Friday, July 6, 2012

Nawaitu Perjalanan

 


Hey Kawan,

Perantauan bukan semestinya satu bencana dan penderitaan.

Berjauhan mungkin menyuntik kesepian rindu dan kepedihan gelisah, namun ianya juga merupakan penawar sengketa dan penebar haruman ukhuwwah.
Betapa ramai yang meningkah : Yang dekat berbau busuk tapi yang jauh semuanya indah dan wangi.

Mungkin pepatah inggeris yang menyimpulkan pandangan seekor kambing yang berjangkit penyakit manusiawi mengeluh : Kenapalah rumput diseberang jalan sentiasa kelihatan segar dan cantik berbanding rumput yang ku ragut seharian di sini ??

Manusia tak pernah puas. Manusia leka membiarkan amarah nafsunya buas. Lalu kebejatan dan kejahatan terbuka luas.

Kehidupan dibiarkan terus tanpa Qanaah, amalan pula tiada istiqamah lantas melahirkan mazmumah yang mengundang padah.

Aaah, aku sering berbicara begini. Tanpa salam dan tujuan. Hanya ingin membekaskan kehadiranku ke teratak usangku ini. Biar ianya berTinta disini, mengandaikan aku masih bernafas dan mengenali kalian.

Terima kasih teman diatas kunjungan yang jarang disapa senyuman dan salam.

Terima kasih jua atas ingatan yang berpanjangan.

Terima kasih juga kerana sudi meneman.

Namun kemaafan tuntas perlu aku hulurkan atas sapaan entry yang jarang2.

Akhirnya mengundang bosan dan keruan.

Aku lemas sendirian.

Mengulit Syaaban yang mendatang. Dengan Syab'aan kekenyangan dan bukannya Sauman puasa membina kesedaran.

Setiap amalan manusia bersandarkan niat.

Niat membentuk tekad dan keazaman.

Azam memacu prinsip dan matlamat.

Matlamat mengarca peribadi dan jatidiri.

Kerana itu kawan, kuatkan niatmu dan olah lah dengan kesedaran nawaitu yang utuh.

Salam dari seorang teman di kejauhan.



Sunday, June 24, 2012

IKHWAN MEMIMPIN SEJARAH

KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi telah diisytiharkan secara rasmi memenangi pilihan raya Presiden negara itu.
Pengisytiharan itu disambut jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan bergemalah sahutan Allahu Akhbar.
Morsi mendapat 13.2 juta undi dari 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus dari jumlah undi.Lawannya, Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri di era Hosni Mubarak mendapat 12.3 million undi.

 
Lebih 800,000 undi diisytiharkan tidak sah.
Keputusan diumumkan oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir dalam satu ucapannya yang panjang sebelum memberikan keputusan.Beliau mempertahankan intergriti suruhanjaya yang dipengerusikannya

Sunday, June 17, 2012

Ust Yahya Othman : Melalui Kacamata Ikhwan yang Berkaca

Ustaz Yahya: Pimpinan Ikhwan titiskan air mata

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 17 Jun 2012

(Penulis bersama Saiful Islam)

KAHERAH: Putera sulung Syahid Hassan A-Banna, Ustaz Saiful Islam menitiskan air mata tidak dapat menahan kesedihan apabila saya menyampaikan berita sedih perginya seorang pendakwah tersohor dan guru tarbiyyah bagi setiap pendokong gerakan Islam, Ustaz Yahya Othman.

Perkhabaran berita sedih ini di sampaikan penulis kepada Ustaz Saiful Islam sewaktu menziarahi beliau yang agak uzur di tengah-tengah kota Kaherah.

Menurut Ustaz Saiful Islam, beliau telah mengenal rapat Al-Marhum Ustaz Yahya sejak dari awal tahun 70’an lagi sewaktu sama-sama menggerakkan pertubuhan WAMY dan IFSSO di serata dunia.

