Sunday, April 1, 2012

Dramatik Alma (4)


Fardhu jumaat dilunasi.

Masa pertandingan berbaki sejam lagi.

Aku mengorak langkahan roda jentera motorku menghala ke venue pertandingan dengan debaran yang bukan sedikit. Entah apalah sambutan buat pasukan pelawat seperti kami, pastinya kami akan di asak penyokong lawan bak semut mengerumuni gula.

Aku memasuki venue dengan para pemain sedang melakukan regangan.

Ketegangan yang tadinya meresahkan kini mula kendur.

Hakikatnya, gerombolan penyokong alma rupanya lebih menguasai sisi luar padang. Sememangnya fanatic orang kampong lebih senang dikerah daripada egois orang intelek untuk berkumpul dan bekerjasama. Buktinya sorakan suara penyokong alma akhirnya meneggelamkan teknologi HON angin dokongan penyokong tuan rumah.

Sokongan ampuh ini menambah keterujaan dalam drama kritikal yang semakin menghampiri kilmaksnya.

Tepat jam 4.00 petang. Pertandingan dimulakan. Alma mengasak sejak detik pertama permainan.

Kelebihan sebagai tuan rumah gagal dimanfaatkan sekolah sains. Mereka gugup digelanggang mereka sendiri.

Kesempatan ini digunakan pasukan alma untuk terus menggempur sisi kanan yang agak longgar hingga membawa gempita sorakan gol pendahuluan pasukan alma pada minit ke 10 lagi.

Gol semangat itu tidak memedamkan semangat pasukan alma yang semakin menunjukkan ketajaman taringnya. Pelbagai versi percubaan dihalakan kepenjuru kiri dan kanan gol lawan yang semakin menambah tekanan pemain lawan. Mereka seolah memperkemaskan barisan pertahanan dan mengumpul baki kekuatan untuk terus bertahan membenteng asakan yang beberapa kali hamper membolos jaringan lagi.

Namun, tamat masa pertama. Keceriaan terus bergayut di kem Alma.

Pasukan Sekolah sains gagal menyaingi kepantasan dan persefahaman alma. Walaupun gagal menambah jaringan, pasukan sekolah sains seolah buntu mencipta gerakan.

Baki perlawanan hanya tinggal barangkali 3 minit lagi. Keletihan sudah kelihatan dikem alma. Beberapa pemain mula mengangkat tangan kekejangan.

Sekolah sains tiba2 menggandakan asakan. Entah dari mana kudrat dan semangat yang tersuntik kepada mereka. Mereka pula mengasak kubu alma yang seakan sudah berpuas hati dengan gol tunggal itu diheret kehujung perlawanan.

Memang, bola itu bulat. Dengan gerakan pantas yang mengucar kacirkan pertahanan alma yang keletihan dan hilang posisi, rembatan kencang ke penjuru kiri gol sebelah atas menggamatkan kem sains untuk mengheret pertandingan ke masa tambahan.

Umpama mendapat tonik semangat, sains terus mengasak alma yang semakin parah dihimpit keletihan dan kekecewaan. Alma pula yang bertahan dan sesekali mengasak,namun kudrat pemain yang masih dihimpit percakaran kecewa dan saling menyalahkan tadi semakin tumpul dan tersasar serangannya.

Dramanya semakin menarik.

Berbalas serangan. Bertahan. Jatuh cedera. Melambatkan permainan. Semuanya menyuntik elemens suspen yang bukan sedikit untuk drama yang semakin menarik.

Akhirnya wisel pengadil menjadi penyelamat kedua pasukan untuk menghela nafas kelegaan buat seketika.

Saspens membawa aku kembali ke lensa drama, tayangan flashback aku tersungkur di trek hijau pagi tadi segera datang menghimpun aku ke penjuru hati, adakah pasukanku juga akan turut tersungkur hari ini ???

Saspen drama sememangnya mengujakan !

Dramatik Alma (3)



Alhamdulillah, kawan !

Aku sampai di sekolah dengan para pelajar sudah berhimpun di tengah laman ilmu menanti ucapan dan pengumuman terkini dari para guru pentadbir.

