Saturday, May 1, 2010

PERTANDINGAN MELUKIS POSTER

PERTANDINGAN MELUKIS POSTER

UNTUKMU RASULULLAH

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DENGAN KERAJASAMA PERSATUAN PELAJAR ISLAM BAKTI MENGANJURKAN SATU PERTANDINGAN MELUKIS POSTER PERINGKAT SEKOLAH YANG BERTEMAKAN UNTUKMU RASULULLAH.

EKSPRESIKAN CINTA ANDA PADA RASULULLAH.

HADIAH MENARIK DAN MISTERI MENANTI ANDA !

SYARAT PERTANDINGAN
1. TERBUKA KEPADA SEMUA PELAJAR SXI YANG BERAGAMA ISLAM.

2. PENYERTAAN DITERIMA SECARA INDIVIDU ATAU BERKUMPULAN YANG TIDAK MELEBIHI 3 ORANG

3. TIDAK BOLEH MENGHANTAR LEBIH DARI SATU PENYERTAAN SAHAJA

4. POSTER HENDAKLAH ASLI DAN TIDAK DIPLAGIAT

5. DITULIS DIATAS SEHELAI MANILA KAD (SILA DAPATKAN MELALUI USTAZ ATAU USTAZAH)

6. MENGANDUNGI PERKARA BERIKUT :
a) TEMA : MUHAMMAD SAW UTUSAN TERAKHIR ( DUTA KESELAMATAN DAN KEBAHAGIAN )
b) MEMPUNYAI LUKISAN MASJID
c) TERDAPAT PERKATAAN ALLAH DAN MUHAMMAD DALAM TULISAN ARAB
d) TERCATAT HADIS BERIKUT : SABDA NABI MUHAMMAD SAW : TIDAK SEMPURNA IMAN KAMU SEHINGGALAH KAMU MENGASIHI SAUDARAMU SEBAGAIMANA KAMU MENYAYANGI DIRIMU SENDIRI.
e) NAMA AHLI KUMPULAN DICATAT DISEBELAH BELAKANG POSTER.

7. TARIKH TUTUP PENYERAHAN ADALAH PADA 7 MEI 2010.

8. POSTER YANG DIHANTAR MENJADI MILIK PANITIA DAN TIDAK AKAN DIPULANGKAN.

9. KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.

10. PEMENANG AKAN MENERIMA HADIAH MISTERI DAN POSTERNYA AKAN DITAMPAL DIBAHAGIAN HADAPAN SEKOLAH (BERHAMPIRAN PEJABAT)

Seputar Lensa Majlis Perpisahan Ustazah Siti Atiqah


Wajah kesedihan dan poyo anak2 BAKTI yang ditinggalkan.


Antara tetamu yang hadir


Barisan depan wakil Bakti


Saguhati dari Panitia. Terima Kasih !!

Hari Perpisahan Ustazah Siti Atiqah


Walau dalam tempoh sesingkat 2 bulan, kehadirannya amat dirasai.

Jasa dan sumbangannya amat banyak dan tidak terbilang dek jari, beban tugas menguruskan panitia, akademik pelajar dan terutamanya pengurusan persatuan pelajar islam Bakti seperti tidak terasa, kewujudannya memang meringankan tugas saya.

Komitmennya amat dihargai.

Hadir sebagai seorang guru baru dan mencari pengalaman, biarpun sudah 5 tahun pulang dari permusafiran ilmu di Mesir dahulu, beliau dilamar bapanya untuk membantu di kedai menguruskan mesin2 percetakan fotostat di kawasan rumahnya sendiri KULIM.

Pernah saya mencerapnya sebagai guru dan proses pengajarannya.alhamdulillah memuaskan dan saya tidak teragak untuk memberi markah terbaik untuknya. Nasihat refleksi saya hanyalah pada penyediaan rancangan mengajar yang saya maklum tidak diperolehinya dalam didikan formal latihan perguruan.

Pelajar menyukainya, BAKTI terhutang budi padanya.

Terima kasih Ustazah Atiqah.

Saya memang maklum tentang hari terakhir persekolahan bagi Ustazah ganti sekolah saya ialah pada hari jumaat 24 April.

Namun, sedikit kekangan pengurusan kadet pkbm di sg ara membantutkan pergerakan saya, tapi saya melihat power of love yang tersebar pada pelajar yang terpimpin budi dengannya menjadikan mereka kratif menguruskan program perpisahan ini sejayanya.

Bermula dengan perbarisan hormat baki pasukan PKBM yang tidak terlibat perkemahan, mereka begitu supporting dan spontan beratur memberikan satu tabik hormat sepanjang perjalanan ustazah ke surau, tempat program kami diatur.

