Sunday, July 4, 2010

Disiplin Menulis Berjadual

Entry kali ini saya petik dari blog http://zakaria-sungib.blogspot.com/, beliau merupakan seorang Editor Kanan merangkap Editor Perolehan (Novel) di Jabatan Buku GISB. Melaluinya, beliau berkongsi tip-tip penulisan, kewartawanan dan penyuntingan.Saya sengaja perturunkannya disini untuk memberi sedikit inspirasi ilmu dan suntikan semangat terhadap jiwa penulisan ini. Moga bermanfaat.

Memasukkan Kerja Menulis Dalam Jadual

Ada penulis yang menjadi penulis tanpa dirancang-rancang. Timbul keinginan yang kuat untuk menulis disebabkan satu-satu insiden dalam hidup. Insiden itu memberi rangsangan untuk menulis atau menimbulkan minat yang mendalam untuk menulis.

Ada yang memang sedari awal membina diri sebagai penulis, iaitu dengan mula menulis dan terus menulis.

Apa pun keadaannya, saya perhatikan mereka yang giat menulis adalah mereka yang mempunyai disiplin menulis yang sudah sebati dengan dirinya. Mereka memaksa diri untuk menulis kerana menganggap kerja menulis itu sebahagian daripada rutin harian. Kerja menulis sudah menjadi agenda besar dalam hidup sehari-hari. Ia ada dalam jadual harian. Bererti, ia ada juga di dalam kepala, dijadikan bahan berfikir.



Kerja menulis sebahagian besarnya melibatkan proses mematangkan bahan tulisan di dalam kepala. Apabila sudah diproses dan 'masak' di dalam kepala, baru ia dituliskan. Sekiranya tidak dijadikan bahan berfikir, tidak dibiarkan bermain-main di dalam kepala, mungkin tulisan yang dihasilkan kurang mantap, kerana ia baru dijadikan bahan berfikir ketika menulis. Melainkan bagi penulis yang fikirannya sudah sedia tersusun, yang mampu menulis secara spontan.

Apabila kerja menulis sudah dijadualkan, atau dengan kata lain ada jadual yang dikhususkan untuk menulis, seseorang penulis akan terbantu untuk menulis secara konsisten. Satu kelebihan bagi penulis yang mempunyai blog dan mengemaskini blognya secara berjadual - misalnya, seminggu sekali - dia akan memaksa diri untuk menulis walaupun jadual hariannya sudah padat. Kerana, kerja menulis itu sendiri ada di dalam jadual hariannya.

Friday, July 2, 2010

Halalkah Makanan Kita ? Lensa bercerita ....







Awasi Makanan Anda !

KUALA LUMPUR : Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC.

Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.

Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

Wednesday, June 30, 2010

Moga Berbahagia Sahabatku

Tanggal 26 Jun yang lalu saya menerima kunjungan mesej ini :

Alhamdulillah, Muhammad Nasirin dan Nafisah telah selamat diijabkabulkan. Terima kasih di atas sokongan dan persahabatan kalian. Doakanlah kami dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Amin... Spontan bibir saya melafazkan. Tanda kesyukuran diatas kebahagiaan dan anugerah tuhan yang telah tercipta.

Sememangnya kisah hidup manusia ini tertulis di atas skrip kehidupan dan pengalaman yang berbeza. Warna-warninya akan mencetak keharmonian dan kematangan dalam melayarinya. Garisan dan noktah pastinya bersimpang siur merentang setiap kanvas kehidupan ini, melorek pengajaran dan ibrah berbeza. Namun kesudahannya amat bermakna bagi mereka yang sabar dan percaya kepada janji tuhanNya.

Dan bagi mereka yang bersungguh mencari cinta dan redha TUHANnya, pasti dia akan menemuinya. PASTI !.

Tahniah pada sahabat saya yang baru melangsungkan perkahwinannya. Biarpun jejak lensa rakaman perkahwinannya masih belum saya temui. Namun berita ini amat saya tunggu dan doakan selalu. Moga ALLAH memberkati kalian.


