Tuesday, April 26, 2011

MTQ Peringkat Kebangsaan 2011



Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah Majlis MTQSS KPM Kali ke 37 tahun 2011 yang akan di adakan di SMKA Al-irshad, SK Pokok Sena dan BTPN P.Pinang.

Majlis tersebut akan berlangsung pada 27-30 Mei 2011.

Selamat datang kepada semua kontinjen dan mempamerkan kebolehan masing-masing di dalam acara-acara yang akan dipertandingkan nanti.

Ekspo Pendidikan Islam juga akan diadakan pada tarikh yang sama tahun ini sempena dengan majlis yang gilang-gemilang ini

Saturday, April 16, 2011

BN kekal dua pertiga, kerusi PR meningkat

BN kekal dua pertiga, kerusi PR meningkat

Sumber dipetik dari : Siasah Daily

Barisan Nasional mempertahankan kerajaan Sarawak dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 hari ini.
Sehingga pukul 10 malam tadi, BN telah memenangi 52 kerusi. DAP memenangi kerusi terbanyak dalam kalangan parti Pakatan Rakyat dengan menawan 12 kerusi, manakala PKR mendapat tiga kerusi. PAS yang bertanding di lima kerusi tidak memenangi sebarang kerusi tetapi mendapat peningkatan undi.

Pilihan raya kali ini menyaksikan BN memperolehi jumlah kerusi yang jauh merosot berbanding 63 kerusi dalam pilihan raya sebelum ini pada 2006.

PR gagal membuat kejutan besar dalam pilihan raya ini walaupun isu besar tempoh 30 tahun pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud digunakan secara besar-besaran untuk menarik pengundi.

Isu Injil dalam bahasa Melayu yang panas menjelang pilihan raya juga tidak menggugat sokongan kepada kerajaan BN pimpinan Taib. Isu pengambilan tanah oleh kerajaan negeri juga dilihat tidak memberi impak seperti diharapkan oleh pembangkang.

Kemenangan ini memberikan kekuatan baharu kepada Taib yang menghadapi tekanan berundur dan dilihat sebagai liabiliti kepada BN. Kejayaan yang boleh dilihat sebagai kejayaan Taib mengekalkan kemenangan dan kerusi dua pertiga mampu mengurangkan tekanan kepadanya untuk berundur.

Walau bagaimanapun, kemerosotan undi dan kerusi BN di Sarawak yang boleh memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap meletakkan kawasan “deposit tetap” BN itu dalam bahaya.

Kemenangan BN ini mampu memberi keyakinan kepada BN untuk mengadakan pilihan raya umum awal pada tahun ini, tetapi kemerosotan undi parti pemerintah di kubu kuat itu boleh memberikan keyakinan kepada PR.

Pilihan raya ini telah menguji kedua-dua BN dan PR, dan pada masa sama mampu memberikan semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Friday, April 15, 2011

Menilai Nikmat

Terpaku saya di kerusi tatkala telinga saya menjamah secebis tazkirah pagi tadi.

Ungkapan santai nya mematikan gerak saya buat seketika, ianya pantas membuka ufuk minda menerawang semahunya keangkasa keinsafan, bahasa yang mudah dan santai kekadang boleh merobek keegoan dan kealpaan manusiawi.

Belajarlah mengenali kelemahan diri, dan belajarlah menghargai kurniaan tuhan kepada kita.

Tatkala kita mengadu sakit dan lemah, mulut pantas mengaduh dan meracau dengan pelbagai rasa gelisah dan kesakitan.

Kita mengadu sakit gigi yang memasuki hari yang ketiga, ngilunya membungkam rasa dan membuntu fikiran, kita terkapar dalam ngeri dan nyeri tanpa mampu berbuat apa2. Sedetik silap sahaja pasti mengundang amarah berpanjangan tatkala akar gigi yang kesakitan menidakkan juga kebijaksanaan akal waras.

Aduh dan aduh, sakit dan sakit, itulah wirid kita seharian.

Tapi pernahkah kita bertanya tentang gigi dan fungsinya ketika kita masih sihat.

