Wednesday, March 20, 2013

Persaingan Kerja


Hey kawan, 

Berapakah harga sebuah cermin sisi ? Mahalkah harganya ya ??

Hidup kita adalah persaingan.  

Untuk maju dan terkehadapan dalam segala bidang memerlukan kita menjadi seorang yang  peka dan berani. 
Bijak bertindak dan membuat keputusan segera adalah ciri golongan yang akan mencipta kehebatan.  Mereka yang lemah dan lambat bertindak biasanya akan ketinggalan dan sugul meratapi prestasi diri. Hampanya diri tatkala terhumban kekandang kekecewaan.

Oleh itu, kita mesti berani mendepani persaingan.  Persaingan takkan sentiasa mengunjungi kita dengan hilai tawa dalam santai rutinnya, tapi ianya akan datang dengan desakan pengorbanan dan deretan keperitan bagi menatijahkan ujian buat yang berjaya dan yang gagal.

Justeru, untuk melakukan yang terbaik kita mesti sentiasa yakin pada diri. Hormati diri merupakan refleks syukur terhadap anugerah Allah yang menjadi dan meminjamkan kita personality ini.

Allah mencipta manusia dengan variasi karektor yang berbeza. Perbedaannya memberi biasan warna-warni yang indah untuk alam ini.  Oleh itu, gembiralah…. Yakinlah…senyumlah, diri kita adalah jelmaan kasih Allah. Kita tidak perlu menjadi orang lain dan kita juga tidak perlu dengki kelebihan orang lain. Allah takkan bertanya kita didalam kasut dan kondisi orang yang lain.

Allah akan menilai kita berdasarkan watak kita, situasi kita, sikap kita dan pemikiran kita.

Apapun elemen negative dan positif yang berlaku di alam persaingan kerja kita, hadapilah ia dengan tenang. 

Kita yang membina warna untuk diri dan situasi hidup kita.

Kegagalan tidak semestinya bewarna kelam dan menyedihkan. Bahkan golongan yang membina empayar kemewahan dan keglamouran lebih gemar membina hidup mereka bermula dengan kegagalan. Bahkan mereka akan sentiasa mendabik dada dengan berkata : Aku pernah gagal sehingga tiada lagi yang mampu menutupi aurat tubuhku, semua wang aku hilang sekelip mata dengan hutang bertompok yang tidak mungkin mampu dibereskan. Semua orang menjangkakan bahawa kiamat sudah berlaku untukku lebih awal dari tarikhnya ………. Tapi, hari ini mereka sebenarnya yang silap. Kegagalan adalah warna keemasan untukku bangkit dan Berjaya seperti hari ini.

Percayakah anda dengan kata2 seperti ini yang berlaku rutin dalam kehidupan kita ?? kalau anda belum lagi percaya, aku rasa penulis buku ”  Dare to fail “ karangan BILLY LIM takkan menjadi antara buku bestseller untuk motivasi pengurusan dan keusahawanan.

Aah ! semua orang biasa menempuh susah dan persaingan bukan.

Tapi yang menentukan tafsiran kehidupan ini adalah diri kita bukan ?? Kita sebenarnya yang menentukan kejayaan atau kegagalan diri.  Lantaran itu, jadikanlah hormat dan respek diri sebagai azimat untuk terus maju dan bersyukur. Pujilah allah dan bisikkan selalu pada diri : aku suka diri aku dan aku mampu melalui persaingan ini. Alunkanlah ungkapan : Aku rasa hebat dan aku bertuah dikurniakan tuhan dengan perasaan ini.

Mmmm, magisnya sentuhan kata ini. Ia membangkitkan aroma inspirasi positif yang bukan sedikit kepada 
kita.

Disamping itu juga kawan, tiada guna lagi kita membuang masa memasang keluhan dengan mencipta alasan dan omelan. Ianya tidak akan membantu kita. Tahukah kalian, 80% manusia diluar sana sememangnya tidak akan pedulikan masalah kita, mereka hanya memikirkan masalah diri mereka sendiri. Namun tinggal 20% lagi manusia, yang mungkin membantu kita tapi dengan perasaan gembira kerana kita bermasalah dan tak mampu menyerap tekanan masalah tersebut. Jadi, mahukah lagi kalian berkongsi masalah ??