Makluman Pertarungan Terakhir Bolasepak petang ini juga disensasikan penuh cermat oleh guru bertugas untuk mengapungkan emosi warga smk alma ke angkasa semangat. Pantas ia disambut dengan sorakan dan tepukan yang mempotretkan warkah gembira.

Seperti biasa, para pemain bolasepak pula berkumpul seketika di perdu pondok ilmu untuk menerima amanat dan teknikal ringkas perjalanan pertandingan hari itu.

Tiba2, Ustaz Fauzan seorang kawan yang juga penasihat bersama bolasepak ini mengambil inisiatif untuk mengadakan solat hajat berjemaah.

Berkumpul dalam komuniti kecil yang mempunyai hajat yang sama, mengintai harapan yang sama dan bermimpi perkara sama amat menyenangkan. Semuanya seakan mudah, penuh kesatuan dan kejap tali kerjasamanya.

Tenang kami mengangkat takbir, merafak puji dalam qiam, pasrah dalam rukuk dan menghina diri dikala sujud amat mengharukan. Usai salam kami berdoa panjang memohon bantuan.

Kami bersalaman dengan azam yang sudah membara hingga kehujung hati.

Kesempatan itu, sempat kami gunakan untuk menyuntik kesedaran agama kepada warga bola yang kadang2 terhanyut dari objektif sukan dan kesihatan sebagaimana yang digariskan Islam. Mudah bercakap pagi itu tika harapan dan pergantungan untuk tuhan begitu memuncak. Cepat rasanya pelajar menginsafi dengan hati yang begitu pasrah mengharap. Moga mereka kekal bermotivasi.

Aaah, drama kali ini sungguh mengasyikkan.

Dramatik Alma (2)


Hey Kawan.

Drama baru bermula, kawan.

Seawal jam 6.40 pagi aku melintasi lebuhraya dalam kelam pagi yang masih dibalut selimut kegelapan. Suram warna hitam membungkus kanvas alam pagi itu sambil gigitan dingin merajai atmosfera pagi. Hujan pula seakan tidak bersimpati , ia meludah dengan renyai sepanjang perjalanan pagi yang kelam itu.

Aku sudah betah dengan permainan alam ini, lantas aku terus meluncur deras membelah aliran trafik pagi yang masih belum disapa kesesakan lalulitas seperti lazimnya. Dengan motorsikal LC 135 yang baru dibeli Januari lepas aku mampu meluncur bak angin di atas trek basah dan licin itu dengan berhati2. Ternyata perjalanan ke sekolahku setiap hari mampu dijimatkan putaran masanya kerana jentera YAMAHA ini lebih lasak dan laju berbanding motorsikal EX 5 pertamaku yang penuh dengan nostalgia. Ia motorsikal pertamaku yang amat aku sayangi dan mempunyai pelbagai rentetan nostalgic yang tersimpan erat dalam album memoriku. Namun, tumbesarannya seiring umurku menyebabkan laras kelajuannya memaksa aku sentiasa menahan kantuk yang merajai perjalananku saban hari. Ya, ia sejarah hidupku. Yang pertama dalam kamus kehidupan yang takkan mampu dipadamkan faktanya.

Ternyata hujan seperti tidak mengasihani aku dan para penunggang lain dipagi itu. Air semburannya semakin memercik deras menghalang tempo kelajuan dan penglihatan kami. Aku mengambil keputusan untuk berhenti seketika, itulah rutinnya yang dilakukan para RIDERS seperti kami untuk menyarungkan baju kalis hujan menghalang dari semburan alam yang kuantitinya semakin banyak pagi itu. Aku melihat jalan yang kelam dengan silauan lampu kereta yang datang laju dari arah belakangku, aku menghampiri laluan kecemasan dan ingin keluar dari garisan aspal. Informasi mindaku menyatakan statistic kejadian kemalangan dilebuhraya, bukan sedikit para penunggang yang disondol dari belakang ketika berhenti untuk memakai jaket kalis air ini ataupun untuk membaiki kerosakan tayar yang pancit.

