Tuesday, November 27, 2012

Berhijrah bersama Yasin


Hey Kawan,

Malam Hijrah melabuhkan tirainya di Daerah Bertam ini dengan hamparan gelap mengusir sang cahaya untuk bersembunyi di daerah yang lain, dinginnya salju malam mengiringi pemergian haba cahaya yang termeluwap di samudera angkasa. Gelap dan ngilu sejuk menemani suasana malam ini.

Namun alhamdulillah, zulmat malam dan dinginnya hawa gagal meyelimutkan penghuni taman Bertam ini untuk duduk bertungku di pendiang rumah mengadap sang peti ajaib yang tugasnya menyanyi dan bercakap setiap masa, tewas juga untuk merantai kaki penghuni taman ini untuk bersantai dan bersendaloka di perdu cafe semata-mata.

Alhamdulillah, beruntungnya bila ada biasan suria rembulan yang sudi meminjamkan sinarnya memimpin kaki para penghuni taman ini untuk gagah melangkah ke taman ilmu di rumah Allah, mereka memenuhkan ruangan surau dengan penuh khusyuk dan sopan.

Aaah, moga malam hijrah ini menyaksikan perubahan diri dan hati kami, ya allah. Bimbinglah kami ke arah keredhaanmu tuhan.

Setelah hampir 12 purnama saya bertamu di Bertam Putra ini, saya diberi peluang untuk mengetuai para makmun dalam saf solatnya, sesekali memimpin doa bersama para sahabat di keramaian kenduri dan yang terindahnya, saya turut memperoleh sudut podium di malam jumaat untuk setia membedah tafsiran ayat ilahi sebagai pedoman dan inspirasi diri.

Selalu saya berpesan untuk diri dan sahabat setaman, ayuh kita bermesra dan mendekatkan diri dengan ayat2 allah ini dengan tadabbur mengetahui makna dan ertinya, barulah ia mampu memberi motivasi dan panduan kehidupan. Moga hidup sementara yang dipinjamkan Allah kala ini, mampu memberi manfaat untuk diri mengutip bekal kembali ke barzakh.

Alhamdulillah, sudah beberapa surah kami telaah sebelum ini dalam kuliah tafsir saya yang saya ceduk dan sandarkan dari 3 buah kitab rujukan yang utama, antaranya Fi Zilal Quran karangan AsSyahid Sayyid Qutb, Tafsier Munier karangan Dr Wahbah Zuhaili dan Al Jamie Li Ahkamil Quran karangan Al Qurtubi.

Dengan rahmat dan anugerah allah, kami telah berjaya khatam surah Nuh, al Insan, Al Hujurat, As Sajdah dan akhirnya Luqman.

Dan malam hijrah ini, Allah rentangkan kepada kami dengan sebuah Surah yang baru dan segar aroma entitinyanya,menghijau tenang penuh kasiatnya, mewangi haruman maknanya dan indahnya rentak iramanya. Ianya sentiasa mesra di halwa telingan kita bahkan ianya merupakan JANTUNG kepada al Quran yang menggambarkan ulung identitinya.

Alhamdulillah, kami akan menguliti TAFSIR SURAH YASIN bermula dari malam hijrah ini.

Moga ianya dapat memberi momentum kami untuk berhijrah dari mengajuk irama quran bak burung kakak tua tanpa mengetahui maknanya , juga berhijraj dari menjadi anjing ujikaji baflove dan thorndike yang sentiasa melelehkan liurnya tatkala dibunyikan loceng seumpama suis automatik untuk kita yang sentiasa mengaitkan antara yasin dan kenduri makan, bahkan juga berhijrah dari mnejadi keldai pemikul khazanah ilmu yang jahil dan hina jika meninggalkan kemuliaan amal dan amanah yang dianjurkan dalam surah Yasin ini.

Mmmm, Moga Allah mempermudahkan.

