Monday, April 26, 2010

Menembak di PKBM

Antara perkara yang paling mengujakan saya dalam perkhemahan kali ini ialah mengikuti pertandingan menembak antara kadet pada selasa 20 april yang lalu.

Seperti anak kecil yang lain pada 30 tahun dahulu, saya sememangnya amat kagum pada uniform dan kesegakan para anggota tentera dalam barisan kawad mereka yang tersusun. Apatah lagi tatkala mereka memegang senjata dan tega mengacukannya kepada sesiapa sahaja yang berani meragut dan membahayakan keselamatan Negara.

Semangat suka dan ingin menjadi tentera tumbuh mekar bersama memori saya semasa berumur 8-12 tahun, saya sememangnya suka melihat watak keperwiraan tentera berdepan dengan segala episode pertempuran dan cabaran mereka, filem sarjan hassan dan bukit kepong kala itu sentiasa meninggalkan kesan afektif pada jiwa kecil ini untuk membesar menjadi seorang yang tega dan cekal menjadi seorang perwira yang kemudiannya saya modified review setelah beransur remaja kepada pejuang agama.



Memegang senjata buat pertama kali kala itu menceriakan saya, bahkan keterujaannya sememangnya tampak jelas dan mampu dibaca beberapa orang kadet saya. Tatkala mereka mengadu keletihan dan hilang fokus ekoran rentak pertandingan tanpa rehat yang berlangsung setiap hari mengganggu mereka, saya hadir meniup semangat melawan dan fokus perjuangan, spontan hadis nabi ini saya bacakan jujur kepada mereka : nabi menasihatkan kita para ibubapa mendidik generasi ini dengan perkara yang berfaedah, ajarlah anakmu dengan 3 perkara, berenang, menunggang kuda dan memanah.

Ketiganya amat penting dalam membentuk jatidiri muslim yang kuat dan berjiwa kental.

Pertamanya mengangkat imej islam di mata masyarakat dengan kualiti umat yang kuat berusaha dan berkualiti, keduanya memenuhkan ruang fikir dan agenda umat ini dengan aktiviti yang berfaedah dan membina kredibiliti diri, ketiga memahirkan muslim dengan asas untuk sentiasa bersedia membantu agama dimana sahaja yang diperlukan.

Dan memanah itu dizaman sekarang boleh kita terjemahkan sebagai kemahiran menembak, ianya mengajar kita untuk fokus kepada sasaran dan matlamat hidup kita.
Mengajar berani, berhati-hati dan mengikut peraturan yang disarankan.

Dan dalam latihan hari selasa tersebut, saya diberi peluang untuk mencuba dan merasai keseronokan dan keterujaan saya untuk menembak.Saya diberi 20 peluru hidup dalam kelopak yang kemudiannya saya pasang ke M-16 saya. Dalam jarak 100 meter, saya bersama rakan guru yang lain diberi arahan untuk menembak 5 butir peluru dalam 4 kedudukan iaitu meniarap, duduk, melutut dan berdiri.



Saya terus mengacukan muncung M-16 itu tepat kesasaran yang saya nampak kecil dihadapan saya, sasaran yang bertanda V itu membawa 5 markah penuh bagi setiap penembak, bulatan kedua pula membawa 4 markah dan setiap peluru yang mnegenai luar bulatan tapi mengenai sasaran akan diberikan 3 markah. Setelah mendengar arahan, tembakan saya lepaskan satu-persatu mengikut arahan setiap kedudukan. Selesai menembak, kami guru dibawa melihat target dan hasil tembakan kami.

Alhamdulillah, tembakan saya masih mengenai sasarannya walau tidaklah setepat mana, mungkin ini tembakan kali pertama saya. Saya mendapat bacaan 0 0 7, bermakna 7 tembakan saya mengenai sasaran diluar bulatan 5 dan 4, saya mendapat 21 markah sahaja daripada 100 markah penuh.

Kadet2 saya menunggu berita dengan sabar dan lantas mereka menggelarkan saya JAMES BOND, 007, Ustaz dah dapat LICENCE TO KILL.

Dan esoknya saya menembak lagi, diberi peluang menyertai pertandingan antara guru PKBM dalam pertandingan menembak piring sejauh 150 meter.

Diundi dalam kumpulan CHARLIE, kami seramai 4 orang guru PKBM berentap dengan sahabat yang lain dari kalangan guru ini, dalam masa tak sampai 2 minit pasukan ALFA akhirnya menewaskan BRAVO, dan kami kemudiannya menewaskan DELTA. Pertembungan saat akhir antara kami dan DELTA menyaksikan kami berjaya menumbangkan 4 piring tersebut kurang dari 12 saat.

Setelah diisytiharkan sebagai pemenang kami diminta menyudahkan 40 peluru berbaki yang masih dikelongsong senjata kami.

Petang itu, saya pulang dengan rasa bangga dan kepuasan sebagai penembak. Sekurang-kurangnya saya pernah cuba untuk mematuhi ajaran nabi untuk belajar menembak.

Tembaklah sasaran anda setinggi yang boleh, kiranya tidak berjaya ia akan mengenai sasaran kedua tertinggi.

alhamdulillah, lengkaplah tetralogi artikel PKBM saya.

No comments:

Post a Comment