Perkemahan PKBM gamat lagi.
Rutin siangnya bermula dengan jadual pertandingan yang padat bermula seawal jam 7.30 pagi jentera akan bertolak ke lokasi pertandingan. Hanya acara rempuh halangan dan kawad kaki sahaja yang berlangsung diperkarangan kem.
Namun para kadet diwajibkan bagi bersolat subuh dan bersarapan awal sebelum memulakan acara pagi dengan kawad dan kemudiannya diagihkan mengikut jadual pertandingan.
Kadet kami berada dalam kompeni C melibatkan 4 buah sekolah yang lain, maka jadual pertandingan kami bermula hari ahad ialah rempuh halangan, isnin pandu arah, selasa menembak dan rabu ialah kawad kaki.
Kesemua acara ditempuhi kadet dengan penuh semangat dan komited yang tinggi.
Selesai acara biasanya diawal jam 2 petang para kadet akan bersantai dikemah masing-masing ataupun bersiap dengan training dan pendedahan teknik dan strategi baru untuk mengharungi setiap acara pertandingan.
Setelah isnin sampai ke usia senjanya, saya menunggang motorsikal untuk menjadi tetamu rumah allah di masjid tun sardon gelugor, giliran ustaz Shamsuri Ahmad memberi kuliah tidak saya lepaskan begitu sahaja, suka saya mendengar kupasan hadis terpilih dan tafsir surah an Nisa’yang dibawanya setiap bulan. Giliran bermalam di kem saya serah dan maklumkan pada sahabat saya Cikgu Hifzan.
Namun ketenangan malam itu mula berkocak serabut, saya dimaklumkan belasan pelajar wanita yang kerasukan hysteria menggamatkan suasana, ada yang berlari, menangis, menendang dan memaki hamun adalah lumrah fenomena malam itu.
Deringan telefon saya juga tidak bisu malam itu, selang 5 minit pastinya ada panggilan meminta diangkat sedangkan saya masih belum mahu berganjak dari dewan masjid yang berakhir jam 10 malam itu.
Selepas itu saya dimaklumkan ada beberapa ustaz dan tenaga pengubat dari luar kem telah datang untuk memberikan bantuan. Moga ia meredakan sedikit kekalutan yang berlaku.
Esoknya, saya dimaklumkan pelajar kadet saya juga diganggu, dengan jelmaan mayat tergantung, wajah lembaga menyeringai dipohonan tua belakang perkemahan, juga ada yang mendakwa lembaga halus menyelinap kedalam badannya hingga tangisan, sendu dan teriakan tumpah tanpa dapat dikawal, jiwa kacaunya menyebabkannya sesak nafas dan diberi bantuan klinikal.
Begitulah resamnya, hamper 4 hari malam-malam kami di kem hilang ketenangannya, malamnya menyaksikan pertandingan acara yang ke5 mungkin, iaitu acara menghalau hantu dan menenangkan pelajar perempuan hysteria diperkarangan masjid tentera tersebut.
Namun saya berbangga apabila kadet saya melaporkan, kadet SXI mengambil langkah proaktif dan terkedepan apabila menjadi jentera dan perisai awal membaca yasin dan melaungkan azan untuk sama2 mengambil peranan mengubat kondisi sulit yang berlaku.
Tahniah kadet, moga semangat ingin membantu itu kekal membara dalam kehidupan kalian, dan jadikanlah al Quran itu sebagai perisai dan pendinding diri dan keluarga.
No comments:
Post a Comment