Friday, November 23, 2012

Kisah Orang Yang Dizalimi

Hey Kawan,


Alangkah indahnya goresan rasa yang diungkapkan pena sahabat saya dalam medium mayanya Perenung Langit. Bicara tuntasnya sering mengarca kefahaman yang mendalam. Lihatlah kawan antara untaian bicaranya yang amat menginsafkan :


Sebuah cerita menggambarkan doa orang yang dizalimi. Bukanlah satu jenayah untuk mendoakam agar si penzalim diberi balasan. Si penzalim tidak akan dibela sekalipun dia muslim dan yang dizalimi itu kafir. Oleh itu, janganlah para penzalim merasa selamat.
Seorang nelayan miskin yang hidupnya menanggung keluarga dengan hasil tangkapan ikan. Malangnya tangkapan ikannya selalu tiada. Hanya menggunakan jala, dia menebarkannya di tepian pantai dengan harapan akan ada ikan yang tersangkut.Beberapa kali dicuba, nampaknya tiada razeki buatnya. Begitulah beberapa hari dan dia tidak berputus asa. Dia mempunyai kesabaran dan tekad berusaha yang tinggi.

Pada suatu hari, dia ke pantai lagi, menebar jala dengan harapan ada ikan yang tersangkut. Beberapa kali dicuba, namun tiada. Namun, dia mencuba juga dengan longlai dan penuh harapan. Lalu, Allah mentakdirkan seekor ikan besar terperangkap dalam jalanya. Alangkah gembiranya melihat ikan besar itu. Sambil menarik ikan tersebut, dia pun membayangkan apa yang akan dilakukan dengan ikan itu.

Akan aku beri makan kepada keluargaku sehingga kenyang. Kepada jiranku juga harus diberikan. Selebihnya barulah aku jualkan. Demikian nelayan itu merencanakan apa yang akan dibuatnya terhadap ikan itu. Razeki yang begitu sukar diperolehi.

Malangnya, ketika itu lalu seorang raja dengan askarnya. Raja itu sangat tertarik melihat ikan besar yang baru diperolehi nelayan itu. Lantas, disuruhnya pengawalnya mendapatkan ikan tersebut dari nelayan. Sudah tentu nelayan itu sangat keberatan. Setelah merasakan bahawa dia tidak dapat mempertahankan ikannya itu dari diambil oleh raja, dia pun meminta harga sebagai bayaran. Dengan angkuh pengawal itu merampas ikan itu dan mengatakan raja tidak membayar harga daripada apa yang dikehendakinya.

Maka, ikan itupun dibawa pergi. Bergenang air mata sang nelayan miskin yang daif dan tak mampu berbuat apa-apa. Haknya dirampas. Kepada siapa hendak dia mengadu? Hanya kepada Allah Tuhan yang satu. Dia pun  menadahkan tangan dan berdoa.

Sementara raja itu, dengan senang hati kerana dapat ikan, disuruhnya tukang masak istana segera masakan ikan itu. Ikan besar itu dia seorang yang makan.

Malangnya, beberpa hari setelah makan ikan itu, raja telah dijangkiti satu penyakit aneh. Penyakit itu pada mulanya hanya berupa bengkak pada ibu jarinya. Bengkak itu disertai dengan sakit yang sangat mengganggu keselesaannya. Lama-lama mula bernanah. Tabib istana dipanggil dan setelah dicermati, dia menasihatkan supaya ibu jari kaki raja itu dipotong. Raja enggan menerima nasihat tabib istana dan disuruh carikan ubat untuk sakitnya. Namun ubat tidak ditemui juga walau bermacam ikhtiar diusahakan. Beberapa hari kemudian, tabib istana yang merawatnya memberitahu bahawa penyakit itu telah merebak hingga ke buku lali. Kakinya hendaklah dipotong supaya penyakit tidak merebak ke atas. Raja masih enggan menenerima nasihat tersebut kerana dia sayangkan kakinya. Dia memerintahkan agar dicari tabib lain yang lebih handal. 