Ustaz Saiful Islam menyatakan bahawa; ”Kami sering bertemu di muktamar antarabangsa dan selalu bertukar pandangan. Beliau amat berlemah lembut ketika berhujah dan memberi pandangan.

"Saya amat sedih di atas pemergiaan sahabat baik saya ini. Pemergian beliau di tangisi bukan sahaja umat Islam Mayaysia tetapi juga diseluruh pelusuk dunia. Beliau pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita”.

Menurut Ustaz Saiful Islam, Ustaz Yahya adalah seorang pendakwah yang gigih dan merupakan penggerak tarbiyyah bagi gerakan Islam melalui program anjuran WAMY dan IFSSO di serata dunia.

Beliau amat dihormati di peringkat antarabangsa serta menjadi 'penghubung' kepada pimpinan gerakan Islam di  seluruh dunia dengan PAS di Malaysia.

Hubungan beliau yang amat rapat dengan pimpinan gerakan Islam menjadikan beliau sentiasa di rujuk dan menjadi contoh kepada gerakan Islam yang lain.

Inilah contoh Sheikul Tarbiyyah yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Airmata kesedihan membasahi semuapimpinan gerakan Islam yang mengenali beliau.

Pemergian beliau amat di rasai semua dan sukar di cari ganti. Seluruh kepimpinan Ikhwan Musimin Mesirmenyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau.

Selamat tinggal Mujahid Agong Ustaz Yahya Othman...

Al- Fatihah Buat Ustaz Yahya Othman

Hey Kawan, 


Sudah lama rasanya tidak bersua tinta dengan kalian di skrin ini. Terasa dipenjuru hati rasa kehilangan yang sukar aku tafsirkan sendiri. Kekadang gigitan rindu dibalut cubitan sayang menerjah lembut dan syahdu menampar emosi hati yang kian gebu dengan tugasan seharian.


Yang pastinya, aku yang terasa kehilangan kalian. 


Kekurangan momentum aktifku untuk menggerakkan jemari ini untuk menari rancak diatas hamparan keyboard laptopku menjerat diriku. Aku seakan disengat kesepian, kegelisahan dan sememangnya .... kehilangan.


Belum sempat aku membasuh dosa kesalahanku untuk mencoret disini, tiba2 aku dijeritkan berita kehilangan lagi.


Kehilangan yang tidak akan kembali lagi.






Kehilangan insan yang pernah mempotretkan jasa dan nyalaan fikrah islami dalam dadaku ini. 


Tanyalah kawan, siapakah yang pernah bermandi sumur tarbiyyah takkan pernah sunyi dari mendengar suara aktor tarbiyyah popular ini. Sebutlah di mana tempat sekalipun, beliau akan tetap hadir untuk menabur benih iman dan didikan tarbawi ini kepada para pejuang islam, beliau mengotakan janjinya. 


Dalam ingatanku kawan, beliau telah hadir membelah sunyi pagi memberi kuliah subuh disekolah agamaku dahulu menyampaikan pencerahan ilmu dan tarbiyyah dengan caranya yang tersendiri, jika disebut sahaja namanya sebagai pemidato tarbiyyah pastinya kami anak2 maahad akan membeliakkan mata untuk tega menahan kantuk bukan sahaja bagi mendengar ulasan tarbiyyahnya bahkan kami teramat bimbang andai kedapatan tertidur, kami akan dihamburkan omelan soalan2 tarbiyyah dan ilmu yang tak terjangkau oleh atmosfera pengetahuan kami. Akhirnya kami akan termalu sendiri dan menginsafi.


Tatkala aku membesar dalam gersangnya sahara di jordan sana, beliau pernah datang bertamu menyiram rindu tarbiyyah ini untuk meneguk titisan kata2nya yang umpama mutiara berhikmah itu. Pastinya, setiap untaian katanya ditelan penuh nikmat oleh hati2 musafir ilmu ini yang terus berjanji setia untuk kekal menjadi kader perjuangan islam ini dimana sahaja bumi dijunjung.