Dipintu surau pula, pasukan kompang pula memainkan paduan santai ketukan kompang untuk program dengan penuh bersemangat.

Seterusnya majlis berlangsung dengan ucapan wakil BAKTI, ketua panitia dan ucapan perpisahan beliau sendiri yang tersusun ceria dalam sendu.

Program yang dihadiri juga beberapa orang cikgu itu seterusnya berlangsung dengan penyampaian hadiah, makan-makan dan kejutan sebuah nasyid perpisahan dari peminat nombor satu ustazah, adik harith aka bob.

Majlis berakhir dengan jamuan laksa, kuih dan spaghetti yang ditempah awal.

Moga allah sahaja yang membalas jasa ustazah pastinya.

Monday, April 26, 2010

Menembak di PKBM

Antara perkara yang paling mengujakan saya dalam perkhemahan kali ini ialah mengikuti pertandingan menembak antara kadet pada selasa 20 april yang lalu.

Seperti anak kecil yang lain pada 30 tahun dahulu, saya sememangnya amat kagum pada uniform dan kesegakan para anggota tentera dalam barisan kawad mereka yang tersusun. Apatah lagi tatkala mereka memegang senjata dan tega mengacukannya kepada sesiapa sahaja yang berani meragut dan membahayakan keselamatan Negara.

Semangat suka dan ingin menjadi tentera tumbuh mekar bersama memori saya semasa berumur 8-12 tahun, saya sememangnya suka melihat watak keperwiraan tentera berdepan dengan segala episode pertempuran dan cabaran mereka, filem sarjan hassan dan bukit kepong kala itu sentiasa meninggalkan kesan afektif pada jiwa kecil ini untuk membesar menjadi seorang yang tega dan cekal menjadi seorang perwira yang kemudiannya saya modified review setelah beransur remaja kepada pejuang agama.



Memegang senjata buat pertama kali kala itu menceriakan saya, bahkan keterujaannya sememangnya tampak jelas dan mampu dibaca beberapa orang kadet saya. Tatkala mereka mengadu keletihan dan hilang fokus ekoran rentak pertandingan tanpa rehat yang berlangsung setiap hari mengganggu mereka, saya hadir meniup semangat melawan dan fokus perjuangan, spontan hadis nabi ini saya bacakan jujur kepada mereka : nabi menasihatkan kita para ibubapa mendidik generasi ini dengan perkara yang berfaedah, ajarlah anakmu dengan 3 perkara, berenang, menunggang kuda dan memanah.

Ketiganya amat penting dalam membentuk jatidiri muslim yang kuat dan berjiwa kental.

Pertamanya mengangkat imej islam di mata masyarakat dengan kualiti umat yang kuat berusaha dan berkualiti, keduanya memenuhkan ruang fikir dan agenda umat ini dengan aktiviti yang berfaedah dan membina kredibiliti diri, ketiga memahirkan muslim dengan asas untuk sentiasa bersedia membantu agama dimana sahaja yang diperlukan.

Dan memanah itu dizaman sekarang boleh kita terjemahkan sebagai kemahiran menembak, ianya mengajar kita untuk fokus kepada sasaran dan matlamat hidup kita.
Mengajar berani, berhati-hati dan mengikut peraturan yang disarankan.

Dan dalam latihan hari selasa tersebut, saya diberi peluang untuk mencuba dan merasai keseronokan dan keterujaan saya untuk menembak.Saya diberi 20 peluru hidup dalam kelopak yang kemudiannya saya pasang ke M-16 saya. Dalam jarak 100 meter, saya bersama rakan guru yang lain diberi arahan untuk menembak 5 butir peluru dalam 4 kedudukan iaitu meniarap, duduk, melutut dan berdiri.



Saya terus mengacukan muncung M-16 itu tepat kesasaran yang saya nampak kecil dihadapan saya, sasaran yang bertanda V itu membawa 5 markah penuh bagi setiap penembak, bulatan kedua pula membawa 4 markah dan setiap peluru yang mnegenai luar bulatan tapi mengenai sasaran akan diberikan 3 markah. Setelah mendengar arahan, tembakan saya lepaskan satu-persatu mengikut arahan setiap kedudukan. Selesai menembak, kami guru dibawa melihat target dan hasil tembakan kami.

Alhamdulillah, tembakan saya masih mengenai sasarannya walau tidaklah setepat mana, mungkin ini tembakan kali pertama saya. Saya mendapat bacaan 0 0 7, bermakna 7 tembakan saya mengenai sasaran diluar bulatan 5 dan 4, saya mendapat 21 markah sahaja daripada 100 markah penuh.