Seorang tabib dari luar di bawa. Setelah melihat penyakit di kaki raja, dia pun memberitahu bahawa penyakit di kaki raja itu telah merebak hingga ke betis. Kalau tidak dipotong betis, ia akan merebak ke atas lagi. Ketika itu, akurlah sang raja. Lantas betisnya itu pun dipotonglah.

Raja sangat sedih atas kehilangan betisnya. Namun, kesedihannya tidak tamat di situ. Dalam keadaan sugul kerana kehilangan kakinya, tiba-tiba negerinya dilanda gempa. Harta benda dan jiwa banyak yang musnah. Keadaan ini membuatkan raja sangat hairan.Lalu, raja memanggil seorang ulama dan bertanyakan maksud di sebalik semua musibah yang menimpanya itu.

" Tuanku telah menzalimi seseorang", ulama itu membuat rumusan.

" Seingat beta,  tidak pernah beta zalimi sesiapa", ujar raja.

" Cuba Tuanku ingat betul-betul, pernahkah tuanku zalimi seseorang?", ulama itu tetap dengan rumusannya.

Maka, ketika mengimbau kembali apa yang telah dilakukannya, raja pun teringat perihal ikan yang dirampasnya dari nelayan. Ketika dia merampas ikan itu, dia tidak merasakan itu satu kezaliman.

Apalah harganya seekor ikan.

" Perkara kecil di mata tuanku adalah besar di mata nelayan itu", ulama itu mengingatkan.
Raja itu memerintahkan agar nelayan itu dicari dan dibawa mengadapnya.
" Apa yang telah kamu lakukan setelah ikanmu beta rampas?", raja bertanya kepada nelayan itu.

" Saya tidak lakukan apa-apa", jawab nelayan ketakutan.

" Ceritakan terus terang, kamu tidak akan beta apa-apakan", raja memujuk dan menenangkan nelayan yang ketakutan itu.
Akhirnya nelayan itu pun berkata...
"Setelah ikan itu tuanku rampas, saya hanya mampu berdoa..." 
"Apa doamu?", soal raja 
 Nelayan pun berkata: "Aku hadapkan wajahku kepada Allah dan berkata...
اللهم قد اراني قوته عليّ .. فأرني قوتك عليه
“Ya Allah, sesungguhnya dia telah memperlihatkan kekuatannya atasku...Maka tunjukkanlah kekuatanmu ke atasnya”.

لا تظلمن إذا ما كنت مقتدرا * * * فالظلم ترجع عقباه إلى الندم
تنام عينك والمظلوم منتبه * * * يدعو عليك وعين الله لم تنم
Janganlah kamu berbuat zalim saat kamu berkuasa***Maka kezaliman itu membawa akibat penyesalan

Kamu boleh lenakan mata tetapi yang dizalimi sentiasa berjaga***Dia berdoa ke atasmu dan mata Allah tidak pernah lena.

Rintihan Kezaliman




Ribut diluar sana belum reda, hujan juga belum ingin pasrah menghentikan amarah semburannya, awan sememangnya gelap dan hitam menghiasi dada langit, ngauman guruhnya bukan sedikit memeranjatkan warga manusia disamping memerangkap anak2 kecil ke jerat ketakutan. 

Bertempiaran mereka lari mendapatkan para ibubapa bagi mendapat dakapan penenang emosi dan rohani.

Dan di alam sedar dewasa ini, kita terus diasak rebut pertelingkahan, hujan nista dan makian dihambur semahunya, zulmat hati terserlah pada kebencian dan permusuhan, lantas para agamawan dipanggil untuk memberi  ngauman pencerahan, namun anak2 kecil kini bukan lagi seperti dulu, mereka semakin waras ataupun kekadang semakin keras untuk menerima pengajaran … lantas dalam facebook dan medium mayalah menjadi tempat untuk mereka meluahkan pandangan, keras dan angkuh kalaupun tidak dungu dan bodoh dan akhirnya mereka kekal terperangkap dalam jerat 
kejahilan.

Lalu, dimanakah lagi dakapan ketenangan yang mahu dicari bagi meredakan semua situasi ini.