Aku terus memperlahankan jenteraku dan mengambil keputusan cepat untuk terus menuruni trek aspal yang basah pagi itu. Aku memijakkan tayar hadapanku keatas laluan berumput yang lebih selamat dengan kelajuan yang semakinmenghampiri takah minima, tapi entah kenapa ... permukaannya yang basah dan lembut menghukum aku. Roda hadapanku terjerumus kedalam rumput dan tak mampu menahan kelajuan jentera, aku hilang keseimbangan. Tanpa disuruh, roda belakangku terus menjatuhkan aku dan seisi badanku menghempas ke atas permukaan sisi jalan yang lembut dan mengheretku sejauh 20 meter kehadapan tanpa belas kasihan.

Aku tersungkur. Aku menyerahkan tubuhku pada hukum alam tanpa mampu mencabar dan menahan. Aku dihempaskan kuat dan diheret keras di atas jalan yang tak berperasaan, mungkin ia sudah biasa melihat dan menghukum para pemijak dada aspalnya dengan hukuman yang lebih dahsyat hingga mengorbankan nyawa. Aku pasrah. Membiarkan sahaja detik beberapa saat yang berlaku dalam keadaan tertiarap dihumban takdir pagi itu ke gravity bumi.

Seketika aku terdiam. Membungkam rasa. Mengira denyut nadi. Menyelinap ke sarafku untuk mendapat isyarat kesakitan. Menghela nafas. Mengumpul kekuatan.

Alhamdulillah, aku selamat. Tiada kecederaan serius yang meyambutku. Mungkin sedikit kelenguhan kesan terjatuh sahaja yang menemani aku pagi itu. Aku menghala ke motorsikal sedangkan aliran trafik terus bertali arus tanpa menghiraukan aku yang telah dijatuhi hukuman mahkamah takdir. Motorsikalku juga ternyata baik dan tidak cedera, Cuma sebelah telinga “ side mirror”nya sahaja yang tertanggal menjadi arwah.

Aku meneruskan putaran roda jentera ini ke sekolah.

Hatiku tertanya2, petanda apakah ini kawan ?

Persis episode drama yang digarap sutradara, mungkin ia petunjuk kepada sesuatu klimaks yang akan terzahir dihujung filem nanti.

Dramatik Alma (1)


Hey Kawan,

Jumaat menghulurkan salamnya. Fajarnya menyinsing penuh ceria dengan biasan cahaya yang terserak ke serata pelusuk alam. Apatah lagi melodi pagi yang disulami azan berkumandang menyentuh sanubari. Ia pagi yang penuh warna keinsafan diri.

Kawan, tahukah kalian hari ini hari penting buat pasukan bolasepak kami yang berjaya melepasi ujian diperingkat separuh akhir tempohari dengan mengalahkan SMK High School Bukit Mertajam 3-1. Hari ini hari kritikal untuk menentukan lumrah alam yang ada pemenang dan ada juga yang tewas. Hari ini adalah FINAL pertandingan bolasepak MSSPP daerah bukit mertajam.

Pasukan Bawah 18 tahun kami terkandas diperingkat sukuakhir dengan dinafikan langkah kemaraan mereka oleh SMK Sains Tun Syed Syahabuddin ini dengan jumlah jaringan 2-4. Namun kali ini barisan kerdil bawah 15 tahun pula yang akan membuat percaturannya dengan menentang pasukan sekolah SM Sains ini yang sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri apabila bermain di padang sekolah mereka tersendiri.

Ternyata ini bukan sekadar pertandingan final yang biasa. Ini Final penebus maruah sang abang yang tersungkur dibelasah zuriat yang lebih tua, moga sang adik pula mampu membela imej yang tercalar. Bahkan ini Final pertama untuk sekolah alma bagi menggengam kemasyhuran selaku juara pasukan bolasepak di zon Bukit Mertajam yang tak pernah kunjung dikecapi.

Hari ini penuh drama, kawan.

Saturday, March 31, 2012

Aisyah Nazurah - Tahniah Buatmu Adikku


Petikan berita dari Utusan Malaysia (Edisi Timur) 23 Mac lalu.

