Monday, February 15, 2010

Kreativiti Haram

Kreatif Berhikmah

Hikmah kebijaksanaan adalah milik mereka yang beriman.

Mereka mencari redha Allah di atas setiap ciptaan dan idea untuk memanfaatkan erti kehidupan ini. Moga kebernasan kreativiti akan membuahkan manfaat.

Sayangnya, dewasa ini kreativiti semakin songsang dan dimiliki mereka yang menyonsong fitrah.

Kempen Negatif

Terbaru, seolah belum terlintas pun diminda akan wujudnya kempen NO PANTIES untuk para kekasih meraikan hari percintaan mereka.

Kempen untuk para gadis membuktikan kesetiaan cinta mereka tanpa prejudis, berani mendepani apa saja cabaran, menghilangkan apa saja halangan cinta. Dan kali ini mungkin seluar dalam itulah bentengnya.



Tanpa disangka, kempen sedemikian cepat menjadi hebahan dan bualan para muda-mudi.

Bahkan tak tersipu pun mereka menyahut berani setiap cabaran kreatif ini, apa salahnya kita melakukan satu perkara baru dalam satu sambutan hari kekasih tahun ini.

Ini hak asasi setiap individu untuk berpakaian dan bersosial, tiada sipa yang boleh mengatakan jangan atau tidak – pantas mereka menegakkan hujah nafsu muda mereka.

Mungkin jika kita mampu bertanya : Siapakah kekasih sejati abad ini ? Siapakah yang tidak memakai seluar dalam hari ini ? Sila angkat tangan.

Mungkin juga tanpa segan silu, mereka akan bersorak ceria mendabik diri sebagai pasangan ROMEO JULIET sejati abad ini.

Realiti Hasil Valentine Terlarang

Lumrah alam di akhir zaman, kemungkaran akan terus berleluasa menelan kemakrufan.

Realitinya, tanpa kempen ini pun para kekasih sudah lama kehilangan seluar dalamnya.

Berapa ramai sudah yang terjebak dengan perzinaan dan aksi sumbang, betapa pula bayi luar nikah telah dihasilkan dan berapa pula yang telah terbuang.

Klimaksnya, mungkin juga tak terjangkau dek akal, bila kreativiti haram ini semakin menggila, anak kecil tidak berdosa terus menjadi mangsa.

Dan sempena hari kekasih 2010 ini diraikan, hadiah awal sudah tertera di dada akhbar.

Mungkinkah ia kebetulan, atau ianya natijah satu kreativiti haram yang semakin menyaluti rumpun kita alaf ini.

Bayi kecil tidak berdosa akhirnya rentung terbakar.



Tahniah atas kreativiti ini, mungkin bayinya kurang terseksa dari dibiar mati kesejukan sepanjang malam, atau digonggong anjing gila meratah tubuh kerdilnya mahupun dibiar menjadi santapan semut dan nyamuk.

Allah maha mengasihani anak-anak kecil ini, tapi bagi ibubapanya …. Allah itu maha agung dan keras azab seksanya, moga yang terpilih diberi hidayah dan yang sengaja sesat dibalas ganjaran setimpalnya.

Saturday, February 13, 2010

Ke Pangkuan Ayah Ibu

Ikutkan hati Innova ini saya ingin henjut selaju yang mungkin, seusai solat jumaat lagi ingin saya luncurkannya di atas aspal timur barat, gagah mendaki cerun, lasak menuruni lembah.

Walau semilir angina bertiup kencang, membawa bilahan masa berlalu pergi, saya akan terus menekan pedal, walau mata dihinggap kantuk, walau badan lesu seribu, kerana niat dihati, biar cepat menjejak destinasi.

Tapi suara rasional saya membantah, biarkan tubuh mendapat rehat, biar minda segar berfokus dan biarkan jalan beransur pulih.

Meluncur dihari jumaat umpama mencari bala dan penat, jalanan tersesak tenat.Entah bila destinasi mampu dijejak enak.