Kala ini, gawat isu mendoakan insan muslim dengan keburukan , atau isu yang sentiasa disembunyikan bolehkan mendoakan INSAN YANG ZALIM dengan keburukan.

Biarlah masing2 berhujjah, pasti terserlah kebenarannya.

Kekuatan hujjah lebih baik dari hujjah kekuatan yang selalu digunakan mereka yang tewas dan berkuasa untuk menutup mulut para musuh saingannya.

Imbaulah seketika keampuhan hujjah nabi allah Ibrahim ketika berdepan dengan keangkuhan kaumnya mempertahankan berhala yang mereka cipta dengan tangan dan imiginasi mereka, lantas bila semuanya rebah dalam kehinaan pukulan hujjah Nabi Ibrahim mereka lantas bangkit merencana tindakan memperaga kekuatan dan menunjukkan keangkuhan dengan hukuman bakar dan bunuh yang paling sadis dan belum tercetak dalam sejarah manusiawi.

Kebenaran itu milik allah.

Allah akan menghantar kita untuk senang menerima kebenaran dan mudah menegakkan kebenaran.

Manakala kebatilan endingnya selalu akan tertewas dan menegakkannya cukup sukar sepertimana menegakkan benang yang basah. Mulut akan terkhilaf , hujjah akan terkial manakala reputasi amanah akan jatuh terkulai.

Cuma sahabatku,

Bukalah mata dan tenangkanlah hatimu. Kebenaran akan terselah tetapi bukan syarat untuk ianya menjulang kemenangan dalam cakupan tempoh duniawi ini.

Kekadang orang yang benar terhukum penjara. Orang yang benar juga sering kalah bicara.

Tapi kebenaran akan terserlah jua, walau beberapa dekad berlalu.
 
 Lumrah alamkan kawan, ianya memang senantiasa begitu.

Namun, kekadang saya sebagaimana anak Kelantan yang lain sering terasa dan mempersoalkan :

1) Kenapa negeri ini dizalimi dengan menidakkan pengurusan jalanraya yang baik.

Jenguklah lopak dan rekahan yang bertaburan di jalanan yang sememangnya bersaiz kecil tanpa mampu menampung ribuan anak perantauannya yang sering terkedu disetiap kali pulang diperayaan.

Tiadakah peruntukan untuk memulihkan keadaan yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa. Tanpa bahasa retorik , jalan dari Kota Bharu ke Pasir Puteh masih kekal antik dan klasik dengan lebar jalan yang tidak berubah, terdapat lencongan buatan akibat mendapan tanah di jalan utama dekat melor yang kekal tidak diperbetulkan sejak saya masih dibangku sekolah menengah hingga ke saat saya sudah kembali dari berkelana di Jordan, Sabah dan kini di Pulau Pinang. Ianya jalan saya pulang ke kampung arwah nenek. Ianya masih tetap begitu kawan.

Kenapa ? 

Jelesnya tatkala kereta saya meluncur di aspal tanah terengganu yang hanya selang beberapa kilometer dari pasir puteh yang berturap elok dan bersaiz lebar.

Adakah ini harga yang terpaksa anak negeri ini membayarnya kerana memilih pembangkang.

Ataupun inilah harga kezaliman yang akan dibayar pelakunya satu hari nanti.

2) Royalti petroleum.

Dalam himpitan kesusahan biasanya akan datang kemudahan dan pertolongan. Namun bila hasil bumi ini juga mahu dirompak tanpa diberi pampas an kepada empunya juga adalah satu kezaliman berganda.

Cakaplah apa sahaja isu dan frasa undang2nya, namun para warga secilik 10 tahun pun akan tahu betapa diskriminasi ini berlaku. Lihatlah tarik tali istilah di negeri Terengganu sekejap dipanggil royalty dan sekejap digelar wang ihsan.

Entahlah kawan …

Puas merayu dan berdialog dengan manusiawi. Dalih dan helahnya sentiasa meraja.

Eloklah pula merayu dan meminta pada Tuhan yang merajai segala kerajaan. Ianya tak pernah henti mendengar dan mengetahui.