Pekerjaan sememangnya penuh saingan!

Hingga setiap pagi menuju ke tempat kerja pun takkan ada permaidani merah dengan escort polis untuk mengiringi lancer perjalanan kita ke tempat kerja dengan segera dan pantas. Yang ada, hanyalah hidangan kesesakan dan jem yang amat memualkan kita. Apatah lagi dengan bingit hon dan makian manusia yang tidak bertamadun, hari kita terpaksa bermula dengan aura pagi yang sentiasa negative.

Setiap pagi, saya mengemudi jentera dua roda laju menuju destinasi kerja. Tapi laluannya bersimpang siur dengan pelbagai ragam pemandu apatah lagi jika melihat kepada agam jenteranya. Pengguna motorsikal seperti kami biasanya akan teraniaya ke sisi jalan sahaja, mungkin juga itulah lorong yang terbaik untuk kelangsungan perjalanan dan juga keselamatan kami.

Alhamdulillah,  lorong keselamatan kekadang amat berjasa besar buat kami pendita kerdil dijalan raya.

Tapi kawan , wajarkah dan apakah penyelesaiannya pula bila pengguna jentera besar seperti kereta dan lori menghimpit kami hinggakan kelorong keselamatan ini. Mereka menceroboh sempadan milik jentera kecil kami, kami teraniaya …. Saban hari, saban pagi disepanjang kesesakan lalulintas dipulau mutiara ini.

Dengan lagak ego berfizikal besar mereka menidakkan hak kami.

Yang mampu kami zahirkan hanyalah dengan membeunyikan hon dan memandang sinis ke celahan cermin kereta mereka.

Tapi persis manusia kebal yang ego, cermin mereka juga kebal dengan tinted gelapnya. Mereka memang 
kalis maki dan sindiran.

Akhirnya, aku seperti pengguna motorsikal yang lain hanya kematian hak dan keistimewaan.

Apakah ada penyelesaiannya buat kami kawan ???

Inilah bukti kejamnya persaingan ke tempat kerja kan kawan……

Tiada noktah penyelesaian !

Aku pasrah dalam kawanan geram dan perasaan berbulu.

Hinggalah muncul jawapannya suatu hari ???

Hingga tiba suatu pagi, aku menunggang dibelakang seorang mamat motor ranggi berbaju Yamaha.  Kami memandu dilorong kecemasan mengelakkan kesesakan kereta yang sudah mati akal dan mati enjin. Tiba2 beberapa jentera besar menghimpit kami ke dinding divider, begitulah rencamnya kami sentiasa terperangkap ke tembok bahaya. Lalu dengan upaya kami, beberapa penunggang hanya mampu menyeringai geram dengan sahutan hon berbunyi tanda protes.

Tapi, apalah makna protes untuk sang gajah yang ego dan agam. Geram kami hanyalah aksi lelucon sahaja baginya.

Tiba2, tanpa disangka sesiapa. Lelaki berbaju Yamaha tadi mula beraksi. Tanpa salam hon mahupun kalam sindiran, kakinya pantas menujah sisi kereta menghentam side mirror hingga bertabur dijalanan. Beberapa kereta dan lori menjadi mangsa tendangan kemas laju tanpa bayangnya, kami tergamam dan tertanya2. Mungkin inilah jawapannya untuk mereka yang gemar menceroboh laluan keramat kami dilorong kecemasan lain kali.

Kejamkah ??

Aku tak pasti ! Tapi ianya mungkin satu jawapan bukan, kalau semua pengguna motorsikal beraksi demikian… takkan ada lagi golongan ego berjiwa individualistic dalam persaingan yang akan menyalahgunakan lorong kecemasan bukan ???

Gila ??

Aku pun tak tahu ??


Sebab itulah aku bertanya kalian diawal teks ini tadi, berapakah harga sebuah side mirror kereta ya ?? Mahalkah harganya atau mahalkah juga pengajaran yang dapat kita ambil untuknya ??

