Tuesday, March 27, 2012

Bolasepak dan SMK Alma


Hey Kawan ...

Sihatkah kalian hari ini ? Jika begitu, syukur dan Alhamdulillah.

Pujilah Allah dengan bahasa lisan dan juga bahasa batinmu kerana hanya Allah sahaja yang berhak dipuji dan disyukuri. Allah yang merencana takdir, biarpun takdirmu hari ini sihat dan diselubungi afiat, itu yang terbaik buatmu dan sememangnya Allah menghendaki kebaikan buatmu, Dan jika Qalam telah menulis sakit dan kemalangan buatmu, Alhamdulillah ... Pujilah allah dan bersabarlah, terselit dicelah musibah pelbagai manfaat dan kebaikan takdir ilahi buat mu sahabat. Tiada yang tertulis buat kita para insan kecuali kebaikan bukan ..... mungkin terlalu pantas dan segera nikmatnya, maka kita perolehinya didunia dan mungkin ia ditangguhkan seketika... kita pasti jumpainya diakhirat sana.

Bukankah begitu kawan ?? Yakinkah Kalian ..... Ya, dan aku meyakininya kawan !!!

Dan begitu juga denganku kawan , mungkin kalian ada yang tertanya apakah kesudahan nasib pasukan kerdil bolasepak yang pernah aku ceritakan padamu.

Alhamdulillah, setelah pertembungan sengit dengan SMK Machang Bubuk yang berkesudahan kemenangan 3-1 berpihak buat kami untuk bergaya melangkah ke suku akhir sebagai juara kumpulan. Kami juga turun petang tadi dan mengesahkan untuk berjaya mara ke separuh akhir dengan menjinakkan SMK Berapit sekali lagi dengan kemenangan muktamad penalty 3-1.

Melihat kalender pertandingan, aku merenung tanggal khamis dan jumaat ini sebagai hari peraduan untuk separuh akhir dan final.

Entah apalah nasib pasukan cilik asuhanku ini ...... namun yang aku pasti, rutin jadual minggu ini pastinya padat buatku.

Thursday, March 22, 2012

Rutin Masaku


Hey Kawan, Moga kalian sihat disana !

Aku disini masih di jera timbunan tugas yang menghimpit. Ku dayung langkahku laju menyonsong arus kerja yang mula beralun gelombang kesibukan. Alunan arus dalam alur sungai kerjaya ini kekadang bergerak tenang tanpa riak gelombang tapi kekadang terjahan ombaknya amat keras melambung aku ke perdu diri kepenatan.

Alhamdulillah, pagi tadi aku selesai mengadili penghakiman SYARAHAN SPONTAN bagi peringkat zon satu di bukit mertajam, acara MTQ kali ini berlangsung lancar dengan mempertaruhkan pertandingan yang berfokuskan kemampuan menghayati kalam allah yang mulia ini. Hanya acara hafazan, tilawah dan syarahan sahaja yang dipertandingkan kali ini. Itupun syarahannya sudah tidak lagi perlu bergomol dengan teks yang panjang. Hanya dengan 5 minit syarahan dan 2 minit untuk mengitari memori dengan kandungan kupasan tajuk spontan, tugasan penjurianku deras menuju penamatnya.

Pemerhatianku kawan, anak2 didik kita ini sebenarnya mampu untuk menguasai maudhuk syarahan ini dengan baik. Dengan sedikit tunjuk ajar dan juga latihan mengenai format mengutarakan pandangan melalui syarhan yang bersifat spontan ini, syarahan mereka sudah ku kira bernas dan baik prestasinya. Dalam tak terduga, ada dalam kalangan peserta tadi yang mengupas tajuk spontan dengan baik disokong dengan dalil dan fakta lagi. Terdetik dihati kecilku ..... pendedahan dan peluang sebegini tidak pernah wujud dizaman remaja ku dahulu. Moga generasi baru ini akan lebih mantap dan berinspirasi kreatif dalam uslub dakwah mereka.

Usai penghakiman, aku dijemput ke bilik penyelaras agama di PPD tengah, bertemu dengan Ustaz Sobri dan kemudiannya dengan ketua unit akademik En Azzudin banyak mengajarkan aku tentang struktur dan kerja pengurusan akademik yang penuh dengan prosuder dan semangat ingin berkongsi kejayaan sesama anggota ppd yang sama. Dipenghujungnya, aku disunting untuk turut serta berkongsi ilmu dan memartabatkan bahasa arab yang semakin hari keputusannya semakin merudum di daerah tengah ini.