Dan janji allah sentiasa menyatakan :


Tiada benteng hijab yang akan menghalangi doa orang yang dizalimi dari Allah Taala.

Wednesday, November 21, 2012

Hijrah Dalam Bercuti



Hey Kawan, 

Apa khabar kalian di sana ?

Moga sentiasa dibasahi embun ketenangan dalam bayu pagi yang berpupuk mesra.

Bagaimana pula suasana cuti kalian kali ini ? 

Harapnya ia mampu memberi kita ruang untuk berehat memulih tenaga buat beberapa ketika. Masa yang tersedia dalam cuti ini kekadang mampu memberikan sentuhan keajaibannya untuk menguraikan kekusutan urat dan otot yang sekian lama dipaksa bekerja. Biarlah ianya diurut waktu, dipicit rehat yang senggang bertamu agar keaktifan dan kesegarannya bisa pulih semula.

Namun jangan biarkan ianya bersantai terlalu lama. 

Bukankah kata intelegensia : Kebiasaan bisa membunuh manusia, jika kita meremajakan diri dengan kemalasan maka keculasan dirilah yang akan menjadi rutin kita diusia senja. 

Akan terasa enak diulit rehat, tenang tanpa minda yang serabut berfikir, santai tanpa jiwa yang dibeban tanggungjawab, liat pula untuk melunaskan amanah dakwah apatah lagi tuntutan ibadah. Kita sememangnya akan senang dan suka dengan kebiasaan rehat, namun bukan sedikit kelapangan ini membawa kita untuk menjerat jahat, akhirnya kita liat untuk bangkit bergerak. Kalau adapun mungkin ianya sudah terlambat … tatkala usia sudah dipagut semput dan penat, dengan sendi yang sudah berkarat dan badan yang sentiasa membebel tidak larat.

Adakah ini kerehatan yang kita cari ? Inikah kebiasaan hidup kita kala ini ?

Bercuti dan berehat tidak salah, tapi janganlah sampai ianya mengabaikan amanah dan tanggungjawab.

Bukankah kita umat harakah, umat mulia yang sentiasa aktif membawa manfaat  juga umat yang cakna dengan permasalahan ummah.

Ingatlah teman, kerehatan kita yang sebenarnya ialah disebalik pintu barzakh.

Ianya permulaan CUTI yang panjang, rehat yang diaktifkan tuhan untuk menerima ganjaran, santai yang diperuntukkan tuhan untuk membalas keimanan dan ianya merupakan JANJI tuhan yang pasti dalam kalender kehidupan ukhrawi.

Dimensi hidup disini amat berbeza dan terbalik, jika dunia kita bermula dengan kelemahan dan kekurangan lalu ia menuntut kita kekal berusaha untuk maju dan mencapai kejayaan dan kesempurnaan hidup, akhirat pula akan bermula dengan kedudukan tertinggi kita berdasarkan amalan didunia, jika permulaan barzakh kita bermula dengan kemuliaan yakinlah…. Kita pasti akan bertemu dengan kemuliaan dan kejayaan hingga tiada apa lagi yang mampu kita idamkan kecuali para malaikat tuhan akan mengatakan Mintalah, disinilah terkumpul segala nikmat tuhan dan pada syurganya jauh lebih banyak lagi.

Dan jika kita bermula di barzakh dengan seksaan dan penghinaan, aah …alangkah malangnya! Jauhkanlah kita daripadanya…. Jangan bermimpi lagi untuk diulit bahagia dan ketenangan … jangkalah untuk setiap detik dan saat segala seksaan dan kesibukan kita menahan tujahan pukulan atas kegagalan kita melunasi tanggungjawab kehambaan.

Benar kata Rasul : Mati sememangnya sebaik2 inspirasi.

 
Moga kita dapat mencari sudut terbaik dalam ruangan CUTI yang ada ini.

Cuti untuk kita mengasah ilmu, cuti untuk kita memperbaharui tekad, cuti untuk kita mengecas tenaga, cuti untuk kita menyusun agenda , cuti untuk kita menyambung yang terputus, membasuh yang terkotor dan menghias yang terkhilaf.