Friday, March 15, 2013

Keputusan Persaingan MTQSS Alma 2013


Hey kawan,

Seperti biasa SMK Alma menghantar kontinjen penuh untuk pertandingan MTQ peringkat daerah SPT bagi tahun ini. Venue acaranya ialah di SM Teknik Seberang Perai pada 14 Mac yang lalu.

Keputusan yang melibatkan kontinjen bagi tahun ini tidaklah segarang tahun lepas yang mendominasi podium dalam semua acara. Bagi tahun ini, wakil Alma menggungguli :

1) Mohamad Hafizie – Juara Tilawah (L)

2) Mira Hazwani – Juara Syarahan (P)

3) Siti Nor Ain – Tempat ke-3 Syarahan (P)

4) Adib Azali Rosni – Naib Juara Hafazan (L)

Pada kali ini, hanya johan yang layak ke peringkat negeri pada 10 April nanti di SMK Permatang Pasir.

Bagi peserta yang lain, kalungan tahniah atas keberanian dan komitmen yang diberikan dalam setiap acara yang disertai,  sebenarnya bukanlah kemenangan dalam persaingan yang dikehendaki, tapi nawaitunya agar persaingan ini membibitkan pengajaran dan minat yang lebih mendalam terhadap semua ilmu cakupan agama.

Walaupun tewas, kalian adalah tetap wira Alma.

5) Akmal saufi – Hafazan (L)

6) Zul Azri Zulkifli – Syarahan (L)

7) Nurul Husna – Hafazan (P)

8) Syahmira – Hafazan (P)

Moga Allah meredhai kita dan menerima amalan.

Thursday, March 14, 2013

Penat Persaingan




Hey kawan,

Penatnya persaingan menyukat energi yang bukan sedikit. Himpunan focus, percaturan, pengurusan dan mengacah strategi lebih menjerihkan berbanding kerahan kudrat semata-mata.

Dan Mac ini memerangkap aku untuk dibuli kepenatan takwim persaingan yang berterusan.

Aku digelecek antara tugasan kejurulatihan MTQ, pengurusan Kelab Bolasepak Alma dan juga guru penasihat bagi pasukan silat sekolah yang persaingannya berlangsung serentak pada momen yang hampir sama. Nasib baiklah beberapa percubaan silang dari PPD dapat aku tepis keluar agar tidak terus terbelenggu dengan amanah yang membebankan. Aku menolak untuk dikalungkan tugasan kehakiman kali ini namun masih tetap di lorongkan tanggungjawab penyediaan kontinjen untuk majlis ihtifal sekolah2 MISS dalam masa terdekat nanti.

Jika tugasan MTQ sudah berada di genggaman selamatku petang tadi, aku sekarang terus juga diasak untuk terus mengekang amukan penganjuran Kejohanan Bolasepak pula yang berlansung sejak 11 – 22 Mac nanti.



Kekadang aku termenung keletihan.

Sarafku kejang kelelahan.

Aku bertanya ke dalam hati : Berbaloikah aku untuk terus menumpah keringat dan kudrat pengorbanan untuk melunasi tugasan bolasepak sebegini.
Bukankah lebih baik aku kejerihan dalam berbakti pada agama dan membina generasi nusa.
Ianya lebih baik kan ??

Namun, sukma hatiku memberi respon berbeza.

Ianya mengharmonikan rasa dan jasa.
Ia menyuburkan jiwa dan menggerakkan gesa.

Lantas aku teringat catatan seorang teman di perkebunan blog ilmunya, ianya menyantuni uslub dakwah dalam gaya santai bermaklumat, ia menyulam semangat dalam coretan penuh berinspirasi. Tatapilah lahar minda yang meletus untuk menyuburkan tanih dan benih bukannya menghancurkan tanaman dan hidupan. Ianya luahan kata Ustaz Sarip Adul dari Universiti Malaysia Sabah.



Gerakan dakwah umpama permainan bola. Ada pemain di padang dan ada penyokong yg bertindak sebagai tukang sorak.

Melahirkah pemain yang hebat perlukan tarbiah yang hebat dengan manhaj yang hebat dan berterusan.

