Monday, August 20, 2012

Salam Keberkatan Aidilfitri


Hey Kawan !

Moga berbahagia dihari lebaran ini.

Moga belum terlambat untuk aku mengukir kalimah Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin di atas kanvas putih skrin ini sempena hari mulia ini untuk mempotretkan rasa syukurku buat ilahi yang terus setia mempertautkan kita dengan jalinan ukhuwwah hingga ke hari ini.

Moga jalinan persahabatan maya yang bisu tanpa suara juga doa ghaib yang mungkin terucap mampu menjana dapatan pahala buat diri kita semasa jaga mahupun setelah beradu lena. Ianya adalah senjata yang cukup ampuh buat kita menongkat keberkatan umur di dunia yang serba fana ini. Bukankah kita pernah dibisikkan oleh baginda rasul memberi inspirasi dengan sabdanya yang membawa maksud bahawa “ Sesungguhnya menghubungkan silaturrahim dan member sumbangan (wang atau ilmu) akan 
memanjangkan umur kita”.

Memanjangkan umur ??

Adakah doa, sedekah dan silaturrahim mampu menginjak ajal kita untuk suatu tempoh yang lebih lama ? Adakah takdir tuhan mampu dirubah ?? Adakah bisa cetakan LUH dipadam ??

Moga2 begitu kawan ! dan begitulah pandangan sebahagian para ulamak kita kan …

Tapi apa gunanya berusia panjang. Apa faedahnya memuja umur. Apa nikmatnya menjangkau fasa kaki dua ke kaki tiga. Apa lazatnya bila makanan sudah tidak terasa enaknya dan badan juga sudah tak punya keaktifannya.

Aaaah, ia seakan mengundang lebih banyak derita dari bahagia.

Apa bahagianya takala kita lebih banyak menyusahkan orang dari member manfaat ? apa untungnya jika mulut lebih banyak bertutur dari minda yang mengatur. Kuasa kawalan diri kurang dan nikmat beribadat semakin menipis. Mungkin pahala sabar sahaja yang menguntungkan kita.

Mungkin kerana itulah aku lebih suka memilih tema keberkatan umur sebagai tafsiran tepatnya.

Merujuk kepada beberapa pandangan ulamak yang memberi konotasi demikian kepada frasa umur yang panjang.

Panjang umur kata mereka adalah keberkatan yang mengilhamkan ketaatan amalan berterusan untuk manusia juga ukiran arca kesolehan yang berkonkrit ikhlas dan manfaat besar seperti penulisan ilmu dan wakaf yang dinikmati massa berganti generasi. Ya, ianya amat mengujakan. Apatah lagi ada sebahagian ulamak menyebutnya dengan didikan zuriat yang berhemah dan berjaya mampu membuahkan kelansungan pokok pahala yang mekar menitipkan hadiah buat jasad kita yang sudah bersemadi berbantalkan nisan.

Sudahkah anda bersedia kawan ?? 

atau anda masih mengimpikan usia yang betul2 panjang ?

No comments:

Post a Comment