Aku tersenyum kelat .... Dalam hatiku, tentera pesimis cepat meluncurkan idea buruk kepadaku, kepenatan dan kekangan masa untukku belajar pasti menghambat kudrat tulang empat keratku ini, apatah lagi minda tua ku ini. Namun tentera optimisku mula berbicara, menangkis satu persatu alasan buruk yang menelurkan kelunturan semangatku. Mereka mengangkat panji semangat UKHUWWAH dan TEGA MEMBANTU patut aku budayakan dalam kehidupan ini.
Dalam pengorbanan penat membantu rakan - Allah pasti akan melepaskan kepenatanku berdepan huru hara mahsyar nanti.

Setelah sejam berbahasa dan berbahas panjang lebar. Aku akur dan bersetuju untuk turut berkongi idea dan bukannya menongkat diri ke persada populariti. Aku hanya insan kerdil yang tidak mempunyai apa2, kelebihanku adalah anugerah Allah yang hanya dipinjamkan buat aku membantu sesama insan, tanpa izinNYA aku bukanlah sesiapa !! Terngiang ditelingaku sang raja SULAIMAN bertitah insaf tatkala meladeni nikmat tuhan yang teramat banyak untuk dirinya yang merajai dunia : Semua ini adalah anugerah tuhanku, hadirnya untuk mengujiku samada aku mampu menjadi insan bersyukur atau tertewas kufur.

Jam 2.30 aku bergegas pula kepadang SM Sains Tun Syed Shahabudin di tengah bandar Bukit Mertajam yang berjarak hampir 45 km dari rumahku. Hadirku sebagai guru penasihat kelab bolasepak yang sudak membuat sepak mula pertandingan peringkat daerah sejak awal minggu ini yang menuntutku menghabiskan masa membentuk dan mencorak pasukan bolasepak ALMA ini yang sebenarnya sudah lama tersembunyi taringnya.

Walaupun proses harianku ini menjerihkan fizikal, tapi nikmatnya kekal sempurna apabila aku pulang ceria setelah pasukan Alma ku berjaya menewaskan SMK Berapit dengan keputusan 2-0 dan sehari sebelumnya menundukkan SMJK C Jit Sin dengan keputusan 4-0. Dan esoknya , kami di adukan pula dengan SMK Machang Bubuk yang sebelum ini menang bergaya dengan jaringan besar 3-0 dan 6-0.

Esok ya !! Buku akan bertemu ruas untuk menentukan juara kumpulan.

Dan aku pulang dalam senja yang mula kelabu dengan kepuasan.

Aaah, Nasib baik malam ini tiada kuliah maghrib ku .....

Wednesday, March 21, 2012

Masa Berlalu


Hey Kawan,

Sudah berapa lamakah kalian di sini ? Merenung blog yang tiada berdenyut dan bernadi.
Tiada hembusan nafas mahupun khabar terkini. Tiada salam dan berita, mungkin juga tandus angan dan mimpi ..... yang ada hanya Kosong !!

Tapi, kenapakah kalian masih tega di sini ? Blog yang tidak berpenghuni .... Tiada warna biasan idea seindah kristal mahupun harmonika bunyi pemanis blog bak halwa di telinga. Semuanya ... Sepi !!

Aaah, mungkin aku tahu ?? Bukankah kalian kawan yang setia .... rakan pendengar yang empati, sahabat pemerhati yang prihatin bahkan komuniti peramah yang sentiasa mengekstrakkan ceria kepada blog ini.

Namun.... Maafkan aku kawan ! Kalian kan sudah tahu bahawa aku sedang meniti denai kembara ilmu buat kali yang kedua. Menagih kudrat fizikal seperti kuda tua ini dengan prestasi memori yang bukan lagi berkuasa kuda ini untuk menghadam pelajaran bukannya sesuatu yang amat mudah dan santai. Ianya menuntut jerih usaha dan keringat azam yang perlu di cucurkan bukan sedikit, namun ianya aku pasti bukan percuma juga ... pasti ada ganjarannya kan. Bukankah para penuntut ilmu itu berada dijalan Allah dan diredhainya ??

Moga aku dan kalian juga begitu ...

Sungguh, inilah kali pertama aku berjaya mengetuk keyboard ini untuk mencoret sesuatu diblog usangku ini. Tanpa kuduga, ribut bebanan pengajianku yang silih berganti antara tugasan assigment, mid exam , menulis maqal (karangan spontan), pembentangan dan akhirnya ujian ala temuduga lisan ini akan berakhir dua minggu lagi sebelum aku pastinya diasak dengan exam finale pertengahan april nanti. Dan pusingan tornado antara kerjaya, pengajian, dakwah lapangan dan keluarga mengharu birukan sedikit komitmenku untuk blog ini .... Benar, hampir dua minggu aku langsung tidak pernah singgah ke teratak travelogku sendiri.