Pemain yang hebat tidak akan lahir kalau ditarbiah dengan manhaj tukang sorak. Semakin profesionalnya seorang pemain, semakin perlu ia kepada latihan/tarbiah yang mantap. Tiada istilah tamat silibus bagi seorang pemain profesional.

Andai ia malas mengikuti latihan/tarbiah...perutnya akan menjadi boroi dan langkahnya menjadi slow. Waktu itu ia sudah tidak layak menjadi pemain, ia sekadar layak duduk dibangku penyokong dan menjadi tukang sorak.

Ia juga tidak layak menjadi jurulatih kerana dikhuatiri ia mewariskan kemalasannya kepada pemain lain. Jurulatih sebenar ialah yang tidak meninggalkan latihan/tarbiah pada usia apa pun ia dan di level manapun ia berada.
Adapun penyokong, memang ia dilatih memukul gendang dan kompang sambil bersorak memberi semangat kepada kawan dan mengejek lawan. Mereka inilah yang paling bising di medan dan suka bergaduh dengan penyokong pasukan lawan.

Kadangkala mereka sanggup membakar stadium kalau pasukannya kalah.

Anak-anakku, kalian ditarbiah untuk menjadi pemain profesional di medan, maka jangan berperangai seperti tukang sorak atau berperanan sebagai penyokong semata-mata.

Kalian lah pengerak bola/agenda untuk mencapai kemenangan mengalahkan musuh. Biarlah satu stadium bersorak mengejek anda, usah dipedulikan.

Bukankah punca kekalahan itu ialah apabila anda sudah mula 'naik angin' mendengar ejekan mereka. Apatah lagi mereka itu cuma tukang sorak yang tidak ada peranannya di padang.

Fokus pada bola anda dan jaringkan gol.

Monday, March 11, 2013

Persaingan MTQSS Alma


Hey kawan, 

Persaingan semakin memuncak. 

Aku berada di gear pecutan untuk membawa cabaran sekolah ke mercu pengiktirafan. Tanggal 14 Mac merupakan saringan awal untuk memburu kejayaaan dalam persaingan MTQSS bagi tahun ini. Sebagaimana biasa aku lebih selesa mengambil posisi jurulatih syarahan untuk agihan tugasan MTQ kali ini.

Berikut adalah senarai tajuk syarahan spontan MTQSS nanti :

CADANGAN TAJUK SYARAHAN SPONTAN MTQSS SEKOLAH MENENGAH
PERINGKAT DAERAH PULAU PINANG 2013

PESERTA PEREMPUAN

BIL
TAJUK
BIDANG
1.
RASULULLAH QUDWAH PELAJAR CEMERLANG
SIRAH & KEPIMPINAN
2.
TANGGUNGJAWAB INSAN SEBAGAI KHALIFAH

3.
IBADAH ASA KECEMERLANGAN UMMAH
IBADAH
4.
DOA KUNCI KEJAYAAN

5.
AKIDAH UTUH UMMAH GEMILANG
AKIDAH
6.
AL-QURAN DIHAYATI NEGARA DIBERKATI

7.
AJARAN SESAT PENGHALANG KEMAJUAN

8.
PELAJAR BERAKHLAK MENJAMIN KECEMERLANGAN
AKHLAK
9.
GURU DIHORMATI HIDUP DIBERKATI
PENDIDIKAN
10.
AS-SUNNAH MEMBINA KELUARGA BAHAGIA


PESERTA LELAKI

BIL
TAJUK
BIDANG
1.
IBUBAPA CEMERLANG UMMAH TERBILANG
PENDIDIKAN
2.
REMAJA BERWAWASAN UMMAH CEMERLANG

3.
KEBERSIHAN LAMBANG KEIMANAN
IBADAH
4.
SOLAT BENTENG KETAHANAN UMMAH

5.
TAQWA ASAS TRANSFORMASI UMMAH
AKIDAH
6.
AKIDAH MANTAP MUKMIN HEBAT

7.
ISLAM AGAMA PERPADUAN

8.
AKHLAK MULIA UMMAH SEJAHTERA
AKHLAK
9.
ILMU DIHAYATI MASYARAKAT CEMERLANG

10.
AL-QURAN MEMBINA NEGARA BERTAMADUN

Persaingan Takraw Alma

Hey kawan,

Kali ini aku tidak ingin bermadah panjang.

