Friday, November 23, 2012

Rintihan Kezaliman




Ribut diluar sana belum reda, hujan juga belum ingin pasrah menghentikan amarah semburannya, awan sememangnya gelap dan hitam menghiasi dada langit, ngauman guruhnya bukan sedikit memeranjatkan warga manusia disamping memerangkap anak2 kecil ke jerat ketakutan. 

Bertempiaran mereka lari mendapatkan para ibubapa bagi mendapat dakapan penenang emosi dan rohani.

Dan di alam sedar dewasa ini, kita terus diasak rebut pertelingkahan, hujan nista dan makian dihambur semahunya, zulmat hati terserlah pada kebencian dan permusuhan, lantas para agamawan dipanggil untuk memberi  ngauman pencerahan, namun anak2 kecil kini bukan lagi seperti dulu, mereka semakin waras ataupun kekadang semakin keras untuk menerima pengajaran … lantas dalam facebook dan medium mayalah menjadi tempat untuk mereka meluahkan pandangan, keras dan angkuh kalaupun tidak dungu dan bodoh dan akhirnya mereka kekal terperangkap dalam jerat 
kejahilan.

Lalu, dimanakah lagi dakapan ketenangan yang mahu dicari bagi meredakan semua situasi ini.

Kala ini, gawat isu mendoakan insan muslim dengan keburukan , atau isu yang sentiasa disembunyikan bolehkan mendoakan INSAN YANG ZALIM dengan keburukan.

Biarlah masing2 berhujjah, pasti terserlah kebenarannya.

Kekuatan hujjah lebih baik dari hujjah kekuatan yang selalu digunakan mereka yang tewas dan berkuasa untuk menutup mulut para musuh saingannya.

Imbaulah seketika keampuhan hujjah nabi allah Ibrahim ketika berdepan dengan keangkuhan kaumnya mempertahankan berhala yang mereka cipta dengan tangan dan imiginasi mereka, lantas bila semuanya rebah dalam kehinaan pukulan hujjah Nabi Ibrahim mereka lantas bangkit merencana tindakan memperaga kekuatan dan menunjukkan keangkuhan dengan hukuman bakar dan bunuh yang paling sadis dan belum tercetak dalam sejarah manusiawi.

Kebenaran itu milik allah.

Allah akan menghantar kita untuk senang menerima kebenaran dan mudah menegakkan kebenaran.

Manakala kebatilan endingnya selalu akan tertewas dan menegakkannya cukup sukar sepertimana menegakkan benang yang basah. Mulut akan terkhilaf , hujjah akan terkial manakala reputasi amanah akan jatuh terkulai.

Cuma sahabatku,

Bukalah mata dan tenangkanlah hatimu. Kebenaran akan terselah tetapi bukan syarat untuk ianya menjulang kemenangan dalam cakupan tempoh duniawi ini.

Kekadang orang yang benar terhukum penjara. Orang yang benar juga sering kalah bicara.

Tapi kebenaran akan terserlah jua, walau beberapa dekad berlalu.
 
 Lumrah alamkan kawan, ianya memang senantiasa begitu.

Namun, kekadang saya sebagaimana anak Kelantan yang lain sering terasa dan mempersoalkan :

1) Kenapa negeri ini dizalimi dengan menidakkan pengurusan jalanraya yang baik.

Jenguklah lopak dan rekahan yang bertaburan di jalanan yang sememangnya bersaiz kecil tanpa mampu menampung ribuan anak perantauannya yang sering terkedu disetiap kali pulang diperayaan.

Tiadakah peruntukan untuk memulihkan keadaan yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa. Tanpa bahasa retorik , jalan dari Kota Bharu ke Pasir Puteh masih kekal antik dan klasik dengan lebar jalan yang tidak berubah, terdapat lencongan buatan akibat mendapan tanah di jalan utama dekat melor yang kekal tidak diperbetulkan sejak saya masih dibangku sekolah menengah hingga ke saat saya sudah kembali dari berkelana di Jordan, Sabah dan kini di Pulau Pinang. Ianya jalan saya pulang ke kampung arwah nenek. Ianya masih tetap begitu kawan.

Kenapa ? 

Jelesnya tatkala kereta saya meluncur di aspal tanah terengganu yang hanya selang beberapa kilometer dari pasir puteh yang berturap elok dan bersaiz lebar.

Adakah ini harga yang terpaksa anak negeri ini membayarnya kerana memilih pembangkang.

Ataupun inilah harga kezaliman yang akan dibayar pelakunya satu hari nanti.

2) Royalti petroleum.

Dalam himpitan kesusahan biasanya akan datang kemudahan dan pertolongan. Namun bila hasil bumi ini juga mahu dirompak tanpa diberi pampas an kepada empunya juga adalah satu kezaliman berganda.

Cakaplah apa sahaja isu dan frasa undang2nya, namun para warga secilik 10 tahun pun akan tahu betapa diskriminasi ini berlaku. Lihatlah tarik tali istilah di negeri Terengganu sekejap dipanggil royalty dan sekejap digelar wang ihsan.

Entahlah kawan …

Puas merayu dan berdialog dengan manusiawi. Dalih dan helahnya sentiasa meraja.

Eloklah pula merayu dan meminta pada Tuhan yang merajai segala kerajaan. Ianya tak pernah henti mendengar dan mengetahui.

Dan janji allah sentiasa menyatakan :


Tiada benteng hijab yang akan menghalangi doa orang yang dizalimi dari Allah Taala.

No comments:

Post a Comment