Friday, April 23, 2010

Perkhemahan PKBM

Seminggu lamanya saya bertapa di Kem 2 Rejimen Askar Melayu Sungai Ara, Pulau Pinang dalam Perkhemahan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) yang berlangsung dari 16 hingga 22 hb April yang lepas. Ianya satu tugasan baru yang saya terima di sekolah baru ini sebagai guru pembimbing pasukan kadet bersama seorang lagi rakan bekas Wataniah, cikgu Hifzan.



Seramai 28 orang Kadet dari sekolah kami yang mengambil bahagian dalam acara tahunan itu bagi kali ini. Acara yang pengisiannya bukan sekadar berkhemah, bermain dan tidur, tapi ianya diselangi dengan 4 acara pertandingan yang telah disusun atur bagi menguji kewibawaan setiap pasukan akdet sekolah yang datang bertanding.

Antara acara yang dipertandingan ialah kawad kaki, menembak, rempuh halangan dan pandu arah.

Di peringkat awal, seramai 33 orang yang tersenarai pendek untuk mengikuti perkemahan ini namun kekangan izin ibubapa dan waris membantutkan usaha untuk mencukupkan jumlah platun lengkap itu. Mujurlah acara setiap pertandingan hanya akan dikira berdasarkan 25 kadet terbaik setiap sekolah sahaja. Dengan kekuatan 28 orang anggota dari pelbagai tingkatan ini menjanjikan saingan yang agak tidak konsisten, dengan saiz fizikal yang tidak sekata juga memperlihatkan keupayaan awal kami yang sedikit goyah.

Penelitian saya pada peringkat awal sebagai guru pembantu yang tidak mempertaruhkan apa2. Penyertaan kami hanyalah untuk memperbaiki latihan, mendapatkan pendedahan dan mencetuskan disiplin anggota. Jauh sedikit dari mencabar kadet sekolah yang begitu mantap saiz fizikalnya (purata pelajarnya hanya dari menengah atas), tersusun kelengkapan peralatannya, terserlah kewibawaan disiplin dan pengaruh kepimpinan sarjan kadetnya juga kredibiliti pembimbing dari rejimen askar melayu sebagai penaungnya.

Kami diletakkan dibawah 2 rejimen semboyan diraja melayu bersebelahan kem sg ara ini, jaraknya yang agak jauh dari sekolah menjadikan sesi latihan dan kawad disekolah jarang sekali dihadiri para kopral pembimbing disini.



Namun kesempatan berkampung ditempat tersebut menjadikan hubungan kami bersama 2 kopral mahadi dan shukri amat rapat dan sentiasa prihatin. Ditambah dengan komitmen luarbiasa sarjan shamsuddin yang sentiasa memantau kecukupan peralatan dan keperluan kadet kami.

Jumaat 16hb, kami bergerak dengan trak menuju ke kem Sg ara dengan komitmen yang tinggi. Meninggalkan halaman persekolahan untuk sesi pelajaran yang bukan formal tapi bermakna, meninggalkan sentuhan keluarga untuk dibelai keras disiplin dan peraturan yang begitu tegas, meninggalkan seketika nikmat keselesaan dan rutin untuk dibentuk jatidiri melalui cabaran dan kesusahan.

Moga para kadet saya mampu berubah menjadi warga sekolah yang lebih berdisiplin nanti.

No comments:

Post a Comment