Kalau kita diuji sakit gigi sekadar 3 hari dalam setahun, maka 362 hari yang berbaki dalam setahun seharusnya kita terlebih dahulu meletakkan pasak dan konkrit kesyukuran yang tidak terhingga kepada penciptanya.

Takkanlah ujian sakit yang sekejap memadamkan kebaikan tuhan yang bertahun kepada kita.

Takkan hujan sejenak meredakan kepanasan siang yang membahang.

Bersyukurlah…

Walau kita diterpa ujian dan masalah. Bersyukurlah…

Ianya tanda tuhan masih menyayangi kita.

Ajarlah diri untuk bersyukur. Ajarlah anak2 didik kita untuk turut menghargai Tuhan.

Tulislah pelbagai nikmat tuhan kepada kita dihari ini, secara sedar atau tidak kita akan mula menghargainya, menghargai nikmatnya dan menghargai TUHAN yang mengurniakannya.

Saya mempraktikannya suatu pagi terhadap pelajar.

Tulis 10 nikmat yang engkau rasai hari ini.

Ternyata cukup pelbagai jawapannya.

Alhamdulillah tuhan telah mengurniakan saya kedua ibubapa yang penyayang dan menghargai diri saya, Alhamdulillah tidak terkira kerana allah memberi saya akal dan pancaindera sihat yang membolehkan saya belajar dan menjadi seorang yang sempurna, Alhamdulillah saya memperoleh kawan2 yang baik dan memahami, Alhamdulillah dan seterusnya Alhamdulillah ………

Begitu banyak alhamdulilahnya dan tanpa sedar kita bersyukur menghargainya…

Alhamdulillah ya Allah.. engkau mengurniakan aku sepasang mata.

Alhamdulillah ya allah, dengannya aku mampu melihat keindahan dunia ini.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menatap wajah kedua ibubapaku yang penyayang dan banyak berkorban membesarkan aku. Dengannya aku mampu melihat bening mata keduanya yang penuh dengan kasih saying yang melimpah.

Alhamdulillah ya Allah.. aku boleh membantu ibu dan bapaku bekerja dan mencari nafkah dengan menggunakan mataku dan mengurangkan bebanan mereka.

Alhamdulillah ya Allah.. dengan keduanya aku mempelajari huruf dan kalimat alquran hingga aku mampu membaca dan memahaminya.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menggunakannya untuk mempelajari ilmu dan membaca pelbagai genre penulisan dan menggali segala khazanah ilmu.

Alhamdulillah ya Allah.. aku dapat meneruskan langkah dakwah dengan pemerhatiaan dan pandanganku terhadap suasana dan bacaan semasa. Nikmat penglihatan ilmu yang tidak ternilai.

Alhamdulillah ya Allah.. dengannya aku mengetahui kedahagaan masyarakat kepada ilmu dan agama dan tuntutan untukku turut sama mewarnainya dengan sumbangan dan kebaikan.

Alhamdulillah ya Allah.. aku mampu menatap ceria wajah comel anak2ku. Betapa aku menyayangi mereka, biar jatuhnya panahan kasih ini dari mataku kelubuk hati2 mereka menghargainya.

Alhamdulillah ya Allah.. kerana memberiku kesempatan untuk boleh menitiskan airmata keinsafan memecahkan kentalnya keegoaan diri yang dibelenggu nafsu dan maksiat.

Alhamdulillah ya Allah..

Alhamdulillah ya Allah..

Terlalu banyak nikmatmu yang kami tidak syukuri….

Nikmat Allah yang mana lagi yang mampu kita dustakan.

Monday, April 4, 2011

MONOLOG MUSAFIR


Surau Salikin di Persiaran Seksyen 3 Bertam Putra

KENANGAN MUSAFIR

Sepanjang awal kehidupan saya yang masih berhingus , langsung tidak pernah terlintas untuk memijak kaki ke pulau mutiara ini, dengan dada yang membusung bangga dilahir sebagai anak Kelantan, saya tidak pernah ingin berkelana ke bumi lain.