Cukuplah sekadar aku ingin membidikkan respon penghargaanku buat pasukan sepak takraw SMK ALMA yang berjaya menggungguli kejuaraan peringkat zon Bukit Mertajam dengan menyapu bersih kedua-dua acara bagi Pasukan bawah 15 dan 18 tahun.



Berbaloi momen indah itu disambut tatkala giliran bertugas untuk menjadi tuan rumah bagi acara sepak takraw ini berada di pundak pengurusan sekolah sendiri.



Aku hanya menjadi penonton kala itu.

Redha dan syukur dengan kemenangan tersebut.



Moga ianya akan membuka rentetan kemenangan dalam persaingan lain yang sedang rancak meyusul.

Moga Allah mempermudahkan.

Friday, March 8, 2013

Positif Persaingan




Hey Kawan,

Kita sukakan persaingan. Bahkan kehidupan inipun penuh dengan persaingan. Mereka yang aktif dan tega bersaing mampu mencabar kehidupan di tempat yang lebih terhormat. Akan tetapi yang gagal dan lemah, biasanya akan mudah tersungkur di lembah kekecewaan.

Islam memuji persaingan.

Persaingan yang penuh dengan kemuncak cabaran dan keterujaan.

Positifnya mengapungkan kebaikan kepada manusia.

Objektif inilah yang di akui sang pembawa rahmat Rasulullah tika menyemat kalimat keramatnya ke dada ibrah ummah dengan mengatakan tuntas : Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dari orang mukmin yang lemah.

Kekuatan ialah lambang kemuliaan.

Kekuatan dan semangat persaingan meningkatkan adrenalin cabaran untuk menobatkan penghormatan untuk manusia.

Mereka yang menang dan berjaya di puncak popular tapi yang gagal biasanya disumpah kekecewaan dan putus asa.

Islam tidak membenci pertandingan dan perlumbaan.

Bahkan Islam menyuntiknya dengan galakan demi kemuliaan jihad dan keutuhan perpaduan umat. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al Anfal ayat 60 yang bermaksud : Bersedialah (untuk menuju )dengan segala asas kekuatan. Lalu nabi mentafsirkannya dengan ketepatan panahan dan kemahiran lontaran yang mengenai sasaran dan perlu dipelajari serta dikuasai sebaiknya.

Bukan sahaja sunnah qauliyyah yang sentiasa diucapkan rasul, bahkan baginda sendiri mengemudi pertandingan dengan perlumbaan bersama sahabat2nya.

Kita biasa mendengar kisah nabi bergusti bukan, kita juga tidak janggal apabila diceritakan kisah perlumbaan jarak dekatnya bersama saidatina aisyah dalam venue romantisnya hubungan rumahtangga.

Akan tetapi pernahkah kalian mendengar tentang kisah seekor unta nabi yang bernama ADHBA’ , seekor unta terlatih dan mampu maju kehadapab dengan laju tanpa terkalahkan. Dalam pelbagai perlumbaan yang dianjurkan disekitar kota, nabi biasanya akan memenangi pertandingan dengan keampuhan larian pecut makhluk tuhan yang istimewa ini.

Hingga tiba suatu hari dalam catatan Imam Muhaddisain kita ALBUKHARI, nabi dicabar dalam pertarungan sengit bersama seorang Arab Badwi dengan unta liarnya yang memecut laju memintas larian unta rasul kala itu.

Terkejut para sahabat nabi kala itu dan terbelah dada mereka dengan kekecewaan kekalahan buat rasul kesayangan mereka. Mana mungkin sang pemimpin akan dikalahkan sebegini !!!? tukas mereka kegelisahan.




Tapi tenangnya nabi menguruskan adat pertandingan yang pastinya ada kalah dan menang, nabi berkata dengan penuh ceria : Sememangnya telah menjadi prinsip tuhan yang maha agung dan berkuasa, tidak ada sesuatu pun yang allah angkat kepadanya kemuliaan dan kemenangan di dunia ini kecuali suatu hari Allah pasti akan menjatuhkannya. (Hadis 2872)

Sahabat terkedu tenang mendengarnya.