Saya difahamkan, kepulangan ke kelantan pada hari pertama cuti sebegitu pastinya akan mengundang sesak yang menguji kesabaran.

Hari ini, selepas subuh kami bertolak, latihan bangun awal hari persekolahan mempermudahkan anak-anak bersiap dan bersedia lebih awal. Tiada yang meragam. Terima kasih anak-anak abah.

Bersarapan dengan sandwich telur yang sempat disediakan awal oleh isteri tercinta, saya focus memandu. Jam 730 pagi kami sudah dijalanraya. Bergerak lancar dari penang ke kulim, dari kulim ke grik, dari grik menuju jeli dan terus ke kota bharu.

Perjalanan lancer dengan jangkaun kelajuan sekitar 70-80km sejam. Jalan dilimpahi kereta. Walau tiada zon pecut, perjalanan tidak terganggu. Tapi masih terdapat sekurang-kurangnya 3 kemalangan tahap sederhana serius yang saya saksikan. Tiada kemalangan jiwa saya kira.

Ya allah, selamatkanlah perjalanan ini.

Jam 2 saya tiba di kampong halaman. Bercuti di Kampung sempena raya cina. Situasi yang tidak pernah saya nikmati sejak berkeluarga ini.

Seingat saya, bersama ayah dan ibu sempena raya cina ini berlaku lebih 10 tahun dahulu, berlangsung dalam suasana meriah khas untuk anak yang pertama berlepas kea lam perkahwinan. Hari tersebut adalah hari kenduri menerima menantu. Saya dan isteri baru melapor diri sebagai bakal guru di maktab perguruan islam bangi tahun 2000.

Hari ini, wajah ibu yang saya panggil MAMI saya tatap sedalamnya. Saya salaminya dan cium pipinya . Terasa getaran kasih masih hebat dihati seorang ibu.

Saya pastikan setiap anak menyantuni neneknya. TUK MI mereka disalami seorang demi seorang. Rasa rindu terubat puas, ngomelan untuk pulang kekampung sebelum ini akhirnya terpadam dengan aliran sentuhan yang mengalir ditangan nenek tua mereka ini.

ABAH datang dengan watak seriusnya. Namun mesra bersama cucunya tidak terlindung. Pantas diangkat dukung cucu kecil dan diacah ceria.

ABAH dan MAMI, saya janji pada nafas yang masih berbaki, moga allah berikan kekuatan untuk saya memenuhi azam lama saya, jadikan saya anak soleh yang sentiasa berbakti pada orang tuanya.

ABAH dan MAMI, terima kasih atas segala jasa, didikan dan agama yang diberikan, jua dengan kesabaran menangani karenah anakmua ini.

Terima kasih kerana menjaga dan tidak membuang saya.

p.s : Masih terkenang malang nasib anak yang dibuang. Andainya suara itu didengari cuping telinga manusiawi, takkan tergamak mereka dibiar mati sendirian. Terasa pasti sedihnya tangisan perpisahan anak kecil itu dimalam yang serba kejam ini.

Friday, February 12, 2010

Terima Kasih Valentine Day

Hadiah Valentine

Terima kasih kerana melahirkan saya ke dunia, melihat alam maya ini walau buat seketika. Melihat cerlang langit dan pancaran mataharinya.

Terima kasih juga kerana memberikan peluang untuk menghirup udara segar dan bernafas ceria dibumi tuhan ini.

Jeritan kecil saya memecah suasana sekejap cuma, meneriakkan kegembiraan diri dan kesyukuran, syukurnya dilahirkan sempurna oleh seorang ibu yang sanggup berpantang ajal demi kewujudan saya.

Saya sayang ibu dan ayah. Ibu dan ayah adalah sumber inspirasi hidup saya.

Ayah dan ibulah permulaan saya, kurnia tuhan menjemput ceria jiwa kecil saya. Saya berjanji ayah dan ibu , engkau berdua akan saya hormat dan sanjungi sepanjang langkah hidup saya.

