Sunday, March 7, 2010

Mari Menunjukkan Amalan Kita

Melalui Syamail Muhammadiah karangan Imam Tarmizi saya menjumpai mutiara hadis berikut :

1) Dalam bab puasa Rasulullah SAW.

Melalui Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah Bersabda : Semua amalan akan ditunjukkan pada Allah pada hari Isnin dan Khamis, aku menyukai jika amalan aku dibawa naik (pada hari tersebut) ketika aku sedang berpuasa.

2) Dalam bab solat dhuha Rasulullah SAW.

Dari Abdullah bin Saib meriwayatkan bahawa Seeungguhnya rasulullah telah bersolat dhuha sebanyak 4 rakaat selepas matahari tergelincir, sebelum masuk waktu zohor, Baginda bersabda : sesungguhnya waktu itu, merupakan saat2 dimana pintu langit terbuka. Oleh itu aku amat suka jika amalanku diangkat pada masa itu.

3) Dalam bab ibadat Rasulullah SAW.

Dari Mughirah ibni syukbah meriwayatkan bahawa ; Rasulullah SAW telah berdiri solat lama sehingga bengkak kakinya. Baginda ditanya : mengapakah tuan melakukan yang sedemikian, bukankah Allah telah mengampuni dosa2 tuan yang terdahulu dan yang terkemudian? Rasulullah SAW bersabda : tidak bolehkah saya menjadi hamba allah yang bersyukur ?



Meneliti rentetan hadis yang bertaburan berikut, terasa minda dalam diri saya berbicara sesuatu.

Rasul dalam denai bahagia kehidupannya ingin mengajarkan kita sesuatu.

Hidup kita adalah kepunyaan allah, dialah yang menghantar dan menguji kita. Dan ujian itu tidak lain hanyalah sebagai tanda hadiah yang ingin diberikannya kepada para hambanya.

Merasakan diri kita sebagai hamba Allah adalah nikmat perasaan yang cukup sempurna. Ianya akan menyelamatkan kita dari menuntun hidup ini kearah kesia-siaan yang diperdaya oleh hiasan duniawi, ramai manusia akhirnya leka dan menjadi abdi kehidupan percuma dunia ini.

Ramai terpedaya menjadi hamba hiburan dan keseronokan, ramai yang alpa diperbodohkan kemewahan dan kekayaan, ramai yang tertipu dengan permainan dan cinta, dan akhirnya kesemua perhambaan ini hanya akan membawa penganutnya ke neraka allah.

Tertarik dengan rangkaian hadis diatas, saya merasakan rasul ingin membawa kita ke satu dimensi perasaan kehambaan yang tinggi.

Ia mendidik kita untuk berusaha menjadi hamba allah yang serius dan bersungguh.

Dan kesungguhan itu perlu dibuktikan dan dipertontonkan sewajarnya.

Dengan erti kata lain, kita perlu menunjuk2. Kita perlu sengaja memperlihatkan kebaikan dan amalan kita. Kita mesti berkorban untuk mempamerkan cinta kita.

Tapi bukan pada manusia. Bukan pada khalayak. Bukan pada makhluk.

Kita mesti menunjukkan rasa taat kita pada tuhan, kita kena pamer dan tontonkan dengan bangga amalan kita pada tuhan.

Kita kena berusaha untuk mencari waktu amalan kita dipertontonkan dan dipersembahkan buat tuhan yang maha kuasa.

Rasul suka dia mampu memperlihatkan amalan terbaik buat tuhannya. Dan ia mahu amalannya diterima dalam keadaan dia istiqamah melakukan ketaatan.

Justeru, kita juga harus membenci riak, membenci ujub dan menunujuk-nunjuk kepada manusia. Ianya digelar syirik yang tersembunyi. Mengharap penghormatan dan pengiktirafan manusia dalam peribadatan seolah menyekutukan allah jua. Lantas dengan cepat allah memberi ulasan bagi mereka yang riak, mintalah pahala amalanmu dengan manusia yang engkau riak dan tunjuk2kan amalanmu.