Aku benar2 dibius sibuk, namun masa seakan penawarku untuk terus melangkah. Benarlah kata pujangga ... Time is Healing : Masa yang berlalu adalah penawar yang paling mujarab. Ia mampu menyelimutkan parut luka semalam, mampu juga merenjis harapan kepada insan yang merindu dan ianya bagiku, UBAT penyelesai segala kekusutan mindaku untuk memilih keutamaan.

Kekadang aku terkesima dengan bebanan kerja dan runtunan tugasan yang banyak, Aku hanya sempat menoleh seketika untuk mengambil nafas rehat yang sementara, akhirnya mindaku berat ditekan jadual padat dengan kewajipan yang perlu dilaksana.



Dan MASA memang membantuku ....

Ku sudahi satu persatu tugasan dan kewajipan, dengan penyesuaian disana sini ditambah pengorbanan kecil dan besar yang sememangnya terpaksa dilakukan ... akhirnya, aku sudah semakin menghampiri penghujung sesmester pertama Masterku kawan...

Syukur alhamdulillah ...

Mungkin kerana itu jugalah ada hadis nabi yang pernah menitipkan pesan : Jangan engkau cercai masa, seungguhnya ALLAH ialah tuhan yang merencanakan masa.

Oleh itu, hargailah masa ... dan .... sememangnya hanya orang yang sibuk sahaja yang tahu akan kualiti dan harga masa !!

Monday, February 20, 2012

Tuah Bahasa Arab

Alhamdulillah, dalam kecamuk jiwa dan kekangan masa yang ada saya hanya sempat melakarkan berita ini. Cerita versi akademik pencapaian para pelajar bahasa arab di sekolah yang terletak agak meminggir dari kesibukan arus kota.

Namun hambatan metropolitan dan kehilangan unsur kedesaan sudah lama menjadi taboo dalam masyarakat pinggiran sebegini , mereka terapung diawangan menjadi orang bandar dalam tarikan naluri untuk kekal menghuni kampung yang dibaham kerasukan budaya kota yang sentiasa pantas, gagah, penuh persaingan dan kadang2 amat zalim.

Namun bacalah berita ini dalam kacamata ayat2 pernyataan semata2 tanpa perlu menyuntik elemen suspen dan emosi padanya. Sememangnya tulisan ini adalah cedokan saya semasa menghantar laporan post mortem ke unit bahasa arab tempohari .

ANALISA PEPERIKSAAN PMR 2011

Tahun

Calon

A

B

C

D

E

LULUS

GPMP

BEZA %

2011-2012

BEZA GPMP

2009

26

0

1

4

8

13

50.0

-

-

-

2010

11

1

2

1

3

4

63.6

3.64

13.6

-

2011

27

5

6

1

10

5

81.5

3.15

17.9

0.49

Terdapat lonjakan peningkatan yang ketara pada keputusan peperiksaan Bahasa Arab pelajar untuk calon PMR tahun 2011 berbanding tahun 2010 yang lalu dengan peningkatan 17.9 peratus dan buat pertama kalinya pihak panitia berjaya mencatat keputusan PMR ke tahap yang terbaik iaitu 81.5 peratus.

Pihak panitia juga berjaya menghampiri sasaran min gred 3.0 untuk pelajar PMR dan pada tahun 2011 ini, min gred yang dicatat ialah 3.15 meningkat 0.49 mata berbanding tahun 2010 yang lalu dengan 3.64 mata.

Namun begitu pencapaian baik ini masih perlu diperbaiki apabila hanya terdapat seorang sahaja calon C dengan 10 orang yang lain mencapai gred D, ia menyumbang kepada kegagalan panitia bagi mencapai min gred 3.0 .

Terdapat juga 5 orang calon yang gagal dalam peperiksaan kali ini yang sebenarnya lebih menjurus kepada kegagalan mereka menguasai tulisan jawi ,bacaan al quran dan asas bahasa sejak awal lagi serta ada calon yang sememangnya tidak pernah hadir ke sekolah sepanjang tahun 2011 namun menduduki peperiksaan.

Akhirnya, semoga momentum cemerlang yang hadir ini bukan sekadar singgah dan menumpang lalu tetapi harapannya akan kekal bermukim dan berterusan.

Monday, February 6, 2012

Kenapa Bahasa Arab ??

Hey kawan,

Ada yang bertanyakan saya ... Kenapa saya memilih jurusan bahasa arab ini ??? Kenapa ya ??

Masih ada yang sangsi dengan keupayaan bahasa arab sebagai ilmu dan peradaban, atau sekurang2nya mampukah ia menjadi bahasa zaman yang dikagumi penutur dan pendengarnya .

