Hei kawan,
Jauh disudut hati, perasaan bersalah dan terkilan meninggalkan bumi kelahiran, tanah serendah sekebun bunga ini sekian lama. Bungkamnya rasa dalam menghimpunkan kembali bingkai hati yang pecah. Nyeri dan ngilu silih berganti.
Aku anak Kelantan.
Betapa kerinduan ini amat membekas dihatiku kala ini.
Serasa jasadku ingin terbang menginjak kaki ke teratak bumi tercinta ini sekelip mata. Kalaulah aku bisa memiliki ilmu ulamak rabbani dizaman nabi Sulaiman yang mampu memindahkan Istana Balkis dalam sekelip mata, nescaya jasadku kini sudah bersimpuh erat di perdu limpahan neon serambi mekah ini.
Tapi jangan pula kalian kawanku salah sangka, aku bukannya seorang perindu tegar pada masakan kelantan yang unik dengan aroma dan rasanya. Rinduku tidak tumpah pada semangkuk Budu dan Nasi Kerabu yang menggamit liur selera merembes di penjuru lidah. Bukan juga pada akok, sup gearbox, roti canai chotex, sup belut dan sebagainya.
(Aku hanya alah pada godaan keropok lekor sahaja, kemana pun diri ini menjunjung langit, pastiku cari tempat menjual keropok lekor untuk habuan rindu batinku ini, biar mahal mahupun bersaiz ciput, aku menikmatinya dengan keterujaan yang cukup luar biasa,
aah .. aku memang anak kelantan)
Aku bukan juga sedang dilambung gelombang red warriors yang sedang dalam persiapan menggempur bukit jalil sabtu ini untuk misi mengungguli pentas piala FA yang belum pernah dimiliki walaupun sudah berjaya hampir memeluknya dalam tiga siri final sebelum ini. (Aku sememangnya amat mengikuti perkembangan bolasepak kelantan ini walaupun kala itu mereka hanya bermotokan kijang dan gomo, belum lagi mampu dicemburui lawan dengan title wira merah yang sentiasa bisa menghadirkan gerun buat para pencabarnya, namun minatku belum sampai ketahap rindu mendesak kakiku untuk turut berkonvoi sama, rencanaku seperti biasa hanya menjadi penonton solo dalam keluargaku yang bervariasi negeri dan kelahiran)
Aku dipagut rindu.
Rindu pada sesusuk tubuh yang dirakam oleh sang jurugambar ini.
Ternyata momen pegun ini mampu memberi pelbagai makna tafsiran.
Dan bagiku, aku merindui saat2 menjadi anak remaja menekuni setiap alur tarbiyyah yang diungkapkan murabbi ini. Cukup tenang, bersahaja, mesra dan menusuk hati.
Doaku buat murabbi umat ini, moga engkau disimbahi cahaya afiat dan kesihatan dalam terus mendekatkan umat ini pada kesedaran bertuhan dan beragama.
UP : Tak lupa untuk aku berikan kredit pada blog abu nuha yang mencetuskan getaran rindu ini untuk mencoret dan berkongsi momen penuh inspirasi ini. Membangun bersama Islam dibawah kepimpinan Ulamak.
Dialah Murabbi kami. Tuan Guru Haji Abd Aziz Nik Mat.
No comments:
Post a Comment