Saturday, September 8, 2012

Fasi Nadwah 2012

Hey kawan,

Benarkah kata pepatah purba yang mendendangkan : Singa yang perkasa tidak akan dilahirkan kecuali oleh Sang Penguasa Singa yang menjadi Raja Rimba yang tidak pernah tewas.

Itulah hukum alam.

Bahkan seorang anak yang beriman dan bertakwa biasanya terasuh dari persekitaran dan jiwa soleh muslih yang telah dibentuk oleh murabbi pertamanya iaiti ibu dan ayah.

Kerana itu, untuk mencetak kepimpinan yang meyakinkan dan berkesan perlu dihadirkan terlebih dahulu dari perdu  jiwa para pengislah yang membentuk ketumbukan fasi yang memasang objektif mendidik dan membentuk akhlak dan faham qiyadi yang terbaik.

Para fasi pula terlebih dahulu diasak dan dipupuk jiwa tulus dan semangat pengorbanan yang tiada belah bahaginya demi agama.

Biarpun antara kami ada yang kemalangan kenderaannya, ada yang terpaksa mencairkan akaunnya hampir RM500 demi membaiki keretanya yang tersangkut dijalanan berbukit kala itu, ada yang kematian saudara terdekat, ada yang terdera fizikalnya dengan kepenatan ekoran minggu sebelumnya yang juga penuh diasak program, ada yang diuji dengan anak2 yang sakit dan uzur, ada yang baru kehilangan ......namun, momentum untuk melihat para peserta yang merupakan tunas dan benih dakwah yang akan melata dimuka bumi allah dengan agenda islam ini subur menguatkan sendinya terus menjadi pemangkin untuk para fasi sabar berjuang.

Memang berjuang itu pahit, tapi sesungguhnya itulah harga syurga yang perlu dibayar untuk memperoleh nikmat syurgawinya. Apatah lagi bila madu nikmatnya juga adakala Allah
dahulukan tatkala melihat jernih mata dan tulus hati para wajah yang bertandang ke nadwah tempohari.

Ustaz Alrizualdy, seunik namanya seanggun susuknya yang banyak memberikan komitmen serta kreativiti bernas dalam memimpin para fasilitator.

Sememangnya wajah yang soleh tak pernah menipu, ia hadir dari hati yang bercahaya.
Janji Allah untuk mereka yang berbaiah menjaga agama, kesannya terpamer pada cerminan muka yang berseri dengan keikhlasan dan kebaikan.

Duhai alam, bersaksilah kami telah melaksanakan tugasan kami. Kami telah mencuba dan berusaha sebaik dan setulus yang mungkin. Kami mengimpikan hadirnya hati cilik yang mampu menyayangimu sepanjang masa ya Allah.

Ya rahman, berikanlah kami hati yang sentiasa mendambakan kasihmu, luruskanlah nawaitu dan ikhlaskanlah hati kami dari bengkok riyak dan menunjuk2, leburkanlah mazmumah diri kami dengan hiasan mahmudah yang bertakhta, belailah kami dengan kelembutan rahmatmu, dan terimalah amalan kami.

Moga ianya mampu membekalkan hidayah dan taufik penuh keberkatan dalam baki usia kami yang bersisa.
 Barisan fasilitator yang berkhidmat di Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam.


Saf para fasilitator perempuan yang bertugas.

No comments:

Post a Comment