Saudara Nasirin berbaju putih ditemani saya dan sdr Dzulfahmi, moga teman kasihnya kini akan bahagia sentiasa menemaninya.

Dan dikesempatan ini juga saya merakam syabas dan tahniah kepada para sahabat SE-SABAH dahulu yang sentiasa bergulat dengan program dan dakwah bersama,merasai denyut dan nadi perjuangan saban masa, Hari ini antum akhirnya berjaya kegerbang rumahtangga, memasuki era perjuangan baru yang tentunya lebih mencabar apabila bergelar suami , bapa dan daie.

Moga kita semua tabah dan diredhainya.

Maafkan saya kerana mungkin terlambat mengucap tahniah dan terkhilaf untuk tidak dapat memenuhi jemputan walimah, hari bahagia kalian.



Tahniah untuk saudara Aswadi dan isterinya.



Tahniah untuk akh Nizam dan pasangannya.



Syabas kerana sabar menanti buat Bunyamin dan isteri.

Bersama Gerakan Rakyat Membantah Judi

Setiap umat islam perlu membawa sikap menyokong kebaikan dan membenci kemungkaran walau apapun keadaannya. Meredhai kejahatan dan kemungkaran samalah seperti menghancurkan agama dan iman yang terpatri di hati.

Mengatakan YA pada JUDI umpamanya, telah merobek keluhuran syahadah penyaksian kita kepada tuhan. Menjunjung syahadah bermaksud menyayangi dan menunduk segala kepentingan peribadi diri hanya untuk zat yang maha agung ini dan juga kemahuanNya.

Mana mungkin kita berkata YA untuk judi. Bersamalah kita membantah segala elemen PERJUDIAN yang diperangi dan dibenci oleh semua agama.









Monday, June 28, 2010

Qunut Nazilah untukMU Palestin







Di atas keringat dan darah pekat yang mengalir lesu dari tubuh umat yang tidak berdaya, marilah kita panjatkan seribu doa buat mereka.

tika manusia kian alpa dengan permainan minda dan hiburan global, jangan kita lalai dari terus memberi sokongan kepada para wira palestin.

ayuh... berdoalah dengan sepenuh hati. panjatkan qunut nazilah ini tika kita bersujud memohon pembebasan Allah pada bumi bertuah dan penduduknya ... Amin.

Moga kita menjadi antara umpama beburung kecil yang cuba memadamkan marak api namrud yang cuba membakar nabi Allah Ibrahim. Allah takkan bertanya kesannya tapi allah akan bertanya tentang apa yang kita perbuat.

Saya perturunkan DOA QUNUT NAZILAH ini kerana ada permintaan dari sahabat. Ayuh manfaatkan.

Friday, June 25, 2010

Allah sumber Hidayah

Allah adalah sumber / pemberi cahaya kepada seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahayanya seperti sebuah lubang yang tidak tembus, dan didalamnya terdapat sebuah pelita. Pelita itu berada didalam kaca dan ianya seakan-akan bintang berkilauan, dinyalakan dari minyak pohonan zaitun yang banyak keberkatannya, tumbuhnya bukan disebelah timur mahupun barat, minyaknya terus menerangi walau tidak pernah disentuh api. CAHAYA DIATAS CAHAYA. Allah membimbing siapa yang dia kehendaki kepada cahayanya, dan Allah membuat pelbagai perumpamaan (untuk faedah dan pengajaran) bagi manusia, dan ALLAH maha mengetahui segala sesuatu. (maksud surah an Nur ayat 35)


Benarlah janji Allah, tuhan yang memiliki sumber petunjuk dan sinarannya, bertuahlah bagi mereka yang berjaya mendapat cebisan sinarnya.

Dalam melalui rutin kehidupan seharian, alhamdulillah dengan kesempatan masa yang berbaki, allah masih mengurniakan ruang keizinannya untuk saya menatap dan mengulit manfaat dari beberapa buku versi hidayah ini dalam koleksi ilmu dan informasi dakwah saya.

Kesemuanya berkitar pada topic mencari kebenaran dan hakikat ketuhanan. Dan apabila datangnya kebenaran, kebatilan dan kepalsuan itu akan sirna dan terhapus.