Tak malukah kita ? Mahukah kita menuju kepada manusia yang kita ingin tunjuk2kan itu dan meminta pahala daripadanya. Adakah dia memilikinya atau kita hanya akan diperlekeh dan dimalukan olehnya sahaja.

Seterusnya, buktikanlah ketaatan kita dan tunjukkannya dengan solat berjemaah, solat nawafil, puasa, bacaan quran dan pengorbanan kita menangkis ajakan nafsu amarh syaitani.

Perteguhkan niatmu, ikhlaskanlah dan tunjukkan amalanmu hanya untuk tuhan.

Rasul telah menyampaikan, dan kitalah saksinya.

Saturday, March 6, 2010

Mencetus Travelog Keinsafan

Merawat diri setelah kegagalan adalah sesuatu yang amat sukar.

Bangkit dari jatuh dan bertindak waras dan wajar dalam setiap langkah kehidupan merupakan ujian dan peluang kedua bagi setiap insane yang bergelar manusia.

Nabi pernah juga menyebut perkara berikut dengan sabdanya: setiap manusia (tidak sempurna) pastinya akan terjebak dengan dosa, tapi sebaik2 mereka ialah yang insaf dan kembali semula ke pangkal jalan.

Mengetahui tentangnya menjadikan hati lebih tenang dan bermotivasi.

Tidak ada masalah yang tidak akan selesai dan tiada hari yang selamanya mendung. Mereka yang hebat dan berjaya ialah yang mampu untuk bangkit dan kembali semula kelandasan kecemerlangan yang unggul. Apatah lagi dalam sesuatu yang bersifat rohani dan keagamaan.

Istighfar dan Taubat adalah jawapan kepada mereka yang sedar dan insaf.



Tapi mencari bukti dan tips motivasi kepada diri dan pelajar untuk tekun berubah dan melakar kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah diakses.

Lebih mudah mencari kisah mereka yang berjaya dalam akademik, perniagaan dan kerjaya setelah menempuh seksanya ranjau kegagalan sebelum ini. Ianya begitu mengujakan dan memotivasikan.

Tapi sayangnya, pengalaman kerohanian berdasarkan bukti empirical dan keinsafan dalaman yang tulus amat jarang diperkatakan.

Ianya dapat difahami bagi mengelakkan perasaan riya’dan ujub yang mungkin melanda diri, atau istidraj, atau kesudahan yang belum pasti bagi diri kita entah terus kekal berhidayah atau kembali menjilat mazmumah .

Tahniah saya ucapkan kepada pengarang dua buah buku ini.

Ia memotivasikan, menyedarkan, mereformasikan pemikiran, merealitikan dan menjadi contoh terbaik kepada setiap yang ingin kembali kepada tuhan.
Dengan keinsafan, keikhlasan dan azam kesungguhan, hidayah mampu ditakung dilubuk hati.

Terima kasih kerana memberi saya satu contoh fakta hidup dan reality untuk dijadikan sandaran perubahan, sebagai ikon dan teladan hijrah kebaikan dan juga sebagai dorongan untuk diri sendiri.

Ianya juga menjadi antara beberapa point utama saya memberi cetusan keinsafan dan kesedaran dalam merubah pelajar walau di usia manapun mereka.

Seorang yang amat berjaya dalam kehidupan , dengan kewangan kukuh dan menjawat jawatan tertinggi dalam hirarki akademik, mendapat gelaran professor dalam usia termuda, keluarga yang bahagia dan kehidupan yang serba sempurna tapi sayangnya beliau juga ialah seorang yang tidak pandai membaca quran, mengabaikan solat dan puasa, bergelumang dosa judi golf, berseluar pendek hinggalah keusia senja 40 an, mampu membuat perubahan 360 darjah kehidupannya untuk menjadi manusia baru yang dilahirkan kedunia selepas berjaya mendapat undangan sebagai tetamu rumah allah.