Begitu juga kawan, ketika aku berkelana dalam perkhidmatanku ke Sabah, beliau masih gagah membawa sekujur tubuh tanpa balutan lemak itu untuk didakap bayu dingin kota kundasang yang amat mengilukan itu. Beliau dalam usia yang sudah semakin tua, masih mempunyai keazaman seorang pemuda dengan objektifnya yang tetap kekal sama memberi tarbiyyah dan tarbiyyah.


Moga Allah merahmatimu.

Thursday, May 17, 2012

Guru Rakyat Kelantan

Hei kawan,

Jauh disudut hati, perasaan bersalah dan terkilan meninggalkan bumi kelahiran, tanah serendah sekebun bunga ini sekian lama. Bungkamnya rasa dalam menghimpunkan kembali bingkai hati yang pecah. Nyeri dan ngilu silih berganti.

Aku anak Kelantan.

Betapa kerinduan ini amat membekas dihatiku kala ini.

Serasa jasadku ingin terbang menginjak kaki ke teratak bumi tercinta ini sekelip mata. Kalaulah aku bisa memiliki ilmu ulamak rabbani dizaman nabi Sulaiman yang mampu memindahkan Istana Balkis dalam sekelip mata, nescaya jasadku kini sudah bersimpuh erat di perdu limpahan neon serambi mekah ini.

Tapi jangan pula kalian kawanku salah sangka, aku bukannya seorang perindu tegar pada masakan kelantan yang unik dengan aroma dan rasanya. Rinduku tidak tumpah pada semangkuk Budu dan Nasi Kerabu yang menggamit liur selera merembes di penjuru lidah. Bukan juga pada akok, sup gearbox, roti canai chotex, sup belut dan sebagainya.
(Aku hanya alah pada godaan keropok lekor sahaja, kemana pun diri ini menjunjung langit, pastiku cari tempat menjual keropok lekor untuk habuan rindu batinku ini, biar mahal mahupun bersaiz ciput, aku menikmatinya dengan keterujaan yang cukup luar biasa,
aah .. aku memang anak kelantan)

Aku bukan juga sedang dilambung gelombang red warriors yang sedang dalam persiapan menggempur bukit jalil sabtu ini untuk misi mengungguli pentas piala FA yang belum pernah dimiliki walaupun sudah berjaya hampir memeluknya dalam tiga siri final sebelum ini. (Aku sememangnya amat mengikuti perkembangan bolasepak kelantan ini walaupun kala itu mereka hanya bermotokan kijang dan gomo, belum lagi mampu dicemburui lawan dengan title wira merah yang sentiasa bisa menghadirkan gerun buat para pencabarnya, namun minatku belum sampai ketahap rindu mendesak kakiku untuk turut berkonvoi sama, rencanaku seperti biasa hanya menjadi penonton solo dalam keluargaku yang bervariasi negeri dan kelahiran)

Aku dipagut rindu.

Rindu pada sesusuk tubuh yang dirakam oleh sang jurugambar ini.

Ternyata momen pegun ini mampu memberi pelbagai makna tafsiran.

Dan bagiku, aku merindui saat2 menjadi anak remaja menekuni setiap alur tarbiyyah yang diungkapkan murabbi ini. Cukup tenang, bersahaja, mesra dan menusuk hati.

Doaku buat murabbi umat ini, moga engkau disimbahi cahaya afiat dan kesihatan dalam terus mendekatkan umat ini pada kesedaran bertuhan dan beragama.

UP : Tak lupa untuk aku berikan kredit pada blog abu nuha yang mencetuskan getaran rindu ini untuk mencoret dan berkongsi momen penuh inspirasi ini. Membangun bersama Islam dibawah kepimpinan Ulamak.

