Sunday, November 15, 2009

Al Quran - teman hidup usia senja

Pagi Sabtu itu, sesudah selesai membaca Al Quran, saya simpan mashafnya kemas dirak biru di bilik solat rumah kami, itulah rutin hariannya… janji saya pada diri ini hingga ajal menjadi tukarannya.

Al Quran teman mukmin

Kalau boleh inilah amalan harian yang harus terus diamalkan sampai kita ke liang lahad nanti, dengan membaca kurang bukan sahaja hati akan jadi tenang dan kuat, bahkan penglihatan kita juga jelas dan pemikiran kita tetap utuh dan tajam…

“Membaca dan mengajar Quran selalu akan menjadikan kita tidak nyanyuk” kata arwah moyang saya yang dulunya ketika berusia 90 tahun pun masih jelas matanya dan masih gagah mengajar anak-anak kecil di kejirananannya membaca al Quran.

Suaranya seakan terngiang masih membaca al quran dan beribadat sambil menunggu ajal katanya, terharu saya bila Mok nyang panggilan saya kepadanya berkata begitu, namun resah hatinya tak siapa yang tahu, sudah beberapa anak dan menantu yang pergi dahulu termasuk datuk dan nenek saya namun usianya masih panjang. Berkat Quran pastinya.

Versi drama orang tua

Namun dia pastinya bukan sebagaimana resmi orang lain, versi drama swasta pastinya… rutinnya akan menggambarkan kesunyian wraga tua ini menanti anak cucu, ramai yang bersedih seolah dilupakan dan rasa tidak dihargai….lantas mereka seharian memohon doa supaya pengajaran tuhan ditimpa pada anak2 yang derhaka..

Anak-anak yang sudah dewasa, bekerjaya, berkeluarga dan bersosial dizaman serba maju dan bukannya seperti zaman mereka generasi terdahulu, terus meluncur kedepan membedah kemajuan yang bukan sedikit virus dan bakterianya, akhirnya ibu tua diluputkan dari keutamaan, berbakti dan berdoa bukan lagi amalan hadiah yang harus dititpkan selalu buat ibubapa. Bahkan anak dan generasi kita semakin dibawa jauh dari turun menziarahi ibu ayah generasi penyebab kelahiran kita.

Justeru, salahnya masyarakat hari ini mengetepikan nilai kekeluargaan, anak sibuk dengan kerjaya, cucu sibuk dengan teknologi..tinggallah warga tua yang dilihat beban kehidupan untuk disisih dan kalau boleh didoakan awal bersemadi di liang lahad. Ada yang berlepas tangan, menghantar ke pusat jagaan orang tua lebih senang dan dikira tidak menzalimi orang tua, sekurangnya mereka akan dijaga oleh pakar yang berkelayakan disana. Sekali dua menjenguk di hari lebaran pun kiranya sudah menjadi tanda ingatan buat ibubapa barangkali.

Tapi tidak semuanya begitu, ada yang betul memahami, ingin berbakti, ingin menjaga dan membalas budi mereka yang tua,namun kekangan kerjaya menjadikan mereka terbantut, dipersimpangan antara keutamaan untuk kerjaya dan berjaya, untuk profesionalisme yang benyak membaham waktu yang sepatutnya untuk anak2 apatah lagi untuk orang tua…..pulang kerap kekampung dikira tidak berbaloi dan menghabiskan kos serta masa.

Alternatif hidup usia senja

Lalu alternatif orang tua ke kotaraya untuk memudahkan penjagaan dan komunikasi dijadikan taruhan, namun resam orang tua dengan jiwa desanya, dengan segar embun paginya, dengan tenang dan hening malamnya dan rindu dengan riuh rendah ayam itik dilamannya. Tertutuplah pintu pilihan, tersepitlah anak antara kerjaya dan orang tua.

Inilah versi biasa drama swasta dan kehidupan kita, tayangan anak derhaka atau lupakan asal usul, juga layangan tentang sedih pilu serta kesunyian ibu dan ayah dikampung, sentiasa basah pipinya dengan nostalgia lama anak kecil yang masih dalam dakapannya.

Ditimangnya tinggi dan diacah berulang kali dengan doa anaknya jadi orang berjaya. Tapi bila anak sudah bekerjaya dan berumah besar dikota, hati dipagut sedih bila perhatian anak sudah beralih…. Lalu mereka sedih tidak berkesudahan.

Kitapun sudah mangli dan biasa dengan fenomena ini, dan kita dah jangkakan kesudahan ceritanya, anak derhaka akan terima balasan… ayah dan ibu hanya akan kembali tenang dipersemadian.

Tapi saya rasa… macam ada sesuatu yang hilang, sesuatu yang silap…..

Kenapa para ibubapa kita mesti sedih, tidak keruan sentiasa mengharapkan kepulangan anak cucu menyemarakkan api rindu dan kesunyian mereka. Untuk membawa hidup mereka kembali ceria , kembali bermakna…..

Hidup yang bermakna

Adakah kita juga, bila sampai tempohnya akan mengulangi episode duka yang sama..

Bagi saya tidak, dan kita harus menukar versi cerita orang tua ini, waktu tua bukan hanya untuk dibazirkan dengan sedih,rindu, gelisah dan hanya menunggu anak cucu.

Usia tua perlu diisi dengan kebajikan, dengan perkara berfaedah dan bermanfaat, panggilan untuk bersemadi dan bertemu tuhan semakin hampir takkan kita sia-siakan dengan hanya berfikir rindu dan anak cucu yang akan ditinggalkan.

Jadilah orang tua yang sedar dan insaf, tugasan mereka mendidik anak dan memandu mereka ke haluan yang benar. Anak bukan segalanya, ada yang menjadi pembantu dan penyebab kita ke syurga allah dan ramai juga yang menjadi agen perosak kita ke neraka allah.

Harapannya agar pemuda dakwah akan terus istiqamah, membina komuniti dan ummah membina jiwa islam walau bukan dari darah dagingnya.

Itulah harta yang paling utama, amalan yang menjanjikan damai dipersemadian syurgawi.

“Terima kasih Ustaz, lain kali jemput datang lagi, banyak manfaatnya malam ini”erat genggaman Timbalan Naib Canselor UMS ini, Dr Hj Kassim Md. Mansor menjabat tangan saya sesudah selesai acara Forum Kasih Ibu Membawa Ke Syurga anjuran Kolej Kediaman E.

Tapak ekspo penuh sesak dengan orang ramai, ada yang setia di kerusi bersama forum, ada yang berlegar mencari keperluan, ada yang memasak dan menjaga gerai… namun memang disengajakan, speaker besar dihalakan kesemua arah mempastikan nasihat ini tembus menusuk ke akal budi tetamu dataran tamu ini.

Inilah antara provokasi terbalik saya pada isu sayang dan bakti kepada ibubapa untuk audiens Tamu Gadang UMS kali ke 11 di malam itu.

Moga ada hikmahnya.

No comments:

Post a Comment