Wednesday, November 21, 2012

Status Cutiku



Hey kawan, 

Dah lama rupanya aku menghilangkan diri dari berbicara bersama kalian disini.

Pejam celik kehidupanku menghantarkan aku ke daerah yang sibuk dengan kepadatan program yang tertentu hinggalah kehujung persekolahan ini. Alhamdulillah, kini aku kembali tenang untuk mengerlipkan mataku melihat kembali teratak travelogku yang kian using dimamah usia senja pengabaianku.  Aku bersalah membiarkan ia tergantung tanpa staus dan coretan terkiniku. Ohh, maafkan aku kawan !

Sekilas aku memutarkan memori pandanganku, aku sebenarnya baru sahaja tamat menduduki peperiksaan akhir kertas ilmu dilalah bagi pengajian masterku. Rupanya aku sudah menginjak ke usia semester kedua dalam pengajian yang sayup masih panjang dan jauh lagi. Untuk pengetahuanmu teman, aku perlu menghabiskan 10-12 subjek dalam purata 2-3 subjek yang mampu aku daftar sebagai pelajar separuh masa di peringkat masterku ini. Hitung kasarnya kawan , mungkin aku terpaksa meringkuk dalam belenggu system master ini selama 2-3 tahun lagi. Apapun, aku redha dan doakan aku kawan untuk terus istiqamah dan dipermudahkan segala urusan.

Dengan putaran roda sesi persekolahan yang sudah sampai ke penghujungnya, ramai yang teruja untuk pulang ke kampung atau ada yang sudah memasang agenda percutian keluarga yang tersendiri. Aku masih disini kawan. Dipulau mutiara yang penuh kemilau sinarnya. Hari ini Alhamdulillah, aku baru selesai bersama 240 orang pelajar SABK dan SMK seputar Pulau Pinang ini meladeni DANAU ILMU dalam Daurah Muanasatil Ulamak yang menghimpunkan para Masyaikh dan Tuan Guru yang berwibawa di Penang ini untuk turun menyampaikan ilmu mereka dalam kaedah TALAQQI dan MUSYAFAHAH bersama himpunan anak muda pimpinan sekolah. Anak –anak cilik ini adalah peserta nadwah negeri dan kebangsaan tempohari yang diprogramkan untuk terus mengekalkan momentum ilmu dan dakwah dalam penghidupan mereka. Ianya berlangsung di SABK Madrasah Khairiyyah Islamiyyah di Pokok Sena, Kepala batas.

Usai program, aku masih tetap disini, dengan tugasan dan khidmat yang terpaksa didahulukan. Aku bertugas untuk mengawas SPM buat kali kedua berturut2 dan kini aku ditempatkan  disebuah sekolah Cina di bukit mertajam.
Entahlah sampai bila aku perlu bertahan disini. Mungkin ianya sesuatu yang misteri bagiku. Namun aku sengaja memilih redha dan suka dengan ketentuan ilahi yang penuh misteri ini, kerana bagiku ianya hikmah dan hadiah pentarbiyahan ilahi yang penuh saspen dan cukup bererti.

Teringat aku kepada kata pujangga yang ku kutip didada dinding kantin sekolah cina tempatku mengawas peperiksaan tempohari , jika kau menginginkan sebuah kehidupan bahagia dan bermakna maka berikanlah kebahagian dan makna dalam kehidupanmu. Engkau adalah apa yang engkau mahukan dan pilih, tiada siapa yang mampu memaksa hatimu untuk sedih mahupun gembira.

Alhamdulillah, aku gembira untuk terus disini asalkan ianya masih berada dalam daerah mencari redha ilahi dan menjana pahala. Bagaimana pula kalian ??

No comments:

Post a Comment