KOTA BHARU 22 Mac - Maahad Muhammadi Perempuan meneruskan tradisi kecemerlangan dengan muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila 17 pelajarnya mencatat keputusan cemerlang semua A termasuk tiga orang mendapat 12A dalam peperiksaan itu.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, seramai 4,740 calon atau 97.19 peratus yang menduduki peperiksaan itu layak mendapat sijil.

Beliau berkata, peratus tersebut meningkat 0.8 peratus berbanding tahun 2010 dengan tiga calon mendapat 12A, sementara 49 calon mendapat 11A, 43 orang (10A), 64 orang (9A), 96 orang (8A) dan 189 calon 7A.

"Walaupun ia dilihat hanya sedikit peningkatan, tetapi ia sangat penting sebagai momentum yang lebih baik pada 2012 nanti, insya-Allah," katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut di Maahad Muhammadi Perempuan, di sini hari ini.

Sementara itu, kata Mohd. Amar, bilangan calon sekolah maahad kerajaan yang layak mendapat sijil ialah 3,488 orang, sementara sekolah bantuan kerajaan pula seramai 1,252 orang.

Katanya, bilangan sekolah maahad yang mencapai kelulusan 90 peratus ke atas adalah sebanyak 27 buah berbanding hanya 20 pada tahun 2010.

Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan melalui YIK untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga aspek sahsiah bagi melahirkan insan sempurna dan menjadi penentu pembangunan ummah pada masa hadapan.

Sementara itu, Aisyah Nazurah Ubaidah, 18, yang terpilih sebagai pelajar terbaik dengan mencapai keputusan cemerlang 10A+ dan 2A berkata, dia kerap melakukan latih tubi terutama menjelang hari-hari terakhir peperiksaan.

Dalam masa sama, gadis pemalu ini turut mengakui menjadikan kejayaan beberapa bekas pelajar cemerlang sekolahnya termasuk Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal (pelajar cemerlang SPM 2008) sebagai sumber aspirasi.

"Selain itu, saya juga selalu melakukan solat hajat dan berdoa," katanya yang merupakan anak kesepuluh daripada 11 orang adik-beradik.

Anak kepada bekas juruaudit ini bercita-cita mahu menjadi seorang pakar bedah.

Tuesday, March 27, 2012

SMK Alma dan MTQ Peringkat Zon


Hey kawan,

Aku tak berdaya mencoret sesuatu yang berharga buat tatapan kalian, walaupun mindaku kadang2 mendesak untuk berkongsi sesuatu yang bersifat ilmiah tapi semangat dalamanku terasa lesu dihambat rutin. Cuma kini, aku terbius berkongsi khabarku kawan... ya khabar tentang aku sebenarnya sedang sibuk dengan aktiviti disekolahku.

Mencelah sehari cuti antara pasukan bertanding dalam bolasepak hari ini, sayangnya aku tidak boleh mencongak ceria dan santai.

Jumaat lepas adalah masa paling kritikal untuk kami guru pendidikan Islam di SMK Alma untuk menyiapkan kontinjen MTQ kami yang akan berlangsung Isnin 26 Mac. Sehari rehat yang ku congak untuk berehat dan bersantai sekejap rupanya terpaksa kubatalkan untuk terus merencanakan latihan intensif bagi waklil sekolah acara MTQ nanti.

Dengan rencana untuk menjadi pencabar terhebat di zon Bukit Mertajam ini kami mengumpulkan para pelajar yang terbaik dikalangan anak2 kampung yang biasa-biasa sahaja. Alah, sekolah kampong seperti kami manalah ada budak2 pintar berintelektual tinggi dengan self confidenty yang meyakinkan.