Berikan peluang saya menghormatimu, menyanjungmu dan berkorban demi melihat dikau ceria suatu hari nanti.

Ya allah, lindungilah kedua manusia ini yang menghantarku kedunia ini.

Selamatkanlah mereka, selama-lamanya ……



Monolog si Kecil

Tapi kini kedinginan menyelubungi diri kecil ini, mana hangat badan ibu menyelimut saya. Dimana tangan ibu menepuk mesra tubuh kerdil ini. Saya kehausan.

Saya dahagakan kasih ibu menyentuh tubuh saya, menyuapkan setiap nadi nafas saya dengan aliran cinta sayangmu.Tapi mana ibu ??

Mana suara ayah mendodoikan azan pertama ketelinga saya, mana tangan gagahnya memangku saya dan menjulang acah ceria menyambut kehadiran saya.

Saya ditinggal keseorangan. Dibalut pekat malam yang mendinginkan.

Ditemani sedikit unggas malam yang menyanyikan lagu sedih. Kejamnya malam ini, sang nyamuk dan titis embun menyakitkan saya.

Mungkin semut lebih menyayangi

Saya kesakitan, ibu… datanglah selamatkan saya. Tepislah nyamuk besar ini. Dia mengigit saya. Cebisan kain buruk ini tak mampu menutup lindung seluruh badan saya.

Ibu…ayah…. Tolong saya. Saya lihat ada semut gila datang. Dia diatas telinga kiri saya. Dia memanggil bondongan kawanya. Koloni semut sedang menghampiri saya.



Ibu… Mereka gigit saya. Ibu… saya sejuk…., ibu saya haus, ibu saya sakit.

Saya menangis.

Jeritan saya ditengah malam tiada yang mendengarnya.Pedihnya amat.

Gigitan serangga tidak sepedih kehilangan ibu dan ayah.

Saya mahukan ibu…. Saya rindukan ayah.

Jangan tinggalkan saya disini. Ampunkan saya jika saya bersalah.

Oh, tuhan, ampunkanlah dosa hamba kecilmu ini.

p.s : hiba hati menulis entry ini, bersama lagu ayah dan ibu nyanyian sudirman yang saya sengaja pasang, ia menusuk hati dan perasaan. Apalah malangnya nasib anak kecil ini.

Terima kasih buat para warga yang merayakan Valentime. Terima kasih atas hadiah anda buat alam ini.

Al Fatihah Buat Abang Kahar

Al Fatihah Buat Abang Kahar.

Saya selesa memanggilnya Abang Kahar.

Perkenalan di Sabah banyak mengajarkan erti manisnya persahabatan.

Beliau berkelana ke Sabah menongkah arus kehidupan, mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya. Bersama isteri tercinta yang saya panggil Kak Nah, mereka mendiami markas pertama pemuda di Kampung Likas.

Dengan kelebihan rajin dan kepakarannya memasak, Nasi dagang terengganunya cepat tersohor diseluruh Kota Kinabalu ini. Apatah lagi perkhidmatannya yang cekap dan mudah bertolak ansur. Cateringnya menjadi antara favourite kegemaran saya.

Tak hairanlah, sekolah saya antara yang selalu mengambil tempahan darinya termasuklah dalam acara Majlis Berbuka Puasa, Kem Ko-Kurikulum di Malanggang, Hari Raya dan sebagainya.

Hubungan kami lebih akrab kerana beberapa orang anak beliau pernah berguru dengan saya di SMK P Likas ini, Siti Hajar dan Siti Hasanah adalah antara anak didik bahasa arab saya dan penggerak utama BALKIS di sabah dulu.

Bukan sekadar itu sahaja, jejak pengalaman dalam perjuangan dakwah mengikat kami bersama. Beliau ternyata mempunyai banyak pengalaman dan cerita. Ia dikongsi dalam rantaian usaha memurnikan imej Islam dimata masyarakat dengan pelbagai dimensi dakwah. Ternyata ianya amat indah untuk dikenang.

