Sunday, June 17, 2012

Al- Fatihah Buat Ustaz Yahya Othman

Hey Kawan, 


Sudah lama rasanya tidak bersua tinta dengan kalian di skrin ini. Terasa dipenjuru hati rasa kehilangan yang sukar aku tafsirkan sendiri. Kekadang gigitan rindu dibalut cubitan sayang menerjah lembut dan syahdu menampar emosi hati yang kian gebu dengan tugasan seharian.


Yang pastinya, aku yang terasa kehilangan kalian. 


Kekurangan momentum aktifku untuk menggerakkan jemari ini untuk menari rancak diatas hamparan keyboard laptopku menjerat diriku. Aku seakan disengat kesepian, kegelisahan dan sememangnya .... kehilangan.


Belum sempat aku membasuh dosa kesalahanku untuk mencoret disini, tiba2 aku dijeritkan berita kehilangan lagi.


Kehilangan yang tidak akan kembali lagi.






Kehilangan insan yang pernah mempotretkan jasa dan nyalaan fikrah islami dalam dadaku ini. 


Tanyalah kawan, siapakah yang pernah bermandi sumur tarbiyyah takkan pernah sunyi dari mendengar suara aktor tarbiyyah popular ini. Sebutlah di mana tempat sekalipun, beliau akan tetap hadir untuk menabur benih iman dan didikan tarbawi ini kepada para pejuang islam, beliau mengotakan janjinya. 


Dalam ingatanku kawan, beliau telah hadir membelah sunyi pagi memberi kuliah subuh disekolah agamaku dahulu menyampaikan pencerahan ilmu dan tarbiyyah dengan caranya yang tersendiri, jika disebut sahaja namanya sebagai pemidato tarbiyyah pastinya kami anak2 maahad akan membeliakkan mata untuk tega menahan kantuk bukan sahaja bagi mendengar ulasan tarbiyyahnya bahkan kami teramat bimbang andai kedapatan tertidur, kami akan dihamburkan omelan soalan2 tarbiyyah dan ilmu yang tak terjangkau oleh atmosfera pengetahuan kami. Akhirnya kami akan termalu sendiri dan menginsafi.


Tatkala aku membesar dalam gersangnya sahara di jordan sana, beliau pernah datang bertamu menyiram rindu tarbiyyah ini untuk meneguk titisan kata2nya yang umpama mutiara berhikmah itu. Pastinya, setiap untaian katanya ditelan penuh nikmat oleh hati2 musafir ilmu ini yang terus berjanji setia untuk kekal menjadi kader perjuangan islam ini dimana sahaja bumi dijunjung.


Begitu juga kawan, ketika aku berkelana dalam perkhidmatanku ke Sabah, beliau masih gagah membawa sekujur tubuh tanpa balutan lemak itu untuk didakap bayu dingin kota kundasang yang amat mengilukan itu. Beliau dalam usia yang sudah semakin tua, masih mempunyai keazaman seorang pemuda dengan objektifnya yang tetap kekal sama memberi tarbiyyah dan tarbiyyah.


Moga Allah merahmatimu.

No comments:

Post a Comment