Kadet2 saya menunggu berita dengan sabar dan lantas mereka menggelarkan saya JAMES BOND, 007, Ustaz dah dapat LICENCE TO KILL.

Dan esoknya saya menembak lagi, diberi peluang menyertai pertandingan antara guru PKBM dalam pertandingan menembak piring sejauh 150 meter.

Diundi dalam kumpulan CHARLIE, kami seramai 4 orang guru PKBM berentap dengan sahabat yang lain dari kalangan guru ini, dalam masa tak sampai 2 minit pasukan ALFA akhirnya menewaskan BRAVO, dan kami kemudiannya menewaskan DELTA. Pertembungan saat akhir antara kami dan DELTA menyaksikan kami berjaya menumbangkan 4 piring tersebut kurang dari 12 saat.

Setelah diisytiharkan sebagai pemenang kami diminta menyudahkan 40 peluru berbaki yang masih dikelongsong senjata kami.

Petang itu, saya pulang dengan rasa bangga dan kepuasan sebagai penembak. Sekurang-kurangnya saya pernah cuba untuk mematuhi ajaran nabi untuk belajar menembak.

Tembaklah sasaran anda setinggi yang boleh, kiranya tidak berjaya ia akan mengenai sasaran kedua tertinggi.

alhamdulillah, lengkaplah tetralogi artikel PKBM saya.

Sunday, April 25, 2010

Gamat PKBM

Perkemahan PKBM gamat lagi.

Rutin siangnya bermula dengan jadual pertandingan yang padat bermula seawal jam 7.30 pagi jentera akan bertolak ke lokasi pertandingan. Hanya acara rempuh halangan dan kawad kaki sahaja yang berlangsung diperkarangan kem.

Namun para kadet diwajibkan bagi bersolat subuh dan bersarapan awal sebelum memulakan acara pagi dengan kawad dan kemudiannya diagihkan mengikut jadual pertandingan.

Kadet kami berada dalam kompeni C melibatkan 4 buah sekolah yang lain, maka jadual pertandingan kami bermula hari ahad ialah rempuh halangan, isnin pandu arah, selasa menembak dan rabu ialah kawad kaki.

Kesemua acara ditempuhi kadet dengan penuh semangat dan komited yang tinggi.

Selesai acara biasanya diawal jam 2 petang para kadet akan bersantai dikemah masing-masing ataupun bersiap dengan training dan pendedahan teknik dan strategi baru untuk mengharungi setiap acara pertandingan.

Setelah isnin sampai ke usia senjanya, saya menunggang motorsikal untuk menjadi tetamu rumah allah di masjid tun sardon gelugor, giliran ustaz Shamsuri Ahmad memberi kuliah tidak saya lepaskan begitu sahaja, suka saya mendengar kupasan hadis terpilih dan tafsir surah an Nisa’yang dibawanya setiap bulan. Giliran bermalam di kem saya serah dan maklumkan pada sahabat saya Cikgu Hifzan.

Namun ketenangan malam itu mula berkocak serabut, saya dimaklumkan belasan pelajar wanita yang kerasukan hysteria menggamatkan suasana, ada yang berlari, menangis, menendang dan memaki hamun adalah lumrah fenomena malam itu.

Deringan telefon saya juga tidak bisu malam itu, selang 5 minit pastinya ada panggilan meminta diangkat sedangkan saya masih belum mahu berganjak dari dewan masjid yang berakhir jam 10 malam itu.

Selepas itu saya dimaklumkan ada beberapa ustaz dan tenaga pengubat dari luar kem telah datang untuk memberikan bantuan. Moga ia meredakan sedikit kekalutan yang berlaku.

Esoknya, saya dimaklumkan pelajar kadet saya juga diganggu, dengan jelmaan mayat tergantung, wajah lembaga menyeringai dipohonan tua belakang perkemahan, juga ada yang mendakwa lembaga halus menyelinap kedalam badannya hingga tangisan, sendu dan teriakan tumpah tanpa dapat dikawal, jiwa kacaunya menyebabkannya sesak nafas dan diberi bantuan klinikal.

Begitulah resamnya, hamper 4 hari malam-malam kami di kem hilang ketenangannya, malamnya menyaksikan pertandingan acara yang ke5 mungkin, iaitu acara menghalau hantu dan menenangkan pelajar perempuan hysteria diperkarangan masjid tentera tersebut.