Cerita kami terpisah selepas beliau terpaksa kembali ke Terengganu menguruskan keluarga dan ibunya yang uzur pada awal 2009 yang lalu.

Tapi semalam tepat jam 10.30malam, kotak mesej saya dihujani dengan berita pemergiaannya yang mengejutkan. Terlibat dalam kemalangan motorsikal. Beliau meninggal dunia ditempat kejadian. Anaknya tidak lupa untuk memaklumkan kehilangan ini.

Ditengah malam saya membaca al fatihah bersama doa dipanjat, moga allah menerimanya.

Berita pemergiaanya direkod sahabat saya saudara Nasirin yang juga merupakan sepupunya, diblog popularnya Stay Alive.2.154, http://inksensei.wordpress.com/

Tadi, saya menerima panggilan telefon dari adik saya yang menerima panggilan telefon dari sepupu saya mengabarkan sepupu saya; yang saya panggil Abang Kahar telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.

Beliau dilanggar kereta sewaktu menaiki motorsikalnya di Kuala Terengganu.

Abang Kahar adalah anak kepada ibu saudara saya yang saya panggil Che’ De Nah. Adik kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut. Dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang dengan Islam. Pernah berhijrah ke Sabah bersama keluarganya. Saya pasti sahabat-sahabat jemaah di KK mengenali beliau. Sering kami order ‘katering’ dari Allahyarham bila ada majlis membabitkan jemaah.

Allahyarham yang saya kenali adalah seorang yang jujur & tabah, & seorang sepupu yang prihatin.

Saya mohon 10 saat dari masa tuan puan & sesiapa saja yang mengenali beliau, semua yang membaca blog ini, untuk mendoakan agar Allah menempatkan Abang Kahar di kalangan orang-orang yang soleh, & kita mulakan dengan A-Fatihah.Terimakasih.

Setiap saat, kita makin dekat dengan kematian…bersediakah kita?

Wednesday, February 10, 2010

Canteen Day SXI

Kantin Bercuti

Hari kantin datang jua. Bersama kemeriahannya yang tersendiri.

Penyusunan yang begitu sistematik, setiap kelas dan persatuan mendapat hak untuk mencari dana dan keuntungan.

Variasi aktiviti, jualan, makanan, minuman dan permainan terhidang untuk anak kaya warga St Xavier ini menabur sumbangan. Ternyata suasana gamat dan meriah.

Penganjuran saya kira amat berjaya. Mungkin pengalaman lama adalah resepinya. Tahniah.

Bersama mengikuti hari Charity Drive dan Canteen Day ini ialah BAKTI, dengan modal permulaan RM 20. Majlis yang berlansung hamper 2 minggu itu menyaksikan keuntungan bersih luar biasa yang berjaya dicatatkan.

Dengan jualan sandwich setiap pagi selama seminggu, dagangannya tidak pernah bersisa.



Bakti menggalas Juadah

Hari Kantin pula melihatkan tenaga muda BAKTI ini memulakan kempen agresif jualan mereka lebih awal, dengan kempen promosi dan gimik diskaun, mereka juga menawarkan hadiah misteri untuk pembeli bertuah. Hasilnya saya melihat senarai daftar tempahan melimpah hingga ke 130 orang.

Bermodalkan Pizza Junior, Islamic Spaggeti dan Air Jus Jimi Asmara, BAKTI mampu mencatatkan jualan hingga RM 560 dari jam 8 hingga 11.00 pagi. Satu pencapaian yang saya kagum dan tidak disangka.

Saya juga menikmati juadah istimewa ini dengan perasaan takjub dan syukur. Memang menyelerakan dan berbaloi. Apatah lagi harga hidangan untuk saya adalah percuma.

Mana ada makanan percuma yang tak sedap, apatah lagi time lapar.