Banggakah kita kalau mampu berbahasa arab sebenarnya, mampukah kita berdiri sama tinggi bersama graduan lain mencorak negara ke arah kemajuan terbaik buat ketamadunan bangsa. Terserlahkah para penutur bahasa ini dikalangan anak bangsa peribumi ini sekarang yang mampu memberi impak luarbiasa dan terbaik pada masyarakat, atau insan pemulia bahasa agama ini hanya mampu menggoncang minbar tanpa mampu membentuk kekuatan menggoncang negara apatah lagi dunia.

Atau kita sebenarnya hanya melukut ditepi gantang pendidikan negara, menyalak bukit yang tak pernah takut, apatah lagi mengimpikannya runtuh.

Mungkin kita hanya bermandikan izzah agama yang mencurah dipundak kita, berbangga dengan bahasa syurgawi atau hanya sekadar pakar rujuk jika ada pasangan muda yang ingin bertanya tentang makna dan nama anak yang mereka pilih.

Aku juga tidak pasti kawan ...., Tapi aku amat setuju dengan entry sahabatku ini, Ustaz Azhari Hamzah diblognya .......... .

Moga kita mampu merealisasikannya.

ANDA DARI GOLONGAN MANA?

Terjemahan:


Mereka berkata : " Kasihan.... sesiapa yang tidak tahu Bahasa Inggeris, mungkin dia akan menghadapi kesusahan untuk memahami percakapan orang lain"

Dan aku pula berkata : " Kasihan... sesiapa yang yang tidak tahu Bahasa Arab, mungkin dia akan menghadapi kesusahan untuk memahami percakapan Tuhan..."

Anda dalam golongan mana...?

Friday, February 3, 2012

Menyambung Pelajaran



Hey Kawan,

Alhamdulillah, hari ini genap 6 minggu pengajian saya di peringkat sarjana bahasa arab telah bermula. Setelah sekian lama memasang impian dan angan untuk berada di gelanggang ilmu secara formal ini akhirnya saya dijodohkan dengan sebuah kolej universiti di utara semenanjung, iaitu Kolej Insaniah (KUIN).

Pengajian jarak jauh yang saya tempuhi dihujung minggu sahaja dengan jumlah subjeknya ialah 12 dalam tempoh masa mungkin 4-5 semester iaitu hampir 2 - 3 tahun dicampur dengan penulisan tesisnya. Ianya tentu agak memenatkan dan mengambil masa rehat yang bukit sedikit kuantitinya.

Namun, tatkala dapat meminjamkan telinga bersama rakan sepengajian mendengar penerangan dan juga celoteh para pensyarah berketurunan arab ini menjadikan hati semakin lapang dan damai. Ternyata jarak 80km dari Pulau Pinang ke Kedah ini terbayar sempurna. Terasa betapa lamanya suasana pengajian sebegini telah saya tinggalkan sejak 1994 dahulu, kini dapat saya ulangi iramanya sekali lagi dengan penuh kecintaan dan kenikmatan.



Terima kasih tuhan.

Pastinya keterujaan dalam menyambung pengajian ini begitu meruntun perasaan dan jiwa saya, apatah lagi setelah sekian lama terpaksa menunggu dan menanti peluang terbuka seperti ini. KehendakNYA jua saya berada disini, meneruskan sisa perjuangan silam yang masih membara sekamnya disudut hati ini biarpun agak kelewatan berbanding rakan sepengajian Jordan yang terlebih dahulu menggenggam ijazah berbanding saya. Natijahnya, mereka sudah berpuluh langkah dihadapan saya.

Dan tanpa terduga, sudah beberapa orang antara mereka yang sedang mencuba nasib menempuh tahap akademik tertinggi PHD dibidang bahasa arab yang mulia ini. Tahniah buat mereka dengan rafak doa moga berjaya.

Moga nawaitu yang baik ini akan diberi pertolongan oleh Tuhan yang maha penyayang.

Moga Allah mempermudahkan.

Thursday, February 2, 2012

Cemburunya Masa

Cemburunya Masa

Wahai masa, mengapa begitu cepat berlalu. Menukar hari menjadi minggu. Minggu bertukar bulan. Sedar tak sedar, sudah di pintu Februari kini. Cemburu benar engkau wahai masa, sehinggakan meninggalkan insan seperti saya terkial-kial, terpinga-pinga ..."Subhanallah..dah Februari rupanya.."
Januari penuh kesibukan. Februari lagi menggasak dengan kesibukannya. Semester 5 yang bermula pertengahan Januari lalu, sudah terasa bahangnya. Saya sudah dihinggapi virus-virus kebimbangan, risau akan masa yang selalu cemburu sehinggakan saya tenggelam antara kerja dan pengajian.
Tolonglah masa..jangan cemburu.
Firman Allah :
[1] Demi Masa! [2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Al-’Asr 103: (1-3)