Teringat semasa aku mencari jalan mudah bertanya ketua panitia bahasa melayu untuk mengimport para pemidato dan pembahas sekolah yang terhebat untuk menyiapkan skuad syarahan MTQ kami. Tercengang aku bila mendapat jawapan yang umpama sebuah lelucon untukku, Sekolah kita ni Ustaz, sekolah budak2 kampung yang kuat bermain sahaja, nak cari mereka yang kuat berlari dan ponteng sekolah boleh la... kalau ustaz nak, ustaz kenalah cuba bina dan bentuk mereka supaya dapat mempelajari dan membuktikan sesuatu...., Jawapan yang sememangnya menutup jalan singkat aku untuk mempermudahkan strategi menyiapkan seorang calon syarahan yang baik.

Namun dalam litar jarak jauh yang terpaksa diambil, aku terpaksa mengambil yang terpaksa.

Mungkin dalam keterpaksaan ini ada keajaiban.

Kami menghantar peserta dalam semua kategori. 6 acaranya bermula tilawah lelaki dan perempuan, hafazan lelaki dan perempuan dan syarahan spontan lelaki dan perempuan.

Dan entah petanda apa yang berlaku dipagi pertandingan, ketika sesi pengundian, aku meminta setiap pelajarku memilih sendiri angka giliran masing2. Dan yang paling memeranjatkan kami, hamper kesemuanya mendapat cabutan angka bertuah SATU. Angka yang sememangnya paling tidak digemari oleh peserta mana2 pertandingan pun.

Kesemua pelajarku terperangkap dengan situasi ini, terbayang wajah kaget dan cemas diwajah mereka. Peserta hafazan lelaki dan perempuan mendapat angka giliran pertama, peserta syarahan lelaki dan perempuan juga mendapat angka satu, hanya peserta tilawah yang mampu memilih angka DUA dan TUJUH. Entah apalah signal yang akan terpatri dihujung oertandingan nanti.

Pantas aku mengumpul mereka, membawa mereka menerawang angkasa optimis dan berserah kepada Allah yang maha kuasa, setelah usaha dan doa kita curahkan untuk tujuan mulia ini, sekarang ... tiada guna kita menyerah kepada kejamnya nasib. Tapi aku mengajak mereka meneroka sisi positif angka SATU, kalian jangan bimbang dengan angka ini .. ia mungkin petunjuk untuk kita menang bergaya kali ini, dan ingat jika kita orang yang pertama memulakan acara, kita pasti takkan terasa tercabar dan merasa kerdil dan terganggu dengan persembahan pelajar yang sebelumnya, tapi... dalam masa yang sama, kitalah yang akan meletak tanda aras tertinggi dengan standard yang paling berkualiti untuk memberi keresahan kepada para peserta lain untuk mencabar prestij persembahan kita. Alhamdulillah, gelisah mereka mula kendur dan sinar ceria menyelubungi wajah kami.

Setealah berpecah ke venue pertandingan masing2, aku pula lah yang menjadi mangsa nasib angka SATU ini sebenarnya, terpaksalah aku pula yang menyonsong angin mengintai dan singgah antara venue yang ada untuk memantau dan melihat persembahan wakil2 sekolahku. Mereka bermula hamper serentak .... dan aku memilih untuk cuba memanfaatkan masa sebaik mungkin membahagi pendengaran ke setiap tempat pertandingan yang ada.

Akhirnya.... aku terduduk keletihan.

Usai pertandingan kami berkampung di surau SM Teknik Seberang Perai untuk mendengar keputusan.

Peserta yang berjaya ditempat pertama hingga ketiga akan terpilih ke pertandingan MTQ peringkat daerah pada 5 april nanti, jelas jawatankuasa penganjur membuka makluman untuk semua hadirin.

Dan tahukah kalian apa keputusan pertandingan MTQ kali ini. ?

Alhamdulillah, SMK Alma mendapat Johan dalam acara Tilawah Lelaki, Hafazan Perempuan , Syarahan Spontan Lelaki dan Tempat Kedua untuk Syarahan Perempuan dan Ketiga bagi Hafazan Lelaki. Hanya satu acara yang kami tidak mampu mencetak kemenangan iaitu dalam acara Tilawah Perempuan sahaja.

Dan sememangnya itulah nikmat Allah yang perlu disyukuri.

Namun aku mencongak lagi rutin jadualku yang makin berserabut dan bertambah beban.