Setelah dicampur tolak, keuntungan bersih sempena minggu kebajikan ini buat Badan Kepimpinan dan Tarbiah Islam ialah RM 257.60.

Alhamdulillah.



Tuah Resepi Rahsia

Dan hari ini resepi pizza junior tersebut saya ubah dan hidangkan untuk anak-anak kesayangan saya dirumah.

Dengan mulut yang penuh berisi keju dan pizza, mereka memuji keenakan dan kepakaran chef baru keluarga bertuah ini.

“Memang abah pandai masak, sedap……” kata mereka sambil menghabiskan 3-4 roti pizza junior yang sengaja saya buatkan untuk mereka.

Kalau hari-hari abah masak kan best…. Jerit mereka lagi. Saya tersenyum bersama jelingan Mamanya .

Tuesday, February 9, 2010

Tanggungjawab Prihatin

Prihatin Semut

Benar, kita hidup dalam islam umpama koloni semut.

Saling Bantu membantu. Bekerjasama. Bertegur sapa. Mengambil berat. Mengambil tahu. Berat sama diunjung ringan sama dijinjing, besar gajah sama dilapah, kecil daun sama dicecah.

Maksud hadis nabi yang diriwayatkan bukhari dan muslim ada menyebut : orang islam berusaha menyelamatkan dan tidak menyakiti, membantu dan tidak membiarkan, menyembunyikan rahsia dan tidak mendedahkan,

Memang islam mengambil berat hal saudaranya. Ia perlu hidup membantu, perlu bijak menyelesaikan masalah dan perlu tahu untuk menyelamatkan.

Untuk itu Lee, jangan salahkan orang lain yang melihat dan cuba menasihat kesalahan kita. Jangan sentiasa memandang serong niat baik orang lain. Mungkin mereka lebih ingin mendamaikan dari mahu bersengketa. Mahu mencari ruang positif dari konflik negative.

Kita juga jangan sengaja mengundang padah fitnah. Kita juga yang merana.



Undangan Padah Fitnah

Bayangkan ustaz dalam perjalanan pulang kehausan, Ustaz singgah sekejap melepas lelah dan penat. Melabuhkan punggung dijemari kerusi yang empuk, ustaz memesan order disebuah kedai cina yang terletak diperjalanan. Bawakan saya segelas fresh orange.

Pelayan membawa minuman. Gelas besar berbuih air bikarbonat berperisa oren memecahkan aroma hidung. Warna dan baunya menyelerakan. Tapi sayangnya ia dihidang dalam gelas classic tertulis nama TIGER disisinya. Mahukah ustaz meminumnya ? tak salah dan tak berdosa kan.Ustaz bukannya minum arak. Gelas arak itu suci jika dibasuh, ia tidak perlu disamak. Jika begitu tak salahkan ustaz minum…./

Memang tak salah, tapi jika ada seorang pelajar ustaz yang ternampak. Apa dia akan kata. Tak sangka ustaz pun minum juga. Dari jauh oren warna air umpama cairan haram TIGER yang diteguk. Orang lain mana tahu, pedulikan perasaan orang lain asalkan ustaz tahu apa yang ustaz buat itu halal. Bukankah begitu.

Tapi tidak, ustaz akan sengaja mengundang fitnah, fitnah bukan kerana ustaz hendak dipermalukan, tapi terfitnah kerana kebodohan sendiri.

Orang takkan mempercayai ustaz lagi, reputasi ustaz akan jatuh tercemar. Walau ustaz tak bersalah meminum yang halal, tapi ustaz bersalah menconteng arang kepada maruah ustaz sendiri.

Bodohnya ustaz kan, kalau begitu.

Mukanya berbenih ceria, contoh santai menggeletek hatinya. Lee tersenyum dalam sedar nasihat.

Dungu Sendiri

Jadi kita kena berhati2, jangan tindakan kita mencemarkan peribadi kita. Apatah lagi perbuatan kita merosakkan nama baik islam.