Dialah Murabbi kami. Tuan Guru Haji Abd Aziz Nik Mat.








Saturday, May 12, 2012

DR. Norazamuddin Bin Omar

Salam kawan...

Hari ini aku akan menceritakan kepadamu tentang seorang sahabat seperjuanganku dalam dunia ilmu ini.




Susuk tubuhnya kecil, berkaca mata dan berpenampilan sederhana sejak kali pertama mengenalinya di Jordan dahulu. Minatnya pada ilmu memang terzahir sentiasa, bicaranya tenang dan bersahaja, rajin dan tekun, sanggup menggalas amanah dengan tabah dan sabar, beridentitikan agama adalah antara pencirian yang boleh aku kreditkan untuk sahabatku ini. Entah bagaimana aku boleh bersahabat dengannya, dia tatkala itu menuntut disebuah universiti di Amman, ibu kota Jordan sedangkan kami berada jauh 90km dimuara padang pasir yang sinonim dengan debu dan pasir sahara.

Perkenalan kami rasanya dibantu dengan kehadirannya selalu ke teratak ilmu Ustaz Aziz Hakim, salah seorang sahabat karibku yang segelandangan mencari sesuap ilmu dibalik deretan bangunan dan kehijauan taman dibumi ulamak di Syiria dahulu.Ust Aziz adalah senior dan rakan seNegeri yang berasal dari pahang ini juga amat cintakan ilmu.

Pertemuan atas dasar ilmu inilah yang mempereratkan hubungan kami.

Kedatangannya ke Mafraq seringkali bersama tape pengajian Dr Solah Abdul Fattah al Khalidiy yang menjadi Murabbi di Amman untuk kami sama2 mendengar dan bercerita mencari serakan mutiara ilmunya yang bergemerlapan. Kemanisannya kawan takkan dapat dilakarkan diatas kanvas putih sebegini, ianya persis keinginan untuk kembali memutarkan jam masa ke alam pengajian semula. Ianya sesuatu yang amat indah dan mengasyikkan.

Pertemuan kedua kami terjadi setelah kami sama2 dipostingkan ke Sabah dan terlibat dalam amanah memartabatkan bahasa arab dibumi dingin balutan bayu ini. Susuknya tetap sama walaupun telah bergelar ayah tika itu. Begitu juga perwatakan dan tutur kata hikmahnya memikat hati sang pendengar kuliah tetapnya di Masjid Negeri Sabah.

Percayalah kawan, sahabatku ini tetap seperti dahulu. Seorang yang terlalu mencintai ilmu dan kebaikan. Hidupnya takkan sempurna tanpa buku, sebuah laptop dan kuliah agama. Beliau percikan cahaya kebaikan yang disuluh untuk komuniti sekitarnya. Mungkin kerana itu jua beliau seringkali ditugaskan untuk menguruskan komuniti ulamak pelapis di negeri sabah ini bagi merencana perkembangan ilmu dan dakwahnya.

Hari ini kawan, dia bukan lagi sahabatku ....

Dia sudah menjadi seorang guru dan mentor tarbiah dan motivasi ilmu buatku. Dia sudah berjaya mencapai visi awalnya untuk bergelar Doktor setelah berjaya menyelesaikan tugasan PHDnya dengan cemerlang walaupun masih tetap berkhidmat di Sabah. Sesuatu yang membuatku amat terpukul malu, kerap kali aku dendangkan dalam hati ini, mana mungkin BAHASAWAN seperti aku (yakni mereka yang graduan dalam orientasi bahasa arab dan agama) mampu untuk menapak ke peringkat tertinggi dalam akademik dan agama dilubuk yang tidak memangkinkan diri untuk cabaran ilmu dan budaya bahasa agama ini. Aku tersilap rupanya. Dan sahabatku inilah yang berjaya membetulkan persepsi kacamataku yang salah ini.


