Sunday, April 1, 2012

Dramatik Alma (2)


Hey Kawan.

Drama baru bermula, kawan.

Seawal jam 6.40 pagi aku melintasi lebuhraya dalam kelam pagi yang masih dibalut selimut kegelapan. Suram warna hitam membungkus kanvas alam pagi itu sambil gigitan dingin merajai atmosfera pagi. Hujan pula seakan tidak bersimpati , ia meludah dengan renyai sepanjang perjalanan pagi yang kelam itu.

Aku sudah betah dengan permainan alam ini, lantas aku terus meluncur deras membelah aliran trafik pagi yang masih belum disapa kesesakan lalulitas seperti lazimnya. Dengan motorsikal LC 135 yang baru dibeli Januari lepas aku mampu meluncur bak angin di atas trek basah dan licin itu dengan berhati2. Ternyata perjalanan ke sekolahku setiap hari mampu dijimatkan putaran masanya kerana jentera YAMAHA ini lebih lasak dan laju berbanding motorsikal EX 5 pertamaku yang penuh dengan nostalgia. Ia motorsikal pertamaku yang amat aku sayangi dan mempunyai pelbagai rentetan nostalgic yang tersimpan erat dalam album memoriku. Namun, tumbesarannya seiring umurku menyebabkan laras kelajuannya memaksa aku sentiasa menahan kantuk yang merajai perjalananku saban hari. Ya, ia sejarah hidupku. Yang pertama dalam kamus kehidupan yang takkan mampu dipadamkan faktanya.

Ternyata hujan seperti tidak mengasihani aku dan para penunggang lain dipagi itu. Air semburannya semakin memercik deras menghalang tempo kelajuan dan penglihatan kami. Aku mengambil keputusan untuk berhenti seketika, itulah rutinnya yang dilakukan para RIDERS seperti kami untuk menyarungkan baju kalis hujan menghalang dari semburan alam yang kuantitinya semakin banyak pagi itu. Aku melihat jalan yang kelam dengan silauan lampu kereta yang datang laju dari arah belakangku, aku menghampiri laluan kecemasan dan ingin keluar dari garisan aspal. Informasi mindaku menyatakan statistic kejadian kemalangan dilebuhraya, bukan sedikit para penunggang yang disondol dari belakang ketika berhenti untuk memakai jaket kalis air ini ataupun untuk membaiki kerosakan tayar yang pancit.

Aku terus memperlahankan jenteraku dan mengambil keputusan cepat untuk terus menuruni trek aspal yang basah pagi itu. Aku memijakkan tayar hadapanku keatas laluan berumput yang lebih selamat dengan kelajuan yang semakinmenghampiri takah minima, tapi entah kenapa ... permukaannya yang basah dan lembut menghukum aku. Roda hadapanku terjerumus kedalam rumput dan tak mampu menahan kelajuan jentera, aku hilang keseimbangan. Tanpa disuruh, roda belakangku terus menjatuhkan aku dan seisi badanku menghempas ke atas permukaan sisi jalan yang lembut dan mengheretku sejauh 20 meter kehadapan tanpa belas kasihan.

Aku tersungkur. Aku menyerahkan tubuhku pada hukum alam tanpa mampu mencabar dan menahan. Aku dihempaskan kuat dan diheret keras di atas jalan yang tak berperasaan, mungkin ia sudah biasa melihat dan menghukum para pemijak dada aspalnya dengan hukuman yang lebih dahsyat hingga mengorbankan nyawa. Aku pasrah. Membiarkan sahaja detik beberapa saat yang berlaku dalam keadaan tertiarap dihumban takdir pagi itu ke gravity bumi.

Seketika aku terdiam. Membungkam rasa. Mengira denyut nadi. Menyelinap ke sarafku untuk mendapat isyarat kesakitan. Menghela nafas. Mengumpul kekuatan.

Alhamdulillah, aku selamat. Tiada kecederaan serius yang meyambutku. Mungkin sedikit kelenguhan kesan terjatuh sahaja yang menemani aku pagi itu. Aku menghala ke motorsikal sedangkan aliran trafik terus bertali arus tanpa menghiraukan aku yang telah dijatuhi hukuman mahkamah takdir. Motorsikalku juga ternyata baik dan tidak cedera, Cuma sebelah telinga “ side mirror”nya sahaja yang tertanggal menjadi arwah.

Aku meneruskan putaran roda jentera ini ke sekolah.

Hatiku tertanya2, petanda apakah ini kawan ?

Persis episode drama yang digarap sutradara, mungkin ia petunjuk kepada sesuatu klimaks yang akan terzahir dihujung filem nanti.

No comments:

Post a Comment