Tapi alhamdulillah, hidayah allah melebihi segalanya.

dalam usianya 40 tahun, allah mengubah segalanya, beliau bertatih belajar membaca quran, bermula iqra', muqaddam dan kemudiannya berjaya khatam al quran ditanah haram, makkah, tekun mendalami tafsirnya, berdakwah, mendampingi tuhan di pekat malam, bersolat dhuha, berpuasa setiap isnin dan khamis, dan memimpin sebuah organisasi akademik dengan doa dan kepatuhan kepada tuhan.

selayaknya beliau digelar pendakwah. moga allah terus memberinya istiqamah.



Beliaulah Profesor Mohamad Kamil Bin Haji Ibrahim, professor perakaunan di UITM Shah Alam.

Berinteraksilah dengan beliau diblognya ringkas tapi signifikan.

Mungkin ianya simple tapi amat bermakna.

Dua buah buku beliau yang saya baca:

1. Travelog Haji - Mengubah Sempadan Iman
2. Travelog Dakwah - Meniti hari Esok

Ps : mungkin nama blog ini juga tercetus dari simfoni tulus dan keinsafan ini. Moga ianya menjadi lantera dan catatan kembara saya yang bermakna.

Thursday, March 4, 2010

Membangkit aroma kasih Rasulullah

Sambutan Maulidurrasul berlalu meriah.

Setiap individu mempunyai persepsi dan cara sambutan yang tersendiri bagi memperingati Rasul teragung ini.

Mungkin ada yang lebih selesa dan seronok berarak dan melaungkan selawat sepanjang trek maulidurrasul yang ditetapkan lebih awal.

“seronok ustaz, masa kamu lalu depan kuil hindu tu kami pakat kuat2kan selawat, terkejut beruk orang2 hindu kat dalam kuil tu, hahaha…”cerita seorang pelajar tentang pengalamannya menzahirkan versi cinta rasulnya.

Ada yang seronok memasak dan menjamu tetamu yang hadir atas nama maulud nabi. Keseronokannya diisi dengan cerita semasa pelbagai versi, “ Majlis kami mulakan dengan berzanji, baca kisah nabi, kemudian selawat ramai2 dan makan2. itu tanda kita ingat sangat pada jasa nabi”ulas tuan rumahnya ceria dengan kehadiran ramai tetamu. Moga dia mendapat pahala.

Tak kurang juga yang menghadiri program bicara agama tentang maulidurrasul, cuba mengerti dan memperingati kelahiran agung yang membawa perubahan kepada dunia ini. “ sedap betul ceramah tu, ustaznya pula pandai buat lawak, walaupun cerita nabi ni dah dengar berulangkali, tapi ustaz tu berjaya buat kami tak kering gusi semasa ceramahnya, saya kira ceramahnya memang berjaya… marvelous !”komen panjang seorang pelajar saya bersama senyum lebarnya.

Ada juga yang menyambutnya dengan versi mimpi panjang. Maklumlah dianugerahkan kerajaan cuti umum setelah sekian lama penat bekerja. Mungkin mimpi memperingati dan berjumpa dengan nabi barangkali. “ saya tak buat apa2, dok kat rumah layan tv dan tidur aje, seronok juga ada mauliduurasul ini, dapat cuti, memang nabi bawak rahmat untuk sekelian alam” cerianya dalam kesyukuran.

Setiap amalan bergantung kepada niat, dan niat dikira berdasarkan amalan yang berdasarkan syariat agama. Moga amalan baik manusia ini akan diberi pahala.

Dalam kesempatan luang dan lompong masa yang ada dalam cuti maulidurrasul yang lepas, alhamdulillah .. sempat juga saya menempatkan diri ini antara ratusan manusia yang hadir ke Masjid Negeri Pulau Pinang untuk sesi bacaan kitab Syamail Muhammadiah karangan Imam Tarmizi Rahimahullah.



