قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا (5) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا (6)
وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آَذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (7) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (8) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (9)
5. Nuh berkata lagi : wahai tuhanku, aku telah menyeru kaumku malam dan siang.
6. (Tetapi ianya tidak memberi kesan kepada kaumku ) seruanku tidak menjadikan mereka menerimanya kecuali lari (dan engkar)
7. setiap kali aku mengajak mereka (dengan keinginan) supaya dosa mereka diampunkan, mereka (mengambil sikap) meletakkan jemari mereka ketelinga, menutup muka (berpaling), angkuh dan sombong engkar.
8. kemudiannya aku mengajak mereka secara terang-terangan (jelas didepan semua orang tanpa takut dan gentar)
9. (ketika yang lain pula) aku mengajak mereka dengan jelas dan tersembunyi. (dengan cara keras dan lembut, dengan cara tegas dan memujuk)
Dakwah dan perjuangan Nabi Nuh A.S
Pada ayat 5 hingga 9, Nabi Nuh A.S menjelaskan tentang usaha-usaha dakwah dan perjuangannya yang panjang, yang gigih dan yang tidak putus-putus tanpa mengenal siang mahupun malam. Di samping itu, Nabi Nuh A.S menyampaikan dakwah secara berterusan, berlemah lembut dengan hati yang menginginkan hidayah dan kebaikan buat semua manusia dan sentiasa bersedia mengambil segala peluang yang ada serta menggunakan segala cara dalam usaha menyampaikan dakwahnya dengan penuh kreativiti samada secara terang-terangan dan secara sulit
Episode dakwah berstamina lasak dan bernafas panjang ini dipertontonkan kepada kita oleh nabi nuh bersama kaumnya yang juga dirakamkan alquran dalam pelbagai dimensi penceritaan. Kisahnya dirakam berselerakan didalam 43 surah alquran termasuk yang terperincinya dalam surah Hud, melaluinya Allah bentangkan rentetan kronologi penceritaan yang lebih spesifik mencetuskan kepada kita lebih pemahaman tentang kisah nabi yang soleh ini. Ia bermula dari ayat 22 hinggalah ayat 49 yang juga berlatarkan permulaan kisahnya dengan kedegilan dan penentangan kaumnya pada dakwah. Mereka menentangnya bukan kerana tidak mengakui akhlak,keperibadiannya dan hujjah ilmu yang dibawanya tapi mereka mencipta segala alasan remeh untuk menidakkan dan memperkecilkan dakwahnya termasuklah kata penghinaan kaumnya dalam ayat 27, kami tidak mengikutimu adalah kerana engkau manusia (yang bukan kaya, tak setaraf dengan kami) dan pengikutmu juga bukanlah antara manusia bangsawan, bijak pandai dan orang kaya, engkau langsung tidak mempunyai apa2 keuntungan/kelebihan jika kami mengikutimu, kerana itulah kami anggap engkau hanyalah seorang pembohong.
Penentangan kaum nabi nuh ini tidak pernah mematahkan semangat kental dakwahnya, baginda rasul terus berdakwah dengab pelbagai cara, tanpa mengenal penat dan lelah. Nabi Nuh menggunakan teknik dakwah yang pelbagai untuk menarik perhatian dan juga memberi kefahaman dan hidayah kepada kaumnya.
Antara teknik dakwahnya ialah :
1) Memujuk dan mengajak dengan penuh lemah lembut dan banyak bersabar dengan karenah dan ujian yang dipersoalkan kaumnya. Menggunakan pendekatan dakwah fardiah yang memberi fokus kepada satu-satu individu.
2) Menyatakan secara jelas dan lantang dengan ucapan yang bernas dan teratur. Dakwah ini menggunakan ceramah dan sesi penerangan sebagai langkah utamanya.
3) Menggunakan teknik perdebatan dan dialog terbuka bersama kaumnya, dengan hujah ilmu dan kebijaksanaan yang dimilikinya, beliau menyeru dengan penuh komitmen dan kesungguhan.
4) Menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan dalam berdakwah, tidak mengharapkan harta benda, pangkat, wanita, pujian dan sebagainya. Hanya mengharapkan bantuan dan keredhaan allah semata-mata.
5) Menggunakan logic akal dan berhujah berorientasikan pemikiran tentang alam semulajadi dan benda hidup yang dapat dilihat (dan bukannya benda abstrak semata-mata) untuk memudahkan manusia berfikir dan membuat perbandingan.
6) Menggunakan doa sebagai wasilah memujuk dan memberi amaran terhadap pengkhianatan kaumnya.
Sebaliknya, kaumnya telah lari daripadanya dan terus degil mempertahankan kesesatan dengan menyumbat jari dalam telinga, menutup muka dengan baju, angkuh dan melarikan diri dari mendengar bicara dakwahnya.
No comments:
Post a Comment