Moga MAAL HIJRAH yang mendatangi kita kala cuti ini dapat memugar azam perubahan demi kebaikan diri, keluarga dan ummah islamiyah seluruhnya.

Salam Hijrah untuk semua teman diluar sana !!


Status Cutiku



Hey kawan, 

Dah lama rupanya aku menghilangkan diri dari berbicara bersama kalian disini.

Pejam celik kehidupanku menghantarkan aku ke daerah yang sibuk dengan kepadatan program yang tertentu hinggalah kehujung persekolahan ini. Alhamdulillah, kini aku kembali tenang untuk mengerlipkan mataku melihat kembali teratak travelogku yang kian using dimamah usia senja pengabaianku.  Aku bersalah membiarkan ia tergantung tanpa staus dan coretan terkiniku. Ohh, maafkan aku kawan !

Sekilas aku memutarkan memori pandanganku, aku sebenarnya baru sahaja tamat menduduki peperiksaan akhir kertas ilmu dilalah bagi pengajian masterku. Rupanya aku sudah menginjak ke usia semester kedua dalam pengajian yang sayup masih panjang dan jauh lagi. Untuk pengetahuanmu teman, aku perlu menghabiskan 10-12 subjek dalam purata 2-3 subjek yang mampu aku daftar sebagai pelajar separuh masa di peringkat masterku ini. Hitung kasarnya kawan , mungkin aku terpaksa meringkuk dalam belenggu system master ini selama 2-3 tahun lagi. Apapun, aku redha dan doakan aku kawan untuk terus istiqamah dan dipermudahkan segala urusan.

Dengan putaran roda sesi persekolahan yang sudah sampai ke penghujungnya, ramai yang teruja untuk pulang ke kampung atau ada yang sudah memasang agenda percutian keluarga yang tersendiri. Aku masih disini kawan. Dipulau mutiara yang penuh kemilau sinarnya. Hari ini Alhamdulillah, aku baru selesai bersama 240 orang pelajar SABK dan SMK seputar Pulau Pinang ini meladeni DANAU ILMU dalam Daurah Muanasatil Ulamak yang menghimpunkan para Masyaikh dan Tuan Guru yang berwibawa di Penang ini untuk turun menyampaikan ilmu mereka dalam kaedah TALAQQI dan MUSYAFAHAH bersama himpunan anak muda pimpinan sekolah. Anak –anak cilik ini adalah peserta nadwah negeri dan kebangsaan tempohari yang diprogramkan untuk terus mengekalkan momentum ilmu dan dakwah dalam penghidupan mereka. Ianya berlangsung di SABK Madrasah Khairiyyah Islamiyyah di Pokok Sena, Kepala batas.

Usai program, aku masih tetap disini, dengan tugasan dan khidmat yang terpaksa didahulukan. Aku bertugas untuk mengawas SPM buat kali kedua berturut2 dan kini aku ditempatkan  disebuah sekolah Cina di bukit mertajam.
Entahlah sampai bila aku perlu bertahan disini. Mungkin ianya sesuatu yang misteri bagiku. Namun aku sengaja memilih redha dan suka dengan ketentuan ilahi yang penuh misteri ini, kerana bagiku ianya hikmah dan hadiah pentarbiyahan ilahi yang penuh saspen dan cukup bererti.

Teringat aku kepada kata pujangga yang ku kutip didada dinding kantin sekolah cina tempatku mengawas peperiksaan tempohari , jika kau menginginkan sebuah kehidupan bahagia dan bermakna maka berikanlah kebahagian dan makna dalam kehidupanmu. Engkau adalah apa yang engkau mahukan dan pilih, tiada siapa yang mampu memaksa hatimu untuk sedih mahupun gembira.

Alhamdulillah, aku gembira untuk terus disini asalkan ianya masih berada dalam daerah mencari redha ilahi dan menjana pahala. Bagaimana pula kalian ??