Ia dikendalikan oleh seorang ulamak muda yang saya belum kenali latarbelakangnya secara pasti, Tuan guru Ust Rosli bin Othman al Balfasi al FilFilani, begitulah coretan tertera pada banner besar di masjid negeri ini menjemput dan menggamit kehadiran pengunjung.

Berlangsung selama dua hari dengan acaranya berterusan dari apgi hingga kepetang. Diselangi dengan solat dan jamuan makan yang disediakan penganjur, Jabatan agama islam PP, bersama buku terjemahan Syamail kelolaan Institut Pengajian Ilmu Islam, PP.

Satu program yang begitu bermanfaat bagi saya yang hadir dicelah ratusan pendengar yang dahagakan setitis embun kasih rasul, moga ianya mampu menyegarkan rasa rindu ini. Ia juga sesuai dengan niat saya untuk membaca dan menghabiskan penelitian terhadap kitab manusia terulung ini. Janji pada diri sempena maulidurrasul ini.



Alhamdulillah, dengan momentum pengajian kitab yang baik disini, saya dapat bersama merasai nikmat membaca dan mendengar huraian sifat2 rasul agung yang selalu didambakan syafaatnya ini.

Terlalu kerdil sumbangan kita, terlalu jauh dari sunnahnya, terlalu hina pengorbanan kita, terlalu ego dan mewah kita, terlalu besar diri kita kepada tuhan dan terlalu jahat dan khianat kita pada allah dan rasulnya. Inilah perbandingan yang saya rasa sepanjang masa dalam pengajian ini.

Moga momentum ini dapat merubah sedikit penghidupan ini kearah kebaikan.

Sekilas pandangan saya jatuh kesebuah buku bibliografi nabi yang diiktiraf antara buku terbaik menceritakan peribadi dan perjuangannya , Kitab Rahiqul Makhtum karangan al Mubarakfuri, sejenak hati saya berdetik : Engkau seterusnya! Janji saya untuk membacamu sampai khatam.

Moga allah membantu.

Wednesday, March 3, 2010

Kita dan Makanan

Kisah teladan dari gambar yang bercerita.

Inikah cara makan kita.


Simbolik kenduri kita, memuja nafsu makan.


Persediaan raksasa untuk acara menjamu makanan.


Banyaknya makanan , habiskah ?


Sayangnya, tembolok perut manusia gagal menewaskan nafsunya.


Makanan terbuang, Syaitan berpesta meraikan kedatangan sahabat barunya.

Nabi dan Seulas Limau

Terpapar entry ini yang menarik perhatian saya :

Rasulullah SAW dengan sebiji limau dipetik dari razzyy.com

“Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan

“Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya.”

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.

Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.


Satu situasi menarik yang diulas penuh indah menggambarkan keperibadian Rasulullah, sesiapapun dari kalangan umat ini akan menjangkakan tindakan prihatin dan berjiwa besar ini hadir dari suri teladan teragung ini.

Keajaiban akhlaknya meruntun hati untuk sayang, patuh, tunduk, kagum bahkan mengorbankan sepenuh jiwa raga sekalipuun.

Inilah keajaibannya. Akhlaknya mewangi dalam lipatan sejarah, meresap harum kekelopak jiwa dan keimanan.

Hadirnya nabi bersandarkan sabdanya : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Hadis yang diungkapkan diatas terus saya telaah makna dan petikannya dalam himpunan hadis (Syamail Muhammadiah karangan Imam Tarmizi), sayangnya ia tidak tertulis disana begitu juga hadis seumpama tajuknya iaitu reaksi rasul ketika memakan sesuatu yang tidak digemari, juga tidak saya jumpai lagi.

Mungkin ia terdapat pada himpunan hadis yang lain.

Namun suka juga saya mengingatkan ikhwan dan sahabat yang membaca, Al-quran tetap alquran, hadis juga begitu, keduanya bersumberkan intisari wahyu yang benar dan tepat.

Periwayatan hadis yang seakan baik pada logic akal dan hati, tidak semestinya baik pada penilaian agama, bahkan islam memandang jijik perkara sebegini dan mendapat sumpahan nabi untuk jaminan ke neraka.