Dan begitulah kebesaran jiwa sang murabbi ini kawan.

Berlumbalah untuk kebaikan. Bertarunglah untuk mengumpul kekuatan dan mengasah kemahiran.

Bermainlah untuk memuliakan agama dan bukannya mempermainkan agama.

Allah pasti menilainya

Sunday, February 24, 2013

Hikmah LISTEN yang dipinggirkan





Hey kawan, 

Sudikah kalian mendengar celotehku lagi kali ini?? Aku hanya ingin berbicara ringkas sahaja. Kata2 yang sedikit  yang membawa makna lebih baik dari seribu kalimah yang sia2 bukan?? Tapi sapaan santaiku yang kekadang memanjang menjadi bebelan dan leteran amat menjemukan ... aku pun jemu apatah lagi kalian kawanku. Tapi itulah kita .... seorang insan bernama manusia. Kita hanya ingin memuaskan PESONA diri. Kita suka menjadi perhatian sebagaimana kita suka memperagakan diri melalui kata dan gaya. 

Tak hairanlah bila kajian telekomunikasi mencatatkan, lebih 80% masa para pengguna telefon menggunakan kata ganti nama SAYA atau sewaktu dengannya ketika berbicara atau berinteraksi dengan kenalannya. 

Tuntas ia mempamerkan sikap manusia dan karekter asas manusia yang suka bercakap. Tentang diri. Tentang kehebatan peribadi. Tentang masalah sendiri dan tentang kepentingan empunya diri. 

Kita jarang atau kekadang kurang suka berbicara tentang kebaikan orang lain, kalau ada sekalipin ianya bernada negatif dan penuh kesumat memintal umpatan. 

Jadi bila manusia suka bercakap tentang diri dan kepentingan peribadi , siapa pula yang akan menjadi pendengarnya ?? siapa pula yang sanggup menadah telinga untuk permasalahan orang lain??

Konflik isu LISTEN memang menarik perhatian ramai untuk memberi teguran dan kupasan, dan bukan sedikit juga yang terlebih memberi hentaman dan sindiran. Amat sedikit yang cuba membawa isu sebegini untuk dijadikan juadah minda untuk memberi muhasabah berguna.

Aku lebih suka mencari biasan positif walaupun dari cerminan kaca yang sudah pecah. Mencari idea segar dan bermanfaat untuk masyarakat dari keretakan konflik budaya mahasiswa dan tirani kuasa yang menindas sesuatu yang aku tunggu2. Dan bila aku dapati, terselit dalam lipatan maya ini, kupasan LISTEN yang begitu hidup dan memberi makna pada kehidupan manusiawi ini terus menggamit hatiku.

Aku sememangnya amat menghormati penulis ini, bahkan idea mulus dalam peribadi tulusnya menjadikan dia antara FIGURA DAKWAH yang selalu aku tunggu sentuhan kalamnya. Ia amat berbeza bagiku dalam membawa idea yang berjalur variasi seperti ini membangkitkan kesedaran untuk MENGHIMPUNKAN dan bukannya MEMECAHKAN, MENGINSAFI dan bukannya MENGHENTAM, MEMAAFKAN dan bukannya MENGHUKUM, MEMBANGUNKAN dan bukannya MEROBOHKAN jiwa serta MENYUBURKAN bukannya MEMANDULKAN ufuk pemikiran dalam lanskap keindahan islam yang mendamaikan.

Marilah kita bersama menatapi nukilan Ustaz Pahroul Mohd Juoi ini. Moga ianya segar memberi manfaat.

Percayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar… 
Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar. 
Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar. 
Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan  penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.
Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.
          Dari saya, hanya seraut catatan.
HANYA DENGAN  MENDENGAR… 
Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya. 
 Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” 
Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.
Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. 
Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.
 Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” 
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa? 
Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri! Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata. 
 Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu? 
 Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya  bila-bila masa sahaja. 
 Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak.  Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa! 
 Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil. 
Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar! 


Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba. 
 Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu! 
 Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita. 
 Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya. 
Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu… 
Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.