Tuesday, May 18, 2010

MALAS

Entah mengapa dalam masa kebelakangan ini, jemari saya terasa lenguh dan kebas untuk menulis, idea dan kronologi peristiwa yang merencah ceria hidup ini terus bertakung dan melimpah buak untuk keluar dari pertapaannya.

Namun apakan daya, keinginan itu terpaksa dipendam dilubuk niat hanya kerana keupayaan fizikal saya yang tidak mengizinkan. Saya kira bukanlah waktu atau kesibukan yang menjadi penghalangnya, kerana hati ini telah saya pahat azamnya untuk terus berkarya disini selagi ada hayatnya, biar butiran kalimah yang terpamer diskrin mampu memadam rindu lama, mampu mengubat jiwa yang terluka, mampu melorek tinta bermanfaat dan mampu mempertaut ilmu dan amal. Mungkin bila tiada lagi coretan di skrin ini, tiadalah lagi insan pemiliknya di alam fana ini.

Tapi alasan utamanya adalah alasan biasa, alasan yang biasa meruntuhkan sebuah peradaban dunia dan mampu menggugah generasi bertamadun kepada kebejatan fikrah hanyalah satu alasan lima huruf iaitu MALAS.

Perkataan yang paling senang disebut dan ianya alasan yang amat mudah untuk diberikan semalas pemiliknya. Bayangkan jika satu kesalahan dilakukan pelajar sekolah untuk tidak menyiapkan kerja rumahnya, dan bila tiba hari penghantarannya dia gagal kerana keMALASannya, lalu ditanya guru untuk mencari sebabnya agar tidak menghukum tanpa budi bicara, maka dengan muka selamba dan berat mulut MALASnya dia menjawab tanpa perlu membebankan otak MALAS berfikirnya dan menyatakan MALAS CIKGU !!



MALAS adalah virus perosak merbahaya kepada peribadi, ianya meruntuhkan kewibawaan diri dan menjatuhkan maruah kemulian seseorang. Individu malas berfikir hanya akan menunggu jawapan dan gembira bila ada pertolongan dari rakan sekitarnya walaupun belum pasti jawapan itu benar-benar betul. Dan berapa ramai manusia pemalas ini yang akhirnya menghempaskan kaca hidup mereka kelantai reality apabila mereka mudah diperbpdohkan, terlalu mempercayai dan tidak mahu berfikir, mencari jalan mudah untuk berjaya, menipu dan berhasad dengki dan seterunya memperjudikan nasib ditangan perjudian hanya untuk mencari secebis keuntungan tanpa usaha.
Dan bahaya yang lebih bahaya ini hadir jika para USTAZ dan ahli agama juga sukakan KEMALASAN. Malas untuk beribadat, malas memperbaiki diri dan malas menuntut ilmu, ianya virus mudarat yang hanya akan memberi imej buruk pada institusi keagamaan.

Lalu kita akan saksikan ada ustaz yang gemar mencedok berita palsu dan disebarkan, ada ustaz dan agamawan menjawab hokum agama berdasarkan sedap rasa dan pendapat sendiri, ada juga yang hanya suka digelar ustaz bola dan ustaz badminton yang kurang senang menunjukkan diri di rumah allah kerana takutkan riya’. Ada pula yang hanya pandai menuding jari dan melupakan kelemahan diri sendiri. Ada yang kurang beribadat dan yang terbanyaknya malas berfikir.

Terkejut saya suatu hari tatkala balik dari mengambil anak saya disekolah dengan motorsikap kapcai EX-5 saya, anak saya pula gemar bertanyakan soalan walaupun suaranya sering tenggelam diangin lalu, dia bertanya tentang tempat tinggal tuhan. Dalam menjaga fokus dijalanan, juga terbazirnya suara penerangan saya dalam perjalanan dan situasi sebegitu, saya mengambil pendekatan dengan mengatakan : ABAH TIDAK TAHU.

Lalu, tanpa sedar anak perempuan saya terus mengomel, MEMANGPUN, USTAZ MEMANG TAK TAHU BANYAK PERKARA. Terkejut dan tercabar instinct keustazan saya, takkan anak sekecil ini boleh membuat kesimpulan kejam kepada institusi keustazan yang disana tersimpuh salah seorangnya ialah ayahnya. Terus saya bertanya kembali untuk mempastikan kata2nya tadi. Dia terus mengulangnya dengan lancar tanpa memikirkan risikonya seolah2 dia adalah satu rakaman suara yang dipetik katanya dari entah sesiapa.



Saya tidak menghiraukan hiruk pikuk dijalanan lagi, saya pedulikan lurus dan bengkok jalan dihadapan, fokus saya terarah pada tembakan sinis puteri saya tadi, mana boleh berkata begitu…. Seorang ustaz kena tahu macam2 perkara, dia mesti mendalami pelbagai jenis keilmuan dan sudi belajar bila2 masa, dia juga harus bersedia untuk diberikan pelbagai tugas tanpa dolak dalih, jangan hanya kerana dia seorang ustaz maka dia hanya mampu menjadi imam dan baca doa sahaja, jangan hanya kerana dia ustaz dia hanya perlu berada disurau sahaja, (dan semakin teruk jika para ustaz pula tak mampu jadi imam dan tidak kelihatan ditangga surau), seorang ustaz harus cuba untuk memperdalami ilmu pengurusan, ilmu ekonomi dan ilmu bimbingan kaunseling. Ianya harus menjadi tempat rujukan ramai yang bukan hanya berbicara tentang hokum bahkan tentang alam, tentang geologi, astronomi dan sebagainya.

Dr. Abd Majid Zandani dalam bukunya TAUHID AL KHALIQ banyak memberikan contoh hidup kepada kita berkaitan perkara ini, ketika membahaskan ilmu aqidah dan kewujudan akhirat, beliau membawakan teori reality yang sinonim dengan fitrah, emosi bahkan logic manusia dan disokong dengan bukti empirical berdasarkan sains dan alam. Tatapilah bukunya untuk mencari kelainan berhujah dan mengukuhkan keimanan dalam aqidah keislaman kita.

Saya terangkan sikit sebanyak berkenaan ilmu dan pelbagai konsep yang sesuai untuk garapan telinga dan minda anak kecil. Puteri saya menjawab, Memang betul, ustazah yang cakap begitu…., dan belumpun habis dia bercakap , si abang yang terdiam sejak dari tadi menyampuk : memang ustaz2 anas pun cakap, kita memang tak tahu banyak perkara tentang ALLAH dan ZATnya, kita hanya kena tahu apa yang disebut dalam quran dan nabi Muhammad sahaja. Alhamdulillah..sejuk saya mendengarnya.

Moga ia memberi pengajaran buat saya, jauhilah kebodohan dan kefanatikan dalam semua perkara. Jangan biarkan anak2 kecil seperti ini memahat STIGMA : USTAZ MEMANG TAHU BANYAK PERKARA diminda mereka, entah apa pula pandangan orang dewasa ya…?

Tapi malangnya, dewasa ini, kemalasan yang sinonim dengan kebodohan itu pula menjangkiti saya.

Ya allah ubatilah saya, bantulah saya bangkit semula.

Ya allah, aku minta perlindungan padamu dari kerisaaun dan keluh kesah stress, juga dari kelemahan (bodoh) dan kemalasan, ya allah jauhilah kami dari sifat penakut dan kedekut, dan juga dari bebanan hutang dan kezaliman mereka yang berkuasa

No comments:

Post a Comment