Antara buku yang saya sempat membacanya ialah : KISAH SAYA SAUDARA BARU oleh NURAISYAH CHUA ABDULLAH seorang pensyarah undang2 di UITM.

Beliau memaparkan kisah hidupnya mencari iman dalam suasana masyarakat dan keturunan tionghuanya yang begitu asing dan fobia pada Islam. Mereka bersikap tidak endah untuk menukar agama kepada kepercayaan yang lain asalkan bukan islam. Ini kerana pada pandangan mereka memasuki Islam bermakna membuang semua saudara, kebudayaan, pemakanan , pemakaian bahkan segalanya mesti berbeda samasekali hinggakan nama ayah pun akan dikorbankan hanya kerana masuk Islam.

Begitulah pelbagai cerita hidup dan pengajaran reality dilambung ombak kehidupan yang serba mencabar dalam erti mempertahankan keislamannya. Antara azimat katanya ketika menghadapi tentangan sengit berita pengislamannya yang saya masih ingat ialah … maafkan saya ayah, antara intan dan permata, saya tetap memilih Islam.



Buku keduanya ialah DARI KUIL KE PANGKUAN ISLAM OLEH HAJJAH DALILAH ABDULLAH.

Saya lebih meminati buku ini dan gaya penceritaannya, kisah tragis kehidupan awal dan ujian Allah yang silih berganti kepada seorang anak India bernama Lecthumy diestet pedalaman Sg petani Kedah tika itu.

Ianya pilihan beragama yang amat tepat, lahir dari keinsafan hati dan kesedaran sendiri yang amat bererti. Bukannya kerana ianginkan kekayaan atau kedudukan, bukn juga kerana pilihan mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan, tetapi ia hadir dengan kuasa hidayah dan pilihan allah yang maha kuasa.

Dengan bilangan adik beradik 21 orang dan tidak berpendidikan, juga bukannya memiliki rupa paras yang menarik dan dibanggakan, apatah lagi nikmat memiliki sekupang duit juga amat susah untuk lekat ditangannnya.

Namun kesedaran Islam ini hadir dengan keajaiban WUDUK yang dilihatnya spontan meruntun keinsafan. Dan dengannya beliau memasuki gerbang Islam dengan begitu yakin dan mengharap.

Namun bayarannya amat mahal dengan pelbagai ujian mendatangi, dihalau keluarga sendiri, difitnah serong keluarga islam yang awalnya melindungi, dihimpit cubaan bunuh dan kurung, ketiadaan kerja semata2 meyelamatkan iman, sehelai sepinggang mencari sekelumit ihsan saudara seagama, digigit binatang bisa, kecekalan menuntut ilmu dan kesungguhannya untuk berubah amat mengujakan siapa sahaja yang membacanya.

Perhatikan tinta katanya ini : aku selalu menanamkan azam dalam hati. Sekali kedua-dua belah kakiku sudah melangkah kekanan, aku tidak akan berpatah balik ke belakang. Meskipun kedua kaki ini luka berdarah ditikam onak dan duri, aku tidak akan peduli. Aku ingin terus menjadi seorang islam biarpun harus berhadapan dengan neraka dunia.

Kesungguhan dan kesabarannya itu tidak dipersiakan oleh yang maha kuasa. Anugerah nikmat dan rezekinya berlipat ganda dibayar tuhan tika didunia lagi, mereka yang membuangnya kini mula mengaku saudara kembali.

Alhamdulillah, beliau berjaya berkongsi 3 orang anak dalam perkahwinan yang bahagia dan bayangkan seorang wanita India yang dulunya hitam gelap dipenuhi habuk kilang kayu, tapi kini bergelar jutawan dengan perolehan gajinya lebih RM17,000 sebulan dan memiliki beberapa buah banglo besar dan kereta Mercedes mewah yang dipandunya sendiri.

Dan yang lebih utama,hitam gelap sumpahan nasib serta kepercayaannya juga akhirnya berubah dengan keputusannya memilih akidah suci Islam yang murni ini.