Biar saya disini, berselut dan bergusti lumpur kehidupan di daerah saya sendiri, mempertahankan budaya sopan ketimuran, mengulit hidayah islam dari sumurnya sendiri,biarkan juga saya disini… saya ingin menjadi petugas dakwah di benteng terakhir islam di Malaysia ini, bumi serambi mekah yang banyak melahirkan ilmuwan islam yang terulung, bumi yang basah tanahnya dengan siraman ilmu dan kasih sayang rakyatnya… yang juga kaya dengan adat dan budaya kefanatikan dan ketaksubannya tersendiri.

KEHIDUPAN DUNIA SEMENTARA

Tapi siapa yang mengagak takdir.

Siapa pula yang mampu memutar semula masa untuk dipilih haluan dan rencana hidupnya.

Sesungguhnya umur kita sudah terpatri saat dan ajalnya, yang masih berbaki hanyalah amal dan harapan kita. Moga allah merahmati kita dengan amalan terbaik sebelum bertemunya. Pasti !!

Tapi kini saya terdampar ke pulau ini, selepas sekian lama dilambung samudera kehidupan yang beragam rempahnya. Dan saya juga tidak langsung terfikir untuk membeli rumah dan menetap disini, Pulau Harapan.

Namun hakikatnya, disinilah saya bersama kehidupan sementara. Berumah tangga di perantauan dengan fantasi kepulangan ke daerah asal yang langsung tidak pasti.

PERMUKIMAN IBADAH

Namun yang saya yakini ialah untuk terus bekerja untuk islam, walau dimana sahaja kita berada selagi hayat dikandung badan. Saya putuskan untuk terus bermukim disini dalam jangka masa yang agak logic untuk mengintai tumbesaran anak dan pendidikan mereka tidak terencat dan terabai. Mungkin 10 tahun dipulau ini memadai sebelum hajat diri untuk kembali berkhidmat di teratak asal.

Moga permukiman saya disini memberi manfaat untuk diri dan keluarga.

Saya memilih rumah yang berdekatan dengan surau.

Dalam 55 langkah yang sederhana besarnya, saya mampu mengecapi suasana iman solat berjemaah.

Moga allah mempermudahkan.

Thursday, March 24, 2011

Hikmat Menziarahi Pesakit

Setelah sekian lama menyepi dari mengutus entry terbaru, saya seolah kehilangan kudrat untuk mencoret sesuatu, apatah lagi tenaga dan fokus saya terarah untuk segera bermukim di tempat yang baru.

Seminggu cuti sekolah yang berlalu, saya bersama askar2 kecil saya terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke kampung di kelantan semata2 untuk mengangkat barang dan menyiapkan urusan perpindahan kami ke rumah baru.

Dan untuk pengetahuan semua, alhamdulillah bermula pada minggu cuti sekolah yang lepas kami sekeluarga sekarang bermukim di TAMAN PUTRA BERTAM, KEPALA BATAS.

Dari blog sahabat saya Ust Kamil Jaafar, saya sebarkan kebaikan ilmunya untuk semua. moga ada yang berguna.

Hikmah Sakit, Menziarahi Dan Mengiringi Jenazah ke Kubur
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله ومن تبعه ووالاه

Beberapa hari lepas terbaca dalam sebuah blog tulisan seorang blogger lebih kurang berikut : "Siapakah antara kita yang berani berpesan kepada isteri dan anak-anak bahawa dalam almari didalam bilik kita terdapat dua helai kain putih yang sudah disiapkan untuk diguna bagi mengkafankan jenazah sendiri sekiranya berlaku kematian….” mungkin ada yang mahu berbuat demikian tetapi berapa orang yang sedar dan mampu bertindak demikian???

Hamba juga teringatkan kata-kata Saidina Umar RA. : Jika hari ini orang menyebut si pulan bin si pulan telah meninggal dunia dan esoknya orang menyebut si pulan bin si pulan pula meninggal ..maka suatu masa nanti orang akan menyebut hari ini Umar bin Al-Khattab telah kembali menemui TuhanNya..

