Hey kawan,
Penatnya persaingan menyukat energi yang bukan
sedikit. Himpunan focus, percaturan, pengurusan dan mengacah strategi lebih
menjerihkan berbanding kerahan kudrat semata-mata.
Dan Mac ini memerangkap aku untuk dibuli kepenatan
takwim persaingan yang berterusan.
Aku digelecek antara tugasan kejurulatihan MTQ,
pengurusan Kelab Bolasepak Alma dan juga guru penasihat bagi pasukan silat
sekolah yang persaingannya berlangsung serentak pada momen yang hampir sama.
Nasib baiklah beberapa percubaan silang dari PPD dapat aku tepis keluar agar
tidak terus terbelenggu dengan amanah yang membebankan. Aku menolak untuk dikalungkan
tugasan kehakiman kali ini namun masih tetap di lorongkan tanggungjawab
penyediaan kontinjen untuk majlis ihtifal sekolah2 MISS dalam masa terdekat
nanti.
Jika tugasan MTQ sudah berada di genggaman
selamatku petang tadi, aku sekarang terus juga diasak untuk terus mengekang
amukan penganjuran Kejohanan Bolasepak pula yang berlansung sejak 11 – 22 Mac
nanti.
Kekadang aku termenung keletihan.
Sarafku kejang kelelahan.
Aku bertanya ke dalam hati : Berbaloikah aku untuk
terus menumpah keringat dan kudrat pengorbanan untuk melunasi tugasan bolasepak
sebegini.
Bukankah lebih baik aku kejerihan dalam berbakti
pada agama dan membina generasi nusa.
Ianya lebih baik kan ??
Namun, sukma hatiku memberi respon berbeza.
Ia menyuburkan jiwa dan menggerakkan gesa.
Lantas aku teringat catatan seorang teman di
perkebunan blog ilmunya, ianya menyantuni uslub dakwah dalam gaya santai
bermaklumat, ia menyulam semangat dalam coretan penuh berinspirasi. Tatapilah
lahar minda yang meletus untuk menyuburkan tanih dan benih bukannya
menghancurkan tanaman dan hidupan. Ianya luahan kata Ustaz Sarip Adul dari
Universiti Malaysia Sabah.
Gerakan dakwah umpama permainan bola. Ada pemain di
padang dan ada penyokong yg bertindak sebagai tukang sorak.
Melahirkah pemain yang hebat perlukan tarbiah yang
hebat dengan manhaj yang hebat dan berterusan.
Pemain yang hebat tidak akan lahir kalau ditarbiah
dengan manhaj tukang sorak. Semakin profesionalnya seorang pemain, semakin
perlu ia kepada latihan/tarbiah yang mantap. Tiada istilah tamat silibus bagi seorang pemain profesional.
Andai ia malas mengikuti
latihan/tarbiah...perutnya akan menjadi boroi dan langkahnya menjadi slow.
Waktu itu ia sudah tidak layak menjadi pemain, ia sekadar layak duduk dibangku
penyokong dan menjadi tukang sorak.
Ia juga tidak layak menjadi jurulatih
kerana dikhuatiri ia mewariskan kemalasannya kepada pemain lain. Jurulatih
sebenar ialah yang tidak meninggalkan latihan/tarbiah pada usia apa pun ia dan
di level manapun ia berada.
Adapun penyokong, memang ia dilatih
memukul gendang dan kompang sambil bersorak memberi semangat kepada kawan dan
mengejek lawan. Mereka inilah yang paling bising di medan dan suka bergaduh
dengan penyokong pasukan lawan.
Kadangkala mereka sanggup membakar
stadium kalau pasukannya kalah.
Anak-anakku, kalian ditarbiah untuk menjadi pemain
profesional di medan, maka jangan berperangai seperti tukang sorak atau
berperanan sebagai penyokong semata-mata.
Kalian lah pengerak bola/agenda untuk mencapai
kemenangan mengalahkan musuh. Biarlah satu stadium bersorak mengejek anda, usah
dipedulikan.
Bukankah punca kekalahan itu ialah apabila anda
sudah mula 'naik angin' mendengar ejekan mereka. Apatah lagi mereka itu cuma
tukang sorak yang tidak ada peranannya di padang.
Fokus pada bola anda dan jaringkan gol.
No comments:
Post a Comment