, melunaskan dengan contoh dan perumpamaan yang segar dibenak minda namun terpaksa memilih wacana kata2 yang agak tengik dengan nista mahupun perbandingan yang terbias citra tajam negatifnya. Pastinya ia akan menikam kelompok pendengar yang hadir. Tapi belum pasti adakah tikaman itu tepat untuk membunuh dengan cara yang ihsan (mempermudahkan kematian) atau ia hanya tikaman kejam yang meluka dan menyeksakan.

Ternyata, bukan sedikit masa juga perlu diambil untuk mengupas tazkirah seperti ini yang berkapasiti besar dan serius untuk dihadam. Akhirnya, sesi tazkirah menjadi panjang menjangkau masa 45 minit hingga ke sejam. Apatah lagi ianya sengaja di susun di celah terawih untuk memerangkap para pendengar supaya terus setia dan terpaksa rela mendengar tazkirah.

Aah, tahukah engkau kawan ? situasi sebegini kerap membunuh mood beribadat.

Kesannya, hati yang dilentur untuk lembut mendekatkan diri kepada pencipta menjadi keras dalam acuan benci dan amarah. Rasanya ia adalah situasi yang tidak wajar dan perlu diubah.

Aku gemar memilih method sederhana.

Sederhana dalam isi kupasannya begitu juga bersederhana dalam rangkuman masa penyampaiannya.

Sederhana dalam memilih bilahan katanya dan bersederhana dalam membidik perbandingan yang ku harap bias mengenai hati dan pemikirannya.

Melalui pengalaman, aku lebih menyukai tazkirah yang disusun bukan untuk memerangkap pendengar, walaupun ada kebaikannya memaksa jiwa dengan ilmu dan peringatan agar sedikit sebanyak mampu meresapi hati dan perubahannya, apatah lagi jika kalangan khalayak itu sememangnya terkenal sentiasa membelakangi masjid kecuali di bulan ramadhan sahaja.

Tapi tazkirah yang diposisikan sebagai pemula selepas isyak senantiasa bertindak untuk memotivasikan. Dan jika menjadi penamat selepas witir ianya menjadi peringatan bermakna bagi mereka yang sentiasa sudi dan mahu ditarbiyah. Hati lebih mudah tersentuh dan kekentalan ego  jiwa lebih cepat mencair. Tidak memaksa. Tidak terkejar2. Semuanya adalah relaks dan rela.

Aku juga menyukai tazkirah yang berdurasi sekitar 20-30 minit sahaja. Mood ibadat terawih yang menjadi tema ramadhan harus dipupuk dan disemai. Ianya perlu diperkasakan bukannya perlu digantikan dengan alternatif baru. Suburkan kesedaran beragama dan membangkit rasa meluap untuk beribadat adalah faktor utama untuk Tazkirah. Biar diri menjadi lahap untuk merebut tawaran cinta ilahi ini. Pengalamanku, tazkirah yang meleret panjang member kesan kepada kedatangan jamaah disurau ku keesokan harinya.

Nanti ada yang bertanya, mana mungkin tazkirah oleh seorang pemidato hebat hanya perlu disekat untuk masa yang singkat, mukaddimah pun biasanya setengah jam.

Maka jawapannya kawan bukan terletak padamu tetapi kepada para pemberi tazkirah yang HEBAT itu, merekalah yang perlu tahu tentang keutamaan waktu dan kewajaran situasi, merekalah yang terlebih dahulu memilih isu, berfikir tentangnya, memasakkan maklumat dan fakta berkaitannya dan memilih olahan yang terbaik buatnya. Bukanlah yang hebat namanya jika ia menghamburkan apa sahaja yang diketahuinya bak bebelan para ibu terhadap zuriatnya yang pemalas. Kalau begitu, sang ibu juga boleh dijemput kepentas tazkirah suatu hari nanti.

Teringat aku pada pandangan guruku.

Khutbah hanya perlu membidik hati dan perasaan. Ia seni menerobos dalam diri membangkit sedar dan menyuntik keinsafan. Ia kata guruku USLUB ADABIYY sepenuhnya. 

Lihatlah khutbah nabi yang dipenuhi ayat2 cinta dan keinsafan petikan dari quran semata2.
Ianya membangki jiwa dan rohani. Memangkin perubahan. Membentur diri dengan akhlak terpuji.

USLUB ILMIYY diadun dalam kuliah dan pengajian. Berwatak akademik. Lebih gemar bercakap kepada minda dan logic dengan susunan fakta dan idea yang terbaik. Ianya lebih formal dan serius.

Dan aku lebih suka untuk memilih hati dalam sesi tazkirah.

Moga ianya memotivasikan dan bukan memandulkan ibadat.

Moga ianya mendekatkan dan bukan menjauhkan.

Moga ianya menghimpunkan dan bukannya memecahbelahkan.

Moga amalanku diterimanya.

Tazkirah Ramadhan


Ramadhan
Tarikh
Hari
Tempat
Alamat
1  Ramadhan
20 Julai
Jumaat
Surau As Salikin
Bandar Putra Bertam
2
21
Sabtu


3
22
Ahad


4
23
Isnin


5
24
Selasa
Surau An Nur
Taman Seri Menerung, Kubang Menerung
6
25
Rabu
Surau As Salikin
Bandar Putra Bertam
7
26 Julai
Khamis
Surau Bagan Tambang
Telok Air Tawar
8  Ramadhan
27
Jumaat
Surau As Salikin
Bandar Putra Bertam
9
28
Sabtu
Master Bahasa Arab Di INSANIYYAH
Mergong, Alor Setar



Surau Taman Markisa
Bukit Mertajam
10
29
Ahad
Surau As Sakinah
Taman Seri Pauh , Pmtg Pauh



Masjid Bukit Indera Muda
Kuliah Subuh
11
30
Isnin


12
31
Selasa


13
1 Ogos
Rabu
Masjid Permatang Janggus
Pmtg Pauh
14
2
Khamis
Surau Madinatul Anbiya’
Kuarters Pegawai Kastam, Bukit Gelugor
15 Ramadhan
3
Jumaat


16
4
Sabtu
Master Bahasa Arab Di INSANIYYAH
Mergong, Alor Setar
17
5 Ogos
Ahad
Surau An Nur
Taman Serai Wangi, Padang Serai
18
6
Isnin


19
7
Selasa
Surau As Salikin
Bandar Putra Bertam
20
8
Rabu
Masjid Al Muttaqin
Bandar Putra Bertam
21
9
Khamis
Surau Al A’la
Taman Desa Sena , Kepala Batas
22 Ramadhan
10 Ogos
Jumaat
Surau SMK Convent
Bukit Mertajam
23
11
Sabtu
Master Bahasa Arab Di INSANIYYAH
Mergong, Alor Setar
24
12
Ahad
Surau Al Furqan
Taman Seri Indah, K.Batas (Subuh)



Surau Tati
Telok Air Tawar Indah
25
13
Isnin
Surau An Nur
Taman Seri Menerung, Kubang Menerung
26
14
Selasa
Surau SMK Alma
Bukit Mertajam
27
15
Rabu
Surau Taman Markisa
Bukit Mertajam
28
16
Khamis
Masjid Al Muttaqin
Bandar Putra Bertam
29
17
Jumaat


30
18 Ogos
Sabtu


1 Syawal
19 Ogos 12
Ahad
Masjid At Toyyibah
Kg. Guchil Bayam, Kelantan