Akirnya tahniah buatmu sahabatku, izinkan aku memanggilmu bukan lagi sebagai ustaz tapi sebagai DR. Norazamuddin Bin Umar.

Antara kalimah kesyukurannya yang menginspirasikan aku, tatapilah :

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah (s.w.t) kerana pada hari ini 24 April 2012 bersamaan 4 Jamadil Akhir 1433H lebih kurang jam 1035 pengerusi VIVA mengumumkan bahawa anda berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah.
Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, hari Jumaat mempunyai keistikewaan dalam pengajian Ph.D saya. Saya mendaftar pada petang Jumaat 15 Ogos …membentangkan proposal juga pada hari Jumaat lebih kurang jam 12 tengahari, menyelesaikan penulisan akhir sebelum penyerahan tesis juga pada hari Jumaat 19 Ramadan bersamaan 19 0gos 2011 dan hari ini VIVA juga pada hari Jumaat.

Pemeriksaan tesis saya terdiri Dr.Wan Hassan dari UM, Dr.Abdul Rahman Cik dari UIA dan Dr.Azman dari Indonesia.


Firman Allah (s.w.t):
11. adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah al-Duha)

Setinggi-tinggi kesyukuran Alhamdulillah-Thumma al-hamdulillah setelah melalui pelbagai rintangan dan cabaran, mencari bahan-bahan dalam dan luar negara, pengalaman menulis di pelbagai tempat…di rumah, di surau, di perpustakaan,,, membuat semakan terakhir dalam perjalanan flight Kota Kinabalu- Kuala Lumpur-Kuwait-Syria, perjalanan bas Syria-Jordan, kemudian perjalanan Jordan-Mesir, di Rawdah, masjid Nabawi, di teratak Wardah Syati’, Mekkah al-Mukarramah (sekarang sudah runtuh) dan akhirnya pada pagi Sabtu 17.5.2011 ana dapat menulis muqaddimah tesis di hadapan multazam sebelum salat subuh…
Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibuku Jeriah binti Wahab yang dikasihi dan bapaku Umar bin Teh Ibrahim, guru al-Qur’anku yang pertama semoga Allah (s.w.t) mencucuri rahmat ke atas rohnya dan meletakkannya bersama orang soleh. Mereka berdua berjasa dalam membesar dan mendidikku.
Wahai Tuhan! Muliakan kedua-duanya dengan kelebihan-Mu dan rahmatilah mereka.
Pakaikan kepada ibuku pakaian keimanan dan keafiatan dengan rahmat-Mu.



Bersihkan hati dan diri

Salam kawan,

Rupanya telah hampir separuh Mei berlalu tanpa sempat saya mencoret sepatah berita pun buat para sahabat semua. Sememangnya ISTIQAMAH dalam melaksanakan sesuatu perkara itu amat tangguh dan sukar. Ramai mujahid muda yang hamasah akhirnya kecundang pada usia syaikhukahnya.

Nabi pernah menasihatkan AMANTA BILLAH SUMMA ASTAQIM , yang maksudnya Berimanlah kamu kepada Allah dan kemudian teruskan tekad dan komitmen mu, nescaya Allah akan membantu. Ianya seolah penawar kejemuan dan futur, apabila keazaman dilandaskan pada keyakinan, segalanya pasti akan dapat diharungi dengan tabah dan bijkasana walau ketika senang atau susah, tika lapang atau sibuk dan tika bermotivasi atau keMATIan aksi.

Entahlah, mungkin kejadian BERSIH dan BANTAI lebih menjadikan saya seorang pemerhati.

Mengunyah maklumat yang tersurat dan tersirat dengan penuh teliti dan berhati-hati. Bimbang informasi yang telah dihadam rupanya bergizi tidak seimbang dan mampu mengatktifkan bakteria dan cacing negatif, natijahnya ia gagal dicerna usus manfaat dan kebangkitan kesedaran.Akhirnya ia memudaratkan diri dengan simpton cirit dan keciciran pahala yang berterusan.

