Sunday, November 8, 2009

Mahalkah nilai sujud kita ?

Sebagaimana yang direncanakan oleh jawatankuasa Masjid Negeri dan Urusetia Persatuan Ulama Malaysia cawangan sabah, kuliah maghrib pada hari Sabtu lepas akan disempurnakan oleh bekas mufti negeri Terengganu dan juga merupakan Yang dipertua PUM sendiri iaitu Ustaz Sheikh Abd Halim bin Abd Kadir.



Kehadiran para tetamu rumah allah di masjid negeri pada malam ini saya anggarkan lebih 300 orang yang memenuhi ruangan utama masjid, saya terus menempati ruang hadapan sejak mula bagi menangkap sebaik mungkin bicara dan mutiara kata tokoh ulamak ini, apatah lagi sebelah paginya beliau juga telah berbicara panjang bersama barisan pendakwah senior negeri sabah yang dihimpunkan dalam Nadwah Pewaris Nabi, merekalah generasi dakwah awalan negeri sabah yang datang dari pelbagai tempat samada dari semenanjung mahupun dari jiran seberang Indonesia. Pelbagai pengalaman dan cabaran dakwah mereka koleksikan sepanjang jalan dakwah mereka dizaman yang serba mencabar, cemas dan penuh misteri.



Sekadar berkongsi ilmu yang dikutip malam itu, Al fadhil ustaz membuka majlis dengan mutiara al quran surah al ahzab ayat 45 yang sebenarnya mencoretkan satu peringatan dan teguran buat umat ini, allah menyatakan bahawa nabi ini bertugas sebagai saksi yang membawa berita gembira dan amaran, nabi ini jugalah yang bertindak sebagai penyeru dakwah kepada manusia dengan izin allah, juga sebagai pembawa obor petunjuk yang penuh cahaya.

Menariknya malam ini, ustaz membawa minda kita merentas masa hadapan menuju kealam mahsyar nanti, nabi adalah saksi kepada umatnya…. Beliaulah yang akan mengenal pasti keseluruhan umatnya dan beliaulah yang akan mengenal kita semua dan menjemput kita dan membantu kita menuju syurga allah.Bertuahnya kita ..

Persoalannya, kenalkah nabi pada kita, sedangkan tulus wajahnya tak pernah kita tatap, lunak suaranya tidak pernah kita dengar, lembut akhlaknya tak pernah disentuh pandangan kita… bagaimana nabi akan mengenal kita, atau nabi hanya akan mengenali sahabatnya sahaja. Malanglah generasi terakhir umpama kita yang tidak pernah akan dikenali nabi.

Lalu Ustaz bawakan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah sebagaimana berikut ;

ان أمتي يدعون يوم القيامة غر المحجلين

Umatku akan dipanggil @ dikenali pada hari akhirat nanti dengan tanda calitan sujud mereka (ghurral muhajjalin – adalah tanda putih yang jelas pada kuda dibahagian kepala dan kakinya), kesan daripada amalan dan kelaziman mereka mengambil wuduk dan bersolat semasa didunia.

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ

Dan melalui ayat al quran surah al Fath ayat 29 ini Allah menyatakan : ciri orang beriman ini dikenali dengan tanda diwajahnya ekoran dari taatnya mereka bersujud pada allah, tanda yang kita akan dapat dengan patuh dan penyerahan mutlak hanya pada allah dan bukannya yang dibuat2 atau yang ditunjuk2.

Sesungguhnya sujud sahajalah ibadat khusus yang diperuntukkan untuk umat ini dan tidak bagi ajaran agama yang lain, kerana itulah kita melihat ajaran agama lain tidak pernah mengenal sujud sebagaimana yang kita umat islam amalkan. Dan ianya amat mengujakan kita sebenarnya kerana ditempat inilah kita manusia hamba kembali merendah diri dan menjunjung hebat dan agungnya tuhan..

Kalau disinilah tanda pengenalan kita kepada nabi, berusahalah para sahabat semua untuk menjadi mereka yang paling banyak dan lama bersujud..

Sujudlah tempat terdekat kita bersama pencipta…. Kenapalah masih ramai manusia yang tidak pernah bersujud.

No comments:

Post a Comment