Saturday, May 12, 2012

Bersihkan hati dan diri

Salam kawan,

Rupanya telah hampir separuh Mei berlalu tanpa sempat saya mencoret sepatah berita pun buat para sahabat semua. Sememangnya ISTIQAMAH dalam melaksanakan sesuatu perkara itu amat tangguh dan sukar. Ramai mujahid muda yang hamasah akhirnya kecundang pada usia syaikhukahnya.

Nabi pernah menasihatkan AMANTA BILLAH SUMMA ASTAQIM , yang maksudnya Berimanlah kamu kepada Allah dan kemudian teruskan tekad dan komitmen mu, nescaya Allah akan membantu. Ianya seolah penawar kejemuan dan futur, apabila keazaman dilandaskan pada keyakinan, segalanya pasti akan dapat diharungi dengan tabah dan bijkasana walau ketika senang atau susah, tika lapang atau sibuk dan tika bermotivasi atau keMATIan aksi.

Entahlah, mungkin kejadian BERSIH dan BANTAI lebih menjadikan saya seorang pemerhati.

Mengunyah maklumat yang tersurat dan tersirat dengan penuh teliti dan berhati-hati. Bimbang informasi yang telah dihadam rupanya bergizi tidak seimbang dan mampu mengatktifkan bakteria dan cacing negatif, natijahnya ia gagal dicerna usus manfaat dan kebangkitan kesedaran.Akhirnya ia memudaratkan diri dengan simpton cirit dan keciciran pahala yang berterusan.

Di kedua belah pihak, kekadang rasional agama kurang dipertimbangkan. Allah akan menilai seseorang bersama dengan aksi amalnya. Mencuri untuk membantu sang fakir melarat tidak akan dikira berpahala walaupun ianya adalah tindakan populis dan berani.
Menghentam, mengutuk dan melakukan keganasan juga bukan cara yang wajar meraih pahala dalam sebuah aksi pentas jalanan yang bertujuan murni.

Ingatlah hadis Nabi tatkala menceritakan kehancuran sebuah ketumbukan tentera yang ingin meranapkan kesatuan Ummah, walaupun mereka dihancurkan serentak dan bersama2 tapi mereka pula akan dibangkitkan berdasarkan niat dan kondisi masing2.

Moga kita berfikiran wajar dan rasional dalam isu ummah dan kebaikan.

Kesatuan mencari hak dan kebenaran amatlah dituntut agama bahkan nabi memperagakan aksinya untuk berada di barisan hadapan menyetujui MESYUARAT PERDAMAIAN PERANG FIJAR demi mencari keamanan dan mempertautkan ukhuwwah.

Berkumpul untuk satu tujuan kebaikan dan keadilan sejagat sewajarnya diperjuangkan oleh semua.

Teringat saya kepada fatwa Dr Yusof Al Qaradhawi ketika mendepani isu demontrasi besar memulihkan pemerintahan di dataran tahrir, beliau dengan tegas tanpa berselindung untuk mengemukakan IJTIHAD BERANI DAN HARAKInya dalam membenarkan perhimpunan walaupun ditentang pandangan majlis fatwa berauthoriti di sana kala itu.

Dataran tahrir menjadi simbol kebangkitan umat mesir kala ini.

Tiada yang menghairankan kita jika skripnya diulang semula dinegara kita dalam menghukum perhimpunan atas tujuan menjaga air muka pemerintahan tanpa mengambil kira segala aspek yang menjurus kepadanya. Entah apa kepentingan dan urgensi keadaannya hingga FATWAnya boleh terus diWAR2 kan dengan segera sedangkan penilaian hukum2 tertentu yang dirujuk ummah memerlukan masa yang lama untuk menuntaskan jawapannya.

Bangun wira yang tidak didendang menyuarakan pandangannya meminta Fatwa tidak dilihat dengan sebelah mata lantas mengakibatkan fatwa yang senget dan berat sebelah.

Dan kerana itulah juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz diselar kerana menyokong perhimpunan, dituduh kolot, berhati syaitan dan penuh dendam kesumat bahkan yang terbaru TGNA dituduh sebagai BAPA KEKAFIRAN dengan prasangka jijik dan kotor. Begitu juga dengan sebuah foto yang diedit dengan gambar TGNA berbaju kuning dengan berkepala seekor beruk.

Allahu akbar ..... Kami lebih mengenali guru kami, kami lebih dua dekad berada dalam naungan tarbiyah iman dan islam bersamanya. Kami bermandikan curahan ilmunya dan mencium haruman akhlaknya saban masa, dengan semangat kental dari asuhan didikannyalah bukan sedikit yang mengembara untuk menyambung lidah ilmu dan semangatnya ke merata tempat diperantauan.

Kekesalan ini membuakkan amarah. Kesedihan ini menitipkan keazaman.

Kami berdiri dibelakang TGNA selama mana ianya bertongkatkan Islam dan kebenaran.

Dan kerana itu jugalah .... Saya menyokong kepada ke....BERSIH....an hati dan nurani kita dalam menjana amalan yang berpahala dan bermanfaat.

Selamat hari guru buatmu TGNA, ....... guruku, guru rakyat kelantan dan guru untuk sebuah universiti politik terbuka dengan iringan doa dan harapan agar terus tabah meladeni kebobrokan duniawi ini.





No comments:

Post a Comment