Tuesday, March 2, 2010

Citra Kasih Rasul

Cinta rasul

Mencintai rasul adalah kewajipan seluruh hidup muslim.

Melebihkan cinta makhluk lain selain Rasul adalah tertolak dan dianggap sinis dalam budaya agama, bahkan kejijikannya menidakkan kesempurnaan iman seseorang Islam.

Rasul pernah bersabda kepada sahabatnya Saidina Umar , maksudnya : Tidak sempurna iman kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling kamu sayangi melebihi kedua ayahibunya, anak2nya dan semua manusia yang ada.



Kerana itulah tanggunjawab menyayangi rasul ini tidak boleh dipandang mudah dan diperentengkan. Ianya tugasan perjuangan hidup mukmin untuk berjaya dalam ujian keimanan didunia ini.

Sayang Allah

Memuji allah akan menjadikan diri lebih dekat kepadanya, lebih tunduk dan tawaduk, lebih berserah diri dan redha pada segala ketentuannya. Tika itu, kewujudan Allah lebih penting bagi kita, pujian untuk allah, kepentingan agama allah adalah segalanya dan kepentingan kita sebagai manusia egois akan hilang sama sekali.

Menyayangi rasul pula menjadikan hati lebih kuat untuk mencontohi budaya cemerlang, mengasihinya membawa hati ke satu level tertinggi untuk mentaati Allah, memberi erti pada kehidupan yang penuh kepatuhan dan mencarikkan rasa tinggi diri dan sukakan pujian.

Menggangap rasul termulia dan mencintainya menidakkan sombong diri dan amarah tidak bertempat, kita akan terasa bahawa baginda lebih mulia tapi sanggup hidup susah dan berkorban … siapalah kita.

Hebatnya ibadah rasul hingga bengkak kakinya sedangkan beliau manusia terbaik, siapalah kita yang suka bermalasan. Rasul tidur diatas jalinan pelepah tamar yang kasar dan kesat sedangkan kita lebih suka beradu lena diulit tilam empuk yang berjenama, berapa kali kita terbabas untuk solat subuh lewat hanya kerana asyiknya mimpi dan enaknya tidur.

Cinta bukannya dengan lidah dan angan-angan, cinta harus hadir dengan pengorbanan.

Imej Cinta

Antara tanda cinta rasul yang sempat saya kumpulkan dari pelbagai sumber ialah :

1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda saw.

Mencontohi, mengikuti Rasulullah saw dan berjalan di atas manhaj Baginda saw serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda saw adalah tanda pertama cintakan Rasulullah saw. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah saw adalah orang yang mengikuti Rasulullah saw secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah saw.



Orang yang mencintai Rasulullah saw adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya

Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh Baginda saw. Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya adalah orang yang tidak mahu mengikuti sunnahnya atau bahkan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajarannya dengan sengaja.

2. Banyak mengingati dan menyebutnya, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan sebab kesinambungan kecintaan dan kerberterusannya.

3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah saw sebagaimana firman Allah:

] إِنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا [

{Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.} [Surah Al-Ahzaab: 56].

4. Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Baginda saw, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.

5. Bersopan santun dan beradab dengan Baginda saw baik dalam menyebut nama atau memanggilnya.


6. Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga.

Tanda kecintaan ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:
“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].

7. Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya.

Sabda Rasulullah saw : “Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya: Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya.” [HR Muslim, No. 55].

Maksud nasihat untuk Nabi itu ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.


8. Belajar Al Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya.

Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullah menyatakan: Diantara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing (manusia) dengannya serta berakhlak dengannya sehingga A’isyah menyatakan : Sesungguhnya akhlah Rasulullah itu umpama Quran. Beliaua melaksanakan apa sahaja kandungan Quran dalam kehidupannya.

Ayuh para sahabat, renungilah dan muhasabahlah level cinta kita pada rasul tercinta.

No comments:

Post a Comment