Catatan blogger dan kata-kata Saidina Umar cukup memberi inzar dan keinsafan kepada diri penulis akan persediaan kita untuk mengadap Rabb al-Jalil. Tambahan pula beberapa hari lalu, Abu Huzaifah sempat menghadiri seorang saudara kepada biras yang meninggal dunia setelah lama dalam keuzuran.

Seorang penulis (Muhammad Uzair) mengumpamakan sakit itu umpama beduk maut. Kalau beduk berbunyi maka bersiap-siaplah ke masjid, kerana itulah tandanya waktu solat telah masuk. Menziarahi orang sakit dianjurkan oleh Nabi SAW dan banyak hadis sahih yang menggalakkannya. Menziarahi orang sakit akan mengingatkan kita juga suatu masa akan sakit.

Kadang-kadang terfikir disebalik hikmah sakit dan uzur itu merupakan satu warning daripada Allah agar kita beringat bahawa kesihatan yang baik itu sebenarnya kurniaan Allah. Namun berapa ramai manusia yang sedar bahawa masa sihat dan kuat itulah masa yang sesuai dimanfaatkan untuk amal makruf dan nahi mungkar..?

Berapa ramai yang berebut-rebut untuk melakukan amal soleh? Berapa ramai yang berfikir masa sihat itulah untuk berusaha semaksima mungkin (menyimpan wang) melaksanakan rukun Islam kelima atau sibuk menukar kereta atau melancong ke Langkawi,Genting Highland, Bukit Tinggi atau sejauh Hong Kong dan London?

Menziarahi orang sakit, menghadiri dan melawat simati, mengiringi jenazah ke kubur, melihat jenazah diturunkan ke dalam liang lahad dan mendengar pak imam membacakan talqin memang menginsafkan, biarpun untuk mungkin sehari dua atau kurang 24 jam…sekurang-kurangnya hati yang masih ada iman akan insaf seketika.

Benarlah peringatan Rasulullah saw bahawa hak seorang muslim terhadap muslim yang lain sebagaimana saranan baginda daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawasanya Rasulullah sallahualaihi wasallam telah bersabda: "Hak muslim ke atas muslim (yang lain) enam perkara;
1) apabila kamu bertemu dengannya, maka berilah ucapan salam kepadanya,
2) apabila dia menjemput kamu, maka (berikan) jawapan (respond) atas jemputannya,
3) jika dia meminta nasihat dari kamu, maka nasihatilah dia,
4) jika dia bersin, jawab dan doakan (kesejahteraan) padanya,
5) jika dia sedang sakit, maka ziarahilah dia
6) jika dia meninggal dunia, maka iringilah (jenazahnya) ke perkuburan".

Berbicara soal sakit dan penyakit..hakikatnya kita patut bersyukur kerana penyakit yang dialami oleh seseorang sebenarnya mengingatkan diri bahawa kesihatan seseorang individu itu adalah hak dan kurniaan Allah. Tuhan yang Maha Berkuasa berhak memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Seorang hamba yang ditakdirkan sakit dan dirawat di hospital pakar oleh 20 orang pakar perubatan sekalipun jika Allah tidak mengizinkan sembuh maka insan tersebut tidak dapat dipulihkan..

Dan biasa kita dengar, terdapat pesakit yang dibawa ke hospital pakar dalam tempoh beberapa hari untuk dirawat…kemudian pihak hospital menyuruh pesakit dibawa pulang oleh keluarganya dan pihak hospital tidak dapat mengesan penyakit yang dihadapi.Hal ini menunjukkan bahawa terdapat penyakit yang gagal dikesan dengan teknologi manusia sekalipun oleh para pakar…(mungkin dinafikan oleh sesetengah doktor, namun tetap ada kes demikian). Begitulah keterbatasan manusia walau betapa hebat dan canggih, peralatan yang diguna pasti ada kelemahan dan kekurangan.

Secara umumnya, kita boleh beranggapan bahawa kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh seseorang sebenarnya satu warning atau peringatan dari Allah agar kita beringat; agar segera bertaubat sebelum terlambat. Segera melaksanakan ibadah sebelum anggota dan pancaindera kita gagal berfungsi. Segera melunaskan zakat dan bersedeqah sebelum harta kita menjadi aset untuk diagih-agihkan kepada ahli keluarga. Segera melakukan amalan-amalan sunat dan memperbanyakkan zikrullah sebelum ditahlil dan ditalqinkan.