Namun saya berbangga apabila kadet saya melaporkan, kadet SXI mengambil langkah proaktif dan terkedepan apabila menjadi jentera dan perisai awal membaca yasin dan melaungkan azan untuk sama2 mengambil peranan mengubat kondisi sulit yang berlaku.

Tahniah kadet, moga semangat ingin membantu itu kekal membara dalam kehidupan kalian, dan jadikanlah al Quran itu sebagai perisai dan pendinding diri dan keluarga.

Friday, April 23, 2010

Kuliah PKBM

Perkemahan PKBM adalah sesuatu yang amat baru dan mengujakan saya.

Ianya pengalaman yang tidak pernah saya kecapi sebelum ini, samada disekolah menengah dahulu mahupun setelah menjadi guru di sabah.

Ianya seperti memahat travelog baru dalam kamus hidup saya.

Biarpun terpaksa berulang alik dan bergilir menjadi pemantau pergerakan kadet, biarpun masa cuti hujung minggu juga terpaksa dibayar galang gantinya, namun ianya amat berbaloi dan sukar dilepaskan.

Disini saya terdedah dengan suasana baru. Aspek keselamatan, pergaulan bersama tentera, cara hidup dan aktiviti mereka. Disinilah saya cuba memahami dan mengadaptasi suasana baru ini kedalam maklumat fikrah saya. Mana yang baik saya pertimbangkan untuk rujukan dan yang buruk sepatutnya kita tinggalkan.

Setelah seharian bersama kadet beberapa hari sebelumnya, saya hadir untuk solat maghrib di masjid tentera. Namun kehadiran saya agak lewat dan hanya sempat berjemaah bersama kumpulan kedua.

Seusai solat, saya melihat para kadet seperti malam sebelumnya bergelimpangan tanpa arah melepaskan keboringan dan lelah seharian, malahan ramai juga yang sedang menunggu bateri hanset mereka penuh dicas, tiba2 datang seorang hamba allah membuat pengumuman untuk semua kadet berkumpul mendengar tazkirah, mengambil peluang mengaut sedikit pahala dan ilmu untuk bekalan pulang nanti, bukan hanya mempertaruhkan kesihatan fizikal semata2.



Dan tiba2 tanpa nama saya diundang untuk memberikan pengisian, saya terus menoleh kehadapan dan tersenyum hamba allah tersebut yang akhirnya saya kenali sebagai USTAZ AZMIR, ustaz lama sekolah SXI dahulu. Rupanya dia sudah mengorek maklumat awal saya dari pelajar dan sengaja membuat surprise tanpa saya sempat bersedia awal.

Saya berbelah bahagi, kondisi diri yang jarang memberikan tazkirah kala ini, saya kira mungkin mempengaruhi, juga kejutan tiba2 itu menyebabkan cairan maklumat minda islami saya beku seketika.

Tatkala melihatkan kemas sila para kadet menunggu arahan dan tazkirah, saya senyum dan terpaksa jua tampil kehadapan. Mungkin ini suratan takdir saya berkongsi sesuatu, bukan mudah nak berceramah di kem tentera kan…..



Kesempatan itu saya sambut awal dengan penekanan berkaitan jatidiri kadet islam, saya bercakap seputar tajuk asas islami seperti solat, ilmu, quran dan maruah diri. Saya sentuhi setiap topic dengan contoh dan cerita tertentu, moga kepenatan badan kadet dapat menerima santainya ilmu ini meresap keperdu otak sedar mereka.

Dan peluang berbicara ini tidak saya lepaskan peringatan tertentu buat kadet, biarpun pahit dan mencili peribadi, saya terpaksa zahirkan kekecewaan saya dihadpan mereka. Saya gagaskan kemuliaan islam berdasarkan kepada kepatuhan dan komitmen menjaga agama, saya singgung kisah sejarah pertama bagaimana umar membuka palesti dan kisah keduanya berselang dengan keajaiban tentera solahudin membukanya buat kali kedua.

Ironinya, keduanya berkaitan dengan daya tahan tentera islam. Kepatuhan dan ketaatan adalah factor kekuatan dan kejayaan umat islam. Kita memenangi pertempuran dan peperangan ini dengan kebaikan iman dan taat manakala musuh tewas kerana kebiadapan jahat dan amalan maksiat mereka.

Lalu saya tegaskan, kecewa saya melihat para kadet yang boleh berkompromi bersama melakukan mungkar dengan MANDI SEPARA BOGEL BERALASKAN SPENDER, meletakkan maruah diri sehina tanah yang dipijak saban hari. Mereka yang suka melihat aurat sendiri, pastinya akan suka melihat aurat orang lain dan ianya sudah pasti akan sanggup membuka dan menelanjangi aurat manusiawui yang lain.