Nabi bersabda : sesiapa yang sengaja meriwayatkan hadis palsu , atau mereka-rekakan hadis kepada manusia, maka allah telah menempahkan untuknya tempat duduk dalam neraka.

Tapi apa yang banyak terdapat disini ialah :

1) Rasul lebih banyak berlapar dari menikmati makanan.
2) Makan Rasul begitu sederhana dan tidak pernah kenyang.
3) Rasul menghargai makanan dan melicinkannya dengan menjilat jari bahkan ada riwayat menjilat/melicinkan bekas makanan.
4) Makanan dan rezeki berinteraksi dengan manusia. Mereka akan mendoakan manusia yang mensyukurinya dan tidak kufur membazir.

Moga kita dapat mengamalkannya.





Banyaknya Makanan ! Orang Islam hanya ada satu perut sahaja.Bersyukurkah kita.

Tuesday, March 2, 2010

Citra Kasih Rasul

Cinta rasul

Mencintai rasul adalah kewajipan seluruh hidup muslim.

Melebihkan cinta makhluk lain selain Rasul adalah tertolak dan dianggap sinis dalam budaya agama, bahkan kejijikannya menidakkan kesempurnaan iman seseorang Islam.

Rasul pernah bersabda kepada sahabatnya Saidina Umar , maksudnya : Tidak sempurna iman kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling kamu sayangi melebihi kedua ayahibunya, anak2nya dan semua manusia yang ada.



Kerana itulah tanggunjawab menyayangi rasul ini tidak boleh dipandang mudah dan diperentengkan. Ianya tugasan perjuangan hidup mukmin untuk berjaya dalam ujian keimanan didunia ini.

Sayang Allah

Memuji allah akan menjadikan diri lebih dekat kepadanya, lebih tunduk dan tawaduk, lebih berserah diri dan redha pada segala ketentuannya. Tika itu, kewujudan Allah lebih penting bagi kita, pujian untuk allah, kepentingan agama allah adalah segalanya dan kepentingan kita sebagai manusia egois akan hilang sama sekali.

Menyayangi rasul pula menjadikan hati lebih kuat untuk mencontohi budaya cemerlang, mengasihinya membawa hati ke satu level tertinggi untuk mentaati Allah, memberi erti pada kehidupan yang penuh kepatuhan dan mencarikkan rasa tinggi diri dan sukakan pujian.

Menggangap rasul termulia dan mencintainya menidakkan sombong diri dan amarah tidak bertempat, kita akan terasa bahawa baginda lebih mulia tapi sanggup hidup susah dan berkorban … siapalah kita.

Hebatnya ibadah rasul hingga bengkak kakinya sedangkan beliau manusia terbaik, siapalah kita yang suka bermalasan. Rasul tidur diatas jalinan pelepah tamar yang kasar dan kesat sedangkan kita lebih suka beradu lena diulit tilam empuk yang berjenama, berapa kali kita terbabas untuk solat subuh lewat hanya kerana asyiknya mimpi dan enaknya tidur.

Cinta bukannya dengan lidah dan angan-angan, cinta harus hadir dengan pengorbanan.

Imej Cinta

Antara tanda cinta rasul yang sempat saya kumpulkan dari pelbagai sumber ialah :

1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda saw.

Mencontohi, mengikuti Rasulullah saw dan berjalan di atas manhaj Baginda saw serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda saw adalah tanda pertama cintakan Rasulullah saw. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah saw adalah orang yang mengikuti Rasulullah saw secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah saw.



Orang yang mencintai Rasulullah saw adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya

Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh Baginda saw. Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya adalah orang yang tidak mahu mengikuti sunnahnya atau bahkan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajarannya dengan sengaja.

2. Banyak mengingati dan menyebutnya, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan sebab kesinambungan kecintaan dan kerberterusannya.

3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah saw sebagaimana firman Allah:

] إِنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا [

{Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.} [Surah Al-Ahzaab: 56].

4. Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Baginda saw, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.

5. Bersopan santun dan beradab dengan Baginda saw baik dalam menyebut nama atau memanggilnya.


6. Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga.

Tanda kecintaan ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:
“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].

7. Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya.

Sabda Rasulullah saw : “Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya: Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya.” [HR Muslim, No. 55].

Maksud nasihat untuk Nabi itu ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.


8. Belajar Al Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya.

Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullah menyatakan: Diantara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing (manusia) dengannya serta berakhlak dengannya sehingga A’isyah menyatakan : Sesungguhnya akhlah Rasulullah itu umpama Quran. Beliaua melaksanakan apa sahaja kandungan Quran dalam kehidupannya.

Ayuh para sahabat, renungilah dan muhasabahlah level cinta kita pada rasul tercinta.

Monday, March 1, 2010

Rasul Menjenguk Kehidupan

Anugerah Tuhan yang diabaikan

Gerbang Maulidurrasul menjengah kehidupan kita kala ini.

Dengan penuh setianya membawa ingatan dan pengajaran, moga kita tersedar.

Lama kita terlalai mungkin, berat lidah untuk berselawat, jauh hati dari mengingat, apatah rasa rindu seolah terusir lama dari kediaman hati. Nama agung Rasulullah jarang terkenangkan. Baginda menjadi asing dalam umatnya sendiri.

Sunnah Rasul menjadi melukut ditepi gantang kehidupan kita, tiada rasa sayang dan rugi mengabaikan. Tak sekelumit simpati pada jasa dan pengorbanan rasul.

Siapakah rasul ? entahlah, hati tak pernah pusing dengan semua itu. Cinta rasul bukannya boleh menjadikan kita kaya .

Entah mungkin kita ini manusia yang tidak beriman.



Cinta Rasul Mainan

Hanya tahu mengatakan cinta dilidah, namun tersekat di halkum leher, tak pernah mencecah ke hati nurani.

Kita menjadi angkuh dan sombong. Kita hilang pedoman. Kita tenggelam dalam kealpaan dunia dan kebejatan zamannya.

Kita rakus mengejar kehidupan, kita laparkan kemodenan, tapi kita ketinggalan gerabak yang penuh kebaikan.

Erti Cinta

Belajar mengingati rasul menggamit kita tentang erti kesyukuran pada yang maha kuasa.

Mendidik nurani untuk bersikap tawaduk dan merendah diri, walau siapa pun kita, kita terhutang pada perjuangan dan jasa seorang rasul yang bersifat ummi.

Mengasuh dan mendidik kita dengan formula cemerlang walau dinafikan nafsu insani, hidup mengutamakan akhirat mendahului kesementaraan dan fana duniawi.

Melihat sejarah rasul yang penuh pengajaran.

Air matanya, sendunya, ketawanya, gembiranya, tutur katanya, keringatnya – semuanya tersusun menjadi untaian permata kehidupan yang wajar dicontohi.

Maulidurrasul datang lagi, saban tahun menjengah zaman. Tanpa jemu.

Syukur , kehadirannya menginsaf dan menyedarkan kita dari alpa duniawi.

Fantasi Kehadiran Kekasih Allah

Bersama saya, cuba kita bayangkan hari ini. Rasul bertamu dalam kehidupan kita.

Sukakah kita dengan kunjungannya, rindukah kita untuk bersua dengannya, terujakah kita melihat mulus wajahnya, atau terkesimakah kita mendengar bicaranya.

Atau kita malu sebenarnya, melarikan diri dari menatap wajahnya, mengambil jarak agar tidak terlalu berdekatan, nanti terbongkar busuk rahsia kehidupan kita, atau terasa cepatnya jemu, lebih banyak insan lain yang kita kagumi sebenarnya.

Bagaimana jika rasul ingin menziarahi teratak kita ? melihat rutin kita , memerhati kediaman kita, menjengah anak dan isteri kita ?

Bersediakah kita ?

Mungkin benar…. Cinta kita hanya dibibir.