Maka sepatutnya kita tidak mengeluh apabila ditimpa musibah dan penyakit kerana itu satu isyarat amaran bahawa nikmat kesihatan, harta dan anak pinak yang kita miliki ; semuanya anugerah sementara yang diberi dan dipinjamkan oleh Allah Azza wa Jalla dan kelak semua milik pinjaman itu akan dipersoal dan dihisab pada hari yang dinyatakan Allah ; bahawa harta yang banyak dan anak-pinak yang menjadi kebanggaan insan di dunia fana tidak memberi manfaat kecuali hamba-hambaNya yang datang dengan hati yang sejahtera (yang menyerah diri keseluruhannya kepada Allah).

Wallahu a’lam bissowab.

Dar al-Mawaddah,
Besut, Terengganu

Wednesday, March 9, 2011

Istimewakah Kita ??


Allah mengajar kita dalam diam. Rahsianya sukar difahami.

Apatah lagi manusia yang bermindakan gopoh dan gelojoh selalunya terpana amarah bila ditimpa ujian. Bila bahu tanggungjawab terasa terbeban. Hadirnya geram dan marah silih bertandang.

Sabtu lalu, saya berkunjung ke Hospital Pulau Pinang tatkala mendapat berita mengejut dan sedih menimpa seorang teman , anaknya yang berusia 11 tahun koma dimasukkan ke hospital dalam wad jagaan rapi ICU.

Perancangan awal untuk pulang ke kampung saya tangguhkan seketika, simpati terasa menjalar pijar ke penjuru hati untuk saya hadir member sokongan dan semangat kepada teman yang sebenarnya baru dikenali, biarlah kepulangan kami ke kampong lewat sedikit kali ini getus hati kecil saya, agenda menziarahi pesakit patut saya dahulukan kali ini.

Menziarahi pesakit adalah sunnah nabi, tapi ianya sunnah yang kurang glamour. Ia sering disisih pandang. Mungkin ianya agenda sedih dan menyayukan.

Jika ada jemputan kenduri pula, penerimaan kita agak berbeza, mungkin terbayang hidangan enak dan gelak ketawa pembasuh mulut bersama rakan, ianya lekas menggamit persetujuan kita, mungkin kerana ianya dekat dan disukai nafsu. Dengannya kita terhibur dan gembira.

Tapi menziarahi pesakit jarang kita utamakan.

Sebagaimana jarang kita budayakan menziarahi kubur dan bertafakkur seketika bersamanya.

Ianya seakan budaya pasif dan negative yang mencalarkan ceria kita.

Akhirnya ia terpinggir bak melukut ditepi gantang agama.

Anaknya seusia anak sulung saya. Berusia 11 tahun di tahun 5.

Keletahnya seperti biasa, aktif berlari, bercakap tanpa henti, bertanya semahunya, merajuk dan melenting dalam usaha mencuri empati ibubapa. Gelak dan tawanya menjernihkan keruh kepenatan.

Tengahari ia dijemput oleh ayahnya dari sekolah, langsung menaiki kereta sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya.

Namun, tidak sebagaimana petang yang lain…. Petang itu kepalanya terasa berat, ia mengadu kepenatan dan kepanasan dalam dingin air cond yang menyerbu gebu pipinya.

Tatkala tangannya mencapai tombol kereta, kakinya pula mengkhianatinya. Ia tersepuk jatuh ditepian kereta. Badannya mula membahang dengan mulutnya terkumat kamit berbuih deras.

Si ayah mengusir panic yang dating dengan segera memangkunya kekereta dan memberi ruang udara dan rehat secukupnya. Matanya seakan berat untuk di buka. Ia tertidur dalam helaan nafas yang teramat berat.

Segera si ayah meminta bantuan rakan ustaz yang ada untuk menilik dan menelah simpton penyakit. Anaknya tak pernah buang tabiat sebegini. Rakan ustaznya membuat scanning, membaca potongan ayat2 syifa’, menelah dibalik celahan firasat, menganilisis dan seterusnya menasihatkan… anak ini sakit normal, tiada tanda gangguan, rasanya ia perlu segera dibawa ke klinik berdekatan.