Kecewa juga saya berkaitan factor masa, disiplin asas yang sepatutnya menjadi teras mulia keunikan para kadet tentera mereka remehkan. Kerana itu saya melihat kadet tidak peka pada waktu makan, waktu mandi, waktu main dan apatah lagi waktu solat. Saya terus menembak jarak dekat satu jemaah kadet yang baru datang solat maghrib kala itu tika senggang waktu isyak hanyalah berbaki 8 minit. Barulah mereka terkocoh datang menunaikan tuntutan agama itu tanpa rasa bersalah.

Dan, saya amat berharap moga semua kadet nanti dapat berusaha memperbaiki diri, mulakan perubahan walau sekecil mana pun ia, bukankah kejayaan melakar sesuatu yang agung itu bermula dengan langkah lorekan yang pertama.

Dan ingat, biarlah allah sahaja yang mengetahui usaha dan kesungguhan kita, moga allah memberi bantuannya.

Saya sudahi ucapan saya dengan lafaz salam dan doa penuh ketenangan.

Moga ketenangan malam itu berpanjangan.

Tapi sayangnya, takdir tuhan mengatakan TIDAK ………..

Perkhemahan PKBM

Seminggu lamanya saya bertapa di Kem 2 Rejimen Askar Melayu Sungai Ara, Pulau Pinang dalam Perkhemahan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) yang berlangsung dari 16 hingga 22 hb April yang lepas. Ianya satu tugasan baru yang saya terima di sekolah baru ini sebagai guru pembimbing pasukan kadet bersama seorang lagi rakan bekas Wataniah, cikgu Hifzan.



Seramai 28 orang Kadet dari sekolah kami yang mengambil bahagian dalam acara tahunan itu bagi kali ini. Acara yang pengisiannya bukan sekadar berkhemah, bermain dan tidur, tapi ianya diselangi dengan 4 acara pertandingan yang telah disusun atur bagi menguji kewibawaan setiap pasukan akdet sekolah yang datang bertanding.

Antara acara yang dipertandingan ialah kawad kaki, menembak, rempuh halangan dan pandu arah.

Di peringkat awal, seramai 33 orang yang tersenarai pendek untuk mengikuti perkemahan ini namun kekangan izin ibubapa dan waris membantutkan usaha untuk mencukupkan jumlah platun lengkap itu. Mujurlah acara setiap pertandingan hanya akan dikira berdasarkan 25 kadet terbaik setiap sekolah sahaja. Dengan kekuatan 28 orang anggota dari pelbagai tingkatan ini menjanjikan saingan yang agak tidak konsisten, dengan saiz fizikal yang tidak sekata juga memperlihatkan keupayaan awal kami yang sedikit goyah.

Penelitian saya pada peringkat awal sebagai guru pembantu yang tidak mempertaruhkan apa2. Penyertaan kami hanyalah untuk memperbaiki latihan, mendapatkan pendedahan dan mencetuskan disiplin anggota. Jauh sedikit dari mencabar kadet sekolah yang begitu mantap saiz fizikalnya (purata pelajarnya hanya dari menengah atas), tersusun kelengkapan peralatannya, terserlah kewibawaan disiplin dan pengaruh kepimpinan sarjan kadetnya juga kredibiliti pembimbing dari rejimen askar melayu sebagai penaungnya.

Kami diletakkan dibawah 2 rejimen semboyan diraja melayu bersebelahan kem sg ara ini, jaraknya yang agak jauh dari sekolah menjadikan sesi latihan dan kawad disekolah jarang sekali dihadiri para kopral pembimbing disini.



Namun kesempatan berkampung ditempat tersebut menjadikan hubungan kami bersama 2 kopral mahadi dan shukri amat rapat dan sentiasa prihatin. Ditambah dengan komitmen luarbiasa sarjan shamsuddin yang sentiasa memantau kecukupan peralatan dan keperluan kadet kami.

Jumaat 16hb, kami bergerak dengan trak menuju ke kem Sg ara dengan komitmen yang tinggi. Meninggalkan halaman persekolahan untuk sesi pelajaran yang bukan formal tapi bermakna, meninggalkan sentuhan keluarga untuk dibelai keras disiplin dan peraturan yang begitu tegas, meninggalkan seketika nikmat keselesaan dan rutin untuk dibentuk jatidiri melalui cabaran dan kesusahan.

Moga para kadet saya mampu berubah menjadi warga sekolah yang lebih berdisiplin nanti.