Oleh itu kita sepatutnya wajar menerima hukuman atas jenayah ketidakpedulian kita.



Kalau ustaz kebandar pulau pinang dan bertemu kawan lama, sudah puluhan tahun sejak kembali dari Jordan tidak bertemu. Lalu perkenalan sejenak memerlukan hubungan yang lebih panjang dan berkekalan. Ustaz minta nombor telefonnya.

Dia menyebut angkanya. Baru ustaz sedar, hanphone ustaz tertinggal, ustaz mengambil pen namun tiada kertasnya.

Terpandang kertas disimen koridor, ustaz pungut dan mencatatnya. Tidak pedulikan kertas itu dari mana. Walaupun kertas itu sebenarnya kertas tertulis TOTO – TIKAM EKOR.

Ustaz bukan berjudi kan, tak salah untuk ustaz mencatat nombor telefon kawan kan. Dan ustaz terus masukkannya kedalam kocek baju.

Ya, tak salah, tapi bayangkan jika ustaz pergi solat berjemaah sebagai imam, ustaz mula takbir qiam dan rukuk, tetiba kertas nombor ekor itu terjatuh didepan khalayak. Apa persepsi masyarakat, mampukah ustaz menjelaskan segalanya. Atau telah terpatri persepsi negative ustaz pada minda masyarakat.

Sekarang siapa yang salah, khalayak yang memberi tanggapan yang silap atau ustaz yang alpa dan dungu dalam membaca situasi dakwah.

Memang betul ustaz. Lee mengangguk kepalanya sambil mindanya terbayang komedi lucu diruang solat, bagaimana seorang imam sedang mempertahankan dirinya bila rahsia nombor ekornya terbongkar percuma.

Dia ketawa ceria.

Moga sketsa lucu mindanya dapat membawakannya kealam reality islam dan dakwah.

Moga dia lebih memahami dan menghayati.

Percaya itu Bahagia

Bilik Bermanfaat

Kelas bersurai. Loceng rehat berbunyi.

Saya masih dibilik agama. Menanda satu dua jawapan latihan pelajar.

Seperti biasa, berbondong salam menerjah gegendang telinga saya bersama kelibat pelajar yang sentiasa menziarahi dikala rehat begini.

Mereka lebih suka menghabiskan umur muda dibilik ini dari menganyang nasi dan mee sup dikantin sekolah.

Pernah saya bertanya mereka. Kenapa tak turun ke kantin? Tak rasa lapar ke ?

Kami tak lapar ustaz,kami dah makan dirumah tadi” jawab seorang pelajar berbadan gempal.

Kami suka berada kat bilik ini, ini port kami berjumpa dengan sahabat2 kelas lain.

Kami nak Tanya dan berbincang dengan ustaz. Biar minda dan hati kami terisi sikit. Banyak soalan kami ini.” Antara jawapan yang sering pelajar kemukakan.

Baiklah, tanyalah apa yang terbuku diminda, kita bincang dan pilih jawapan terbaiknya.



Terungkai kusut

Tika itu, masuk seorang pelajar. Memang dialah sasaran saya pagi ini. Dia mendatangi saya dan duduk dikerusi paling hampir dengan saya.

Pelajar yang dilaporkan bermasalah. Pelajar yang mempunyai konflik agama yang cukup kronik meruncing.

Saya berhati2 memulakan bicara. Takut ada yang terluka. Hati akan mencuka dan pintu hidayah tidak terbuka.

Ustaz sempat mengunjungi jenazah Brother tempoh hari. Ustaz pergi bersama beberapa orang rakan BAKTI. Cikgu emmanuel banyak membantu disana.

Saya pun pergi juga. Ramai orang yang datang beri penghormatan.

Lee ! Ustaz nak Tanya sikit, ujar saya dengan nada yang sedikit dikuatkan serius. Ustaz dengar Lee masih minum arak. Ada pelajar yang beritahu ustaz, betul ke ? ustaz masih tak percaya. Tapi ustaz masih mahukan penjelasan Lee.