Perjalanan sejauh 50 km terasa semakin lambat, kalaulah ada laluan serba laju bahkan boleh terbang, nescaya gerakan van ambulans yang sememangnya pantas meluncur dilebuhraya itu boleh ditingkatkan lagi. Jika ada sahabat NABI SULAIMAN yang bisa menerbangkan singgahsana, nescaya mulut ini tidak akan malu meminta dipercepatkan perjalanan ini ke Hospital Besar Pulau Pinang dengan sekelip mata cuma. Begitulah getaran harapan si ayah mengharap keajaiban sebagaimana degupan jantungnya yang berlari kencang. Mereka dirujuk segera ke unit pediatric kanak2 setelah dimbas lebih awal di hospital kulim yang agak kurang kemudahannya.

Dalam hati ini, doa dan keselematan mu duhai anak, takkan lekang dari bibir lesu si ayah yang terkumat kamit dalam wajah sayunya yang tersendiri. Moga keputusan imbasan dan rawatan doctor akan memberikan reaksi positif.

Tapi …. Allah menguji manusia. Walau dalam sepi dan gamat gempita. Kekadang dalam sendu dan senda tawa. Ianya hadir tanpa dipinta, dirancang dan dijangka.

Anaknya disahkan mempunyai tumor dibahagian otak. Tumor yang semakin membesar telah menekan dan menghimpit tempurung kepalanya yang kemudiannya terpaksa ditebuk dan dibuka. Ruangan yang ada diharap dapat menghela tekanan keluar memberi kelegaan segera kepada tisu otak yang sedang membengkak.

Sayu wajah ibunya, kesan tangisan semalam masih membekas dipipinya. Merah matanya menyengkang kantuk di dinihari, lesu pula badannya beralas dingin simen yang mencengkam sumsumnya. Namun apakan daya …. Ini ujian tuhan kepadanya.

Tiada langsung tanda2 awalnya, dia normal sebagaimana kanak2 yang lain. Dia aktif berlari dan bermain. Tak pernah mengadu sakit, apatah lagi sakit kepala sebegini. Sekadar demam2 biasa yang kebah sehari dua itu adalah.

Begitulah khabar sedih saya temui diminggu lalu, kisah yang penuh kesedaran dan keinsafan.

Kisah keagungan dan kekuasaan tuhan.

Kisah ujian dan penghargaan.

Tak pernah kita menyangka akan diduga begini. Entahlah … apa perancangan tuhan buat keluarga ini.

Tapi yang pasti, kita juga punya anak2 sebegini, aktif, riang dan cerdas. Kita bangga memilikinya, walau sekadar pinjaman cuma. Kita bangga terpilih sebagai penjaganya.

Namun , yang sama sekali kita tak pasti ialah …. Sihatkah anak2 ini ?? Siapakah antara mereka yang paling berbakti kepada kita nanti ?? atau sempatkah mereka menjaga kita ketika kita sudah berusia nanti ataupun sebaliknya, kita pula menjadi penjaga setia mereka hingga ke hujung abad. Anak yang diharap membesar sihat dan berjaya, rupanya ditimpa kemalangan tidak bermata, lumpuh dan cacat. Tak sempat kita menumpang rehat dan senang.

Namun itulah ujian tuhan, ujian yang datang tanpa diundang.

Ujian menuntut kesabaran dan penyerahan.

Kepada siapa jua ….

Kalau ia boleh terjadi kepada orang lain, bayangkan apa status dan keistimewaan kita untuk terselamat dari di uji dengan dugaan yang sama.

Dugaan tetap dugaan. Ujian tetap ujian. Yang berbeza ialah cara penerimaan dan kesabaran kita.

Samada kita memilih kesabaran cara nabi atau kebejatan cara babi, terpulanglah.

Terbentang untuk kita dua jalan, mulia atau hina ???

Yang pasti ujian akan mengulit hidup kita. Sentiasa ……