Di kedua belah pihak, kekadang rasional agama kurang dipertimbangkan. Allah akan menilai seseorang bersama dengan aksi amalnya. Mencuri untuk membantu sang fakir melarat tidak akan dikira berpahala walaupun ianya adalah tindakan populis dan berani.
Menghentam, mengutuk dan melakukan keganasan juga bukan cara yang wajar meraih pahala dalam sebuah aksi pentas jalanan yang bertujuan murni.

Ingatlah hadis Nabi tatkala menceritakan kehancuran sebuah ketumbukan tentera yang ingin meranapkan kesatuan Ummah, walaupun mereka dihancurkan serentak dan bersama2 tapi mereka pula akan dibangkitkan berdasarkan niat dan kondisi masing2.

Moga kita berfikiran wajar dan rasional dalam isu ummah dan kebaikan.

Kesatuan mencari hak dan kebenaran amatlah dituntut agama bahkan nabi memperagakan aksinya untuk berada di barisan hadapan menyetujui MESYUARAT PERDAMAIAN PERANG FIJAR demi mencari keamanan dan mempertautkan ukhuwwah.

Berkumpul untuk satu tujuan kebaikan dan keadilan sejagat sewajarnya diperjuangkan oleh semua.

Teringat saya kepada fatwa Dr Yusof Al Qaradhawi ketika mendepani isu demontrasi besar memulihkan pemerintahan di dataran tahrir, beliau dengan tegas tanpa berselindung untuk mengemukakan IJTIHAD BERANI DAN HARAKInya dalam membenarkan perhimpunan walaupun ditentang pandangan majlis fatwa berauthoriti di sana kala itu.

Dataran tahrir menjadi simbol kebangkitan umat mesir kala ini.

Tiada yang menghairankan kita jika skripnya diulang semula dinegara kita dalam menghukum perhimpunan atas tujuan menjaga air muka pemerintahan tanpa mengambil kira segala aspek yang menjurus kepadanya. Entah apa kepentingan dan urgensi keadaannya hingga FATWAnya boleh terus diWAR2 kan dengan segera sedangkan penilaian hukum2 tertentu yang dirujuk ummah memerlukan masa yang lama untuk menuntaskan jawapannya.

Bangun wira yang tidak didendang menyuarakan pandangannya meminta Fatwa tidak dilihat dengan sebelah mata lantas mengakibatkan fatwa yang senget dan berat sebelah.

Dan kerana itulah juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz diselar kerana menyokong perhimpunan, dituduh kolot, berhati syaitan dan penuh dendam kesumat bahkan yang terbaru TGNA dituduh sebagai BAPA KEKAFIRAN dengan prasangka jijik dan kotor. Begitu juga dengan sebuah foto yang diedit dengan gambar TGNA berbaju kuning dengan berkepala seekor beruk.

Allahu akbar ..... Kami lebih mengenali guru kami, kami lebih dua dekad berada dalam naungan tarbiyah iman dan islam bersamanya. Kami bermandikan curahan ilmunya dan mencium haruman akhlaknya saban masa, dengan semangat kental dari asuhan didikannyalah bukan sedikit yang mengembara untuk menyambung lidah ilmu dan semangatnya ke merata tempat diperantauan.

Kekesalan ini membuakkan amarah. Kesedihan ini menitipkan keazaman.

Kami berdiri dibelakang TGNA selama mana ianya bertongkatkan Islam dan kebenaran.

Dan kerana itu jugalah .... Saya menyokong kepada ke....BERSIH....an hati dan nurani kita dalam menjana amalan yang berpahala dan bermanfaat.

Selamat hari guru buatmu TGNA, ....... guruku, guru rakyat kelantan dan guru untuk sebuah universiti politik terbuka dengan iringan doa dan harapan agar terus tabah meladeni kebobrokan duniawi ini.