Ustaz juga tahu Lee ada dalam majlis pengkebumian Brother. Sambil berdiri dan menyanyi bersama membaca mantera. Itukan majlis keagamaan, kenapa Lee masih ikut.

Dia tersenyum tidak tergugat. Aahh! Biarlah ustaz, diaorang semua pandang saya lain macam. Semua kata saya buat benda yang salah, saya dah tak peduli dah apa orang lain kata.

Tapi mereka lihat Lee masih memegang botol. Sama macam botol arak. Kan Ustaz pernah nampak Lee pegang botol hijau sama macam botol arak hari kantin yang lepas, takde pelekat pulak tu, mana ustaz tahu benda tu halal ke haram” Saya mula memerangkapnya.

“Saya bukan minum arak, Ustaz. Saya kan dah berjanji takkan minum arak. Saya dah kena cacar ni, bekasnya masih berparut dan uratnya masih mencengkam, nyeri dan ngilu masih terasa, saya takkan minum lagi”

“Saya minum “Kampai”, ia dijual di seven eleven, ia tidak beralkohol dan bukannya arak. Ia minuman bertenaga untuk para atlit. Saya memang selalu minum semasa latihan dulu.” Jelas Lee yakin. Dan saya semakin meyakininya apabila Cikgu Nazri, salah seorang cikgu sukan disekolah ini mengiakannya bila saya ajukan perkara ini.

Saya juga memasuki gereja kerana saya menghormati Brother, dia umpama ayah bagi saya. Saya selalu bercakap dengan beliau dan dia pun ada banyak menasihati saya. Takkan saya tidak menghadiri pengkebumiaannya. Saya tak sanggup mengaibkan jenazahnya, jadi bila semua orang bangun berdiri, takkan saya nak duduk. Bila orang membaca doa, saya tunduk saja tidak membacanya. Jelas Lee merungkai kekusutan masalah.



Prihatin Masalah

Terbening dalam minda punca masalah. Terungkai melalui ekspesi tindakan dan penjelasan. Tercerna melalui tingkah dan prasangka.

Lalu saya berkata : Ustaz memang mempercayai Lee, kalau Lee berkata benar, Lee tidak bersalah selama mana tidak mempercayai dan terlibat menidakkan kuasa Allah dan Islam. Begitu juga tidak berdosa meminum minuman yang bukannya arak.

Tapi,ustaz melihat sesuatu perkara, ringkas tapi cukup signifikan, simple tapi amat bermakna.

Semuanya timbul apabila Lee sudah tidak mempedulikan perasaan orang lain, membenci sikap ambil tahu ukhuwwah islam, sengaja menempah tohmahan dan fitnah supaya sedikit dapat menyakiti hati saudara seislam.



Kenapa Lee sengaja membuang label botol minuman tersebut ? kenapa juga masih mahu berdiri menunjuk protes kepada sesetengah rakan islam yang juga berada di gereja itu, mereka tidak berdiri, dan mereka sebagaimana yang beragama hindu, budha diberi kebenaran untuk sama2 tidak berdoa dan berdiri atas alasan perbezaan beragama, ianya tidak mengaibkan, ianya sudah jelas diperingatkan oleh pengerusi majlis hari itu, Brother Paul Ho, bekas pengetua sekolah, kan.

Sengaja mengundang tohmahan membawa erti kesalahan itu dituding kepada kita bukan hanya orang lain, kita yang sengaja membiarkan orang membuat persepsi. Kita yang sengaja membiarkan diri kita ditembak fitnah, adakah lepas itu kita mahu minta pahala dari tuhan kerana difitnah.

Ia natijah kerana kebodohan sendiri. Ia padah dari kealpaan kita.

Jadi beringatlah.

Wajahnya berubah mencuka, hatinya terguris luka.